Pages

Subscribe:

Labels

Sunday, 14 August 2011

Cerita Ramadhan (3)


Alhamdulillah, bertenaga sikit sehari dua ni, dapat puasa penuh. Allah sentiasa mendengar doa hambaNya. Dapat tunaikan hajat Mama nak gantung lampu ketupat (siap check satu-satu bulb mana yang tak menyala). Dapat selesaikan urusan zakat fitrah dan pendapatan dengan adik. Dapat juga buat terawih walaupun sendirian. Syukurlah, mudah-mudahan Allah sampaikan hajatku supaya dapat terus berpuasa dan menyempurnakan ibadah lain dalam keadaan sihat dan gembira.

Pagi tadi juga dapat lama sikit di kubur Abah, bicara tanpa suara dan kata-kata. Dah namanya rezeki, dapat jumpa keluarga Allahyarham sahabat baikku di sana. Lama tak jumpa Mak, setakat selalu bertanya khabar kat telefon. Adik-adik arwah pun semuanya balik minggu ni. Sayu hati bila Mak cakap kat aku, "Peluk Along rasa macam dapat peluk Imah". Peluklah, Mak..kalau itu boleh membahagiakan dan menghilangkan rindu. Siapalah yang tahu derita hati seorang ibu yang kehilangan anak yang paling dikasihi, kan..

Pagi raya nanti penuhlah tanah perkuburan dengan waris-waris yang datang berziarah. Memang kita disunnahkan untuk menziarahi kubur bagi mengingatkan kita kepada kematian. Tapi Rasulullah s.a.w tak pernah mengkhususkan pagi raya sebagai hari untuk menziarah kubur. Orang kita je yang dah jadikan benda tu macam satu kemestian. Lepas ni, tempat tu akan kembali sunyi. Mudah-mudahan doa dan ingatan kita kepada si mati bukan seperti tu juga, muncul setahun sekali. Biarlah yang pergi tu sentiasa hidup dalam doa kita, agar aman dan bercahaya pemakaman mereka.

Remembering Nor Azimah, 1979-1995

Hari ni juga kawan baik Abah dan keluarganya datang berbuka. Alhamdulillah, Mama dah boleh tersenyum dan ketawa untuk mendengar dan bercerita kisah-kisah lama tentang Abah. Tak ada lagi airmata. Syukurlah kalau cerita-cerita tu dapat mengubat rindunya pada Abah. Terima kasih, pakcik kerana tak jemu-jemu membuka cerita cinta Mama dan Abah pada kami. Kalaulah pakcik juga mahu bercerita kepada aku tentang rahsia yang satu itu, insyaAllah aku tetap akan berusaha mencari mereka, walau apapun keadaannya nanti.

Malam ni dah pertengahan Ramadhan. Kalaulah amal ibadahku ini boleh diukur guna mana-mana weighing scale, entah baru sampai mana la jarum meternya. Mungkin tak seberat dan sebanyak orang lain. Sepatutnya orang macam aku ni perlu lebih lagi taubat dan ibadahnya daripada orang lain yang sihat walafiat. Kalau Allah beri petanda bila nak diambil nyawa, syukurlah. Tapi kalau tiba-tiba tidur malam ni akan jadi tidur aku yang panjang buat selama-lamanya, aku tak nak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi..na'uzubillahi min zalik.


Cantik langit malam ni, tak nampak pulak bulan kat mana (terlindung dek lampu ketupat Mama agaknya). Ya Allah, doaku malam ni sama seperti malam-malam sebelumnya. Berilah aku kesihatan dan kekuatan, istiqamah dalam beribadah. Jangan Kau susahkan hati orang-orang yang sayang dan sangat mengambil berat terhadapku. Mudahkan perjalanan hidup mereka, lapangkan hati mereka. Berilah aku kesempatan yang panjang untuk membalas kebaikan dan pertolongan mereka. Amin, ya Allah..

PadaMu Ku Bersujud - Afghan
 

Friday, 12 August 2011

Cerita Ramadhan (2)

Ketulusan Hati - Marshanda

Malam ni dah malam ke-13 Ramadhan. Sungguh Ramadhan tahun ni betul-betul menguji kekuatan iman dan ketabahan fizikalku. Setakat ni cuma mampu berpuasa 8 hari. Syukurlah Allah masih memberi peluang untuk aku merebut pahala bulan mulia ini, walau tak sesempurna orang lain. Makin kerap pula sakitnya sejak mula puasa ni. Kata doktor kerana ubat. Ubat-ubat yang kuat menyebabkan aku tak boleh kurang air dalam badan. Maka aku kena terima, jangan lagi memaksa diri hingga memudaratkan, malah menyusahkan orang lain pula nanti. Mudah-mudahan puasa yang aku sempurnakan, walaupun tak sebanyak orang lain ni diterima baik di sisi Allah.

Mama dah siap dengan perancangan raya tahun ni, dah macam master plan pulak aku tengok. Biarlah dia seronok nak menyambut raya, sama gembiranya dia dapat tiap-tiap malam berterawih di surau setakat ni. Sekurang-kurangnya tahun ni kesedihan dia teringatkan Abah setiap kali buka dan sahur dah berkurangan. Dah boleh terima ketentuan Allah dengan hati yang redha. Anak-anak semua dah depan mata, mungkin Mama dah tak rasa sunyi lagi. Janganlah Kau ambil aku dulu, ya Allah..Mama tak boleh kehilangan sesiapa lagi buat masa ni.     

Tugas aku tiap-tiap tahun pasang lampu kelap-kelip kat rumah  belum tertunai lagi. Tunggulah dah sihat sikit nanti. Nampaknya tahun ni banyak kerja yang aku selalu buat setiap kali sebelum raya terpaksa aku 'sub'kan kepada adik-adik. Harap-harap Mama tak kisah dan mudah-mudahan adik-adik bersabar dan 'bertindak mengikut arahan'.

Nak dekat 2 minggu puasa ni, belum sekali pun aku ke pasar Ramadhan. Bukan nak beli apa pun, saja nak tengok kemeriahan orang berniaga dan berbelanja. Kawan-kawan yang berniaga kat Pandan Indah dan Kampung Baru sibuk suruh datang. Teringin juga nak pergi, tapi keadaan tak mengizinkan lagi nampaknya. Tapi kalau Mama yang mengajak, terpaksa juga aku turutkan nanti.

Rindu 'lompat tikam' masa mengajar kat Pahang dulu. Teringat keli salai masak lemak cili api masa buat KPLI kat Seremban (ambil isinya je, kuah aku tinggalkan..pedas!). Seminggu ni lalu makan tepung pelita dan air kelapa je nampaknya. Jamah jugalah sikit-sikit hidangan lain. Minggu ni tak buat chemo, harap-harap sehari dua ni nanti ada la selera sikit. Kesian adik-adik, hari-hari tanya nak makan apa kat 'param' (Pasar  Ramadhan hehe), sudahnya beli tepung pelita dan air kelapa juga.

Hujung minggu ni harapnya dapatlah ke kubur Abah. Minggu lepas tak sihat. Biasanya dalam bulan puasa ni, aku dapat jumpa Abah dalam mimpi. Belum ada rezeki lagi, walaupun dah dua kali rasanya aku terbangun sahur bila terdengar macam suara Abah yang memanggil. Mudah-mudahan tenang dan bahagialah Abah di sana.

Ya Allah, berikanlah aku kesihatan supaya dapat meraikan dan merasakan nikmat Ramadhan seperti orang lain. Berilah hambaMu ini kekuatan untuk melaksanakan ibadahMu. Berilah aku peluang untuk menggembirakan hati orang-orang yang sayang dan banyak berbuat baik kepadaku. Kalaupun tak dapat membalas semua kebaikan mereka, sekurang-kurangnya janganlah aku terus menyusahkan mereka. Amin, ya Rahman ya Rahim..

Tuesday, 9 August 2011

Saat Kita Diuji

"Sesuatu yang bermula dengan rasa marah biasanya akan berakhir dengan rasa malu".
-Benjamin Franklin

Hari ini aku menyaksikan satu lagi kebodohan manusia yang bertindak di luar batas seorang yang selayaknya dipanggil manusia. Menjadi saksi betapa bila lidah bertindak lebih pantas dari akal fikiran, maka akhirnya kita akan mendedahkan aib dan kekurangan diri sendiri. Seperti kata Saidina Ali r.a, tutur kata orang berakal itu berada di sebalik hatinya, sedangkan hati orang yang bodoh itu terletak pada tutur katanya.

Sakit rasa hati bila melihat sahabat sendiri diperlakukan seperti orang bersalah untuk kesalahan yang bukan datang dari dirinya. Bila sahabat sendiri dizalimi, ringan sungguh rasa tangan dan mulut ni nak menjawab dan berbuat sesuatu. Tapi syukurlah keadaan tak berakhir dengan sesuatu yang buruk. Mudah-mudahan Allah melindungi sahabatku itu.

“..dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, dan (ingatlah), Allah mengasihi mereka yang berbuat perkara-perkara yang baik” 
(Surah Ali ‘Imran ayat 134).

 Mungkin ada baiknya kita melihat apa yang berlaku dari sudut positif. Bila Allah menguji kita dengan sesuatu, tandanya Dia sedang berbicara dengan kita kan? Moga-moga bertambah keimanan kita seandainya kita bersabar dengan ujian tersebut. Semoga juga berkat kesabaran itu akan menghapuskan dosa-dosa dan kekurangan kita yang lalu. 

Buat sahabat yang berjaya menghadapi ujian itu dengan tenang dan profesional tadi, terimalah semua tu sebagai cabaran kita dalam mendidik hati manusia. Jangan mengalah dan berundur dari amanah yang sedang kau pikul, sebab insyaAllah kau tidak memikulnya sendirian. As the day turns into night, keep your worries out of sight. No matter how tough the world may seem, you still deserve the sweetest dreams. Cantik kerja Tuhan, percayalah..


I'll Stand By You-Carrie Underwood

Wednesday, 3 August 2011

Kadar Zakat Fitrah 2011




Negeri
Kadar Zakat Fitrah 2011 (RM)
Perlis
6.00
Kedah
7.00
Pulau Pinang
7.30
Perak
7.00
Selangor
7.00
Negeri Sembilan
6.50
Melaka
6.30
Johor
6.50
Pahang
7.30
Terengganu
6.00 / 7.00 / 8.00*
Kelantan
7.60
Sarawak
7.50
Sabah
7.70
Wilayah Persekutuan
7.00
 *Kadar berbeza di Terengganu mengikut gred beras yang dimakan di rumah hari-hari.

Waktu mengeluarkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan terbahagi kepada 5:
  • Wajib : Mulai terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
  • Paling Afdhal : Sebelum sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri
  • Sunat : Sepanjang bulan Ramadhan
  • Makruh : Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
  • Haram : Selepas terbenam matahari pada satu Syawal; hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira qada. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya. 
Lafaz niat:
1. NIAT ZAKAT FITRAH SEORANG DIRI

Lafaz Ijab bagi pembayar zakat :

“INI ZAKAT FITRAH SAYA YANG WAJIB BAGI DIRI SAYA PADA TAHUN INI SEBANYAK RM …………KERANA ALLAH TA’ALA”

Lafaz Qabul bagi penerima zakat/Amil

“SAYA TERIMA ZAKAT YANG WAJIB BAGI DIRI TUAN PADA TAHUN INI SEBANYAK RM..................... KERANA ALLAH TA’ALA”.

2. NIAT ZAKAT FITRAH BERKELUARGA

Lafaz Ijab bagi pembayar zakat :

“INI ZAKAT FITRAH SAYA DAN TANGGUNGAN SAYA SERAMAI ….. ORANG YANG WAJIB BAGI DIRI SAYA PADA TAHUN INI
SEBANYAK RM.................... KERANA ALLAH TA’ALA.

Lafaz Qabul bagi penerima zakat/Amil :

“SAYA TERIMA ZAKAT TUAN DAN TANGGUNGAN TUAN SERAMAI ….. ORANG YANG WAJIB BAGI DIRI TUAN PADA TAHUN INI
SEBANYAK RM.................... KERANA ALLAH TA’ALA.

3. NIAT ZAKAT FITRAH BERWAKIL

Lafaz Ijab bagi pembayar zakat/wakil :

“INI ZAKAT FITRAH …........ (SEBUT NAMA ORANG YANG BERWAKIL) DAN TANGGUNGANNYA SERAMAI ….........…. ORANG YANG WAJIB BAGI DIRINYA PADA TAHUN INI SEBANYAK RM.............................. YANG BERWAKIL KEPADA SAYA KERANA ALLAH TA’ALA”.

Lafaz Qabul bagi penerima zakat/Amil :

“SAYA TERIMA ZAKAT ….. (SEBUT NAMA ORANG YANG BERWAKIL) YANG TELAH BERWAKIL KEPADA TUAN DAN TANGGUNGANNYA SERAMAI …. ORANG YANG WAJIB BAGI DIRINYA PADA TAHUN INI SEBANYAK RM............................ KERANA ALLAH TA’ALA”.

Tuesday, 2 August 2011

Cerita Ramadhan (1)


Alhamdulillah, Allah temukan aku dengan Ramadhan. Dah hari ke-2 pun. Sangat hebat dugaannya untuk orang seperti aku. Semalam, hari pertama puasa, syukur dapat bertahan sampai Maghrib. Tapi hari ni aku terpaksa korbankan puasa  untuk ambil ubat cepat, kerana takut keadaan akan jadi lebih mudarat kalau aku teruskan. Semalam lepas buka, check BP, rendah. Balik sekolah tadi pun rendah lagi, 90/60. Sedih, rasa sayang sangat tergadai puasa hari ni. InsyaAllah esok cuba lagi. Mudah-mudahan Allah permudahkan.

Malam ni tarawih sendiri kat rumah je. Semalam pun tak ke surau dan tak buat tarawih, gara-gara paksa diri habiskan puasa. Sempat ke surau malam pertama Ramadhan je. Awal-awal macam ni  biasalah, sesak surau-surau dan masjid dengan jemaah. Mudah-mudahan begitulah sampai akhir Ramadhan. Tengok keadaan sesak begitu, tak memungkinkan aku untuk selalu ke surau lepas ni (pesakit yang sedang dalam rawatan chemo perlu elakkan tempat yang sesak dan jauhi orang sakit untuk elakkan jangkitan). Tak apalah, di mana-mana pun Allah terima ibadah kita, sekali pun di kaki lima. Asalkan tempat tu bersih kan..

Cerita pasal puasa, mesti nak cerita pasal menu berbuka. Bulan puasa beginilah kita dapat jumpa makanan yang susah kita nak cari masa hari biasa. Blog-blog dan website resepi pun mesti dapat carian tertinggi. Orang yang jarang ke dapur kerana tuntutan kerja pun dah mula berasap dapur mereka. Meriah. Rumah kami puasa pertama macam Hari Raya, mesti masak lontong, lodeh, rendang dan sambal. Tradisi Abah yang kami teruskan, selain bergilir selang sehari ajak sorang dua anak yatim berbuka sekali. Moga-moga Allah murahkan lagi rezeki kami.

Tapi yang lalu masuk ke tekak aku dua hari ni cuma puding dan sup. Kurma pun pilih jenis yang lembut sekali untuk ditelan. Syukur, masih ada rezeki untuk aku, dibandingkan dengan cancer warriors lain yang mungkin sebutir rezeki pun tak mampu untuk dijamah. Semoga kita dikurniakan kesabaran dan kekuatan dalam perjuangan ini. Aku harap esok kesihatan makin baik, dapat bertahan puasa hingga waktu berbuka. Walaupun dah mula rasa kesan sampingan ubat baru tu, insyaAllah aku nak cuba juga setakat yang mampu.

Wahai diri, setiap kali solat, anggaplah ini solatmu yang terakhir. Begitu juga dengan puasa, anggaplah ini Ramadhanmu yang terakhir. Terakhir bukan nadanya seperti orang berputus asa. Tapi menganggap yang terakhir itu supaya aku dapat melakukan yang terbaik, dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Rabbil Alamin.