Pages

Subscribe:

Labels

Wednesday, 29 February 2012

Segalanya Mungkin

Lama sungguh rasanya tak menulis. Bila terlalu banyak perkara berlaku dalam satu-satu masa, kadang-kadang aku tak tahu nak mula bercerita dari mana. Dua minggu yang penuh suka dan duka..

20 Februari 2012:
Akhirnya Kak Ruby dijemput pulang ke rahmatullah. Allah melepaskannya daripada derita yang panjang. Insan yang selalu menarik aku kembali ke landasan hidup setiap kali rasa mengalah menguasai diri. Jujurnya, aku sangat terkesan dengan pemergian Kak Ruby. Selalu tertanya-tanya entah bila pula sampai giliran aku. Cuma mampu berdoa, semoga aku dapat menjadi seperti Kak Ruby, yang tetap tabah sekali pun doktor dah tak beri apa-apa harapan lagi. Semoga Allah menempatkannya bersama orang-orang beriman, mengganti deritanya di dunia dengan sebaik-baik balasan syurga.

25-26 Februari 2012:
Hujung minggu yang membantu mengurangkan kesedihan dan sakit hati aku minggu lepas. Naik Cameron buat kali keempat dalam tempoh 3 bulan. Perasaan dan suasana yang berbeza bila kita pergi dengan orang yang berbeza. Tapi semuanya tetap buat aku rasa bahagia. Kenangan yang akan selalu aku replay setiap kali dalam kesakitan, moga-moga berkurang rasa sakit itu. Thanks for the memories..

Akhir-akhir ini badan rasa makin tak selesa. Hati pula makin berat untuk ke hospital semula. Tak mampu untuk terima sekali lagi kegagalan rawatan yang telah aku cuba. Tak daya untuk mendengar sekali lagi perkembangan buruk penyakit kejam yang semakin hilang harapan untuk sembuh ini. Tapi aku dah berjanji untuk tidak berputus asa. Maka, sekalipun siang tadi aku menolak clinical trials yang dicadangkan, bukan bermakna aku akan menyerah dan menunggu mati begitu sahaja. Kecewa, takut dan susah hati. Tiga rasa yang aku harap dapat aku hadapi dalam waktu terdekat ini. Rabbi yassir wala tu'assir..

Kita selalu merancang untuk bahagia, mana tahu datang derita. Selalu merancang untuk gembira, mana tahu datangnya duka. Segalanya mungkin dalam hidup ini..yakinlah dengan janji Allah.

Sunday, 19 February 2012

Kenangan Atas Pokok

Destinasi: FRIM, Kepong
Misi: Naik Canopy Walkway

Terima kasih, Zila..temankan akak naik ke puncak sana. Teringat masa kita buat night walk tahun lepas.

Terima kasih Ros, Fa'izah dan Angah..sekali lagi terpaksa mengorbankan rehat hujung minggu dan terpaksa bangun awal untuk aku. Last. No more. InsyaAllah.

Mungkin dah terlalu banyak permintaan, aku tak nak sampai semua orang rasa terbeban.

 Melihat alam dari sudut berbeza..

Rabbi Yassir Wala Tu'assir

Khas buat Kak Ruby..

Balik dari FRIM tadi, tidur dalam keletihan. Ditambah dengan ubat yang kuat kerana badan yang mula kesakitan. Sedar-sedar ada tiga missed call dan beberapa SMS yang masuk. Sungguh-sungguh aku tidur rupanya, bunyi telefon pun tak dengar.

Semuanya untuk menyampaikan satu berita. Kak Ruby, cancer fighter yang selalu bagi semangat pada aku, dah dibawa pulang ke Ipoh dan semakin tenat. Doktor minta keluarga berada di sisinya sepanjang masa. Waktu aku leka dengan urusan dunia, Kak Ruby pula bersabung nyawa.

Mudah-mudahan Allah meringankan derita sakit yang ditanggung Kak Ruby dan bebanan sedih keluarganya. Semoga Allah memberi mereka ketabahan dan kesabaran.

Rabbi yassir wala tu'assir..Wahai Tuhanku, permudahkanlah dan jangan Kau susahkan.

Entah bila pula akan sampai masaku..

Saturday, 18 February 2012

Tuhan Sedang Mendidikmu

Sebagai seorang Islam yang beriman, setiap masa kita diuji. Allah menguji kita dengan pelbagai rupa. Allah juga mendidik kita dengan pelbagai cara. Lulus ujian, insyaAllah bertambahlah iman. Gagal ujian, insyaAllah sentiasa ada ruang untuk kita memperbaiki diri. Kewajipan kita sebagai full-time Muslim.

Ada waktu-waktunya saat Tuhan menguji dari pelbagai arah, kiri dan kanan, depan dan belakang, aku rasa diri terlalu kecil. Tak mampu nak lawan semuanya. Tak daya nak tanggung bebannya. Waktu-waktu begitulah syaitan sangat suka mengetuk benteng iman kita kan..

Bisikan syaitan yang kita rasakan seperti keluhan hati sendiri. Jahat sangatkah aku ni sampai diuji dengan kesakitan begini? Teruk sangatkah aku ni untuk layak hidup bahagia dengan orang-orang yang aku sayangi? Astaghfirullah..mujur ada yang selalu menyedarkan akan besarnya nikmat Tuhan, luasnya kasih sayang Tuhan pada hambaNya ini. "Tuhan sayang kita lebih, sebab tu Dia uji kita pun lebih". Terima kasih kerana selalu mengingatkan.

Syukur, dalam kesakitan dan ketidakselesaan begini, aku masih rasa bahagia. Sentiasa dikelilingi insan-insan mulia yang yang sentiasa buat aku rasa gembira. Buat aku rasa sangat bersyukur bila bangun setiap pagi kerana dapat hidup sehari lagi. Semoga Allah menggandakan bahagia itu untuk mereka seperti mereka membahagiakan aku.

Banyak perkara yang berlaku pada aku dan mereka yang berada di sekelilingku minggu ini. Perkara-perkara yang buat aku sedar yang keakraban perhubungan itu bukan didekatkan dengan hubungan saudara semata-mata. Ada sahabat yang kita kasihi lebih daripada saudara sendiri. Ada pula saudara yang mungkin memandang kita seperti seorang musuh hanya kerana ada pertolongan yang tak mampu kita beri. Kasih sayang tak akan sampai ke hati kalau di situ ada rasa benci.

Dalam persahabatan dan apa juga ikatan perhubungan antara kita dengan manusia, rasa kasih sayang perlu ada untuk kita bertahan. Kasih yang benar-benar kasih ialah bila kita tak perlukan sebab untuk menyayangi seseorang. Sayang yang benar-benar sayang ialah bila kita tak mampu berikan alasan kenapa kita sayangkan mereka. Selesa walaupun kita berbeza, mampu menukar rasa duka menjadi gembira.

Mungkin begitu salah satu cara Tuhan mendidik kita. Untuk menghargai sebuah persahabatan. Untuk mempertahankan sebuah ikatan. Mungkin ada waktu-waktu akan ada rasa marah, kecil hati atau perselisihan. Tapi itu bukan berpanjangan. Asalkan kita dapat handle semua tu dengan penuh hikmah, sabar dan tolak ansur. Jangan biar kemarahan itu berterusan. Setiap hari berkali-kali kita mencuci muka ni kan..mungkin ini caranya Tuhan mendidik kita untuk sesekali mencuci hati kita pula.

Akhir-akhir ini aku melihat beberapa hati dilukai. Hati sendiri dan hati orang lain. Mungkin orang yang melukai itu tidak sedar, ketika mereka melontarkan sesuatu dalam kemarahan, kata-kata mereka itu meninggalkan kesan seperti lubang di hati orang lain. Kita dapat menusuk pisau pada seseorang, lalu mencabut pisau itu. Tapi kesannya sangat dalam. Walau berkali-kali kita meminta maaf, luka itu akan tetap ada. Maka jagalah adab dan budi pekerti, sekalipun dalam marah dan tidak berpuas hati terhadap sesuatu. Kerana kita dipandang manusia bukan kerana rupa, tapi kesempurnaan budi dan adab kita.

Kalaulah aku mampu merawat hati sahabat yang sedang terluka itu, aku akan bagi semua kegembiraan yang aku ada sehingga dia tidak mampu untuk berasa sedih lagi. Yang aku mampu hanya mendoakan agar Allah melapangkan hati sahabat-sahabat itu, yang melukai dan dilukai. Yang aku ada cuma kata-kata semangat dan sepasang telinga untuk mendengar segala-galanya. Mudah-mudahan Allah menyatukan kembali hati-hati yang terluka itu. Sabarlah..Tuhan sedang mendidikmu.



Saturday, 11 February 2012

Berhenti Berharap?


My recent chemo failed. Trial drugs didn't work. My doctor informed me that the treatment had not helped me at all. I left his office yesterday devastated and was very depressed. Rasa macam sia-sia je perjuangan aku selama setahun ni. Untuk seketika semalam, aku rasa sangat berputus asa. Melihat wajah Mama bila sampai di rumah, hati ni macam ditusuk duri. Berusaha menahan tangisan dan melawan kesakitan. Mahu saja rasanya aku peluk Mama yang menunggu di muka pintu. Ringan sungguh rasanya mulut ni untuk meluahkan yang tersimpan. Tapi, rasa bagai terkunci rapat mulut ni setiap kali aku mencuba..

What's the next option? Soalan pertama aku selepas terdiam kelu di saat doktor menerangkan dengan jelas keadaan aku sekarang. Buat kali pertama aku tak argue apa-apa dengannya. Tak bertanya pun soalan-soalan susah padanya  seperti kebiasaan.

If one doesn't work, we'll try another. Jawapan yang langsung tidak meredakan ribut yang melanda hati aku waktu itu. Hmm..hope there'll be something out there for me. Wahai diri, please don't give up. Even if the doctors tell you things are not good..they are not God and do not know what the future holds for you.

Tapi aku orang biasa. Bukan orang yang sangat kental jiwanya. Ada waktu-waktunya hati  menjadi terlalu rapuh. Aku perlu menangis, perlu meluahkan dan perlu diyakinkan masih bersisanya harapan. Sampai saat ini, masih belum aku temukan harapan itu. Tapi hari ini lebih lega dan lebih tenang dari semalam. Dapat meluahkan kepada seseorang sudah cukup meringankan sedikit beban di hati. Harap-harap dapat tidur malam ini. Buat sahabat itu, terima kasih kerana sudi mendengar dan berada di sisi, sedangkan pada waktu itu awak boleh memilih sebenarnya untuk berada di tempat yang lebih menyeronokkan. Berhenti berharap? Belum lagi..