Setiap apa yang berlaku adalah cara ALLAH menunjukkan kasih sayangNya kepada kita..supaya menjadi manusia, bukan sekadar orang. Menjadi insan sebelum dipacakkan nisan.
Aku tak mampu menjadi orang yang baik itu. Tapi sekurang-kurangnya aku tahu aku tidak berusaha menjadi orang yang jahat. Aku tak mampu menjadi orang yang menyenangkan. Sekurang-kurangnya aku sedang berusaha untuk tidak selalu menjadi orang yang menyusahkan.
Esok harus ke sana lagi. Kudrat makin kurang, tapi semangat masih ada. Mudah-mudahan Allah permudahkan rawatan esok. Selamat belajar buat sahabat itu. Mudah-mudahan Allah permudahkan perjuangan ilmumu di sana. Juga selamat beribadah buat dia yang kini sangat dekat dengan Allah dan kekasih Allah. Semoga hajimu mabrur.
Setiap kita ada sesuatu yang perlu diperjuangkan. Semoga dimudahkan Allah perjalanan untuk kita itu.. Sampai jumpa lagi. Ganbatte!
Time spent with friends is time well spent. To the dearest friend whom I spent time with today, if I have one person I can pinpoint as a strength that helped me get where I am, it is you. Thank you so much. I know that the harder things get, the closer the help of Allah is.
Dan salah satu pertolongan Allah itu ialah apabila dikirimkanNya sahabat-sahabat baik dan insan-insan mulia dalam hidup kita. Thanks again..sarang hae.
"Tidaklah bertemu dua orang Islam, lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi keduanya sebelum keduanya itu berpisah". (Riwayat Abu Dawood)
Demi Allah Yang Maha Pengampun, Maha Mendengar dan Maha Mengasihani:
Sungguh hambaMu ini sujud padaMu dengan penuh kesyukuran kerana masih diberikan nikmat untuk bernafas di penghujung Ramadhan ini, meskipun dalam kepayahan. Syukur masih mampu untuk menanti Syawal, sekalipun dalam kesakitan. Panjangkan ihsanMu buatku, Ya Allah..supaya aku dapat sujud, mengucup tangan dan memeluk ibu tua yang akan aku tinggalkan itu sepuas-puasnya di pagi Syawal nanti. Jangan Kau uji aku, Ya Allah..melebihi batas mampu dan sanggupku.
Buat Mama yang dikasihi:
Maafkanlah segala dosa-dosa Along, sejak mula Along melihat dunia sampai masanya nanti Along menutup mata. Maafkan Along kerana tidak mampu menjadi sebaik-baik anak seperti orang lain dan sebagaimana yang diharapkan oleh setiap ibu di dunia ini. Maafkan Along kerana setiap hari merahsiakan kesakitan ini, sekalipun ada waktu-waktunya tidak tertanggung, tapi masih mampu Along selindungkan dari penglihatanmu. Semoga Allah sentiasa mengukirkan senyuman di wajahmu seperti sekarang, bukan lagi tangisan berterusan seperti yang pernah dirimu lalui 5 tahun lepas.
Juga moga-moga Allah memberikan Mama nikmat sihat yang berpanjangan. Maafkan Along kerana tidak mampu menjaga Mama seperti sempurnanya Abah menjaga Mama dulu. Apa yang Along tinggalkan untuk Mama nanti, mudah-mudahan dapatlah memudahkan urusan Mama di dunia ini. Sesungguhnya Allah sebaik-baik Pelindung. Pada Tuhanlah Along sandarkan harapan untuk menjagamu andainya Along yang pergi dulu.
Buat adik-adik yang dikasihi:
Tertibnya, saudara yang tualah yang seharusnya menjaga urusan dunia dan akhirat adik-adiknya. Tapi Along kalian tidak seperti kakak atau abang lain di dunia ini. Maafkan Along kerana terlalu banyak menyusahkan dan tidak dapat memberi seperti yang diharapkan. Sakit ini benar-benar menguji kasih sayang dan persaudaraan kita. Terima kasih kerana memahami. Terima kasih kerana mengasihi. Bahagiakanlah Mama kita supaya dia tidak rasa kekurangan dan kehilangan. Biarlah kasih ibu yang membawa kita ke syurga nanti, bukannya murka ibu yang akan mengheret kita ke neraka.
Buat sahabat-sahabat yang dikasihi:
Kalau kita berubah untuk jadi baik kerana Allah, Allah akan hantar orang-orang yang baik untuk bersama-sama kita. Aku bersyukur kerana sepanjang perjalanan hidup ini, Allah kirimkan insan-insan mulia seperti kalian. Lebih-lebih lagi ketika perjalanan hidup aku terasa seperti sudah hampir ke penghujungnya ini, Allah temukan aku dengan sahabat-sahabat yang sudah aku anggap seperti saudara sendiri. Yang banyak meringankan derita, yang selalu mendamaikan jiwa. Aku tidak mampu membalas semua kebaikan itu. Yang aku ada cuma doa moga-moga kalian sentiasa dalam rahmat Allah, bahagia di dunia dan akhirat. Maafkan segala khilaf dan dosaku. Halalkan semua pemberian dan bantuan kalian. Terima kasih kerana sudi menjadi pohon rendang untuk aku tumpang berteduh.
Sesungguhnya setiap kita ini seperti sebutir pasir dan setitik air. Kalau hanya sebutir pasir, tidak akan jadi sebuah pantai. Dan kalau hanya setitik air, tak akan jadi seluas lautan. Sahabat itu saling menguatkan..
Salam Aidilfitri buat semua yang sudi membaca dan memberi sokongan di ruangan ini. Maafkan andai bahasa dan kata-kataku di sini tidak manis dan menghiris hati. Segala yang tertulis datang dari hati. Ukhuwwah fillah..lillahi ta'ala.
Masa. Satu-satunya perkara yang tidak dapat aku genggam lama akhir-akhir ini. Rasa semakin singkat masa yang tinggal, semakin pendek nafas yang berbaki, sedangkan masih banyak perkara yang harus aku lunaskan. Keadaan sekarang semakin menyukarkan aku untuk berlama-lama menghadap komputer. Lalu membataskan aku untuk berkongsi rasa. Perasaan dan kenangan yang sebanyak mungkin ingin aku tinggalkan di ruangan ini. Cerita yang ingin aku wariskan kepada keluarga dan sahabat bila tiba masanya nanti. Mampu ke aku?
Teh Abah
Bila insan yang kita kasihi mendahului kita bertemu Ilahi, akan ada beberapa benda atau perkara yang akan mengingatkan kita kepada mereka setiap kali kita melihat atau merasainya. Hari tu minum teh jasmin yang sangat sedap dengan Ros. Teh yang Abah suka. Minuman yang suatu masa dulu selalu menemani Abah saat dia leka dengan buku-bukunya. Hari ini kami minum teh Abah lagi, di tempat yang sama, di meja yang sama. Bukan setakat menghilangkan dahaga, tapi untuk menghilangkan rindu pada Abah. Terima kasih, sahabat. Dua kali di situ, kita berkongsi cerita dan jenaka. Lepas ni nanti, teh ini juga akan mengingatkan aku pada cerita-cerita kita di meja yang sama itu, meja nombor 26. Sarang hae..
Buku-Buku Itu Dunia Aku
Bahagia. Rasa sangat bahagia bila dibawa memborong buku hujung minggu lepas, walaupun dalam kesakitan. Buku-buku yang dibeli masa Pesta Buku bulan lepas pun tak habis lagi. Tiba-tiba rasa macam tamaknya membeli. Entah mampu habiskan baca semuanya atau tidak. Maka sebagai motivasi, kena masukkan tugasan ni dalam wishlist aku. Cuba amalkan petua yang selalu dititipkan pada aku bila nak baca al-Quran: Tak dapat baca semua, jangan tinggal langsung.
Pelangi Petang
Seorang sahabat dulu pernah berkata, kalau nak jadi kawan, jadilah macam pokok atau pelangi. Sebab pokok tak pernah berubah, tetap di situ dan setia berdiri sampailah masanya ia mati atau ditebang orang. Dan juga kerana pelangi itu walaupun tak muncul selalu, tapi ia selalu ada bila kita di dalam gerimis, saat terik mentari menerpa. Minggu lepas bila terdengar semula lagu Pelangi Petang, aku kembali bertanya kepada diri. Kawan macam mana aku ni agaknya selama ini? Bersyukur sepanjang perjalanan hidup ini, aku selalu ditemukan dengan kawan-kawan yang sangat baik, yang seperti pokok dan pelangi. Aku juga berharap untuk menjadi kawan seperti itu, dapat jadi pohon tempat kalian bersandar dan menjadi pelangi indah yang menghilangkan duka. Dan aku juga berharap setiap pokok dan pelangi itu akan kekal bersama aku hingga ke hujung nyawa. InsyaAllah..
Bertahanlah
Tiga minggu kebelakangan ni kesihatan tak berapa mengizinkan. Dah diingatkan dari awal sebenarnya, demam, selesema dan kesakitan berlarutan adalah satu lagi petanda yang akan mengecilkan harapan. Cuba untuk menidakkan kenyataan dengan menganggap semuanya cuma kebetulan. Tapi sampai bila nak lari dari hakikat,kan? Lambat laun kena juga berdepan dengan kebenaran yang menyakitkan. Betapa aku bersedia pun, bila tiba masanya, badan tak akan mampu lagi menanggung kesakitan ini. Semangat yang kuat je tak cukup kalau badan tak berdaya melawan sakit yang datang. Tapi buat masa ni aku masih boleh bertahan, walaupun beberapa kali tak mampu sembunyikan kesakitan ini daripada sahabat itu yang dah terlalu banyak membantu. Wahai diri, bertahanlah..insyaAllah. Tapi bila dah tak tertanggung rasa sakit itu, janganlah lagi memaksa diri. Serahkan semuanya kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untukmu.
Masa yang datang akhir-akhir ini semakin cepat berlalu. Bimbang tak berkesempatan. Takut tak kesampaian. Tapi Allah Maha Bijaksana dalam mengatur perjalanan hidup hambaNya. Allah jualah sebabnya dalam sakit aku mampu tersenyum dan dalam ketakutan aku akan terus melawan. Ganbatte!
Banyak yang ingin diceritakan. Baru hari ini kesampaian. Kenangan makin banyak, tapi tak mampu menulis sekerap dahulu. Namun kenangan harus dicatatkan, kerana ingatan juga tak setajam dahulu. Dan sekarang tak tahu harus dimulakan dari mana..yang indah-indah dulu atau yang meruntun jiwa.
Cerita 1:
Rabu lepas (9 Mei 2012), aku dapat penuhi satu lagi hajat dalam wishlist aku..to meet one of my favourite authors/personalities. Terima kasih buat Nad, kejutan yang sangat membahagiakan. Terima kasih juga buat Ros yang membawa dan menemani kami ke majlis ilmu itu.
Tak sabar nak baca..
Beberapa hari sebelum tu, kami ke Pesta Buku Antarabangsa. Dapat beli 7 buah buku je, tu pun dah rasa cukup berbaloi. Kejutan Nad bawa aku ke pelancaran buku terbaru Prof. Michel Chossudovsky mendekatkan aku dengan seorang negarawan yang dikagumi, Tun Dr. Mahathir. Dari The Malay Dilemma hinggalah A Doctor In The House, insan genius yang berfikir jauh ke hadapan daripada orang lain itu aku kagumi pemikiran dan kelantangannya bersuara. Kebetulan sekarang tengah baca autobiografi Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak iaitu The Uncharted Path, ada cerita tentang persahabatan beliau dan Tun di dalamnya.
Dan peluang bertemu Prof. M. Chossudovsky yang lantang bersuara tentang isu globalisasi, menambah rasa kagum terhadap pencinta ilmu yang berani mempertahankan pendirian seperti mereka berdua. Thanks for the book, my friend. Tak sabar nak habiskan semuanya masa cuti nanti, insyaAllah. Mudah-mudahan Allah memberi kesihatan untuk aku hanyut dalam setiap helaian buku-buku itu nanti.
Cerita 2:
Sabtu lepas, sahabat yang sangat baik itu menyambut harijadinya. Semoga panjang umurmu dalam keberkatan, bahagia di dunia dan di akhirat. Kita lahir dalam bulan Islam yang sama (1 dan 15 Jamadilakhir 1399H), pada hari yang sama juga (Sabtu). Walaupun zahir kita terlalu banyak bezanya, tapi perbezaan itulah yang buat kita serasi. Because like love, friends complete each other. Semoga persahabatan ini tidak berakhir dengan terhentinya nafas kita. Sama yang aku niatkan dalam hati seperti persahabatan aku dengan yang lain-lain, bila kita mengaku kawan, kita juga mengaku bersaudara. Ukhuwwah fillah..
Sesekali, Allah akan menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita duga. Itu tandanya Dia sayangkan kita. Supaya kita akan menjadi insan yang lebih baik dan lebih dekat padaNya. Berusaha semampu kita, kemudian serahkanlah selebihnya kepada Allah. Allahu ma'akum, ainama kuntum..Allah sentiasa bersamamu, walau di mana kau berada. Cantik kerja Tuhan, sahabat..percayalah.
Cerita 3:
Kasihnya Ibu - Datuk Sharifah Aini
Semalam Hari Ibu. Hari untuk Mama. Bermula dengan subuh yang indah, dua beranak ini mengisinya dengan tangisan di sejadah. Aku tahu hati Mama terdetik sesuatu, tapi aku tetap tidak mampu melakukannya. Berterus-terang. Maafkan Along, Ma. Banyak dosaku padamu. Mungkin jalan yang aku pilih ini salah dan tak tertanggung rasanya beban di hati ini. Tapi selagi aku mampu membuat dia bahagia, aku takkan biarkan dia menangis.
Dan kasih anakanda
Berkorban nyawa..
Biarlah jiwa akan terseksa
Ikhlas dan rela asalkan bahagia..
Cerita 4:
Makna sebuah persahabatan..
Baki hujung minggu yang aku habiskan dengan menonton cerita ini di AstroFirst berkali-kali. Hasegawa Tatsuo dan Kim Jun-Shik. Musuh yang menjadi sahabat. Sahabat yang menjadi musuh. Namun persahabatan itu akhirnya bersatu juga dalam jasad yang sama. Menonton sampai sakit kepala (lupa diri minggu lepas dah habis berjam-jam di Cyber Lab menghadap komputer, menjawab soalan CPT dan PSELT). Maka minggu ini harus lebih berhati-hati supaya tidak lupa diri lagi. Apa pun, berbaloi untuk ditonton. Cubalah..
Cerita 5:
Dalam leka menonton My Way, dan dalam keletihan meraikan Mother's Day dengan Mama dan adik-adik, semalam dikejutkan pula dengan kematian seorang jiran yang juga kawan Abah. Meninggal kerana kanser usus. Belum hilang ingatan pada Allahyarhamah Kak Ruby, Pakcik Hazri pula menyusul pergi. Terasa makin dekat kematian itu denganku. Terbayang-bayang bagaimana pulalah keadaan aku nanti bila tiba waktu itu. Mudah-mudahan biarlah pergi dalam keadaan sempurna juga. 'Kuburkan insan yang kau sayang dalam hatimu'..antara pepatah Korea yang aku baca dalam buku Presiden Lee Myung-Bak itu.
Kematian seharusnya menjadikan kita lebih berhati-hati dengan perjalanan hidup sendiri. Jangan sampai tersasar dari jalan Tuhan. Nasib kita di alam abadi nanti bergantung pada rupa hidup kita di dunia ini. Maka benda yang baik kita buat, lupakanlah..biar orang lain mengingatinya. Tapi benda salah dan tak patut yang kita buat, ingatlah.. Sebab kalau kita lupa, kita akan mengulanginya.
Buat mereka yang telah mendahului aku, semoga Allah meluaskan kubur mereka, lebih luas daripada rumah yang ditinggalkannya di dunia..amin.
Dan buat orang seperti aku, hanya inilah doa dan harapan yang sering dipohon.. Tuhan, berilah aku lebih masa..amin.
Aku bukan orangnya yang suka menyimpan gambar untuk kenangan. Kerana dulu aku pernah percaya, apa yang tersimpan dalam ingatan lebih berharga untuk dikenang. Perhaps that's why I don't remember days, but I remember moments. Tapi sekarang aku perlu berubah. Ingatan tak sekuat dulu, banyak perkara yang aku mula lupa, banyak wajah yang semakin kabur.
Sekarang aku mula percaya akan berharganya sekeping gambar buat seorang manusia. Orang yang kita sayang, sampai masa akan pergi meninggalkan kita. Wajah yang kita lihat hari-hari itu akan jadi satu wajah yang akan kita rindui nanti. Perjalanan hidupnya di dunia akan berakhir sebaik dikambus timbunan tanah. Tapi kisah hidupnya sesekali mungkin akan terdengar juga, andai ditinggalkan walau sekeping gambar tentangnya, dan selagi ada yang mahu bercerita tentang gambar itu. Terasa seakan-akan rakaman hidupnya dimainkan semula.
Hari ini aku mula menyimpan kenangan bersama kawan-kawan dalam bentuk yang aku rasakan boleh dikenang suatu hari nanti. Aku dan Ros di Food Court Cameron Highlands, dengan Nad di bilik guru, dengan Zila di FRIM dan dengan Fa'izah dan Zimah di Cameron juga. Thanks for the memories.
Mungkin pada kalian hari-hari itu sudah berlalu seperti berlalunya hari-hari biasa yang kalian lalui. Lain rasanya andai kalian berada di tempat aku, dan dalam keadaan aku sekarang. Mahu menjadikan setiap hari yang berbaki menjadi hari yang bahagia, sekali pun tidak sempurna. Berusaha menyimpan setiap kenangan yang ada sebagai kenangan terindah.
I need to keep the memories from fading. Thanks Nad, for helping me with this. Senyuman, suatu hari akan pudar. Tawa riang, sampai masa akan hilang. Tangisan juga takkan berpanjangan. Yang akan tinggal nanti cuma kenangan. Aku simpan semua ini untuk diriku. Kalau pun nanti cerita persahabatan kita tidak bermain di bibir kalian, sekurang-kurangnya biarlah nanti ia menjadi tatapan untuk keluargaku. Betapa seorang ibu nanti akan tahu, anaknya ini sangat kasihkan sahabat-sahabatnya seperti kasihnya dia pada darah daging sendiri.
Di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya sahabat..kasihnya aku..
Sekejap dah masuk bulan Mei. Putaran masa sangat cepat berlalu. Bertambah usia, bertambah dekat kita dengan perjanjian Tuhan. Hidup ini belum tentu, mati itu yang pasti. Hari-hari terakhir April tahun ini aku habiskan dengan kenangan yang indah. Hari-hari yang membuat kaki semakin berat untuk perlahan-lahan meninggalkan hidup ini, kerana terlalu sayangkan kenangan-kenangan yang ada.
Terima kasih buat sahabat itu, yang selalu menggembirakan. Terima kasih kerana mengisi hujung minggu itu buat sahabatmu ini yang selalu menyusahkan. Ketika kau boleh memilih untuk berehat di rumah, atau boleh sahaja memilih untuk berada di tempat yang lebih menyeronokkan bersama mereka yang lebih membahagiakan, kau memilih untuk melayan karenah aku.
Terima kasih kerana menjadi sahabat yang selalu menguatkan. Dua sahabat yang berbaik-baik bukannya kerana kedua-duanya sahabat yang terbaik, tetapi kerana saling memberi peluang belajar menjadi sahabat yang baik. Kita juga seperti itu.
Hari-hari indah yang ditinggalkan itu buat aku bersemangat untuk meneruskan hidup. Keyakinan untuk bertahan lebih lama daripada yang dijangka. Meratapi kesakitan tidak akan memberi matahari kepada kita. Ia menjadi kubur kepada sang pendengar, maka bunga kemboja menjadi iringan. Maka aku harus berikan matahari kepada orang di sekeliling, supaya mereka membawa sejambak bunga kenangan ketika aku dalam kehidupan mereka.
Terima kasih kerana melemparkan tali kebahagiaan di saat sahabatmu ini hampir saja memutuskan tali harapannya sendiri. Aku sentiasa berdoa semoga kau bertemu kebahagiaan yang dicari. Setiap budi yang memenuhi, setiap bekalan yang diisi, semuanya terpateri kukuh dalam memori.
Akhirnya dua malam lepas aku terpaksa juga berkongsi kesakitan yang selalu mengganggu tidur malamku selama ini dengan seorang sahabat. Dari mula nak tidur lagi aku sentiasa berdoa janganlah kesakitan itu bertambah hingga terpaksa mengejutkan sahabat yang sedang lena itu. Sudahnya mengalah juga..
Buat sahabat yang sangat banyak berbudi padaku itu, terima kasih yang tidak terhingga kerana membantu aku ketika itu. Tapi, aku juga rasa bersalah kerana terasa diri sudah sangat-sangat menyusahkan. Mujurlah ada dia. Kalau tidak, seperti biasanya, kesakitan itu akan hilang sendiri dalam sendu dan zikir yang tiada henti. Moga Allah membalas kebaikanmu itu dengan kebahagiaan di dunia dan kesenangan di akhirat.
Bersabar dengan takdir yang menyulitkan. Hanya dengan percaya cantiknya kerja Tuhan, maka barulah kita mampu senyum dalam kesakitan dan mampu untuk terus berjuang, sekalipun dalam ketakutan. Kematian hanya memisahkan kita daripada keluarga dan sahabat, tapi selagi doa dan ingatan masih ada, tidak akan terputus ikatan kekeluargaan dan persahabatan itu.
Di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya sahabat..
Akhir-akhir ini semakin jarang bercerita dan semakin kurang menulis. Ada hari-harinya, terasa ingin sangat meluahkan sesuatu di sini, tapi keadaan dan waktu pula tidak mengizinkan. Malam ini, atas permintaan seseorang yang sangat jauh, aku catatkan juga sesuatu. Perkara-perkara kecil untuk dikenang. Yang mungkin biasa pada orang, tapi sangat bermakna bagi aku.
Sekolah
Kalau orang kata Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE) tu sibuk, sibuk lagi sekolah aku kebelakangan ni agaknya. Tuntutan kerja yang mendesak, beban kerja yang bertambah. Bunyi macam satu keluhan, tapi itulah realitinya buat mereka yang masih bertanggapan jadi cikgu ni kerja senang. But I love my job and I love what I'm doing. It's just that my body literally can't handle the stress. Mujurlah ada sahabat-sahabat yang banyak membantu. Mudah-mudahan rezeki yang aku terima dengan jalan ilmu ini adalah rezeki yang halal dan diberkati.
Hospital
Satu-satunya tempat yang aku cuba jauhi beberapa minggu kebelakangan ini. Sebab aku selesa dengan keadaan sekarang, bila aku tak perlu menanggung kesan sampingan rawatan dan aku tak perlu bergantung kepada ubat tahan sakit sepanjang masa. Tapi nampaknya tak lama lagi terpaksa juga sambung sesi rawatan yang tertangguh itu kerana rasa badan dah mula menunjukkan tanda-tanda tidak mampu berlagak biasa dan sihat macam orang lain lagi. Nak langsaikan dulu benda-benda yang diamanahkan pada aku, supaya tak menyusahkan terlalu ramai orang pula bila sampai masa aku nanti.
Sahabat
Persahabatan mampu memberi kita dua rasa yang jauh berbeza. Rasa gembira dan bahagia yang cukup dengan hanya melakukan benda-benda biasa setiap hari dan perkara-perkara kecil bersama-sama. Juga rasa kekurangan dan kesedihan yang nyata bila mengingati semua itu selepas kita kehilangan mereka. Sabtu lepas (14 April), genap 17 tahun sahabat seperti itu meninggalkan aku. Ingatan padanya makin kurang, tapi tetap diingati. Kunjungan ke pusaranya makin jarang, tapi sesekali tetap dikunjungi.
Bila seorang kawan itu akhirnya menjadi sahabat kita, dan kerana persahabatan dengannya itulah perlahan-lahan menjadikan kita seorang insan yang lebih baik, kehilangannya sedikit sebanyak akan mencorakkan kehidupan kita seterusnya. Semuanya tak bermakna bila sepasang nisan dah menjadi tugu. Bagaimana pula aku mahu dikenang selepas aku mati nanti? Aku bukan sahabat yang baik, yang selalu menggembirakan. Maka memadailah kalau sesekali aku diingati dengan cara yang mendamaikan, bukan dengan kenangan-kenangan yang bisa menerbitkan rasa marah dan benci di hati kalian.
Kalau kita tak mampu menjadi seperti sebatang pensel untuk menulis kebahagiaan sahabat-sahabat kita, maka sekurang-kurangnya kita harus cuba menjadi seperti sebiji pemadam yang bisa memadam kedukaan mereka.
Berilah.. tapi jangan sampai dirimu dipergunakan. Sayangilah.. tapi jangan sampai hatimu dilukai. Percayalah.. tapi jangan sampai dirimu dikhianati. Dengarlah.. tapi jangan sampai hilang suara hatimu sendiri.
Lama sungguh rasanya tak menulis. Bila terlalu banyak perkara berlaku dalam satu-satu masa, kadang-kadang aku tak tahu nak mula bercerita dari mana. Dua minggu yang penuh suka dan duka..
20 Februari 2012:
Akhirnya Kak Ruby dijemput pulang ke rahmatullah. Allah melepaskannya daripada derita yang panjang. Insan yang selalu menarik aku kembali ke landasan hidup setiap kali rasa mengalah menguasai diri. Jujurnya, aku sangat terkesan dengan pemergian Kak Ruby. Selalu tertanya-tanya entah bila pula sampai giliran aku. Cuma mampu berdoa, semoga aku dapat menjadi seperti Kak Ruby, yang tetap tabah sekali pun doktor dah tak beri apa-apa harapan lagi. Semoga Allah menempatkannya bersama orang-orang beriman, mengganti deritanya di dunia dengan sebaik-baik balasan syurga.
25-26 Februari 2012:
Hujung minggu yang membantu mengurangkan kesedihan dan sakit hati aku minggu lepas. Naik Cameron buat kali keempat dalam tempoh 3 bulan. Perasaan dan suasana yang berbeza bila kita pergi dengan orang yang berbeza. Tapi semuanya tetap buat aku rasa bahagia. Kenangan yang akan selalu aku replay setiap kali dalam kesakitan, moga-moga berkurang rasa sakit itu. Thanks for the memories..
Akhir-akhir ini badan rasa makin tak selesa. Hati pula makin berat untuk ke hospital semula. Tak mampu untuk terima sekali lagi kegagalan rawatan yang telah aku cuba. Tak daya untuk mendengar sekali lagi perkembangan buruk penyakit kejam yang semakin hilang harapan untuk sembuh ini. Tapi aku dah berjanji untuk tidak berputus asa. Maka, sekalipun siang tadi aku menolak clinical trials yang dicadangkan, bukan bermakna aku akan menyerah dan menunggu mati begitu sahaja. Kecewa, takut dan susah hati. Tiga rasa yang aku harap dapat aku hadapi dalam waktu terdekat ini. Rabbi yassir wala tu'assir..
Kita selalu merancang untuk bahagia, mana tahu datang derita. Selalu merancang untuk gembira, mana tahu datangnya duka. Segalanya mungkin dalam hidup ini..yakinlah dengan janji Allah.
Terima kasih, Zila..temankan akak naik ke puncak sana. Teringat masa kita buat night walk tahun lepas.
Terima kasih Ros, Fa'izah dan Angah..sekali lagi terpaksa mengorbankan rehat hujung minggu dan terpaksa bangun awal untuk aku. Last. No more. InsyaAllah.
Mungkin dah terlalu banyak permintaan, aku tak nak sampai semua orang rasa terbeban.
Balik dari FRIM tadi, tidur dalam keletihan. Ditambah dengan ubat yang kuat kerana badan yang mula kesakitan. Sedar-sedar ada tiga missed call dan beberapa SMS yang masuk. Sungguh-sungguh aku tidur rupanya, bunyi telefon pun tak dengar.
Semuanya untuk menyampaikan satu berita. Kak Ruby, cancer fighter yang selalu bagi semangat pada aku, dah dibawa pulang ke Ipoh dan semakin tenat. Doktor minta keluarga berada di sisinya sepanjang masa. Waktu aku leka dengan urusan dunia, Kak Ruby pula bersabung nyawa.
Mudah-mudahan Allah meringankan derita sakit yang ditanggung Kak Ruby dan bebanan sedih keluarganya. Semoga Allah memberi mereka ketabahan dan kesabaran.
Rabbi yassir wala tu'assir..Wahai Tuhanku, permudahkanlah dan jangan Kau susahkan.
Catatan beberapa hari lepas, waktu malam sepi, dari katil hospital. Cuma yang kedengaran sekali-sekala bunyi beep daripada infusion pump aku. Katil sebelah yang kosong menambahkan lagi sunyi bila waktu melawat habis. Tapi aku suka juga sesekali begitu.Being alone doesn't have to mean being lonely.Check-in hospital yang pertama untuk tahun ini:
"Akhirnya semalam aku mengalah pada keadaan diri. Letak tepi kedegilan tak nak duduk wad selama ini. Nak angkat jari pun rasa tak larat. Masuk ubat tahan sakit, tahanlah untuk beberapa ketika. Sempat la balas beberapa sms dan jamah sedikit rezeki. Lepas tu layu balik. Maka jalan selamatnya, duduk wad. 4 jam sekali nurse bagi ubat anti-nausea. Janji doktor sekurang-kurangnya sampai BP aku stabil, degup jantung kembali sekata dan demam aku kebah, baru boleh balik rumah. Alhamdulillah, everything is coming up roses. Semoga aku dapat bertahan sampai habis cycle ni.
Mata tak boleh lelap, walaupun seluruh badan yang terasa sakit ni minta sangat untuk direhatkan. Dah cuba kosongkan fikiran, jangan fikir banyak-banyak. Puas juga berzikir yang mudah-mudah, dengan harapan akan terlena. Sudahnya nota kecil ini jugalah senjata terakhir aku untuk melelapkan mata. Harap-harap akan bosan dengan ayat sendiri. Harap-harap juga mata yang makin layu ni bertambah layu bila melihat tulisan aku yang semakin hodoh. Menulis dalam kepayahan..
Waktu-waktu beginilah aku sangat rindukan Abah. Sangat perlukan healing words Abah. Sangat rindu nak main-main cuping telinga Abah. Sangat rindu baca buku sambil dengar muzik Chopin dengan Abah. Sangat rindu kalah main chess dengan Abah. Dan sangat rindu untuk bersandar di bahu Abah. Barangkali anak Abah ni bakal melalui hari-hari akhirnya seperti Abah juga..kerana aku mewarisi penyakit yang sama. Kalau begitu takdirnya nanti, maka tertunailah hasrat yang selalu aku suarakan pada Abah setiap kali dia bertanya aku nak jadi apa masa sekolah dulu: "Along nak jadi macam Abah!"
Siang tadi aku melihat lagi medical timeline aku. Dari mula diagnosis relapse, hinggalah infusion ketiga semalam. Dan untuk yang entah ke berapa kalinya, aku tanyakan lagi prognosis aku, dengan harapan akan ada perubahan positif pada jangkaan mereka. Kadang-kadang aku lebih rela mendengar harapan palsu daripada kebenaran yang sangat menyakitkan. Kalau pun tak dapat melihat harapan itu, sekurang-kurangnya biarlah aku dapat merasa bahawa harapan masih ada. I'm ready to die..but I could live in hope.
Elok juga sebenarnya sekali-sekala bersendiri dalam sepi begini. Muhasabah dan muraqabah. Menginsafi diri dan merasakan kebesaran Allah. Mudah-mudahan terbuka jalan menuju taqwa. Bernafas dalam doa dan mendengar degup jantung sendiri..supaya lebih menghargai satu jasad dan satu roh yang Allah pinjamkan kepada aku. Kerana aku tak tahu bila pula sampai masanya nanti aku akan terlantar terus dan tak mampu lagi untuk bercerita sebegini.
Petang tadi juga aku sempat bertanyakan tentang status aku sebagai penderma organ. Nampaknya kena refer semula ke Pusat Sumber Transplan Nasional, sebab menurut doktor, seseorang itu akan terhalang untuk mendermakan organ-organnya apabila didapati menghidap penyakit kanser, kecuali kanser otak. Will update later..zzzz".
Akhirnya terlena juga..
Aku berdoa ini chemo cycle terakhir aku. Kalau boleh tak nak dicucuk lagi. Tak nak masuk ke bilik tu lagi. Tak nak tersandar di kerusi tu lagi. Tapi kalau ini sahaja caranya untuk terus bertahan, nak buat macam mana kan..terima. Ya Allah, aku tahu Kau Maha Mendengar. Kerana itu aku tak akan putus berdoa. Teguhkan imanku hingga ke akhirnya..
Update: My last two chemo sessions will be on Cisplatin only. The other two drugs seem to have affected the heart (arrhythmia). The liver is mildly enlarged in size too. And I had my first platelet transfusion this morning, due to the very low platelet count. Will explain about these medical terms later.
Catatan khas buat teman-teman rapat berbangsa Cina:
Lima tahun berada di Pahang, aku temukan satu ikatan persahabatan yang cukup bermakna dengan mereka. Tinggal dalam lingkungan kehidupan mereka dan mendidik anak-anak bangsa mereka memberi aku pengalaman yang sangat berharga. Dan semalam, dalam kepayahan, aku ceriakan juga suara untuk berbual panjang dengan mereka di telefon.
Ong MLmasih banyak cakap seperti dulu. Masih konsisten bersenam dan sangat-sangat menjaga kesihatan semua orang di sekelilingnya. Kerana dialah aku gagahkan diri daki bukit berhampiran sekolah kami hampir setiap petang Isnin dan Khamis. Juga setiap waktu subuh pada hujung minggu yang aku tak dapat balik ke KL masa tu. Setiap kali aku tak sihat, bekalan Wong Lo Kat dan teh herba sentiasa ada atas meja aku di bilik guru. Fever friendly. Perkataan yang sangat suka dibebelkan kepada aku. Rasa macam ada kakak, lain mak dan lain bapak je..
Chua HCin contrary, the Fast Food Queen among us. Kawan aku jalan-jalan cari makan masa tu. Kawan yang sanggup bawa aku ke Pasar Ramadhan Temerloh hampir setiap petang, semata-mata untuk memenuhi selera dia. Beli kalah orang yang berpuasa. Sanggup datang tidur rumah aku, semata-mata nak habiskan tengok cerita Korea dan siapkan tanglung sama-sama. Begitu juga denganLong SYyang sabar mengajar aku bahasa Mandarin. Ucapan perpisahan aku masa hari terakhir di sana yang sepenuhnya dalam bahasa Mandarin takkan jadi nyata kalau bukan kerana dia. Kalau aku masih di sana, mungkin sekarang aku juga boleh menulis dalam bahasa yang menjadi bahasa paling banyak digunakan di dunia itu. Sayang..
Tidak lupa kepada Teng SC, Ong SY, Cikgu Lee, Cikgu LiewdanCikgu Wongyang selalu buat aku rasa gembira dan selesa selama berada di sana. Berkawan dengan mereka menjadikan aku lebih terbuka dengan perbezaan budaya. Mereka juga lebih sensitif terhadap tuntutan agama yang mesti aku penuhi. Lebih memahami soal halal haram dan keperluan ibadah aku. Dan aku sangat berharap persahabatan ini akan terus terjalin hingga ke hujung nyawa.
Tahun ini Tahun Naga. Satu-satunya haiwan mistik dalam kalendar Cina. Tahun yang menjanjikan tuah dan kekayaan mengikut kepercayaan mereka. Wishing you luck and strength in the Year of the Dragon. Terima kasih kerana masih mengambil berat perkembangan kehidupan aku. Satu bab dalam hidup aku dihabiskan bersama kalian. Mana mungkin akan dilupa, hanya boleh dibawa mati.
Semalam tengok MI4: Ghost Protocoldengan Ros. 'Jom Tengok Wayang' pertama kami tahun ni. Sangat berbaloi kalau dibandingkan dengan Ombak Rindu yang buat aku tertidur dua kali tu. Bila lagi agaknya karyawan filem kita dapat hasilkan cerita-cerita yang berbaloi untuk ditonton ye? Berbaloi keluar duit dan korban masa 2jam, serta tak rasa bodoh bila dah habis tengok. Baca dalam suratkhabar pagi tadi, tahun ni ada lebih kurang 45 filem Melayu bakal ditayangkan kepada umum. Tengok senarai genre filem-filem tu, kebanyakannya seram dan komedi. Yang lain genre cinta, aksi dan drama. Harap-harap ada la di antaranya nanti yang berbaloi untuk orang macam aku dan Ros pergi tengok. Hmm..masih ingat lagi bestnya cerita Matinya Seorang Patriotdan Anak Sarawak. Hebat pada zamannya. Jujur dan punya jatidiri. Bukan misi mustahil kalau graduan-graduan berbakat ASWARA dan produk hebat keluaran Lim Kok Wing dalam bidang creative multimedia tu diberi peluang dan dana, bergabung tenaga untuk menghasilkan sesuatu yang boleh kita banggakan.
Hari ini pula birthday adik lelaki aku. Adik yang aku harap dapat menjaga keluarga kami bila sampai umurku nanti. We had our private lunch at one of Abah's favourite restaurant. Cuak tengok Mama makan dessert dengan banyaknya (balik je terus check gula dan BP dia). Jangan lupa yang Along sentiasa mendoakan yang terbaik untuk adik-adik Along. So proud to have you as my brother. Semoga panjang umurnya, murah rezekinya dan ditemukan jodohnya dengan insan yang dapat menerima keluarga aku seperti adanya. Kahwin tahun ni ke? Bukan misi mustahil kalau Allah mudahkan jalan..
Mentang-mentang la baru tengok Mission Impossible, asyik cakap pasal misi mustahil je. Tiada apa yang mustahil sebenarnya dalam hidup ini. Cuma tafsiran kita yang kadang-kadang tidak dapat menerima sesuatu sebagai yang nyata. Kun fayakun. Kalau belum ajal kita, diuji hebat dengan kesakitan yang amat sangat pun masih mampu untuk bernafas. Kalau belum rezeki kita, bekerja keras siang malam pun masih belum bertemu senangnya. Kalau belum jodoh kita, bercinta separuh mati pun belum tentu bersatu hati kita dengan hatinya. Tapi kalau Tuhan mengatakan ya, maka ajal maut, jodoh pertemuan dan rezeki itu diberikan Allah pada waktu-waktu yang kita tak pernah terduga. Bukan misi mustahil bagi Dia yang menguasai langit dan bumi.
Sangat lama tak menjenguk blog ni. Sibuk mengumpul kenangan. Alhamdulillah, dimudahkan Allah perjalanan aku ke Terengganu minggu lepas. Terima kasih buat Ros dan keluarga yang sudi menerima 'orang pulau' ni selama aku di sana. Aku harap aku tidak terlalu menyusahkan.
Bagi seseorang yang sedang berjuang untuk terus hidup dan sentiasa mengira detik-detik akhir hidupnya, dapat memenuhi sesuatu impian sudah cukup memberikan sedikit harapan. Lima hari di Terengganu yang sarat dengan pengalaman dan kenangan, sudah cukup melunaskan salah satu impian itu. Percutian yang memberikan banyak rasa dan meninggalkan banyak cerita.
Orang sungai macam aku ni berubah sekejap jadi orang pantai selama di sana. Kemaruk tengok ombak hari-hari, pantang jumpa pantai je mesti singgah. Rasa tenang dengan hanya melihat cantiknya kejadian Tuhan. Kalau dilanjutkan muhasabah ini, hidup kita juga seperti ombak dan pantai, dan seperti laut yang luas itu. Maka benarlah sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.
Percutian yang membuat aku lebih menghargai nilai persahabatan dan kekeluargaan. Do you know which is the best part of life? Simple. When your family understands you as a friend, and your friends support you as your family. Perhubungan yang erat dan kemesraan yang terjalin menjadikan laluan hidup yang sukar ini nampak mudah sedikit jalannya. Biarlah orang lain melihat kita dan sahabat kita itu bezanya seperti langit dan bumi, kerana aku melihat eratnya kami seperti langit dan bumi itu juga. Saling memerlukan dan melengkapi. Your friend is your best mirror. Seorang mukmin adalah cermin kepada mukmin yang lain. Bukankah sahabat itu saling menguatkan..
Kenangan yang terakam bersama mereka yang aku kasihi akhir-akhir ini selalu aku jadikan azimat saat kesakitan datang menyerang. Berharap sakit itu akan berkurangan dan itulah yang berlaku selalunya..alhamdulillah. Semoga yang manis itu akan terus dikenang andai kata aku mendahului mereka nanti.
Dan bila mengenang semua ini, teringat pula puisi indah Kahlil Gibranyang sangat aku minati:
Dan
seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.
Dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa
terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu
kedamaian.
Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata
“Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa
ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan
dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.
Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas
dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih
agung daripada tanah ngarai dataran.
Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta
, tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.
Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama
dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi
kegembiraan..
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah
segar kehidupan.
Thanks for the memories. My friends will always be my favourite hello and my hardest goodbye. I may not be able to grow old with you, but I will always be your friend for as long as I live. Sarang hae-yo!
Rasa lama tak menulis sesuatu. Kesihatan tak mengizinkan 2-3 hari lepas, tak dapat nak menyusun kata. Pengaruh cuaca yang tak menentu di KL kebelakangan ni sedikit sebanyak memberi kesan kepada aku. Tapi alhamdulillah, banyak juga yang dapat dibereskan dan ditunaikan dalam seminggu ni. Antaranya:
Pertama kali dalam hidup, dapat buat Solat Sunat Khusuf pada Sabtu lepas. Tak dapat tengok pun gerhana bulan tu, tapi dapat juga meraikan kebesaran Allah itu dengan penuh kesyukuran. Cantik kerja Tuhan kan..
Menjadi sebahagian daripada mereka yang berbaris di jalan untuk meraikan keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Isnin lepas. Itu pun sebab kena bawa budak..wakil dari sekolah aku. Susur galur Kesultanan Terengganu menjadi antara bahan bacaan utama aku minggu ini. Daulat Tuanku!
Alhamdulillah, dapat khatam lagi malam ni. Dua bulan kebelakangan ni aku selalu menjadikan sibuk sebagai alasan untuk mengurangkan kekerapan bacaan. Sibuk dengan urusan dunia, macam sombong dengan Tuhan pula rasanya. Mujurlah Allah masih beri kesempatan untuk menyelak dan membaca lagi helaian-helaian kalimah suci daripadaNya. Astaghfirullah..
Akhirnya skrip teater aku berjaya dipentaskan malam kelmarin. Persembahan kecil untuk golongan marhaen seperti kami. Sayang aku tak dapat tengok kerana kesihatan tak mengizinkan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang buat video call malam tu. Harap-harap dapat tengok rakamannya tak lama lagi. Ada juga sesuatu untuk aku kenangkan nanti.. Go Jebatians! (kita anak-anak Jebat)
Buat blood count lagi pagi tadi. Seperti dijangka, platelet terus merosot kerana demam minggu ni. Harap-harap follow-up seterusnya nanti akan ada perubahan. Berilah hambaMu ini sedikit harapan, ya Rahman ya Rahim..
Beginilah hidup. Betapa elok pun kita merancang, cantik lagi perancangan Allah. Perkara-perkara yang kita tak jangka dan bersedia, rupa-rupanya begitu sempurna diatur oleh Allah. Cari hikmahnya. Itu yang selalu diingatkan kepada kita. Tapi sudah namanya manusia, selalu lupa betapa sayang dan dekatnya Allah kepada kita. Semoga kesakitan ini akan berkurangan. Apa pun yang bakal terjadi dan telah terjadi, selagi bernafas, hidup mesti diteruskan..ila mardhotillah (menuju redha Allah).
Kalau aku tiada kanser, cuti sekolah begini pasti setiap hariku terisi dengan macam-macam aktiviti. Bawa Mama jalan-jalan, balik Singapore, cuti-cuti Malaysia dengan kawan-kawan, memenuhi permintaan adik-adik yang mahukan menu masakan pelbagai rasa, etc.
Kalau aku tiada kanser, pasti aku akan berusaha mempertahankan sebuah perhubungan. Berusaha mendapatkan restu. Berusaha mencari bahagia dengannya. Mungkin kita masih diulit bahagia..
Kalau aku tiada kanser, pasti aku akan menjadi seorang guru yang lebih baik. Mengajar dengan lebih semangat dan bertenaga, mungkin sama ligat dengan anak-anak muridku yang lasak itu.
Kalau aku tiada kanser, mungkin sekarang aku sedang sambung belajar. Terus menjadi pencari ilmu yang tak jemu-jemu meneroka ilmu Allah. Kagum dengan seorang sahabat dan adik-adiknya yang tak jemu-jemu belajar dan tetap kuat bekerja.
Kalau aku tiada kanser, mungkin aku lebih lalai dan leka dengan keseronokan dunia. Mungkin masih menangguhkan taubat dan beribadah yang wajib-wajib sahaja. Tahu Tuhan sentiasa ada, tapi tak bersungguh-sungguh untuk lebih dekat padaNya.
Kalau aku tiada kanser, mungkin malam-malamku dapat dilalui dengan tidur yang lebih lena. Bukan terjaga di tengah malam dan bergelut menahan kesakitan. Bangun pagi dengan penuh tenaga, bukannya bangkit dalam kepayahan.
Dan kalau aku tiada kanser, maka tiadalah blog ini. Kerana wujudnya ia untuk menjadi sandaran bagi aku meluahkan perasaan dan mencatat perjalanan hidupku dalam melawan penyakit ini. Juga merakam penghargaanku kepada insan-insan yang banyak membantu.
Entry ke-100 yang penuh makna. Sudah 100 catatan suka duka diri sendiri rupanya yang tak pernah aku terfikir pun sebelum ini untuk berkongsi di ruangan sebegini. Sampai bila aku mampu meneruskan catatan ini? Bila kesihatan makin merosot nanti, mungkin blog ini akan jadi teman setia untuk aku kenangkan semula perjalanan dan perjuangan aku sejak kanser ini berulang kembali. Aku harap akan ada kesempatan untuk aku meletakkan catatan terakhir di blog ini nanti. Bermula dengan cara yang mesra, biarlah ia berakhir dengan cara yang baik juga, bukan tergantung begitu sahaja.
Selagi terdaya, aku akan terus bercerita. Bukan untuk sesiapa. Bukan juga untuk membuktikan apa-apa. Tapi untuk diri aku sendiri..
Alhamdulillah, selamat pulang akhirnya. Percutian yang mengajar aku tentang banyak perkara. Membuka hati untuk menilai semula erti persahabatan. Hanya bila kita makan sepinggan, tidur sekatil dan menghabiskan perjalanan yang panjang dengan sahabat-sahabat, maka kita akan lebih kenal hati budi dan kebaikan mereka. Terima kasih semuanya..
Dessert moment..
Entry yang pendek untuk perjalanan yang panjang. Hmm..mungkin kerana keletihan yang belum hilang, maka kenangan yang terakam biarlah tersimpan dulu dalam ingatan. Ada masa boleh diceritakan. Ada waktu-waktunya sesetengah cerita lebih manis disimpan untuk ingatan peribadi. Jumpa lagi..