Pages

Subscribe:

Labels

Monday 23 April 2012

Terima Kasih, Sahabat..


Akhirnya dua malam lepas aku terpaksa juga berkongsi kesakitan yang selalu mengganggu tidur malamku selama ini dengan seorang sahabat. Dari mula nak tidur lagi aku sentiasa berdoa janganlah kesakitan itu bertambah hingga terpaksa mengejutkan sahabat yang sedang lena itu. Sudahnya mengalah juga..

Buat sahabat yang sangat banyak berbudi padaku itu, terima kasih yang tidak terhingga kerana membantu aku ketika itu. Tapi, aku juga rasa bersalah kerana terasa diri sudah sangat-sangat menyusahkan. Mujurlah ada dia. Kalau tidak, seperti biasanya, kesakitan itu akan hilang sendiri dalam sendu dan zikir yang tiada henti. Moga Allah membalas kebaikanmu itu dengan kebahagiaan di dunia dan kesenangan di akhirat.

Bersabar dengan takdir yang menyulitkan. Hanya dengan percaya cantiknya kerja Tuhan, maka barulah kita mampu senyum dalam kesakitan dan mampu untuk terus berjuang, sekalipun dalam ketakutan. Kematian hanya memisahkan kita daripada keluarga dan sahabat, tapi selagi doa dan ingatan masih ada, tidak akan terputus ikatan kekeluargaan dan persahabatan itu.

Di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya sahabat..

Friday 20 April 2012

Sesuatu Untuk Dikenang (1)


Akhir-akhir ini semakin jarang bercerita dan semakin kurang menulis. Ada hari-harinya, terasa ingin sangat meluahkan sesuatu di sini, tapi keadaan dan waktu pula tidak mengizinkan. Malam ini, atas permintaan seseorang yang sangat jauh, aku catatkan juga sesuatu. Perkara-perkara kecil untuk dikenang. Yang mungkin biasa pada orang, tapi sangat bermakna bagi aku.

Sekolah

Kalau orang kata Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE) tu sibuk, sibuk lagi sekolah aku kebelakangan ni agaknya. Tuntutan kerja yang mendesak, beban kerja yang bertambah. Bunyi macam satu keluhan, tapi itulah realitinya buat mereka yang masih bertanggapan jadi cikgu ni kerja senang. But I love my job and I love what I'm doing. It's just that my body literally can't handle the stress. Mujurlah ada sahabat-sahabat yang banyak membantu. Mudah-mudahan rezeki yang aku terima dengan jalan ilmu ini adalah rezeki yang halal dan diberkati.

Hospital

Satu-satunya tempat yang aku cuba jauhi beberapa minggu kebelakangan ini. Sebab aku selesa dengan keadaan sekarang, bila aku tak perlu menanggung kesan sampingan rawatan dan aku tak perlu bergantung kepada ubat tahan sakit sepanjang masa. Tapi nampaknya tak lama lagi terpaksa juga sambung sesi rawatan yang tertangguh itu kerana rasa badan dah mula menunjukkan tanda-tanda tidak mampu berlagak biasa dan sihat macam orang lain lagi. Nak langsaikan dulu benda-benda yang diamanahkan pada aku, supaya tak menyusahkan terlalu ramai orang pula bila sampai masa aku nanti.

Sahabat

Persahabatan mampu memberi kita dua rasa yang jauh berbeza. Rasa gembira dan bahagia yang cukup dengan hanya melakukan benda-benda biasa setiap hari dan perkara-perkara kecil bersama-sama. Juga rasa kekurangan dan kesedihan yang nyata bila mengingati semua itu selepas kita kehilangan mereka. Sabtu lepas (14 April), genap 17 tahun sahabat seperti itu meninggalkan aku. Ingatan padanya makin kurang, tapi tetap diingati. Kunjungan ke pusaranya makin jarang, tapi sesekali tetap dikunjungi.

Bila seorang kawan itu akhirnya menjadi sahabat kita, dan kerana persahabatan dengannya itulah perlahan-lahan menjadikan kita seorang insan yang lebih baik, kehilangannya sedikit sebanyak akan mencorakkan kehidupan  kita seterusnya. Semuanya tak bermakna bila sepasang nisan dah menjadi tugu. Bagaimana pula aku mahu dikenang selepas aku mati nanti? Aku bukan sahabat yang baik, yang selalu menggembirakan. Maka memadailah kalau sesekali aku diingati dengan cara yang mendamaikan, bukan dengan kenangan-kenangan yang bisa menerbitkan rasa marah dan benci di hati kalian. 

Kalau kita tak mampu menjadi seperti sebatang pensel untuk menulis kebahagiaan sahabat-sahabat kita, maka sekurang-kurangnya kita harus cuba menjadi seperti sebiji pemadam yang bisa memadam kedukaan  mereka.

Berilah.. tapi jangan sampai dirimu dipergunakan.
Sayangilah.. tapi jangan sampai hatimu dilukai.
Percayalah.. tapi jangan sampai dirimu dikhianati.
Dengarlah.. tapi jangan sampai hilang suara hatimu sendiri.



Sunday 8 April 2012

Di Bawah Lindungan Kaabah

Sekian lama tak menonton tv, terpaku juga semalam kerana cerita ini, gara-gara Astro BoxOffice. Diangkat daripada karya hebat Allahyarham Hamka, tokoh agama yang dikagumi oleh lelaki yang paling aku kasihi..Abah. Bercerita tentang cinta kepada Allah dan manusia dengan cara yang sangat lembut dan halus. Semuanya dalam cerita ini sedap untuk mata memandang dan telinga mendengar. Sinematografi yang cantik, berlatar belakang Padang pada tahun 1920an. Juga dialog-dialog indah yang penuh tertib dan bermakna. Cuma sentuhan Melly Goeslaw je tak sehebat magisnya untuk Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Mujur ada Opick.

"Ingatlah, ketika kau tidak punya siapa-siapa selain Allah, Allah itu lebih dari cukup".

"Untuk melewati badai, kita harus terus berjalan..bukan berhenti. Dan untuk terus berjalan, hanya ada dua hal yang harus terus kita bawa..KEYAKINAN dan CINTA". 

"Jangan berharap lebih. Makin tinggi harapan, makin sakit jatuhnya".

"Sampai kapan pun, emas tak akan setara dengan loyang, dan sutera tak sebangsa dengan benang".

Opick - Tafakur

Friday 6 April 2012

Time And Tide Wait For No Man..


Sekuat mana pun seorang manusia itu dan sehebat mana pun dia di muka bumi ini, tak akan mampu menghentikan atau mempercepatkan masa. Tidak walau sesaat. Kita boleh membuang masa, tapi masa yang telah pergi itu tak akan mampu kita dapatkan kembali. Perkara paling berharga yang Tuhan beri dengan percuma. Seperti nafas kita juga.

Cepat masa berlalu. Terlalu cepat untuk orang seperti aku. Mahu buat banyak benda, tapi tak punya banyak masa. Sekurang-kurangnya tidak sebanyak yang orang lain ada. Bulan ini, mungkin seperti bulan-bulan April yang aku lalui selama bertahun-tahun, sarat dengan kenangan. Bulan di mana lebih tiga dekad lalu seorang ibu menahan sakit berjam-jam lamanya untuk melahirkan seorang anak, yang entahkan bila, mungkin akan pergi mendahului ibunya itu.

Bulan ini juga bulan di mana 17 tahun dulu, seorang sahabat kehilangan sahabat yang sangat dikasihinya. Persahabatan yang diragut kerana kecuaian seorang manusia. Sahabat yang dijemput Allah tanpa perlu lama-lama menanggung derita seperti yang dirasai sahabatnya ini.

"Tak jumpa kat sini, kita jumpa kat sana. Tak jumpa sekarang, kita jumpa nanti".

Makin sukar rasanya nak menaip sepanjang yang aku mampu tulis. Biarlah kabur pandangan, asalkan jangan buta hati. Tiap-tiap satu kesukaran yang diberi itu adalah cara Allah untuk membawa kita lebih dekat padaNya. Cantik kerja Tuhan..aku makin percaya.