Pages

Subscribe:

Labels

Saturday 28 January 2012

Hafalan Shalat Delisa

"Bacaan solat yang sempurna. Lulus!"

Dah tengok filem ni? Ada kat Astro First sekarang. Thanks to a friend who suggested me to watch this movie. Jujurnya, aku lebih suka Laskar Pelangi. Tapi ini pun berbaloi untuk ditonton. Kisah anak kecil yang berdepan trauma kehilangan ahli keluarganya. Tentang kasih sayang Ummi dan Abinya. Serta bagaimana sebuah bencana menyatukan hati-hati yang bersisa seperti sebuah keluarga. Semuanya tentang keikhlasan. Adakah kita ikhlas menerima ujian daripada Allah? Adakah kita ikhlas merelakan kehilangan insan-insan yang kita kasihi? Adakah kita ikhlas beribadah selama ini?

Seperti jawapan Ustaz Rahman terhadap pertanyaan Delisa, kenapa begitu susah untuknya menghafal bacaan dalam solat:

"Orang yang susah melakukan sesuatu itu kerana hatinya tidak ikhlas. Melakukannya bukan kerana Allah. Tapi kerana hadiah, hadiah, hadiah".

Itu yang terjadi kepada Delisa apabila pada akhirnya ditemukan erti keikhlasan itu. Apabila dia sedar akhirnya dia tidak mahukan kalung itu, tapi hanya mahu solat dengan baik. Supaya dapat berdoa untuk Ummi dan kakak-kakaknya, Tiur sahabatnya, serta insan-insan lain yang telah mendahuluinya. Juga akhirnya dia ikhlas melepaskan ibunya dan menerima hakikat yang bawa Umminya pergi itu bukan pantai, tapi cubaan daripada Allah.

"Walaupun tak ada, kita mesti tetap berusaha. Jangan menyerah".

Pengajaran berguna untuk aku. Yang ada waktu-waktunya kerap mengeluh dan hampir mengalah. Selalu  minta dikurangkan ujianNya ke atas aku. Sedangkan seharusnya aku minta pada Allah supaya ditambahkan iman untuk berdepan ujian itu. Lupa bahawa Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Sesungguhnya keikhlasan itu urusan kita dengan Allah. Hanya Dia yang tahu..

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa Mama dan Abahku, serta memelihara keduanya ketika hidup dan sesudah mati. Mampukah kita menyayangi mereka seperti mereka menyayangi kita sejak kecil? Sama banyakkah doa kita terhadap orang tua kita, seperti mana mereka mendoakan kita? Semoga masih ada waktu untuk aku membahagiakan Mama dan mendoakan Abah..amin. Dan aku berharap doa Mama sentiasa mengalir di setiap nafasku..
 

Lagu Ibu - Rafly (OST filem ini)

Friday 27 January 2012

Sepi Itu.....(sila isi tempat kosong)


Catatan beberapa hari lepas, waktu malam sepi, dari katil hospital. Cuma yang kedengaran sekali-sekala bunyi beep daripada infusion pump aku. Katil sebelah yang kosong menambahkan lagi sunyi bila waktu melawat habis. Tapi aku suka juga sesekali begitu. Being alone doesn't have to mean being lonely. Check-in hospital yang pertama untuk tahun ini:

"Akhirnya semalam aku mengalah pada keadaan diri. Letak tepi kedegilan tak nak duduk wad selama ini. Nak angkat jari pun rasa tak larat. Masuk ubat tahan sakit, tahanlah untuk beberapa ketika. Sempat la balas beberapa sms dan jamah sedikit rezeki. Lepas tu layu balik. Maka jalan selamatnya, duduk wad. 4 jam sekali nurse bagi ubat anti-nausea. Janji doktor sekurang-kurangnya sampai BP aku stabil, degup jantung kembali sekata dan demam aku kebah, baru boleh balik rumah. Alhamdulillah, everything is coming up roses. Semoga aku dapat bertahan sampai habis cycle ni.

Mata tak boleh lelap, walaupun seluruh badan yang terasa sakit ni minta sangat untuk direhatkan. Dah cuba kosongkan fikiran, jangan fikir banyak-banyak. Puas juga berzikir yang mudah-mudah, dengan harapan akan terlena. Sudahnya nota kecil ini jugalah senjata terakhir aku untuk melelapkan mata. Harap-harap akan bosan dengan ayat sendiri. Harap-harap juga mata yang makin layu ni bertambah layu bila melihat tulisan aku yang semakin hodoh. Menulis dalam kepayahan..

Waktu-waktu beginilah aku sangat rindukan Abah. Sangat perlukan healing words Abah. Sangat rindu nak main-main cuping telinga Abah. Sangat rindu baca buku sambil dengar muzik Chopin dengan Abah. Sangat rindu kalah main chess dengan Abah. Dan sangat rindu untuk bersandar di bahu Abah. Barangkali anak Abah ni bakal melalui hari-hari akhirnya seperti Abah juga..kerana aku mewarisi penyakit yang sama. Kalau begitu takdirnya nanti, maka tertunailah hasrat yang selalu aku suarakan pada Abah setiap kali dia bertanya aku  nak jadi apa masa sekolah dulu: "Along nak jadi macam Abah!"  

Siang tadi aku melihat lagi medical timeline aku. Dari mula diagnosis relapse, hinggalah infusion ketiga semalam. Dan untuk yang entah ke berapa kalinya, aku tanyakan lagi prognosis aku, dengan harapan akan ada perubahan positif pada jangkaan mereka. Kadang-kadang aku lebih rela mendengar harapan palsu daripada kebenaran yang sangat menyakitkan. Kalau pun tak dapat melihat harapan itu, sekurang-kurangnya biarlah aku dapat merasa bahawa harapan masih ada. I'm ready to die..but I could live in hope.

Elok juga sebenarnya sekali-sekala bersendiri dalam sepi begini. Muhasabah dan muraqabah. Menginsafi diri dan merasakan kebesaran Allah. Mudah-mudahan terbuka jalan menuju taqwa. Bernafas dalam doa dan mendengar degup jantung sendiri..supaya lebih menghargai satu jasad dan satu roh yang Allah pinjamkan kepada aku. Kerana aku tak tahu bila pula sampai masanya nanti aku akan terlantar terus dan tak mampu lagi untuk bercerita sebegini.

Petang tadi juga aku sempat bertanyakan tentang status aku sebagai penderma organ. Nampaknya kena refer semula ke Pusat Sumber Transplan Nasional, sebab menurut doktor, seseorang itu akan terhalang untuk mendermakan organ-organnya apabila didapati menghidap penyakit kanser, kecuali kanser otak. Will update later..zzzz".

Akhirnya terlena juga..

Aku berdoa ini chemo cycle terakhir aku. Kalau boleh tak nak dicucuk lagi. Tak nak masuk ke bilik tu lagi. Tak nak tersandar di kerusi tu lagi. Tapi kalau ini sahaja caranya untuk terus bertahan, nak buat macam mana kan..terima. Ya Allah, aku tahu Kau Maha Mendengar. Kerana itu aku tak akan putus berdoa. Teguhkan imanku hingga ke akhirnya..

Update: My last two chemo sessions will be on Cisplatin only. The other two drugs seem to have affected the heart (arrhythmia). The liver is mildly enlarged in size too. And I had my first platelet transfusion this morning, due to the very low platelet count. Will explain about these medical terms later.



Monday 23 January 2012

My Other Friends...

Catatan khas buat teman-teman rapat berbangsa Cina:

Lima tahun berada di Pahang, aku temukan satu ikatan persahabatan yang cukup bermakna dengan mereka. Tinggal dalam lingkungan kehidupan mereka dan mendidik anak-anak bangsa mereka memberi aku pengalaman yang sangat berharga. Dan semalam, dalam kepayahan, aku ceriakan juga suara untuk berbual panjang dengan mereka di telefon.


Ong ML masih banyak cakap seperti dulu. Masih konsisten bersenam dan sangat-sangat menjaga kesihatan semua orang di sekelilingnya. Kerana dialah aku gagahkan diri daki bukit berhampiran sekolah kami hampir setiap petang Isnin dan Khamis. Juga setiap waktu subuh pada hujung minggu yang aku tak dapat balik ke KL masa tu. Setiap kali aku tak sihat, bekalan Wong Lo Kat dan teh herba sentiasa ada atas meja aku di bilik guru. Fever friendly. Perkataan yang sangat suka dibebelkan kepada aku. Rasa macam ada kakak, lain mak dan lain bapak je..


Chua HC in contrary, the Fast Food Queen among us. Kawan aku jalan-jalan cari makan masa tu. Kawan yang sanggup bawa aku ke Pasar Ramadhan Temerloh hampir setiap petang, semata-mata untuk memenuhi selera dia. Beli kalah orang yang berpuasa. Sanggup datang tidur rumah aku, semata-mata nak habiskan tengok cerita Korea dan siapkan tanglung sama-sama. Begitu juga dengan Long SY yang sabar mengajar aku bahasa Mandarin. Ucapan perpisahan aku masa hari terakhir di sana yang sepenuhnya dalam bahasa Mandarin takkan jadi nyata kalau bukan kerana dia. Kalau aku masih di sana, mungkin sekarang aku juga boleh menulis dalam bahasa yang menjadi bahasa paling banyak digunakan di dunia itu. Sayang..

Tidak lupa kepada Teng SC, Ong SY, Cikgu Lee, Cikgu Liew dan Cikgu Wong yang selalu buat aku rasa gembira dan selesa selama berada di sana. Berkawan dengan mereka menjadikan aku lebih terbuka dengan perbezaan budaya. Mereka juga lebih sensitif terhadap tuntutan agama yang mesti aku penuhi. Lebih memahami soal halal haram dan keperluan ibadah aku. Dan aku sangat berharap persahabatan ini akan terus terjalin hingga ke hujung nyawa. 

Tahun ini Tahun Naga. Satu-satunya haiwan mistik dalam kalendar Cina. Tahun yang menjanjikan tuah dan kekayaan mengikut kepercayaan mereka. Wishing you luck and strength in the Year of the Dragon. Terima kasih kerana masih mengambil berat perkembangan kehidupan aku. Satu bab dalam hidup aku dihabiskan bersama kalian. Mana mungkin akan dilupa, hanya boleh dibawa mati.

Our favourite song..

Sunday 15 January 2012

Sakit Tak?

AMARAN:
Kandungan post ini mungkin akan buat mereka yang baru nak buat chemo rasa cuak. Tapi niatku bukanlah untuk menakutkan. Ini pengalaman aku. Sekadar menjawab pertanyaan mereka yang ingin tahu. Harap maklum.

Macam mana rasanya masa buat chemo?

Orang selalu tanya soalan tu masa kita tengah melalui hari-hari teruk dengan rawatan kemoterapi. Susah nak terangkan dengan kata-kata. Apa yang terlihat pada fizikal kita cuma sebahagian daripada keseluruhan rasa itu. Hakikat bahawa kita sentiasa dalam kesakitan sebenarnya sangat sukar untuk digambarkan, kerana kita biasanya dibantu dengan macam-macam ubat tahan sakit.

Kesan sampingan chemo lebih teruk dari kanser itu sendiri. Setuju, kan? Tanyalah pada mana-mana pesakit pun. Kanser, biasanya kita hanya tahu dan mengesan kesakitan itu bila penyakit kita dah semakin teruk. Ada orang yang dah sampai tahap akhir baru dia tahu yang dia ada kanser.

But chemo.. It invades every cell in your body by the end of it. Macam nak mati rasanya. Tapi ingin aku tegaskan, tak semua pesakit merasai kesakitan ini sepenuhnya. Ada sebilangan kecil pesakit kanser yang tidak terjejas dengan kesan sampingan chemo ini. Tak perlu ada perasaan macam nak duduk je dalam peti sejuk. Juga tak perlu risau rambut yang lebat semakin hari semakin jarang. Syukurlah kepada mereka yang tak perlu melalui kesengsaraan ini.


Sesi chemo biasanya ambil masa 2-4 jam. Ambil darah, berat badan dan lain-lain prosedur biasa, terus mulakan IV. They fill you with steroids, saline and Benedryl to get your body ready, then the chemo cocktail will take place. Permulaan proses infusion tu, tak rasa apa sangat. Lebih kurang sejam lepas tu, mulalah rasa nak ke tandas selalu. Mula-mula dulu terkejut tengok warna air kencing sendiri (yang melauinya pasti mengerti). Tapi sekarang dah biasa. Cirit-birit atau sembelit juga adalah gangguan perut yang akan selalu dialami nanti.

Tak lama lepas tu, mulalah rasa panas dalam badan. Rasa macam duduk dalam tempayan tandoori kat  kedai mamak tu (macam la aku pernah masuk dalam tempayan tu kan..). Perut pedih, dada rasa terbakar, naik ke tekak, terus ke muka. Kepala pun rasa macam ada orang tengah jerang air kat ubun-ubun aku ni. Kulit jadi sensitif. Kadang-kadang orang sentuh pun dah rasa sakit. Tekak perit dan mulut penuh ulcer. Rasa macam nak pergi Tutti Frutti je hari-hari..Even comfort food is not comforting anymore.

Tak selesa perut tu jangan ceritalah. Kadang-kadang rasa dicucuk-cucuk dengan pisau, kadang-kadang rasa senak, nafas pun terasa pendek. Belum kira lagi rasa pening dan loya. Kali ni doktor bagi ubat tahan muntah dengan dos yang kuat. Tapi aku tetap rasa macam berdiri atas perahu kecil di tengah laut dan dilambung ombak (banyak betul guna analogi hari ni..) Kadang-kadang tak rasa lapar pun walau tak makan seharian, sebab rasa sakit di seluruh badan dah menghilangkan rasa lapar itu.

Dan satu rasa yang paling ketara dirasai ialah keletihan yang melampau. Absolute exhaustion. Rasa macam baru lepas masuk pertandingan angkat berat kategori heavyweight kat Sukan Asia (macam la aku pernah masuk pertandingan angkat berat tu..) Tapi begitulah kot perasaannya. Kaki dan perut selalu cramp. Perkara-perkara kecil dan ringan yang tak jadi masalah suatu masa dulu pun dah terasa cukup melelahkan bila dibuat sekarang.

Tidur pun akan selalu terganggu. Orang yang sihat bila dah letih sangat biasanya akan tidur mati. Tapi keletihan akibat chemo tak menjamin kita akan tidur lena kerana kesan sampingan lain yang akan buat kita rasa sakit dan tak selesa. Itu belum masuk bab kesannya pada emosi. Hmm..mungkin akan mengguris hati orang-orang yang dekat dengan kita.

Buat mereka yang selalu bertanya pada aku, inilah yang aku rasa selama menjalani rawatan ini. Tapi sekali lagi aku tegaskan, kesannya tak sama pada setiap orang. Kebanyakannya mungkin akan mengalami apa yang aku jelaskan tadi. Sangat sukar untuk dibayangkan dengan kata-kata (tu yang merepek guna analogi bukan-bukan). Hanya yang merasai akan mengerti..

"Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu.."

Segenggam Tabah - Inteam

Tuesday 10 January 2012

Simpan di Sini Tangismu

Setahun lalu
Ini ruang harapanmu hampir setiap minggu
Selama setahun itu
Ini ruangnya untuk kau lepaskan lelah dan mimpimu
Di saat racun bertopengkan penawar
Menjalar perlahan di seluruh tubuhmu
Kau cengkam erat sakit dan bisa itu

Sangkamu dulu
Kau tak perlu kembali ke ruang ini
Tapi apalah dayamu
Sangkaan seorang manusia
Tak mampu melawan takdir Pencipta
Maka sampai nanti masa yang dijanjikan
Kau harus terima ketentuan Tuhan
Untuk kembali tersandar lesu mengharap keajaiban

Simpan di sini tangismu
Di sebalik tabir itu
Bersama harapan dan doa pilu
Kerana kau tak mungkin tahu
Sampai bila racun itu 
Mampu menongkat hayatmu di dunia ini

Simpanlah di sini tangismu 
Atau simpan dulu tangis itu
Jangan kau khabarkan kisahmu dengan airmata
Ceritakanlah semuanya pada Sang Pencipta

InsyaAllah akan ada jalannya..

Sunday 8 January 2012

Misi Mustahil

Semalam tengok MI4: Ghost Protocol dengan Ros. 'Jom Tengok Wayang' pertama kami tahun ni. Sangat berbaloi kalau dibandingkan dengan Ombak Rindu yang buat aku tertidur dua kali tu. Bila lagi agaknya karyawan filem kita dapat hasilkan cerita-cerita yang berbaloi untuk ditonton ye? Berbaloi keluar duit dan korban masa 2jam, serta tak rasa bodoh bila dah habis tengok. Baca dalam suratkhabar pagi tadi, tahun ni ada lebih kurang 45 filem Melayu bakal ditayangkan kepada umum. Tengok senarai genre filem-filem tu, kebanyakannya seram dan komedi. Yang lain genre cinta, aksi dan drama. Harap-harap ada la di antaranya nanti yang berbaloi untuk orang macam aku dan Ros pergi tengok. Hmm..masih ingat lagi bestnya cerita Matinya Seorang Patriot dan Anak Sarawak. Hebat pada zamannya. Jujur dan punya jatidiri. Bukan misi mustahil kalau graduan-graduan berbakat ASWARA dan produk hebat keluaran Lim Kok Wing dalam bidang creative multimedia tu diberi peluang dan dana, bergabung tenaga untuk menghasilkan sesuatu yang boleh kita banggakan. 

Hari ini pula birthday adik lelaki aku. Adik yang aku harap dapat menjaga keluarga kami bila sampai umurku nanti. We had our private lunch at one of Abah's favourite restaurant. Cuak tengok Mama makan dessert dengan banyaknya (balik je terus check gula dan BP dia). Jangan lupa yang Along sentiasa mendoakan yang terbaik untuk adik-adik Along. So proud to have you as my brother. Semoga panjang umurnya, murah rezekinya dan ditemukan jodohnya dengan insan yang dapat menerima keluarga aku seperti adanya. Kahwin tahun ni ke? Bukan misi mustahil kalau Allah mudahkan jalan..

Mentang-mentang la baru tengok Mission Impossible, asyik cakap pasal misi mustahil je. Tiada apa yang mustahil sebenarnya dalam hidup  ini. Cuma tafsiran kita yang kadang-kadang tidak dapat menerima sesuatu sebagai yang nyata. Kun fayakun. Kalau belum ajal kita, diuji hebat dengan kesakitan yang amat sangat pun masih mampu untuk bernafas. Kalau belum rezeki kita, bekerja keras siang malam pun masih belum bertemu senangnya. Kalau belum jodoh kita, bercinta separuh mati pun belum tentu bersatu hati kita dengan hatinya. Tapi kalau Tuhan mengatakan ya, maka ajal maut, jodoh pertemuan dan rezeki itu diberikan Allah pada waktu-waktu yang kita tak pernah terduga. Bukan misi mustahil bagi Dia yang menguasai langit dan bumi. 

Maka selagi bernafas, hidup mesti diteruskan..


Friday 6 January 2012

Masih Ada Cahaya


Alhamdulillah..tiga hari pertama persekolahan, Allah permudahkan segala urusanku di sekolah. Dah mula kena jalan cepat-cepat, tulis baca cepat-cepat, fikir cepat-cepat. Dah terasa bahang kerja tahun ni sama hebatnya macam tahun lepas. Tapi insyaAllah, mudah-mudahan akan selalu bertemu jalan keluarnya dan dipermudahkan olehNya.

Permulaan tahun yang cukup menduga. Selama dua bulan lebih ni, aku rasa selesa dengan keadaan aku. Ada waktu-waktunya kesakitan datang juga. Tapi sekurang-kurangnya ubat chemo tak menjalar dalam badan setiap minggu. Aku dapat buat perkara yang aku mahu. Aku dapat rasa makanan yang aku suka. Aku dapat pergi tempat yang aku nak tuju.

Tapi nampak gayanya tak dapat terus-terusan merasai nikmat begini. Laporan perubatan minggu ini bakal memaksa aku kembali ke bilik rawatan itu. Rutin yang terpaksa aku jalani semula setiap minggu. Duduk berjam-jam di reclining chair itu. Trial drugs sekarang tak cukup kuat melawan sel-sel kanser tahap Gaban yang dah mula merebak ke organ lain dalam badan. Seperti yang mereka jangkakan.

Aku mengharapkan tempoh sihat yang lebih lama. Tapi dengan perkembangan terkini minggu ni, aku kena rancang semula 'pelan strategik, taktikal dan operasi' hidup aku (macam ayat Guru Besar aku je..). 5 azam yang aku harap dapat dicapai tahun ni, 2 daripadanya sedang aku usahakan, mungkin terpaksa aku susun semula. Buat yang mana mampu, capai apa yang terdaya.

Masih ada cahaya. Itu pesan Kak Ruby petang tadi, cancer fighter seperti aku. Keadaannya yang semakin teruk dan hanya menerima rawatan untuk mengurangkan kesakitan, bukan lagi untuk menyembuhkan, masih lagi berusaha memberi harapan kepada orang lain. Maka aku juga harus percaya, cahaya itu masih ada. I never take my life for granted. Mungkin kadang-kadang kata hati dan tindakan aku nampak seperti aku tak sayangkan diri sendiri. Tapi bukan itu niat aku. Kalaulah kalian di tempat aku sekarang, mungkin kalian akan mengerti, betapa susahnya menjadi aku.

Doa dan harapan aku, Allah akan tetap membantu aku melepasi dugaan ini seperti mana Dia sentiasa menunjukkan jalan keluarnya pada aku selama ini. Semakin kita diuji, semakin kita yakin betapa Allah sayang pada kita. Cantik kerja Tuhan kan..

Pada Tuhan ada semuanya..

Sunday 1 January 2012

2012: Terima Kasih, Tuhan..


Catatan pertama untuk tahun 2012..

Alhamdulillah, Tuhan masih memberi kesempatan untuk aku bernafas dan meneruskan kehidupan. Berjanji pada diri sendiri untuk melalui hari-hari mendatang ini dengan lebih sabar dan bermakna. Memberi warna indah pada setiap hari yang bakal dikurniakan Allah untuk aku. Cuma harus selalu beringat: Jangan sampai hilang rasa jujur dan syukur.

"Ya Allah..jangan Kau cuba aku melebihi batas mampu dan sanggupku.."

Azam. Rutin wajib kita setiap awal tahun. Tekad dan harapan, kadang-kadang dalam satu senarai panjang yang kita harap dapat dicapai pada tahun ini. Atau mungkin cuma sebaris ayat, namun punya makna besar dalam hidup seseorang.

Azam aku? Malam tadi aku berkesempatan menulisnya. 5 perkara yang aku harap dapat disempurnakan sementara kesihatan mengizinkan. Perkara-perkara berkaitan kerja dan peribadi yang akan aku lakukan mengikut kemampuan diri. Moga-moga Allah kabulkan..

Perjalanan hidup kita tidak sama panjangnya, tidak sama dugaannya dan tidak juga sama nikmatnya. Terima kasih, Tuhan..kerana memberi aku usia sepanjang ini. Walau sampai bila belum tentu, aku bersyukur diberi peluang mengisinya dengan urusan dunia dan akhirat.

Terima kasih kerana menguji aku dengan kesakitan. Kerana kalau Kau uji aku dengan kesihatan berpanjangan, mungkin aku akan lupa dengan izin siapa aku kekal sihat begitu. Mungkin terus jauh daripadaMu. Terima kasih, Tuhan atas segala nikmat yang Kau berikan padaku. Nikmat akal dan iman, nikmat kasih dan sayang, nikmat rezeki dan segala kemudahan. Terima kasih kerana sentiasa meletakkan aku dalam lingkungan kasih sayang keluarga dan sahabat handai.

Sebelum kita berkata tentang sesuatu yang tidak baik, bayangkanlah mereka yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita menghukum orang lain dengan sesuatu yang memalukan, fikirkanlah betapa Allah sentiasa melindungi aib kita selama ini.

Sebelum kita mengeluh betapa sakitnya kesakitan yang ditanggung ketika ini, letaklah diri di tempat mereka yang hanya mampu terbaring dan sesekali mengerdipkan mata.

Sebelum kita menarik tangan dan berpaling muka untuk tidak memaafkan sesiapa, renungkanlah betapa Allah yang paling berhak menghukum pun sentiasa memaafkan dosa hambaNya.

Sebelum kita mengaku kalah sekarang untuk meneruskan hidup, ingatlah kenapa Allah membangkitkan kita  dari tidur pagi ini dan insyaAllah membangunkan kita semula esoknya.

Cantik kerja Tuhan, percayalah..

Jangan sampai hilang rasa jujur & syukur..