Pages

Subscribe:

Labels

Saturday, 22 December 2012

Welcome Home...


Hampir sebulan blog ini terpaksa aku tinggalkan. Dengan demam dan kesakitan yang sedikit berbaki, malam ini aku gagahkan juga menulis sesuatu. Kerana malam ini akan bermula kembali catatan kenangan bersama sahabat yang sangat aku rindui itu.

Malam ini, mudah-mudahan dipermudahkan Allah, sahabat yang jauh itu akan melalui perjalanan yang jauh dan panjang untuk kembali seketika ke Malaysia..bertemu keluarga yang paling dirinduinya. Semoga sahabat itu selamat dan sihat sepanjang perjalanannya sehingga tiba di tanahair esok. Hati ini melonjak ingin bertemu dan menjemputmu. Tapi aku harus akur pada kudrat sendiri.

Sejak aku tahu sahabat itu akan pulang seketika untuk bercuti minggu ini, aku sentiasa berdoa dan bermohon agar Allah memanjangkan umurku untuk dapat bertemu sahabat itu. Sentiasa meminta kepada Allah agar kami dipertemukan, walaupun untuk seketika, ketika aku dalam keadaan masih mampu untuk menyambutnya, sepertimana aku mengiringinya pergi dahulu. Berdiri dengan kudrat sendiri. Memeluknya seerat mungkin.

Rindu yang tersorok dalam hati selama tiga bulan ini aku pohonkan pada Allah semoga ia berakhir dalam pelukan erat sahabat itu esok. Semoga Allah memberi aku kesempatan untuk menatap wajah itu kembali di alam nyata. Bukan lagi wajah di dalam Skype yang kadang-kadang kabur, dengan suaranya yang ada waktu-waktunya antara aku dengar dengan tidak. Juga semoga dapat aku lupakan seketika sakit ini saat bertemunya nanti.

Buat sahabat itu, aku berharap akan ada sedikit waktu yang dapat kau peruntukkan buat sahabatmu ini. Aku sangat memahami dan mengerti cutimu itu sangat pendek. Pastinya akan padat terisi bersama semua ahli keluarga sahabat-sahabat yang ingin bertemumu. Seperti yang selalu aku katakan padamu, I can always be on your last list. So don't worry. Dahulukanlah mereka semua. Dan kalau waktu yang berbaki nanti hanya cukup untuk waktu rehatmu, maka berehatlah sepenuhnya. Andai ada rezeki kita untuk bercerita, alhamdulillah. Kalau tidak pun, tak mengapa. Kerana kau harus terima, adakalanya apa yang kita rancang akan jadi cerita lain juga bila tiba masanya kan..

Pasti banyak cerita yang akan kau kongsi dengan semua. Cerita yang pastinya akan membuat semua gembira, tersenyum dan ketawa. Ceritakanlah kepada mereka kerana perkara-perkara yang sering kau ceritakan padaku itu ibarat pain killer buat sahabatmu ini. Maka pasti semua itu juga akan mewarnai hidup mereka nanti seperti kau mewarnai hari-hari aku.

Jangan risau, sahabat. Aku hanya ingin mendengar dan melihat kau bercerita. Tiada kisah duka daripadaku yang akan mengganggu ceritamu nanti. Semoga kita dipertemukan nanti, insyaAllah.

Welcome home, sahabat..

Sarang hae ketat-ketat..


Wednesday, 21 November 2012

Mencari Kesudahan Yang Baik


Bersawang. Berkarat. Berlumut. Kalau itu yang boleh terjadi pada blog ini setelah beberapa minggu aku tinggalkan. Keadaan tidak mengizinkan. Alasan paling selamat yang mampu diberi. Ditakdirkan Tuhan banyak yang berlaku beberapa minggu ini. Sayang tak mampu aku ceritakan pada waktu-waktu itu. Dan sudah terlambat untuk dikisahkan kembali. Cerita basi.

Ditakdirkan Tuhan juga aku diuji beberapa ketika akhir-akhir ini. Ujian yang menyebabkan aku lupa password blog dan PIN number bank sendiri. Dan kuasa Tuhan jugalah yang mengingatkan aku kembali kepada nombor-nombor penting ini selepas Subuh tadi. Alhamdulillah. Tepat pada harinya ketika hari ini Allah menguji aku sekali lagi untuk membuat keputusan tentang hidup dan matiku. Cantik kerja Tuhan. Mungkin ini caraNya untuk merawat duka di hati. "Luahkanlah di ruangan ini yang sering kau luahkan isi hatimu dulu..perkara-perkara yang tak mampu kau ceritakan kepada insan-insan yang sangat kau kasihi."

Hampir setahun yang lepas, aku pernah suarakan harapanku di sini, di ruangan ini. Harapan yang kadang-kadang nampak cerah, atau selalunya samar-samar. Tapi kini nampak makin pudar. "Selalu ada harapan bagi mereka yang berdoa. Selalu ada jalan bagi mereka yang berusaha." Nasihat yang pernah aku titipkan buat sahabat yang jauh itu. Kini nasihat itu perlu aku pakukan dalam hati sendiri. Selalu juga menasihati sahabat itu supaya mencari sesuatu yang baik di sebalik setiap ujian yang Allah berikan kepadanya. Maka hari ini nasihat itu harus kembali juga kepada diri sendiri. Kerana aku tahu kita akan selalu diuji dengan apa yang kita nasihati.

Hari ini tewas seketika dengan diri sendiri. Kekuatan yang selama ini cuba dipertahankan, seketika tadi terasa gugur satu persatu, seperti sedang gugurnya daun-daun cantik di bumi indah tempat sahabat itu berjuang mencari ilmu. Dan seperti gugurnya daun-daun itu kerana memberi ruang untuk musim bertukar ganti, maka aku juga harus merelakan kekuatan ini gugur seketika supaya dapat aku kumpul semula kekuatan yang baru, bagi mencari kesudahan yang baik untuk diri ini. Melengkapkan perjalanan hidup seorang manusia yang setiap nafas dan harinya di dunia dipinjamkan Allah buat  sementara.

Sehari dua ini harus berusaha mendapatkan kembali kekuatan itu. Mencari semangat yang hilang. Merancang perjalanan hidup yang berbaki sebaik-baiknya. Harus yakin dengan pilihan yang dibuat. And I will continue to pray for a miracle. Juga harus terus tersenyum mendengar cerita-cerita gembira atau turut sama menangis saat mendengar kisah-kisah duka daripada mereka yang aku kasihi. Harus sentiasa ada untuk sahabat itu sekalipun dalam kejauhan. Juga harus sentiasa ada untuk mereka yang dekat di depan mataku ini. Memberi senyum untuk semua dan menyimpan tangis di bahu mereka. Moga-moga dengan melihat senyuman sentiasa terukir di wajah itu, atau melihat tangisan kembali reda di mata itu, atau melihat gelak tawa menghiasi wajah itu, dapat memberi aku semangat dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. InsyaAllah..

"A smile doesn't always mean a person is happy. Sometimes it simply means they are strong enough to face their problems."


Tuesday, 30 October 2012

Menghitung Hari (4)

Life is beautiful.
Life is a struggle.
Life is a beautiful struggle..



 Biar berkali-kali jatuh, lutut berdarah..
Juga kerapkali tersembam, bibir pecah..
Tidak sesekali tersungkur rebah, mengaku kalah..



Wish you were there, my dearest friend..
When I heard the disturbing conclusion..
But I'll keep fighting for a friend like you
Who has given me every reason to smile!

Wednesday, 24 October 2012

Hari Arafah

Esok 9 Zulhijjah 1433H. Esok Hari Arafah. Hari di mana ketika tetamu-tetamu Allah sedang wukuf di Padang Arafah, kita yang tidak pergi menunaikan haji ini digalakkan untuk berpuasa sunat.

Dan Rasulullah s.a.w ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah.
Maka baginda bersabda:
"Ia menebus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang."
( Hadith Riwayat Imam Muslim )


Wukuf adalah kemuncak haji. Di Padang Arafah itulah Rasulullah menyampaikan khutbah terakhir baginda. Khutbah perpisahan yang sangat berbekas di hati...

Dan Arafah itulah gambaran Padang Mahsyar yang akan kita hadapi nanti. Hari di mana terbentangnya dosa-dosa kita di padang itu. Transit kita sebelum melangkah ke syurga atau neraka.

Meskipun ibadah wukuf itu hanya beberapa jam sahaja, tapi pada saat itulah Allah berada sangat dekat dengan hamba-hambanya di sana. Mendengar doa dan rintihan mereka.  

Mudah-mudahan aku juga akan diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah. Meskipun tidak sempat untuk menunaikan haji, sekurang-kurangnya dapat buat umrah sekali lagi, sebelum pulang ke alam abadi..amin Ya Robb.

Salam Aidiladha buat semua. Moga-moga setiap pengorbanan kita di jalan Allah diterima baik di sisi Allah jua. Sampai jumpa lagi..



Sahabat di Hati

Kita kenal perangainya..
Kita tahu kelemahannya..
Kita terima kekurangannya..
Dan kita tetap bersahabat dengannya..
Berusaha menjadi sahabat terbaik untuknya
Bersama kekurangan yang ada pada diri kita..
Kenapa?
Kerana kita mahu masuk syurga dengannya..

Walaupun ada jarak yang memisahkan
Kalau memang sudah dinamakan persahabatan
Tidak semestinya perlu bersentuhan tangan
Kerana kita sudah bersentuhan hati
Juga sentiasa berbalas-balas doa
Kenapa?
Kerana di antara cinta dan sayang
Di situ kasihnya sahabat..

Terima kasih di atas ingatan..