Pages

Subscribe:

Labels

Saturday, 28 January 2012

Hafalan Shalat Delisa

"Bacaan solat yang sempurna. Lulus!"

Dah tengok filem ni? Ada kat Astro First sekarang. Thanks to a friend who suggested me to watch this movie. Jujurnya, aku lebih suka Laskar Pelangi. Tapi ini pun berbaloi untuk ditonton. Kisah anak kecil yang berdepan trauma kehilangan ahli keluarganya. Tentang kasih sayang Ummi dan Abinya. Serta bagaimana sebuah bencana menyatukan hati-hati yang bersisa seperti sebuah keluarga. Semuanya tentang keikhlasan. Adakah kita ikhlas menerima ujian daripada Allah? Adakah kita ikhlas merelakan kehilangan insan-insan yang kita kasihi? Adakah kita ikhlas beribadah selama ini?

Seperti jawapan Ustaz Rahman terhadap pertanyaan Delisa, kenapa begitu susah untuknya menghafal bacaan dalam solat:

"Orang yang susah melakukan sesuatu itu kerana hatinya tidak ikhlas. Melakukannya bukan kerana Allah. Tapi kerana hadiah, hadiah, hadiah".

Itu yang terjadi kepada Delisa apabila pada akhirnya ditemukan erti keikhlasan itu. Apabila dia sedar akhirnya dia tidak mahukan kalung itu, tapi hanya mahu solat dengan baik. Supaya dapat berdoa untuk Ummi dan kakak-kakaknya, Tiur sahabatnya, serta insan-insan lain yang telah mendahuluinya. Juga akhirnya dia ikhlas melepaskan ibunya dan menerima hakikat yang bawa Umminya pergi itu bukan pantai, tapi cubaan daripada Allah.

"Walaupun tak ada, kita mesti tetap berusaha. Jangan menyerah".

Pengajaran berguna untuk aku. Yang ada waktu-waktunya kerap mengeluh dan hampir mengalah. Selalu  minta dikurangkan ujianNya ke atas aku. Sedangkan seharusnya aku minta pada Allah supaya ditambahkan iman untuk berdepan ujian itu. Lupa bahawa Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Sesungguhnya keikhlasan itu urusan kita dengan Allah. Hanya Dia yang tahu..

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa Mama dan Abahku, serta memelihara keduanya ketika hidup dan sesudah mati. Mampukah kita menyayangi mereka seperti mereka menyayangi kita sejak kecil? Sama banyakkah doa kita terhadap orang tua kita, seperti mana mereka mendoakan kita? Semoga masih ada waktu untuk aku membahagiakan Mama dan mendoakan Abah..amin. Dan aku berharap doa Mama sentiasa mengalir di setiap nafasku..
 

Lagu Ibu - Rafly (OST filem ini)

Friday, 27 January 2012

Sepi Itu.....(sila isi tempat kosong)


Catatan beberapa hari lepas, waktu malam sepi, dari katil hospital. Cuma yang kedengaran sekali-sekala bunyi beep daripada infusion pump aku. Katil sebelah yang kosong menambahkan lagi sunyi bila waktu melawat habis. Tapi aku suka juga sesekali begitu. Being alone doesn't have to mean being lonely. Check-in hospital yang pertama untuk tahun ini:

"Akhirnya semalam aku mengalah pada keadaan diri. Letak tepi kedegilan tak nak duduk wad selama ini. Nak angkat jari pun rasa tak larat. Masuk ubat tahan sakit, tahanlah untuk beberapa ketika. Sempat la balas beberapa sms dan jamah sedikit rezeki. Lepas tu layu balik. Maka jalan selamatnya, duduk wad. 4 jam sekali nurse bagi ubat anti-nausea. Janji doktor sekurang-kurangnya sampai BP aku stabil, degup jantung kembali sekata dan demam aku kebah, baru boleh balik rumah. Alhamdulillah, everything is coming up roses. Semoga aku dapat bertahan sampai habis cycle ni.

Mata tak boleh lelap, walaupun seluruh badan yang terasa sakit ni minta sangat untuk direhatkan. Dah cuba kosongkan fikiran, jangan fikir banyak-banyak. Puas juga berzikir yang mudah-mudah, dengan harapan akan terlena. Sudahnya nota kecil ini jugalah senjata terakhir aku untuk melelapkan mata. Harap-harap akan bosan dengan ayat sendiri. Harap-harap juga mata yang makin layu ni bertambah layu bila melihat tulisan aku yang semakin hodoh. Menulis dalam kepayahan..

Waktu-waktu beginilah aku sangat rindukan Abah. Sangat perlukan healing words Abah. Sangat rindu nak main-main cuping telinga Abah. Sangat rindu baca buku sambil dengar muzik Chopin dengan Abah. Sangat rindu kalah main chess dengan Abah. Dan sangat rindu untuk bersandar di bahu Abah. Barangkali anak Abah ni bakal melalui hari-hari akhirnya seperti Abah juga..kerana aku mewarisi penyakit yang sama. Kalau begitu takdirnya nanti, maka tertunailah hasrat yang selalu aku suarakan pada Abah setiap kali dia bertanya aku  nak jadi apa masa sekolah dulu: "Along nak jadi macam Abah!"  

Siang tadi aku melihat lagi medical timeline aku. Dari mula diagnosis relapse, hinggalah infusion ketiga semalam. Dan untuk yang entah ke berapa kalinya, aku tanyakan lagi prognosis aku, dengan harapan akan ada perubahan positif pada jangkaan mereka. Kadang-kadang aku lebih rela mendengar harapan palsu daripada kebenaran yang sangat menyakitkan. Kalau pun tak dapat melihat harapan itu, sekurang-kurangnya biarlah aku dapat merasa bahawa harapan masih ada. I'm ready to die..but I could live in hope.

Elok juga sebenarnya sekali-sekala bersendiri dalam sepi begini. Muhasabah dan muraqabah. Menginsafi diri dan merasakan kebesaran Allah. Mudah-mudahan terbuka jalan menuju taqwa. Bernafas dalam doa dan mendengar degup jantung sendiri..supaya lebih menghargai satu jasad dan satu roh yang Allah pinjamkan kepada aku. Kerana aku tak tahu bila pula sampai masanya nanti aku akan terlantar terus dan tak mampu lagi untuk bercerita sebegini.

Petang tadi juga aku sempat bertanyakan tentang status aku sebagai penderma organ. Nampaknya kena refer semula ke Pusat Sumber Transplan Nasional, sebab menurut doktor, seseorang itu akan terhalang untuk mendermakan organ-organnya apabila didapati menghidap penyakit kanser, kecuali kanser otak. Will update later..zzzz".

Akhirnya terlena juga..

Aku berdoa ini chemo cycle terakhir aku. Kalau boleh tak nak dicucuk lagi. Tak nak masuk ke bilik tu lagi. Tak nak tersandar di kerusi tu lagi. Tapi kalau ini sahaja caranya untuk terus bertahan, nak buat macam mana kan..terima. Ya Allah, aku tahu Kau Maha Mendengar. Kerana itu aku tak akan putus berdoa. Teguhkan imanku hingga ke akhirnya..

Update: My last two chemo sessions will be on Cisplatin only. The other two drugs seem to have affected the heart (arrhythmia). The liver is mildly enlarged in size too. And I had my first platelet transfusion this morning, due to the very low platelet count. Will explain about these medical terms later.



Monday, 23 January 2012

My Other Friends...

Catatan khas buat teman-teman rapat berbangsa Cina:

Lima tahun berada di Pahang, aku temukan satu ikatan persahabatan yang cukup bermakna dengan mereka. Tinggal dalam lingkungan kehidupan mereka dan mendidik anak-anak bangsa mereka memberi aku pengalaman yang sangat berharga. Dan semalam, dalam kepayahan, aku ceriakan juga suara untuk berbual panjang dengan mereka di telefon.


Ong ML masih banyak cakap seperti dulu. Masih konsisten bersenam dan sangat-sangat menjaga kesihatan semua orang di sekelilingnya. Kerana dialah aku gagahkan diri daki bukit berhampiran sekolah kami hampir setiap petang Isnin dan Khamis. Juga setiap waktu subuh pada hujung minggu yang aku tak dapat balik ke KL masa tu. Setiap kali aku tak sihat, bekalan Wong Lo Kat dan teh herba sentiasa ada atas meja aku di bilik guru. Fever friendly. Perkataan yang sangat suka dibebelkan kepada aku. Rasa macam ada kakak, lain mak dan lain bapak je..


Chua HC in contrary, the Fast Food Queen among us. Kawan aku jalan-jalan cari makan masa tu. Kawan yang sanggup bawa aku ke Pasar Ramadhan Temerloh hampir setiap petang, semata-mata untuk memenuhi selera dia. Beli kalah orang yang berpuasa. Sanggup datang tidur rumah aku, semata-mata nak habiskan tengok cerita Korea dan siapkan tanglung sama-sama. Begitu juga dengan Long SY yang sabar mengajar aku bahasa Mandarin. Ucapan perpisahan aku masa hari terakhir di sana yang sepenuhnya dalam bahasa Mandarin takkan jadi nyata kalau bukan kerana dia. Kalau aku masih di sana, mungkin sekarang aku juga boleh menulis dalam bahasa yang menjadi bahasa paling banyak digunakan di dunia itu. Sayang..

Tidak lupa kepada Teng SC, Ong SY, Cikgu Lee, Cikgu Liew dan Cikgu Wong yang selalu buat aku rasa gembira dan selesa selama berada di sana. Berkawan dengan mereka menjadikan aku lebih terbuka dengan perbezaan budaya. Mereka juga lebih sensitif terhadap tuntutan agama yang mesti aku penuhi. Lebih memahami soal halal haram dan keperluan ibadah aku. Dan aku sangat berharap persahabatan ini akan terus terjalin hingga ke hujung nyawa. 

Tahun ini Tahun Naga. Satu-satunya haiwan mistik dalam kalendar Cina. Tahun yang menjanjikan tuah dan kekayaan mengikut kepercayaan mereka. Wishing you luck and strength in the Year of the Dragon. Terima kasih kerana masih mengambil berat perkembangan kehidupan aku. Satu bab dalam hidup aku dihabiskan bersama kalian. Mana mungkin akan dilupa, hanya boleh dibawa mati.

Our favourite song..

Sunday, 15 January 2012

Sakit Tak?

AMARAN:
Kandungan post ini mungkin akan buat mereka yang baru nak buat chemo rasa cuak. Tapi niatku bukanlah untuk menakutkan. Ini pengalaman aku. Sekadar menjawab pertanyaan mereka yang ingin tahu. Harap maklum.

Macam mana rasanya masa buat chemo?

Orang selalu tanya soalan tu masa kita tengah melalui hari-hari teruk dengan rawatan kemoterapi. Susah nak terangkan dengan kata-kata. Apa yang terlihat pada fizikal kita cuma sebahagian daripada keseluruhan rasa itu. Hakikat bahawa kita sentiasa dalam kesakitan sebenarnya sangat sukar untuk digambarkan, kerana kita biasanya dibantu dengan macam-macam ubat tahan sakit.

Kesan sampingan chemo lebih teruk dari kanser itu sendiri. Setuju, kan? Tanyalah pada mana-mana pesakit pun. Kanser, biasanya kita hanya tahu dan mengesan kesakitan itu bila penyakit kita dah semakin teruk. Ada orang yang dah sampai tahap akhir baru dia tahu yang dia ada kanser.

But chemo.. It invades every cell in your body by the end of it. Macam nak mati rasanya. Tapi ingin aku tegaskan, tak semua pesakit merasai kesakitan ini sepenuhnya. Ada sebilangan kecil pesakit kanser yang tidak terjejas dengan kesan sampingan chemo ini. Tak perlu ada perasaan macam nak duduk je dalam peti sejuk. Juga tak perlu risau rambut yang lebat semakin hari semakin jarang. Syukurlah kepada mereka yang tak perlu melalui kesengsaraan ini.


Sesi chemo biasanya ambil masa 2-4 jam. Ambil darah, berat badan dan lain-lain prosedur biasa, terus mulakan IV. They fill you with steroids, saline and Benedryl to get your body ready, then the chemo cocktail will take place. Permulaan proses infusion tu, tak rasa apa sangat. Lebih kurang sejam lepas tu, mulalah rasa nak ke tandas selalu. Mula-mula dulu terkejut tengok warna air kencing sendiri (yang melauinya pasti mengerti). Tapi sekarang dah biasa. Cirit-birit atau sembelit juga adalah gangguan perut yang akan selalu dialami nanti.

Tak lama lepas tu, mulalah rasa panas dalam badan. Rasa macam duduk dalam tempayan tandoori kat  kedai mamak tu (macam la aku pernah masuk dalam tempayan tu kan..). Perut pedih, dada rasa terbakar, naik ke tekak, terus ke muka. Kepala pun rasa macam ada orang tengah jerang air kat ubun-ubun aku ni. Kulit jadi sensitif. Kadang-kadang orang sentuh pun dah rasa sakit. Tekak perit dan mulut penuh ulcer. Rasa macam nak pergi Tutti Frutti je hari-hari..Even comfort food is not comforting anymore.

Tak selesa perut tu jangan ceritalah. Kadang-kadang rasa dicucuk-cucuk dengan pisau, kadang-kadang rasa senak, nafas pun terasa pendek. Belum kira lagi rasa pening dan loya. Kali ni doktor bagi ubat tahan muntah dengan dos yang kuat. Tapi aku tetap rasa macam berdiri atas perahu kecil di tengah laut dan dilambung ombak (banyak betul guna analogi hari ni..) Kadang-kadang tak rasa lapar pun walau tak makan seharian, sebab rasa sakit di seluruh badan dah menghilangkan rasa lapar itu.

Dan satu rasa yang paling ketara dirasai ialah keletihan yang melampau. Absolute exhaustion. Rasa macam baru lepas masuk pertandingan angkat berat kategori heavyweight kat Sukan Asia (macam la aku pernah masuk pertandingan angkat berat tu..) Tapi begitulah kot perasaannya. Kaki dan perut selalu cramp. Perkara-perkara kecil dan ringan yang tak jadi masalah suatu masa dulu pun dah terasa cukup melelahkan bila dibuat sekarang.

Tidur pun akan selalu terganggu. Orang yang sihat bila dah letih sangat biasanya akan tidur mati. Tapi keletihan akibat chemo tak menjamin kita akan tidur lena kerana kesan sampingan lain yang akan buat kita rasa sakit dan tak selesa. Itu belum masuk bab kesannya pada emosi. Hmm..mungkin akan mengguris hati orang-orang yang dekat dengan kita.

Buat mereka yang selalu bertanya pada aku, inilah yang aku rasa selama menjalani rawatan ini. Tapi sekali lagi aku tegaskan, kesannya tak sama pada setiap orang. Kebanyakannya mungkin akan mengalami apa yang aku jelaskan tadi. Sangat sukar untuk dibayangkan dengan kata-kata (tu yang merepek guna analogi bukan-bukan). Hanya yang merasai akan mengerti..

"Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu.."

Segenggam Tabah - Inteam

Tuesday, 10 January 2012

Simpan di Sini Tangismu

Setahun lalu
Ini ruang harapanmu hampir setiap minggu
Selama setahun itu
Ini ruangnya untuk kau lepaskan lelah dan mimpimu
Di saat racun bertopengkan penawar
Menjalar perlahan di seluruh tubuhmu
Kau cengkam erat sakit dan bisa itu

Sangkamu dulu
Kau tak perlu kembali ke ruang ini
Tapi apalah dayamu
Sangkaan seorang manusia
Tak mampu melawan takdir Pencipta
Maka sampai nanti masa yang dijanjikan
Kau harus terima ketentuan Tuhan
Untuk kembali tersandar lesu mengharap keajaiban

Simpan di sini tangismu
Di sebalik tabir itu
Bersama harapan dan doa pilu
Kerana kau tak mungkin tahu
Sampai bila racun itu 
Mampu menongkat hayatmu di dunia ini

Simpanlah di sini tangismu 
Atau simpan dulu tangis itu
Jangan kau khabarkan kisahmu dengan airmata
Ceritakanlah semuanya pada Sang Pencipta

InsyaAllah akan ada jalannya..