Pages

Subscribe:

Labels

Tuesday, 27 December 2011

Permulaan Baru


Kembali ke sekolah hari ini. Seronok dapat jumpa kawan-kawan. Yang pipi makin tembam, yang perut makin membesar (ramai betul yang bersalin tahun depan..bertambah umat Muhammad, alhamdulillah). Lupakan kejap deretan kerja yang dah menunggu. Dah rasa cukup bahagia bertemu kawan-kawan tadi. Macam-macam cerita, macam-macam rasa..

Aku jadi guru kelas lagi tahun ni. Boleh ke aku ni? Tahun ni pun dah rasa cukup banyak menyusahkan orang. Tapi yalah kan..bila orang beri kita sesuatu amanah, bererti mereka percaya pada kita. Maka, sabarlah diri..terima ini sebagai cabaran. Cuma aku berjanji untuk tidak terlalu memaksa diri. Beri diri sendiri ruang untuk bernafas dan juga peluang untuk membalas kepercayaan yang diberikan. Andai kata dalam beberapa bulan lagi keadaan semakin teruk, aku sendiri akan berundur. Semoga Allah memberikan hambaNya ini kekuatan untuk bekerja dan beribadah sementara kudrat masih ada.


Masa mesyuarat di sekolah tadi juga sibuk dengan agenda opsyen bersara. Tengok kawan-kawan sibuk mengira berapa tahun lagi nak bersara, memilih-milih umur yang sesuai untuk berehat, tiba-tiba aku jadi sangat pesimis dalam suasana tadi. Bersungguh-sungguh aku memilih opsyen pun, dapat ke aku bertahan sampai ke usia itu? Semua orang leka mengira berapa tahun lagi yang mereka ada untuk bersara, entah-entah aku ni cuma mampu menghitung berapa bulan yang tinggal untuk terus bernafas. Sudahnya kekal dengan pilihan aku sebelum ini. Kalau ada rezeki dan umurku sepanjang itu, alhamdulillah. Kalau tidak pun, tak ada apa yang dikesalkan. Bersyukur dengan setakat mana rezeki dan hayat yang Allah dah tetapkan.


Bohonglah kalau aku kata prognosis doktor tak mempengaruhi perancangan hidup aku sekarang. Setakat mana Allah mengizinkan aku untuk terus sihat nanti, selama itulah aku akan cuba memberikan yang terbaik untuk anak-anak murid yang bakal diamanahkan Allah kepadaku nanti. Moga-moga Allah memberi aku lebih masa untuk bersama mereka dan kawan-kawan aku di sekolah tu..amin.


Mulai esok dan hari-hari seterusnya di sekolah nanti, aku mengharapkan dapat memberi yang lebih baik daripada sekarang. Menyelesaikan setiap urusan pada waktunya. Memberi makna pada setiap usaha. Memanfaatkan peluang sihat sebelum sakit, dan kesempatan hidup sebelum mati. Sambil tidak lupa memohon pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar. Gagal itu biasa, terus berusaha itu yang luar biasa. Berusaha dan bekerja hak kita. Menentukannya itulah hak Allah. Pada Tuhan aku sandarkan harapan..

Amalan doa mohon keberkatan & murah rezeki setiap pagi

Monday, 26 December 2011

A Priceless Journey


Sangat lama tak menjenguk blog ni. Sibuk mengumpul kenangan. Alhamdulillah, dimudahkan Allah perjalanan aku ke Terengganu minggu lepas. Terima kasih buat Ros dan keluarga yang sudi menerima 'orang pulau' ni selama aku di sana. Aku harap aku tidak terlalu menyusahkan.

Bagi seseorang yang sedang berjuang untuk terus hidup dan sentiasa mengira detik-detik akhir hidupnya, dapat memenuhi sesuatu impian sudah cukup memberikan sedikit harapan. Lima hari di Terengganu yang sarat dengan pengalaman dan kenangan, sudah cukup melunaskan salah satu impian itu. Percutian yang memberikan banyak rasa dan meninggalkan banyak cerita.

Orang sungai macam aku ni berubah sekejap jadi orang pantai selama di sana. Kemaruk tengok ombak hari-hari, pantang jumpa pantai je mesti singgah. Rasa tenang dengan hanya melihat cantiknya kejadian Tuhan. Kalau dilanjutkan muhasabah ini, hidup kita juga seperti ombak dan pantai, dan seperti laut yang luas itu. Maka benarlah sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.
 
Percutian yang membuat aku lebih menghargai nilai persahabatan dan kekeluargaan. Do you know which is the best part of life? Simple. When your family understands you as a friend, and your friends support you as your family. Perhubungan yang erat dan kemesraan yang terjalin menjadikan laluan hidup yang sukar ini nampak mudah sedikit jalannya. Biarlah orang lain melihat kita dan sahabat kita itu bezanya seperti langit dan bumi, kerana aku melihat eratnya kami seperti langit dan bumi itu juga. Saling memerlukan dan melengkapi. Your friend is your best mirror. Seorang mukmin adalah cermin kepada mukmin yang lain. Bukankah sahabat itu saling menguatkan..

Kenangan yang terakam bersama mereka yang aku kasihi akhir-akhir ini selalu aku jadikan azimat saat kesakitan datang menyerang. Berharap sakit itu akan berkurangan dan itulah yang berlaku selalunya..alhamdulillah. Semoga yang manis itu akan terus dikenang andai kata aku mendahului mereka nanti.

Dan bila mengenang semua ini, teringat pula puisi indah Kahlil Gibran yang sangat aku minati:

Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.

Dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.

Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.
Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.

Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan..
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.

Thanks for the memories. My friends will always be my favourite hello and my hardest goodbye. I may not be able to grow old with you, but I will always be your friend for as long as I live. Sarang hae-yo!

Akrab Persahabatan - In-Team 

Thursday, 15 December 2011

Life Goes On..

 "Dan demi Tuhan, bersabarlah..."

Rasa lama tak menulis sesuatu. Kesihatan tak mengizinkan 2-3 hari lepas, tak dapat nak menyusun kata. Pengaruh cuaca yang tak menentu di KL kebelakangan ni sedikit sebanyak memberi kesan kepada aku. Tapi alhamdulillah, banyak juga yang dapat dibereskan dan ditunaikan dalam seminggu ni. Antaranya:

  • Pertama kali dalam hidup, dapat buat Solat Sunat Khusuf pada Sabtu lepas. Tak dapat tengok pun  gerhana bulan tu, tapi dapat juga meraikan kebesaran Allah itu dengan penuh kesyukuran. Cantik kerja Tuhan kan..
  • Menjadi sebahagian daripada mereka yang berbaris di jalan untuk meraikan keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Isnin lepas. Itu pun sebab kena bawa budak..wakil dari sekolah aku. Susur galur Kesultanan Terengganu menjadi antara bahan bacaan utama aku minggu ini. Daulat Tuanku!
  • Alhamdulillah, dapat khatam lagi malam ni. Dua bulan kebelakangan ni aku selalu menjadikan sibuk sebagai alasan untuk mengurangkan kekerapan bacaan. Sibuk dengan urusan dunia, macam sombong dengan Tuhan pula rasanya. Mujurlah Allah masih beri kesempatan untuk menyelak dan membaca lagi helaian-helaian kalimah suci daripadaNya. Astaghfirullah..
  • Akhirnya skrip teater aku berjaya dipentaskan malam kelmarin. Persembahan kecil untuk golongan marhaen seperti kami. Sayang aku tak dapat tengok kerana kesihatan tak mengizinkan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang buat video call malam tu. Harap-harap dapat tengok rakamannya tak lama lagi. Ada juga sesuatu untuk aku kenangkan nanti.. Go Jebatians! (kita anak-anak Jebat)
  • Buat blood count lagi pagi tadi. Seperti dijangka, platelet terus merosot kerana demam minggu ni. Harap-harap follow-up seterusnya nanti akan ada perubahan. Berilah hambaMu ini sedikit harapan, ya Rahman ya Rahim..
Beginilah hidup. Betapa elok pun kita merancang, cantik lagi perancangan Allah. Perkara-perkara yang kita tak jangka dan bersedia, rupa-rupanya begitu sempurna diatur oleh Allah. Cari hikmahnya. Itu yang selalu diingatkan kepada kita. Tapi sudah namanya manusia, selalu lupa betapa sayang dan dekatnya Allah kepada kita. Semoga kesakitan ini akan berkurangan. Apa pun yang bakal terjadi dan telah terjadi, selagi bernafas, hidup mesti diteruskan..ila mardhotillah (menuju redha Allah).

Jumpa lagi..

Thursday, 8 December 2011

Kalau Aku Tiada Kanser


Kalau aku tiada kanser, cuti sekolah begini pasti setiap hariku terisi dengan macam-macam aktiviti. Bawa Mama jalan-jalan, balik Singapore, cuti-cuti Malaysia dengan kawan-kawan, memenuhi permintaan adik-adik yang mahukan menu masakan pelbagai rasa, etc.

Kalau aku tiada kanser, pasti aku akan berusaha mempertahankan sebuah perhubungan. Berusaha mendapatkan restu. Berusaha mencari bahagia dengannya. Mungkin kita masih diulit bahagia..

Kalau aku tiada kanser, pasti aku akan menjadi seorang guru yang lebih baik. Mengajar dengan lebih semangat dan bertenaga, mungkin sama ligat dengan anak-anak muridku yang lasak itu.

Kalau aku tiada kanser, mungkin sekarang aku sedang sambung belajar.  Terus menjadi pencari ilmu yang tak jemu-jemu meneroka ilmu Allah. Kagum dengan seorang sahabat dan adik-adiknya yang tak jemu-jemu belajar dan tetap kuat bekerja.

Kalau aku tiada kanser, mungkin aku lebih lalai dan leka dengan keseronokan dunia. Mungkin masih menangguhkan taubat dan beribadah yang wajib-wajib sahaja. Tahu Tuhan sentiasa ada, tapi tak bersungguh-sungguh untuk lebih dekat padaNya.

Kalau aku tiada kanser, mungkin malam-malamku dapat dilalui dengan tidur yang lebih lena. Bukan terjaga di tengah malam dan bergelut menahan kesakitan. Bangun pagi dengan penuh tenaga, bukannya bangkit dalam kepayahan.

Dan kalau aku tiada kanser, maka tiadalah blog ini. Kerana wujudnya ia untuk menjadi sandaran bagi aku meluahkan perasaan dan mencatat perjalanan hidupku dalam melawan penyakit ini. Juga merakam penghargaanku kepada insan-insan yang banyak membantu.


Entry ke-100 yang penuh makna. Sudah 100 catatan suka duka diri sendiri rupanya yang tak pernah aku terfikir pun sebelum ini untuk berkongsi di ruangan sebegini. Sampai bila aku mampu meneruskan catatan ini? Bila kesihatan makin merosot nanti, mungkin blog ini akan jadi teman setia untuk aku kenangkan semula perjalanan dan perjuangan aku sejak kanser ini berulang kembali. Aku harap akan ada kesempatan untuk aku meletakkan catatan terakhir di blog ini nanti. Bermula dengan  cara yang mesra, biarlah ia berakhir dengan cara yang baik juga, bukan tergantung begitu sahaja.

Selagi terdaya, aku akan terus bercerita. Bukan untuk sesiapa. Bukan juga untuk membuktikan apa-apa. Tapi untuk diri aku sendiri..

Wednesday, 7 December 2011

Jangan Surut Langkah..

Ambil darah hari ni. Blood count pertama lepas seminggu cuba ubat baru. Kiraan sel darah putih yang agak tinggi dan platelet yang merosot. Dua keadaan yang tidak menggembirakan doktor. Juga kesan sampingannya yang mula buat aku rasa tak selesa.

Nyai (nendaku dari Singapore) tiba semalam. Janganlah jadi apa-apa padaku dalam waktu terdekat ini. Melihat kedut-kedut di wajahnya serta uban memutih di kepalanya, buat aku semakin sayu. Antara kami ni nanti, siapalah yang pergi dahulu. Hati lebih berat mengatakan mungkin aku.

Maka sabarlah diri. Tabahlah hati. Tahanlah kesakitan ini, kerana ini jalan yang aku pilih. Semoga dengan izin Allah jualah akan ada kesembuhannya nanti..amin.