Pages

Subscribe:

Labels

Thursday, 24 November 2011

Permulaan Untuk Kesudahan Yang Baik

InsyaAllah, Sabtu ni pada akhir waktu Asar, mudah-mudahan Allah memberi kita kesempatan untuk membaca doa akhir tahun dan seterusnya doa awal tahun sesudah kita menunaikan fardhu Maghrib. Mudah-mudahan juga kita diberi peluang oleh Allah untuk berusaha menjadi hamba yang lebih dekat kepada Tuhannya, anak yang lebih soleh kepada orang tuanya, suami/isteri yang lebih baik kepada pasangannya, ibu/bapa yang lebih kasih kepada anak-anaknya, sahabat yang lebih akrab kepada teman-temannya, pekerja yang lebih amanah kepada tugasnya dan insan yang lebih berbudi kepada makhluk Allah seluruhnya.

Orang macam aku, tentulah lebih lagi mengharapkan sesuatu yang lebih baik, mudah dan indah sempena tahun baru 1433 Hijriyyah ini. Menepati janji kepada diri sendiri, rasanya aku sudah nekad memutuskan apa yang aku rasa terbaik untuk hidupku selepas ini. Keputusan yang aku harap dapat memberi manfaat kepada baki hidup aku seterusnya. Terus berjuang untuk sebuah kesudahan yang baik (husnul khotimah). Aku yakin dengan pilihanku selama mana aku terus berpegang pada tali Allah. This is worth fighting for, insyaAllah.

Hari ini mencipta kenangan lagi. Kenangan dengan teman-teman. Tempat yang sama, wajah yang sama, cerita yang berbeza. Terima kasih semuanya. Buat Ros dan Zila, hasrat yang aku suarakan siang tadi bukan permintaan berat yang mesti ditunaikan. Sekadar harapan. Sesiapa pun pada akhir hidupnya, pasti ingin dekat dengan insan-insan yang dikasihinya. Kalau Allah mengizinkan, sampaikanlah kepada adik-adikku. Kalau tidak pun tak menjadi sesalan. Biarlah semua tu terus menjadi rahsia Allah.

Esok, apa daya pun kena ke hospital juga. Lagi lama aku bertangguh memberi keputusan, makin kecil peluang yang tinggal. Ambil bekalan ubat secukupnya untuk 'Ops Jalan-jalan' hujung minggu ni. Mudah-mudahan cuaca dan keadaan menyebelahi kita. Kalau tak jadi pun tak mengapa. Pasti ada cerita lebih indah yang Allah dah sediakan untuk kita.

Hmm..dah hampir seminggu cuti sekolah rupanya. Belum terasa nikmat bercuti tu selagi ada yang belum dibereskan. Teruk sangat rasanya prestasi kerja aku tahun ni. Mujurlah ada sahabat-sahabat yang banyak membantu aku dalam menjalankan tugas. Tahun depan aku harap aku tak perlu banyak melalui proses rawatan yang menyakitkan macam tahun ni sehingga banyak menjejaskan kerja aku. Sakit tu ujian. Tugas tu amanah. Kedua-duanya menuntut komitmen dan pengorbanan yang besar. Semoga ada ihsan Allah untuk hambaNya yang terhegeh-hegeh buat kerja ni.

"Anugerah Allah kepada hambaNya ialah nikmat. Kemudian dicabut nikmat dan digantikan dengan sabar. Apa yang diganti itu lebih baik daripada apa yang dicabutNya" - Khalifah Umar bin Abdul Aziz  


"Cukuplah Allah bagiku.."

0 comments:

Post a Comment