Pages

Subscribe:

Labels

Thursday 30 June 2011

Take Five...

Pendek catatan malam ni. Nak siapkan kerja, kena tidur awal dan cukup rehat malam ni untuk treatment esok. Prediction for tomorrow: If the medication isn't working as well as it should, I will have to go for another round of genetic testing and a mutational analysis. Two possibilities: Best case scenario is to continue with my current medications and think positive until my next test. Worst case scenario is I must switch meds and start being typed for BMT or SCT. Mudah-mudahan semuanya ok esok, insyaAllah.


Tuhan, permudahkanlah..


I'm not really the blogging type. Bukan juga jenis yang suka berkongsi rasa dengan semua orang. As I mentioned before, aku menulis semua ni kerana diminta untuk mencuba dan aku akui, dah mula rasa sedikit selesa dan lega dengan benda baru ni. Tak nak simpan berat-berat sangat dalam kepala, luahkanlah semua. I just take things day by day now, make the most of my time..we don't know what lies around the bend. I am thankful for every second of life that I have been given. Sick or healthy, that's life. 

Jumaat ni sambung rawatan. Sejujurnya, aku takut dan risau setiap kali nak pergi. Biasanya sehari sebelum hari rawatan, aku akan telefon doktor, tanya macam-macam soalan, nak pastikan aku betul-betul tahu dan faham setiap prosedur yang aku kena lalui, setiap pilihan yang aku ada. When I was first diagnosed with the relapse, I was a mess inside. Sekarang rasanya dah rasional balik kot. Overall, I think I have adapted well. I don't let the disease run my life. I take my pills, call my doctor with questions and queries. Cuma satu je yang aku selalu keberatan, duduk 2-3 jam seminggu sekali kat Daycare Centre, masuk drip untuk infusion ubat dan saline berselang-seli. It's too painful..

Kata doktor siang tadi, rawatan minggu ni akan menentukan prognosis aku. He sounded serious, ni yang mata terkebil-kebil susah nak tidur ni. Tapi apa-apa pun, pilihan tetap ada katanya. Harap-harap begitulah. Esok lusa kalau tiada catatan di sini, maknanya ok la tu, 'no news is good news' kan?  Tapi kalau ada pun, tak semestinya tak ok. Right now, all I can say or hope for is; "Tuhan, permudahkanlah.."

Tuesday 28 June 2011

Yes or No?



Hari ni mula kerja, tak sempat nak adjust otak, dah bertimbun-timbun kerja menunggu..clerical works which I hate the most. Tak suka, malas pun kena buat juga kan..amanah. Petang tadi dapat dua panggilan, best dan tak best. Panggilan pertama dari Abang Bahau (bukan nama sebenar, bangga sangat dengan daerah kelahiran dia, melekat nama tu sampai sekarang). Skrip teater yang aku buat dulu dah approved budget. Maknanya, dah boleh mula latihan dan book tempat. InsyaAllah tengah cuba dapatkan di Stor Teater DBP atau UKM. Abang Bahau tuan directornya. Kalau dapat dipentaskan paling lewat pun cuti sekolah hujung tahun ni, masing-masing ada komitmen, semua orang kena susun jadual betul-betul. Aku tak ada masalah, orang belakang tabir je, lagipun dah memang aku cuti waktu tu. Cuma yang aku risau, macam mana keadaan aku nanti. Harap-harap dah sihat la  masa tu. Dari cara tuan director cerita tadi, macam nak buat special effects yang grand gila..gosh, I don't wanna miss that. I would definitely say 'Yes' for this!

Baru nak seronok-seronok pasal teater tu, dapat panggilan dari hospital pulak. Dah dua minggu aku tangguh rawatan. Another delay is a big risk, kata doktor. Kena pergi jugalah minggu ni. X-ray hari tu dah clear, alhamdulillah. Tapi tetap kena jaga-jaga, infection boleh berulang bila-bila masa. Doktor cadangkan buat MRI sebab kerap sangat sakit kepala sekarang. Takut je rasanya nak baring dalam mesin tu, macam claustrophobia pulak. Nak buat ke tak nak ye? Janganlah sakit kepala teruk-teruk sangat 2-3 hari ni, boleh buat alasan cakap dah ok, tak payah buat test pelik-pelik lagi. I'm not taking things for granted. Cukup-cukuplah dengan ubat yang berpuluh biji kena telan tiap-tiap hari ni, tak nak jadi lab rat pulak.

Sabarlah diri..jangan mengeluh, jauh sekali mengalah. Tahanlah dengan dugaan ni, moga-moga Allah ampunkan dosa-dosaku. Awal pagi esok kalau dipanjangkan umur, dapat khatam lagi sebelum Ramadhan. Cantik tarikhnya, 27 Rejab, malam ni Rasulullah diangkat ke langit, peristiwa Isra' dan Mikraj, kisah langit dan bumi. Mudah-mudahan Allah permudahkan niat dan hajatku untuk khatam esok.

P/S: Sajak Omar Khayyam tentang suratan dan takdir Ilahi:
"Kalam Loh Mahfuz mencatat
Dan sesudah mencatat
Lagi mencatat
Segala doa dan ikhtiar
Tidak dapat memadamkan catatan Ilahi
Biarpun hanya sekerat baris
 Pun seberapa banyak airmata
Sepatah pun tidak akan terhakis
Catatan Tuhan Yang Maha Menyayangi"

Monday 27 June 2011

Bukan Hukuman Mati

Hari ni tak kerja, dapat la menulis panjang sikit. Lepas hujan berhenti pagi tadi, selesaikan urusan bil-bil, kemudian bawak Mama ke Tesco, beli keperluan dapur. Azamnya nak ke hospital, tapi mengenangkan dah 2 minggu ni sibuk, rasa macam mengabaikan Mama pula, hari ni aku turutkan segala mahunya. Dapat berjemaah, layan makan minumnya, berbual panjang dalam  kereta. Mama tegur aku kurang makan sekarang, rambut yang potong masa bulan 3 dulu pun tak panjang-panjang lagi. Aku terdiam. Mujur masa tu Pak Uteh call Mama, perbualan kami habis di situ. Ya Allah, sampai bila harus aku simpan semua ni.. She's not ready for this.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah untuk orang mendesak supaya berterus-terang, selesai semua masalah. Mudah juga untuk orang meminta aku ketepikan hal yang lain, utamakan diri sendiri dulu. Kalaulah yang menyuruh itu berada di tempat aku sekarang, pasti mereka takkan mendesak dan meminta lagi. Aku tak boleh buat dia menangis, kesannya nanti bukan untuk sehari dua. Aku yakin aku boleh sembuh, walaupun akhir-akhir ni rasa badan menunjukkan sebaliknya. The only news that I wanted to tell her is that "I'm cured, I'm recovered and I'll be OK".

Waktu aku diberitahu penyakit ni menyerang semula, rasa macam sebiji batu besar jatuh atas kepala aku. Perkara pertama yang datang dalam fikiran ialah mati. Lepas tu baru ingat nak beristighfar banyak-banyak, kena berpijak di bumi nyata. Ini bukan hukuman mati. Kalau doktor positif aku boleh sembuh, kenapa mesti aku menghukum diri sendiri? Lepas sehari baru aku boleh berfikir dengan waras, merancang hidup dengan betul. Dan selepas istikharah selama seminggu, inilah jalan yang aku pilih sekarang. Cantik kerja Tuhan..ada hikmahnya Dia tunjukkan aku jalan yang sukar ini.  

Ada waktu-waktunya dalam kesakitan, keyakinan tu goyah. Masa yang sesuai untuk syaitan mempermain-mainkan keimanan manusia. Syukur setiap kali itu jugalah, sentiasa dapat berpaut pada tali Allah. Memang kita wajib mengingati mati. Tapi orang sihat dan orang sakit mengingatinya dengan cara berbeza. Mungkin masa sihat dulu aku kurang bersedia untuk akhirat, sebab aku rasa aku muda, banyak masa. Syukurlah Allah beri peringatan sekarang. Sekurang-kurangnya aku dapat bersedia..

Dan sekarang aku rasa kena mula bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kalau sembuh, things will go well just as I planned. Tapi kalau tak, banyak benda yang aku kena sediakan dan buat dari sekarang. Paling utama, keperluan seorang ibu tua yang bakal aku tinggalkan ni nanti. Kalau ditakdirkan aku mendahuluinya, biarlah pergi dalam keadaan sempurna, supaya dia tak rasa kehilangan. Apa pun yang Allah dah sediakan untuk aku lepas ni, aku redha.

Emosi pulak catatan malam ni. Allah tidak akan memberati seseorang, melainkan apa yang terdaya olehnya. Faith makes all things possible. Aku kena yakin. Kalau kadang-kadang aku lemah, bukan maknanya aku mengalah. Aku sangat-sangat bersyukur pada mereka yang tahu dan faham keadaan aku, sampai aku jadi sangat-sangat malu setiap kali aku terpaksa menyusahkan. Semoga Allah memudahkan perjalanan hidup kalian. Dan semoga masih ada ruang dan peluang untuk aku balas budi baik kalian. Pada Tuhan aku sandarkan harapan..

Soul to Soul..

Alhamdulillah, selesai pun Temasya Sukan tahun ni. Penatnya Tuhan je yang tahu. Sampai rumah terus mandi, solat, tidur sampai lewat petang. Mujur tak tergadai Asar. Kawan-kawan lain mesti lagi penat. Ingatkan semalam hari minggu tak nak ke mana, penat tak hilang lagi. Keluar juga sekejap dengan kawan-kawan lama. Tak sedap pulak asyik menolak, biasanya setahun sekali je kami dapat jumpa.

Lepas Zohor, Mas datang ambik aku. Ina dan Leen dah ada kat Times Square, tunggu kat Papa John's, favourite spot kami. Ingatkan Leen bawak anak-anaknya, perasan bujang rupanya ye. Makin tembam kawan-kawan aku ni, Mas pun dah  dua bulan bertudung, alhamdulillah..

Agenda pertama, mestilah order makan. Mas dan Leen la tukang ordernya, aku dan Ina dengar je. Diorang tau kegemaran aku. Yang diorang tak tau selera makan aku dah makin hilang, minestrone soup je yang mampu aku jamah semalam. Sementara tunggu pesanan sampai, masing-masing pun mula buka cerita. As usual, tukang order berdua tu la yang paling banyak bercerita. Cerita Mas bergaduh dengan cikgu senior kat sekolah dia, tentang ummi dia yang dah bising suruh kahwin tapi dia tak nak. Sambung pulak dengan kisah Leen nak berhenti kerja, buat bisnes online sepenuh masa, stress kerja kat bursa saham katanya. Suaminya pulak macam tak restu.

Macam-macam hal rupanya kawan-kawan aku ni. Aku macam biasa, holding back, cerita yang biasa-biasa je. They noticed something, but I wasn't ready to share, not yet. Bila tiba turn Ina, kami terkedu dengar masalah dia. Patut la akhir-akhir ni dia selalu sms aku tengah malam, minta pendapat tentang banyak perkara. Kami cuma mampu nasihat dia minta pendapat profesional dari pengamal undang-undang, bincang elok-elok dengan keluarga mertua. Kalau ikutkan si Mas, nak belasah orang je yang dia tau. Sebagai sahabat, aku ada sepasang bahu untuk dia bersandar, sepasang telinga untuk dia mengadu, dan sepasang tangan untuk membantu setakat yang aku mampu. Aku harap Ina tabah dengan ujian ni. Lega juga rasanya sebelum balik dapat tengok dia senyum akhirnya.

Dua jam lebih berjumpa, belum puas rasanya bercerita. Entah bila lagi dapat duduk sama macam semalam. Ada beberapa hal dalam hidup ni yang kita lebih selesa berkongsi dengan kawan-kawan. Aku tau rahsia hanya akan menjarakkan kita dengan orang yang kita sayang. Tapi kadang-kadang rahsia tu perlu demi menjaga  hubungan kita dengan orang kan. I just feel that sometimes it is better to tell small lies than to tell a painful truth. 

Mas, kita tak perlu mencari seorang insan yang sempurna untuk menjadi teman sejati. Cukuplah mempunyai seorang teman yang menjadikan kita sempurna bila bersamanya. If you judge people, you have no time to love them. Someday, somehow..whatever you prayed for will come true. It may not be in the exact package you wanted, but it will be what Allah knows is best for you. Cantik kerja Tuhan, my friend..trust me.

Leen, twenty years from now you will be more disappointed by the things that you didn't do than by the ones you did do. So, throw off the bowlines. Sail away from the safe harbour. Whatever is worth doing at all is worth doing well. Tapi apa-apa pun, bincanglah elok-elok dengan suami. Redha suami tu perlu. Whatever you are, be a good one. You'll always have my support. Chaiyo!

Ina, kemaafan mungkin amat berat untuk diberi kepada orang yang pernah melukai hati kita. Tapi percayalah, dengan hanya memberi kemaafan sajalah akan dapat mengubati hati yang terluka. Kadang-kadang orang yang kita cintai adalah orang yang paling menyakiti hati kita. Setiap kesulitan akan ada penghujungnya. Semoga Allah meringankan derita kau, keluarkan kau dari kemelut ni dengan cara yang paling baik. Yakinlah Na, doa mampu mengubah takdir. You always have my shoulder to cry on.

Korang ingat lagi lagu Ku Bahagia yang kita selalu 'sumbang'kan dalam kereta dulu-dulu tu? Masa tu Ina tengah gila dengan cerita Ada Apa Dengan Cinta kan..aku harap lagu ni boleh buat kita tersenyum kembali.

KU BAHAGIA

Di atas bumi ini kuberpijak
Pada jiwa yang tenang di hariku 
Tak pernah ada duka yang terlintas
Ku bahagia..

Ingin ku lukis semua hidup ini
Dengan cinta dan cita yang terindah
Masa muda yang tak pernah kan mendung
Ku bahagia

Dalam hidup ini
 Arungi semua cerita indahku
Saat-saat remaja yang terindah
  Tak bisa terulang

Ku ingin nikmati
Segala jalan yang ada di hadapku
Kan ku tanamkan cintaku kasihku
Agar ku bahagia..

Monday 20 June 2011

Abah...

Malam ni sangat sentimental untuk aku, sebab pada waktu ni 4 tahun yang lepas, inilah kali terakhir aku mendengar suara Abah. Dan esok hari yang sangat emosional untuk aku, sebab hari yang sama 4 tahun lepas, Abah pergi meninggalkan kami buat selama-selamanya. 21 Jun 2007, Khamis, 2.26 pagi. Malam ni seperti 3 tahun yang lepas, aku lalui dengan tangisan sorang-sorang. Tak mampu nak tunjuk pada Mama dan adik-adik. Aku sangat-sangat berharap dapat bertemu Abah dalam mimpi. Aku rindu Abah. Sangat-sangat rindu sampai rasa sesak dada ni mengenangkan Abah. Masih jelas lagi wajah Abah yang putih kuning tersenyum saat kami mengkafankannya. Masih terasa dinginnya dahi Abah kali terakhir kami menciumnya. Masih terbau lagi wanginya minyak atar 1000 Bunga yang kami calitkan pada pipinya. Seperti tahun-tahun yang lepas, malam ni aku demam kerana terlalu ingatkan Abah.

Abah was a man of wisdom. Setiap kata-kata dan perbuatannya penuh nasihat dan berhikmah. Bersamanya, aku cepat terasuh menjadi manusia terlalu kukuh. Siapa aku sekarang, gerak gaya, bahasa badan, bicara dan akal budi, semuanya dicorakkan oleh Abah. Mama mewarnakan hidup aku. Tapi aku tak mampu jadi sebaik, sebijak dan sesabar Abah.

Kata Abah, hidup bertuhan kena berpandukan Allah dan Rasul. Itu yang aku cuba amalkan. Kata Abah juga, hidup berkawan, kena ikhlas dan jujur. Itu yang aku cuba jadi selama ni. Kata Abah lagi, hidup berkasih sayang kena setia dan percaya. Itu jugalah yang aku cuba pertahankan. Kalaulah Abah dapat berkata-kata lagi macam ni..

Banyak yang nak aku tulis tentang Abah, tapi bukan malam ni. Lagi banyak airmata yang keluar setiap kali aku nak taip sepatah perkataan pun tentang Abah. Bila ada masa yang sesuai nanti, aku akan tulis lagi tentang Abah. Kalaulah dapat aku katakan sesuatu pada Abah sekarang, aku nak Abah tahu segala pesan dia aku jadikan panduan hidup aku..untuk bertuhan, berkawan dan berkasih sayang.

Pesan terakhir Abah untuk menjaga Mama dan adik-adik selagi mana aku mampu, masih aku teruskan. Nota terakhir Abah belakang gambar kahwin Abah dan Mama yang kami sama-sama hantar repair di Kodak dulu untuk simpan dalam CD masih aku simpan sampai hari ni : 'Selagi Along boleh buat Mama gembira, jangan biar dia menangis, sebab kita cahaya hidup Mama'.

Abah, maafkan Along bila sampai waktunya nanti Along tak dapat lagi menunaikan semua pesanan dan harapan Abah. Along dah cuba jadi manusia bukan sekadar orang, menjadi insan sebelum dipacakkan nisan. Along selalu berdoa dapat cepat-cepat bertemu Abah, tapi biarlah Along sempurnakan dulu urusan keluarga kita dan bekalan akhirat Along. Supaya yang meninggalkan nanti tak ada kesalan dan yang ditinggalkan juga tiada sesalan. Abah makin jauh, kami yang hidup ni makin hampir. Semoga Allah temukan kita nanti di tempat yang paling sempurna..amiin.

Aku sayang Abah..       

Cerita Seminggu

Hmm..seminggu lebih tak buka blog, bersawang dah tempat ni. Minggu akhir cuti sekolah sibuk layan tetamu kat rumah, family dari Singapore je sebenarnya. Rasa macam budget hotel pulak rumah tu hehe. Tak apalah, tetamu datang bawa rezeki kan, wajib dilayan sebaik-baiknya. Penat sangat minggu tu, tapi puas hati tengok mama seronok layan adik-adik dan anak-anak buahnya, bercerita sampai 2-3 pagi macam 10 tahun tak jumpa.

Keluar lagi cerita-cerita lama masa aku kecik-kecik dulu. Betapa rupanya aku ni ditatang bagai minyak penuh konon-kononnya, maklumlah cucu sulung. Cerita aku conteng dinding rumah atuk yang baru lepas cat, elok kering je catnya aku dah buat mural kat situ. Kisah aku sambut birthday yang ke-3 pakai baju melayu,duduk elok tengah-tengah atuk dan abah masa baca doa selamat,jantan abis la kot hehe. Perangai aku suka ikut semut dengan jari sampai semut tu jumpa kawan-kawan dia. Yang paling malu nak dengar cerita aku dapat title 'Gelek Seround'. Sebabnya kecik-kecik dulu, kalau ada kerja kawin sebelah family mama, mesti ada joget lambak (atuk dan nyai asal orang Melaka). Kat tengah-tengah tu mesti ada sorang budak kecik start gelek dan gerudi twist..AKU LA TU!! Rupa-rupanya bakat menari tu dah terserlah sejak kecik lagi. Adik-adik ambik peluang la gelakkan aku sampai keluar air mata, ingatkan Alongnya ni sopan sangat la dulu-dulu tu.

Kalaulah kenangan tu dapat diulang..mesti aku perasan comel. Nasib baik ada gambar nak buat kenangan. Kecik-kecik dulu aku suka bergambar, dah besar ni rasa berat je bila orang suruh pandang kamera, dah tak cute kot hahaha.. tapi betul kan, seseorang yang mati tanpa meninggalkan walaupun sekeping gambarnya, kehidupannya mati bersamanya. Tapi kalau dia meninggalkan walaupun sekeping gambarnya, kehidupannya akan dikenang selagi ada yang mahu bercerita mengenai gambar tu.


Itu cerita yang macam best. Ada juga yang tak best berlaku, aku tak cerita kat adik-adik dan sesiapa pun,cuma bagitau Ros je. Hari Jumaat, 10 Jun, petang tu aku pergi hantar sepupu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), nak balik Singapore. Balik dari situ drive sorang la. Nak dijadikan cerita, kat MRR2 sebelum sampai Pandan Perdana, tiba-tiba sendi-sendi rasa bisa sangat, kepala,dada,perut dan kaki rasa sakit mencucuk-cucuk dalam masa yang sama. Nak tekan pedal pun tak rasa kaki ni. Nasib baik tak bawak laju, sempat la stop kat exit Pandan Perdana. Nasib baik juga bawa ubat. Dah rasa lega sikit, aku sambung drive ke Tesco Ampang, rasanya orang bawak basikal lagi laju dari aku yang bawak kereta masa tu. Park kat Tesco, lelapkan mata dalam sejam lebih. Dah betul-betul ok baru aku balik rumah. Sempat sms Ros, just in case aku tak sedar langsung.

Ya Allah, itulah kali pertama sakit tu datang  masa tengah drive, syukur tak accident. Belum masanya aku dijemput Tuhan. Sebelum cuti sekolah lagi aku dah mula rasa tak best tengah drive. Kadang-kadang macam black out jap, mata pun dah makin rabun ni. Tu yang terpaksa susahkan adik dan Ros hantar aku pergi dan balik sekolah. Tapi dah berazam lepas cuti ni nak kurangkan menyusahkan orang. Moga-moga Allah beri kekuatan.

Esoknya tu pergi hospital, consult dengan doktor. Katanya sama ada kesan sampingan rawatan yang aku terima, atau kemungkinan besar sakit tu sendiri yang menyerang. Tapi aku perasan, lepas kena serangan tu, 5 hari aku sakit kepala yang hanya kurang kalau ambil ubat. Masa sujudlah yang paling sakit, rasa berdenyut-denyut sampai ke bahu. 2 hari lepas paha dan lengan dah lebam-lebam semula. Bangun pagi tadi hidung berdarah. Makin teruk ke aku ni? Takut nak tanya doktor. Tak sedia nak dengar berita-berita kurang enak buat masa ni. Agaknya aku penat sangat. Sejak mula sekolah, dah mula sibuk untuk Temasya Sukan hari Sabtu ni. Kesibukan tu buat aku lupa kejap pada kesakitan. Dah janji juga pada diri, kalau boleh tak nak jadikan semua tu alasan untuk aku 'excuse'kan diri dari kerja-kerja aku. Tapi bukanlah sampai tak sayang nyawa sendiri. Buat habis baik..

Minggu lepas pun macam-macam berlaku kat sekolah. Masih cuba menyesuaikan diri dengan perubahan besar-besaran yang dibuat. Inilah kelemahannya bila kita terlalu selesa dengan sesuatu keadaan, kadang-kadang kita susah nak berhijrah. Aku cuba tanam dalam fikiran dan mendidik hati, everything will coming up roses. Jarang aku lepaskan marah tak tentu pasal dengan orang, tapi hari tu memang tak mampu nak tahan. Bila sesuatu perkara tu dibuat tergesa-gesa, dan tak meminta pandangan semua, itulah jadinya.. mesti ada yang tak puas hati. Memang la dalam sesuatu organisasi, kita takkan mampu puaskan hati semua orang. Tapi sekurang-kurangnya untuk berlaku adil dan bertindak profesional, seharusnya pendapat semua orang dinilai dulu, baru buat keputusan. Tapi tak apalah, benda dah jadi pun. Aku kena cari hikmahnya, ambik yang baik-baik je. Tak ada gunanya lawan perkara yang kita tak boleh menang. Lawan api dengan api, akhirnya kita pun akan jadi abu.

Minggu ni satu lagi minggu yang memenatkan, lebih terasa penatnya bagi orang macam aku. Ya Allah, beri aku kekuatan untuk menyempurnakan amanah-amanahku,supaya orang lain sentiasa senang bekerja denganku. Bantulah aku memudahkan hidup orang lain, mudah-mudahan Kau mudahkan juga jalan hidupku. Berikan aku ketabahan dan kesabaran melawan kesakitan, moga-moga Kau hapuskan sedikit demi sedikit dosa-dosaku dan Kau tambahkan keimananku padaMu. Amin..

Thursday 9 June 2011

Tentang 'Masa Depan Kita'

I love someone. Deeply in love with that someone. Tapi cinta kami bukan cinta biasa, tak mudah dan indah macam sepatutnya kisah cinta yang selalu kita dengar. Cinta kami tak boleh pergi jauh. Cinta kami tak ada masa depan. Kadang-kadang aku rasa semua ni akan jadi lebih mudah kalau aku dapat benci dia dan dia pun menyampah kat aku. Tapi kami tak ada alasan untuk itu, yang ada cuma halangan untuk bersatu.

"Awak..satu hari nanti, saya harap awak jumpa blog saya  ni, dapat baca isi hati saya. Cinta je tak cukup kalau tanpa restu. Awak lelaki yang baik, you deserve someone better. Betul kata nenek awak, selagi awak dengan saya, awak tak nampak pilihan yang ada depan mata awak.

Sampai bila kita nak berpura-pura yang keadaan akan jadi lebih baik. Sepanjang cuti ni saya penat buat alasan untuk mengelak berjumpa awak. Saya tahu awak takkan putus asa, tapi cukup-cukuplah begini, awak. Jangan buat saya rasa berdosa lagi. Masa depan awak bukan dengan saya.. 

Bercinta dengan awak buat saya rasa sempurna, sampai kadang-kadang saya lupa kekurangan yang ada pada saya. Kekurangan tu yang membataskan kita. Let me fight this battle alone so I won't have regrets if I don't survive this time. Ikut cakap orang tua, mudah-mudahan bertambah berkat hidup awak. Jangan risaukan saya. Selagi bernafas, saya tak akan berputus asa.

Someday when the pages of my life end, I know that you'll be one of its most beautiful chapters. If I get to read it, I will open it on the page that I met you. Jangan lupa, awak..bahagia tu ada dalam hati kita. Kalau kita cari bahagia selain daripada apa yang mampu kita rasai, kita ibarat mencari sesuatu yang bukan milik kita. Akhirnya kita akan menderita kerana yang ditakdirkan bukan milik kita itu tak akan pernah datang untuk kita miliki atau rasai. Bahagia awak bukan dengan saya.." 

Aku harap sangat dia akan faham dan terima, sebab aku tak mampu lagi terus-terusan melarikan diri. Andai ada jodoh kami, walau sekejap pun Tuhan akan satukan. Kalau dah tak ada jodoh tu, bermati-matian pun tak akan ada sudahnya. Pada Tuhan aku sandarkan harapan..

Wednesday 8 June 2011

Tentang Kenangan

Ada waktu-waktunya, kenangan manis dan saat-saat yang indah dengan orang yang kita kasih dan sayang boleh bikin hati jadi gila. Sekejap kita senyum mengenangkan hadirnya detik-detik tu, lepas tu kita sedih bila sedar kenangan tu takkan datang dua kali dalam hidup kita. 

Maka aku putuskan untuk begini..andaikan saja kenangan tu ibarat sebiji epal merah yang manis dan rangup. Mulanya rasa sayang nak makan, sebab takut ia akan hilang dari pandangan mata. Tapi kalau kita biarkan epal tu terletak cantik atas meja pun, lama-lama epal tu busuk tak boleh dimakan. Akhirnya dibuang begitu je kan..

Apa kata kita ambil epal yang best tu..gigit, kunyah dan telan perlahan-lahan, supaya epal tu akan jadi sebahagian daripada diri kita, yang bisa dibawa ke hujung nyawa.. Begitulah halnya dengan kenangan. Kenapa nak dibuang kalau boleh disimpan. Cantik kerja Tuhan kan..

PADA WAKTU-WAKTU

 Kegembiraan, selamat bertemu
Silalah berkembang
Di penjuru bibirku
Pada waktu-waktu duka
Menjadikan aku terlalu kecil
Di bawah kemampuan

Kedukaan, selamat bertemu
Silalah bertakung
Di sudut mataku
Pada waktu-waktu gembira
Membawa aku keluar
Terlalu jauh dari asal diri

Terima kasih, gembira
Terima kasih, duka
Kerana singgah
Pada waktu-waktumu
Dalam giliran
Hingga aku cukup kenal
Warna mendung dan cerah
Atas lukisan hidupku
Yang belum sudah...

Akhirnya Dia Berjaya...

Alhamdulillah, hari ini seorang sahabat yang banyak tolong aku, antara yang rapat dengan aku akhir-akhir ni berjaya menghantar projek terakhir untuk program Masternya. Nampak sangat wajah kepuasan dia yang penuh ceria tu. Mungkin nak reward diri dia sendiri, kami pergi makan McD dan tengok wayang lagi.. X-Men: First Class. Badan masih rasa tak selesa sebenarnya, tapi kawan punya pasal, layan jugalah. Seronok tengok dia bahagia, tumpang gembira raikan kejayaan dia.

Masa makan tadi, dia ajak aku sambung belajar lagi tahun depan. Kalaulah aku mampu berikan jawapan 'Ya!'. Tapi aku tak berani janji apa-apa. Aku suka belajar dan memang harapan aku nak belajar lagi, tapi aku juga kena berpijak di bumi nyata. Buat masa ni bukan itu keutamaan aku. Tapi insyaAllah, bila keadaan pulih seperti biasa, aku akan teruskan impian tu.

Aku dah janji nak belikan sahabat aku ni bear konvo yang kami sama-sama tengok kat Times Square dulu. Bukan cantik pun bear tu, bertampal sana sini. Tapi sebab nak menunjukkan betapa lamanya aku tunggu dia habis belajar sebab nak bagi hadiah, konon-konon sampai bear tu pun buruk la jadinya, compang-camping. Tapi tetap pakai mortar board kat kepala tu. Kali terakhir aku check dengan adik aku, bear tu masih ada kat kedai tu. Harap-harap sampai dia konvo nanti ada lagi la bear tu di sana. Harap-harap juga ada kesempatan untuk aku hadiahkan sendiri kat dia.

Tahniah, Ros. aku doakan kau terus berjaya. Gantungkan azam dan semangatmu setinggi langit, dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan. Untuk dilihat perlu berdiri, untuk didengar perlu bercakap, dan untuk dihargai, kita buat yang terbaik. You've done your best so far, and I know you can do better. I'm happy for you. Yakinlah, apabila orang lain berasa gembira kerana kegembiraan kita, maka berlipat gandalah rasanya kegembiraan itu. Kita tak mungkin dapat gembirakan seisi dunia. Cukuplah kalau kita dapat buat orang tua kita bahagia dengan kejayaan kita.

Don't take life too serious. You'll never escape it alive anyway - Elbert Hubbard

 

Monday 6 June 2011

Tentang Harapan

H.A.R.A.P.A.N... 7 biji huruf yang sedap disebut, tapi belum tentu indah maknanya. Biasanya kita letak harapan untuk sesuatu yang mampu memberikan hasil. Tapi ada orang berani meletak harapan pada sesuatu yang dia sendiri tahu tak mungkin menjadi. Bukan menidakkan ketentuan Tuhan, mungkin nak memujuk hati sendiri.

Akhir-akhir ni aku banyak bermain dengan harapan. Bermain bukan untuk menang, cuma nak cari kekuatan. Kadang-kadang dalam keadaan semua yang kita buat tak berpihak pada kita, kita masih selitkan sedikit harapan tu, moga-moga ada takdir menyebelahi kita.

Tapi harapan kena seiring dengan usaha. Kalau kita harap nak berlari jauh, kena ada sepasang kaki yang kuat. Burung pun kalau nak terbang lebih tinggi dari kebiasaannya, kena ada sepasang sayap yang kuat juga. Tak guna kita harap untuk jadi kaya, kalau mengharap rezeki datang depan mata. Tak ada makna juga kita harap untuk masuk syurga, kalau amalan kita kat dunia ni macam ahli neraka kan? Jadi, balik pada asalnya, harapan tu biarlah sepadan dengan usaha.

Aku nak hidup lama, itu salah satu harapan aku sekarang ni. Bunyi macam tak ingat mati je kan? Aku bukan nak menongkat dunia, tapi ada banyak perkara yang aku perlu selesaikan. Dan sekarang aku rasa masa dah makin pendek, peluang dah makin kecik. Sebab tu lah kalau aku tak mengharap untuk hidup lama, mana lagi aku nak dapatkan kekuatan untuk mengharungi semua ni.

Semua ni mudah sebenarnya kalau aku macam orang lain. Aku tak mampu jadi macam kalian. Aku temukan kekuatan, semangat dan keyakinan menerusi ketakutan dan kesakitan yang dirasai dalam setiap pengalaman yang dilalui. Dan kerana aku yakin, we always have a choice, no matter how tough making it might be, aku memilih untuk terus berharap..

Apa pun yang akan aku lakukan untuk hidup dan masa depan aku, semuanya dah aku putuskan dalam sujud yang panjang. Mungkin jalan yang aku pilih ni nanti sukar, tapi aku yakin ada cahaya juga di hujungnya. Aku tak minta sesiapa pun untuk cuba memahami, sebab ada beberapa perkara dalam hidup kita ni yang tak dapat difahami, tapi hanya dapat dirasai hati. Pinjam sikit kata-kata Shakespeare, "Orang yang sengsara tiada lain ubatnya hanya harapan". 

Orang yang paling dekat dengan bahagia, adalah orang yang percaya harapan sentiasa ada..

Monday Blues

Buat kawan-kawan yang seharian kerja dalam pejabat, tambah-tambah pulak hari ni Isnin, rasa lambat je masa tu berlalu kan.. Ni ada satu kerja tak berfaedah yang boleh dicuba masa break, tapi risiko tanggung sendiri la ye. Modal tak banyak, duit kertas sekeping je. Jom cuba!


Paku di Dinding Hatimu..

Ini kisah seorang pemuda yang sangat pemarah. Dia tak dapat mengawal kemarahannya walaupun kerana satu masalah yang kecil je. Suatu hari, Abah dia hadiahkan pemuda tu dengan seguni paku.
"Nak buat apa dengan paku-paku ni, Abah?" tanya pemuda tu.
"Setiap kali kau marah, kau pakulah tembok batu di hadapan rumah kita ni bagi melepaskan kemarahanmu," jawab Abahnya.

Pada hari pertama je, pemuda tu telah memaku sebanyak 37 batang paku pada tembok batu tersebut. Selepas beberapa minggu, setelah dia dapat mengurangkan kemarahannya, jumlah paku yang digunakan juga berkurangan. Dia mendapati, adalah lebih mudah mengawal kemarahannya daripada memukul paku menembusi tembok batu tersebut.

Akhirnya, tibalah pada suatu hari, di mana pemuda tersebut tidak marah, walau sekali pun. Dia pun pergilah memberitahu Abahnya tentang perkara tu dengan perasaan gembira. Abahnya mengucapkan tahniah dan menyuruh dia mencabut semula paku-paku tu satu persatu, pada setiap hari yang dia dapat lalui tanpa kemarahan.

Hari berganti hari, akhirnya pemuda tu berjaya mencabut kesemua paku tersebut. Dia pun lantas memberitahu Abahnya dengan bangganya. Abahnya lantas memimpin tangannya ke tembok tersebut dan berkata:

"Kau telah melakukannya dengan baik, anakku. Tapi lihatlah kesan lubang-lubang di dinding batu ini. Tembok ni tidak kelihatan sama lagi seperti sebelumnya. Bila kau menyatakan sesuatu, atau melakukan sesuatu ketika marah, ianya akan meninggalkkan kesan parut dan luka, sama seperti ini. Kau boleh menikam seseorang dengan pisau dan membunuhnya. Tapi ingatlah, walau berapa kali pun kau memohon maaf dan menyesal atas perbuatanmu, lukanya masih tetap ada. Luka di hati lebih pedih daripada luka yang nampak di mata". 

Aku terima cerita ni melalui e-mail dua tahun yang lepas. Mengesankan, dan aku ingat sampai hari ni. Speak when you are angry, and you'll make the best speech you'll ever regret. Buat kawan-kawan, maafkan aku sekiranya aku ada meninggalkan kesan-kesan berlubang di dinding hati kalian..

Sunday 5 June 2011

Pagi Minggu Yang Mendung..

Hari Ahad..hari yang ramai orang nak bangun lewat. Mendung dan berangin cuaca pagi ni. Malam tadi, seperti malam-malam sebelumnya seminggu ni, tidurku terganggu lagi, kerana batuk yang tak kurang-kurang. Mujur demam dah hilang. Nak ziarah kubur Abah,hari nak hujan. Mama pun masih kat Singapore..rindu la pulak nak sakat mama,loyar buruk dengan mama. Sementara adik-adik tidur lagi,suratkhabar pun tak sampai lagi ni, elok la catatkan sesuatu untuk ingatan diri sendiri..

Hmm..ada seminggu lagi cuti sekolah. Badan tak sihat, tak dapat la nak ke mana-mana, lasak-lasak sangat. Tu la, Rabu lepas buat benda mengarut sampai lupa diri..sudahnya badan yang menanggung ni ha.. Tuhan nak tarik nikmat hidup dari kita,sekejap je. Diambilnya sikit-sikit. Tekak dah tak merasa,kepala pun berat je. Sabarlah,diri..orang lain tu Allah uji lebih hebat lagi.

Baki cuti yang ada,aku harap dapat siapkan kerja-kerja yang sepatutnya aku bereskan sebelum buka sekolah. Harap-harap sihat la lepas cuti ni. Kesian anak-anak aku kat sekolah tu. Tapi kita cuma mampu merancang,berusaha dan berdoa. Apa yang Allah dah tentukan untuk kita 5 minit dari sekarang pun kita tak tahu kan..ini pulak yang depan-depan. Sebab tu mudah kita nak kira dah berapa tahun umur yang kita pakai, tapi takkan dapat hitung berapa lama lagi baki yang tinggal kan. Memang cantik kerja Tuhan..

"Aku tahu rezekiku tak mungkin diambil orang lain. Kerananya hatiku tenang. Aku tahu amal-amalku tak mungkin dilakukan orang lain. Maka aku sibukkan diriku untuk beramal. Aku tahu Allah selalu melihatku. Kerananya aku malu bila Allah mendapatiku melakukan maksiat. Aku tahu kematian menantiku. Maka ku persiapkan bekal untuk berjumpa dengan Rabbku".
(Hasan al-Basri)

Saturday 4 June 2011

Sahabat Yang Hilang..

Kenal siapa Charles Hanson Towne? Lahir 1877, meninggal dunia 1949. Aku pun tak pernah jumpa dia, tapi aku baca karya-karyanya. Seorang penyair, penulis, editor dan selebriti popular kat New York masa zamannya. Tak nak cerita banyak pasal dia pun, cuma nak berkongsi salah satu sajak dia yang paling aku suka. Kenapa aku suka? Sebab sajak ni mengingatkan aku pada kawan-kawan yang jauh aku tinggalkan, tapi tak pernah aku lupakan. Ingatan pada sebuah perhubungan tak pernah padam, walau jarak yang menjauhkan. Hati yang sentiasa hampir sering mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan. Semoga Allah jualah yang menjalinkan hati-hati yang merindu..

AROUND THE CORNER

Around the corner I have a friend,
In this great city that has no end,
Yet days go by, and weeks rush on,
And before I know it, a year is gone.

And I never see my old friend's face,
For life is a swift and terrible race,
He knows I like him just as well,
As in the days when I rang his bell.

And he rang mine but we were younger then,
And now we are busy, tired men,
Tired of playing a foolish game,
Tired of trying to make a name.

"Tomorrow," I say, "I will call on Jim,
Just to show that I am thinking of him".
But tomorrow comes and tomorrow goes,
And the distance between us grows and grows.

Around the corner, yet miles away,
"Here's a telegram, sir", 'Jim died today'.
And that's what we get and deserve in the end:
Around the corner, a vanished friend..

Subuh Yang Indah..

Alhamdulillah..subuh ini aku bernafas lagi. Waktu paling tenang dan mendamaikan,walaupun ada waktu-waktunya terpaksa bangkit dalam kepayahan. Paling best time ni saat masih mampu menyelak helaian-helaian kalimah Allah,dibaca penuh tertib dan tartil. Waktu ni jugalah yang selalu aku gunakan untuk membaca buku-buku yang aku suka. Solat..mohon pada Allah yang baik-baik sahaja untuk abah,mama dan adik-adik,keluarga,sahabat,kawan dan teman,guru-guruku,dan akhirnya untuk diri sendiri. Maka benarlah hanya dengan mengingati Allah, hati kan tenang.

Benda baru ni pada aku. Kelakar,tak pernah aku on broadband pagi-pagi buta macam ni,siap menulis isi hati lagi tu. This is a good start for me,belajar berkongsi rasa dengan sesuatu atau seseorang. Takkan mampu kita ni nak simpan semua sorang-sorang..Kejap lagi langit mula cerah. Macam kelakar je kalau aku cakap nak tengok dan menikmati matahari terbit kat celah-celah bangunan, tengah-tengah KL ni kan..Tapi kerja Tuhan,mana-mana pun tetap nampak cantik.

Ada orang suka tengok matahari terbit, ada suka tengok matahari terbenam. Aku? Aku bahagia tengok matahari terbit,datang bawa cahaya,bawa harapan. Bila tengok matahari terbenam,rasa dalam hati ada taman..syahdu,sedih,sayu,rasa macam cahaya dan harapan tu dibawa pergi kejap. Macam-macam warna langit,hanya dalam dua waktu berbeza. Hidup kita pun begitu..

"Hidup adalah pilihan kita. Cari kekuatan untuk diwarnakan seindahnya".
-Dato' Ibrahim Hussein

Tentang Blog Ni..

Aku tak pernah terfikir nak create blog. Memang aku suka mencatat setiap ilmu yang aku nampak, dengar dan baca dalam nota-nota kecilku yang berkotak tu. Tapi tak pernah pulak terfikir nak berkongsi apa yang aku rasa, fikir dan harap dalam ruangan sebegini. Sebab aku bukan jenis manusia yang menyimpan diari dan menulis cerita tentang diri sendiri. Tapi hari ni,secara tepatnya pagi tadi, aku dicadangkan untuk mula menulis sesuatu tentang aku. "It's a good therapy if  you write something about yourself and how you feel in a form of a diary/journal". Aku pun tanya balik, "Is it a therapy or some kind of legacy you want me to leave behind? Because I'm not that kind of person". Tapi akhirnya aku mengalah bila dia mintak aku cuba untuk sehari dan bagitau dia apa aku rasa lepas sehari tu.

So here I am, dalam ruang yang aku sendiri tak sangka. Yalah, nak beli diari kat kedai buku tengah-tengah tahun ni, macam kelakar pulak. Lagi pun tak larat nak outing ke mana-mana dalam keadaan yang tak berapa mengizinkan ni. Balik rumah, bukak internet, teringat pulak dalam 2 bulan lepas macam pernah tolong sorang kawan pilih-pilih design dan bahan untuk blog dia,gatal tangan sekali sign up kat Blogger ni . Kiranya ni konon nak mencabar diri sendiri la ni,walaupun tak berapa reti dan minat,within few hours I came up with 3 posts. Rasa kagum dengan sendiri jap, Facebook pun aku tak ambil kisah nak join selama ni,tetiba ada blog pulak. A very simple and humble blog for a beginner like me. Tak apalah,aku buat semua ni pun untuk diri aku, kalau ada orang yang terjumpa dan sudi baca, it's a bonus for me. 

Setakat ni aku belum rasa apa yang dia harap aku akan rasa. Yang ada cuma rasa letih,mengantuk dan batuk yang tak kurang-kurang. But I hope he's right. I hope I can feel something when I wake up tomorrow morning. At the end of the day, I have to admit, this is worth trying for. Until then, adios!

Friday 3 June 2011

Tentang Dawai Kokot


Konon-konon nama samaran aku la ni. Tapi sebenarnya ada cerita di sebaliknya..cerita yang memalukan diri sendiri,tapi aku tak malu nak mengakuinya. Ringkasnya begini; dah lebih 30 tahun hidup,berbelas tahun belajar dan bertahun-tahun pulak mengajar, baru tahun lepas aku tahu apa itu DAWAI KOKOT.

Rupa-rupanya yang orang selalu sebut 'ubat stapler' atau 'bullet stapler' tu dalam bahasa kebangsaan kita ialah dawai kokot. Masa mula-mula dengar perkataan ni, mati-mati aku ingat dawai kokot tu yang orang dok buat pagar keliling rumah tu. Mujurlah kawan aku, seorang cikgu BM dari Sabah melepaskan aku dari kejahilan ni. Mujur jugalah aku tak ditakdirkan Allah menjadi cikgu BM. Sesat anak murid aku nanti..

Malunya pada diri sendiri..tapi tu lah, cantik kerja Tuhan kan..kita rasa kita dah tau banyak benda, tapi ada benda-benda kecil yang kita selalu terlepas pandang. Bila baca buku-buku dalam Bahasa Inggeris, aku sentiasa letak kamus tepi aku. Tak pernah pulak aku nak buat macam tu bila baca buku Bahasa Melayu..faham tak bermakna tahu semua kan?

Mulai dari hari aku tahu apa makna dawai kokot tu, Bluetooth device kat henpon aku pun aku letak nama 'Dawai Kokot'. Supaya setiap kali menyebutnya, aku akan ingat kealpaan aku pada benda-benda kecik begini. Terima kasih Rohani, atas ilmu yang bermanfaat ni. Pengajaran untuk aku..Jangan ambil mudah perkara yang remeh pada pandangan kita..

Tentang Memilih Sahabat


Al-Qamah, sahabat Rasulullah s.a.w, mengajak puteranya pada suatu hari untuk memberi nasihat dan panduan dalam memilih sahabat. Kata al-Qamah; Wahai Anakku!  Kiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau pilih orang yang sifatnya seperti berikut:
  • Jika kau membuat bakti kepadanya, dia akan melindungimu
  • Jika kau merapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu
  • Jika kau memerlukan pertolongan daripadanya, dia akan membantumu
  • Jika kau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik
  • Jika dia mendapat sesuatu bantuan daripadamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu
  • Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, dia akan menutupnya
  • Jika kau meminta sesuatu daripadanya, dia akan mengusahakannya
  • Jika kau berdiam diri (kerana malu meminta), dia akan menanyakan kesusahanmu
  • Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahanmu
  • Jika kau berkata kepadanya, dia akan membenarkanmu
  • Jika kau merancang sesuatu, dia akan membantumu
  • Jika kau berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah demi menjaga kepentingan persahabatan kamu.
Sahabat..jika hari ini aku terlalu gembira, sedarkanlah aku dengan amaran-amaran Allah. Jika aku bersedih tanpa kata, pujuklah aku dengan tarbiah Pencipta. Jika aku lemah tak berdaya, ingatkanlah aku dengan kehebatan syurga. Jika antara kita ada tembok yang memisahkan, ajaklah aku meleraikannya segera. Jika pernah hatimu terluka, luahkanlah agar aku berubah. Dan jika esok lenaku tanpa terjaga, iringlah lenaku itu dengan kalungan doa. Kerana aku manusia biasa yang selalu percaya, di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya SAHABAT..

Assalamualaikum...

Dengan nama Allah Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.. Tertibnya, sebagai pengenalan seharusnya aku mengenalkan diri. Tapi aku cuma orang biasa-biasa,yang akan cukup gembira kalau suara hati ini dapat dikongsi dengan tetamu-tetamu yang sudi singgah ke blog ni..jenguklah sekali-sekala, kalaupun tidak meninggalkan jejak.

Apa yang akan tertulis seterusnya selepas ni, semuanya dalam perancangan Allah. Nak cuba melihat kehidupan dari sudut berbeza azamnya. Ada sebab kenapa Allah terbitkan matahari pada waktu pagi, cahayakan bulan pada waktu malam, munculkan pelangi selepas hujan. Mungkin kita tak peduli semua tu, tapi ada orang lain di sudut dunia ni amat perlukan cahaya tu untuk teruskan harapan. Apa yang biasa pada kita, kadang-kadang sangat indah pada mata orang lain. Dan aku percaya, ada waktu-waktunya kita lebih perlukan sedikit harapan dari sepinggan makanan untuk teruskan kehidupan.

Well, sekurang-kurangnya aku harap di sini nanti dapat ku temukan harapan untuk diri sendiri. Cantik kerja Tuhan kan..