Pages

Subscribe:

Labels

Showing posts with label Dear Ros... Show all posts
Showing posts with label Dear Ros... Show all posts

Saturday, 22 December 2012

Welcome Home...


Hampir sebulan blog ini terpaksa aku tinggalkan. Dengan demam dan kesakitan yang sedikit berbaki, malam ini aku gagahkan juga menulis sesuatu. Kerana malam ini akan bermula kembali catatan kenangan bersama sahabat yang sangat aku rindui itu.

Malam ini, mudah-mudahan dipermudahkan Allah, sahabat yang jauh itu akan melalui perjalanan yang jauh dan panjang untuk kembali seketika ke Malaysia..bertemu keluarga yang paling dirinduinya. Semoga sahabat itu selamat dan sihat sepanjang perjalanannya sehingga tiba di tanahair esok. Hati ini melonjak ingin bertemu dan menjemputmu. Tapi aku harus akur pada kudrat sendiri.

Sejak aku tahu sahabat itu akan pulang seketika untuk bercuti minggu ini, aku sentiasa berdoa dan bermohon agar Allah memanjangkan umurku untuk dapat bertemu sahabat itu. Sentiasa meminta kepada Allah agar kami dipertemukan, walaupun untuk seketika, ketika aku dalam keadaan masih mampu untuk menyambutnya, sepertimana aku mengiringinya pergi dahulu. Berdiri dengan kudrat sendiri. Memeluknya seerat mungkin.

Rindu yang tersorok dalam hati selama tiga bulan ini aku pohonkan pada Allah semoga ia berakhir dalam pelukan erat sahabat itu esok. Semoga Allah memberi aku kesempatan untuk menatap wajah itu kembali di alam nyata. Bukan lagi wajah di dalam Skype yang kadang-kadang kabur, dengan suaranya yang ada waktu-waktunya antara aku dengar dengan tidak. Juga semoga dapat aku lupakan seketika sakit ini saat bertemunya nanti.

Buat sahabat itu, aku berharap akan ada sedikit waktu yang dapat kau peruntukkan buat sahabatmu ini. Aku sangat memahami dan mengerti cutimu itu sangat pendek. Pastinya akan padat terisi bersama semua ahli keluarga sahabat-sahabat yang ingin bertemumu. Seperti yang selalu aku katakan padamu, I can always be on your last list. So don't worry. Dahulukanlah mereka semua. Dan kalau waktu yang berbaki nanti hanya cukup untuk waktu rehatmu, maka berehatlah sepenuhnya. Andai ada rezeki kita untuk bercerita, alhamdulillah. Kalau tidak pun, tak mengapa. Kerana kau harus terima, adakalanya apa yang kita rancang akan jadi cerita lain juga bila tiba masanya kan..

Pasti banyak cerita yang akan kau kongsi dengan semua. Cerita yang pastinya akan membuat semua gembira, tersenyum dan ketawa. Ceritakanlah kepada mereka kerana perkara-perkara yang sering kau ceritakan padaku itu ibarat pain killer buat sahabatmu ini. Maka pasti semua itu juga akan mewarnai hidup mereka nanti seperti kau mewarnai hari-hari aku.

Jangan risau, sahabat. Aku hanya ingin mendengar dan melihat kau bercerita. Tiada kisah duka daripadaku yang akan mengganggu ceritamu nanti. Semoga kita dipertemukan nanti, insyaAllah.

Welcome home, sahabat..

Sarang hae ketat-ketat..


Wednesday, 24 October 2012

Sahabat di Hati

Kita kenal perangainya..
Kita tahu kelemahannya..
Kita terima kekurangannya..
Dan kita tetap bersahabat dengannya..
Berusaha menjadi sahabat terbaik untuknya
Bersama kekurangan yang ada pada diri kita..
Kenapa?
Kerana kita mahu masuk syurga dengannya..

Walaupun ada jarak yang memisahkan
Kalau memang sudah dinamakan persahabatan
Tidak semestinya perlu bersentuhan tangan
Kerana kita sudah bersentuhan hati
Juga sentiasa berbalas-balas doa
Kenapa?
Kerana di antara cinta dan sayang
Di situ kasihnya sahabat..

Terima kasih di atas ingatan..

Monday, 15 October 2012

Orang Sabar Selalu Menang


Minggu lepas adalah minggu yang sangat menguji ketahanan mental dan fizikal untuk orang seperti aku. Sesuatu yang mudah dan biasa pada orang lain sebenarnya sangat sukar dan mencabar untuk dilakukan  bagi seorang pesakit kanser. Tapi aku menerima itu sebagai ujian. Kerana pekerjaan itulah yang menjadi rezekiku setiap bulan, maka amanah itu wajib dilunaskan. Alhamdulillah, empat hari berkampung memerah otak, mudah-mudahan modul yang kami hasilkan itu dapat membantu anak-anak kita yang kurang bernasib baik dan agak perlahan dalam pelajaran untuk sekurang-kurangnya mampu berdiri dan hidup untuk diri mereka sendiri. Kerana dunia mereka hari ini tidak semudah dunia kita dahulu.

Pagi semalam terpaksa ke hospital semula kerana kaki yang bengkak dan perut yang kembung semakin terasa bisanya. Kata doktor itu adalah simptom sama ada masalah pada hati, buah pinggang yang terganggu fungsi atau mungkin juga jantung yang membengkak.

Salah satu atau lebih masalah pada organ-organ itu yang menyebabkan kaki menjadi bengkak dan kembung perut. Apabila organ-organ terbabit tidak dapat berfungsi dengan baik, maka air dan toksin berlebihan berkumpul di situ. Puncanya adalah rawatan chemo yang sedang aku jalani sekarang. Laporan yang keluar petang tadi mengesahkan ubat doxorubicin yang aku terima untuk cycle ini adalah puncanya. Hmm..sudahlah Jumaat lepas badan tak boleh menerima antibiotik yang diberi. Sekarang timbul masalah baru pula. Seperti yang mereka jangkakan...

Selepas bercakap dengan doktor petang tadi, maka aku akur yang aku perlu istiqomah. Cuba dulu sampai terbukti rawatan kali ni tidak akan berhasil. Maka kami akan cuba sekali lagi meneruskan rawatan minggu ini dengan kombinasi dan antibiotik baru. Kalau ok, maka bolehlah aku terus bergantung harap pada usaha ini. Tapi kalau tak ok, terpaksalah aku mencari jalan yang lain. Putus asa belum lagi...


Kata doktor jangan risau, bertenang. Harapan walaupun makin mengecil, tapi tetap ada. Mungkin mudah untuk mereka menenangkan aku supaya jangan terlalu memikirkan prognosis yang ada sekarang (satu-satunya perkara yang tak mampu aku ceritakan kepada sahabat itu). Tapi kalau mereka di tempat aku, berada dalam keadaan diberi tempoh tertentu untuk hidup dan mampu bertahan, mana mungkin ketenangan yang diharapkan akan datang dengan mudah. Tidak mudah kalau kita tidak yakin dengan janji Allah.

Apa pun keadaannya sekarang, dan apa pun yang akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang, aku akan berusaha menjadi hamba Allah yang bersyukur di atas nikmat yang ada dan redha di atas ujian yang diberi. Kita selalu mengeluh dengan apa yang kurang pada kita setiap kali melihat apa yang lebih pada orang lain. Dan kita hanya akan bersyukur dengan apa yang kita ada setelah melihat apa yang kurang dan tiada pada orang lain. 

Macam semalam ketika menunggu di outpatient clinic, aku, adik aku dan beberapa pesakit lain hanya melihat dan mendengar rungutan dan rengekan seorang gadis yang sangat risaukan bisul kecil di atas hidungnya. Risau bisul itu akan merosakkan kecantikan wajahnya. Risau parut itu nanti akan menyebabkan kawan-kawan mentertawakannya.

Setelah hampir 10 minit mendengar keluhan dan kerisauannya itu, tiba-tiba seorang pakcik di tepi aku bertanya kepada ibunya.
               "Sakit apa?"
               "Bisul. Awak?" balas ibunya yang sabar itu.
               "Oh..bisul. Saya kanser," jawab pakcik itu sambil menunjukkan telinganya.
Baru kami perasan sebelah telinganya yang berbalut dan nampak rata itu. Senasib rupanya kami. Tiba-tiba je suasana jadi sunyi sepi. Mungkin pakcik itu ikhlas bertanya. Atau mungkin juga ada sesuatu yang dia mahu gadis itu tahu. Ada orang lain yang lebih menderita daripadamu. Maka aku juga harus bersyukur. Walaupun terbatas, sekurang-kurangnya aku masih mampu menjalani hidup seperti orang lain.

Dan aku harap aku masih mampu memberi semangat buat sahabat yang jauh itu. Supaya dia tidak mudah mengalah. Aku tahu menuntut ilmu itu payah. Lebih payah bila kau perlu mengingati, memahami dan menghafal sesuatu yang baru dalam hidupmu. Tapi insyaAllah..yakinlah Allah sentiasa bersamamu. Allah sentiasa memudahkan jalan orang yang mencari ilmu sepertimu.  Saat terindah di kala kau mencari ilmu ialah mengenali siapa Penciptamu..


You are not alone. Semua yang di sini sentiasa mendoakanmu. Selagi doa seorang ibu sentiasa bersama kita, insyaAllah sesukar mana pun jalan yang ada, pasti ada jalan keluarnya. Sudah berkali-kali kau membuat orang tuamu tersenyum dengan kejayaanmu. Buatlah mereka tersenyum lagi kali ini. You know what, my friend...the most beautiful thing in this world is to see your parents smiling, and knowing that you're the reason behind that smile. Seperti yang Angah lakukan minggu lepas dan yang bakal Abe lakukan nanti. Buatlah mereka tersenyum berkali-kali...ganbatte!

Sahabat itu saling menguatkan..

Thursday, 11 October 2012

Kayuhlah Perlahan-lahan..

You have come this far. Don't give up now. Walaupun bukit itu tinggi, walaupun jalannya berliku,kayuhlah perlahan-lahan. Usaha,doa,tawakal..insyaAllah.


Wednesday, 26 September 2012

Ganbatte!


Alhamdulillah, syukur sahabat itu telah selamat tiba di sana. Malam yang penuh emosi berakhir dengan kelegaan hari ini bila dapat berbual dan melihat wajahmu. Bersabarlah dengan ujian-ujian kecil buatmu. Rasa hatimu hanya dirimu dan Allah sahaja yang tahu. InsyaAllah semuanya akan bertambah mudah bila kau dapat menyesuaikan diri dengan baik di sana. There is always first time for everything, dear.. Allah sentiasa bersamamu.

Maka hari ini bermulalah perjalanan baru hidupmu. Juga perjalanan baru dalam hidupku. Cuba mengisi hari-hari yang berbaki tanpa seorang sahabat yang sentiasa ada dalam susah dan tangisku. Dalam sedih dan sakitku. Susah, tapi insyaAllah..aku juga yakin Allah sentiasa bersamaku.

Benar ramai lagi sahabat yang mengambil berat dan sangat prihatin dengan keadaanku. Tapi aku sudah terbiasa denganmu. Terasa kekok untuk menjadi beban kepada orang lain. Terasa bersalah untuk mengheret orang lain memperlahankan rentak hidup mereka keranaku. Rasa sangat malu mengharapkan orang lain untuk menjagaku seperti kau melayanku. Tidak semua yang patah itu akan tumbuh kukuh seperti yang asal. Tidak semua yang hilang itu akan terganti dengan yang lebih baik.

Tapi jangan kau risau tentang aku. Tak akan mengalah sebelum sampai waktu. Fokus pada hidupmu di sana. Carilah ilmu dan pengalaman sebanyak-banyaknya. Supaya dapat kau bahagikan ilmu dan pengalamanmu itu nanti  kepada semua yang ada di sini. Dan aku juga akan berusaha menunaikan janji untuk terus bertahan sehingga sahabat itu kembali. Namun kita perlu bersedia dengan takdir Tuhan. Carilah sahabatmu ini bila kau kembali, walau apa pun keadaanku nanti.

Berceritalah kepadaku setiap hari, kerana mendengar ceritamu akan dapat  mengurangkan sakitku, menghilangkan lelahku, membuang jauh kesedihan dan ketakutanku. Mudah-mudahan kau sentiasa dalam jagaan, kasih sayang dan perlindungan Allah. Aku bangga punya sahabat sepertimu.

Sampai jumpa lagi. Ganbatte!!   

Saturday, 22 September 2012

Sayonara Sahabat...

Akhirnya Selasa ini (25 September 2012) sahabat itu akan pergi meninggalkan aku. Perjalanan yang baik, niat yang baik sebagai musafir ilmu. InsyaAllah, aku sentiasa mendoakan moga yang baik-baik jugalah menunggunya di sana.

Semoga sahabat itu tidak terlalu bersedih seperti aku. Senyumlah. Bahagiakan dirimu. Kerana kau akan merasai suasana yang baru, bertemu kembali sahabatmu yang lebih dulu mengenalimu, dan bakal berkenalan dengan teman-teman yang baru. Bukan di sini lagi, tapi di sana.

Jujurnya, masih belum puas menghabiskan masa bersama sahabat sebaikmu. Masih belum cukup kenangan yang telah kita tanam. Namun, mudah-mudahan kenangan yang ada ini akan terus tumbuh subur, menyemaikan benih-benih kasih di antara kita. Terimalah bahawa kita tidak seharusnya kekal di sini. Juga tidak mungkin dapat sentiasa bersama.


 Kuatkan langkahmu ke tempat yang baru itu. Bumi bertuah yang menjanjikan 1001 pengalaman indah buatmu. Untuk melangkah jauh dan bertapak dalam lembaran baru hidupmu, kau tak boleh membawa sahabat yang sepertiku ini bersama. Sahabat yang hanya akan membataskan dan memperlahankan aturan hidupmu. Itu harga sebuah kejayaan, sahabat. Hakikat yang aku telah lama terima. Keadaan diri yang semakin memperlahankan rentak hidup orang lain.

Nikmat Allah di mana-mana. Percaya janji Tuhan. Cantik kerja Tuhan. Di sana juga akan ada keberkatan rezekimu. Siapa tahu, mungkin di sana juga ada keindahan cinta menantimu. Kerana sahabatmu ini sentiasa percaya, anak yang baik, kakak yang baik dan sahabat yang baik sepertimu akan ditemukan Allah dengan seseorang yang baik juga, yang akan membahagiakan dirimu.

Rindu akan menjadi penghubung kita. Doa akan menjadi bahasa kita. Aku akan sentiasa teruja mendengar cerita-ceritamu, dan akan sentiasa tersenyum melihat wajah bahagiamu di sana. Seperti bicaranya Kahlil Gibran:
Ketika tiba saat perpisahan,
Janganlah kau berduka,
Kerana apa yang paling kau kasihi darinya,
Mungkin akan nampak lebih nyata dari kejauhan,
Seperti gunung yang nampak lebih agung,
Andai dilihat dari padang dan dataran.

Semoga Allah memberi aku kekuatan untuk menghantar sahabat itu dengan senyuman. Dan aku juga berdoa moga-moga suatu hari nanti dapat aku sambut pula kepulangannya dengan senyuman yang lebih indah.

Namun, andai inilah terakhir kalinya dapat kau lihat wajah sahabatmu ini, izinkanlah aku mengakhirinya dengan senyuman. Kerana aku mahu saat akhir kita ini dapat kau kenang suatu hari nanti sambil tersenyum juga. Ceritakanlah kepada anak cucumu nanti betapa suatu ketika dulu kau pernah punya sahabat yang 'sengal' seperti aku. 

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..
Jagalah sahabatku itu sebaik-baiknya. Permudahkanlah hidupnya di sana. Penuhilah hari-harinya dengan senyuman. Sihat sejahterakanlah jasad dan rohaninya. Dan berikanlah hambaMu yang lemah berdosa dan serba kekurangan ini peluang untuk dapat bertahan dan terus bernafas sehingga bertemunya semula. Sungguh Kau Maha Mendengar. Amin Ya Robb..

Sarang hae, my friend..
My favourite hello and my hardest goodbye.
Selagi rohku masih belum berpisah dengan jasad,carilah aku dalam susah dan sedihmu.
Dalam sunyi dan tangismu.
I can't promise to fix all your problems.
But I can promise you won't have to face them alone.
Kerana di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya sahabat..kasihnya aku.
Pada Tuhan kita sandarkan harapan..

Sayonara sahabat yang dikasihi..

Bertemu berpisah kerana Allah..