NOTA:
Post ini sekadar apa yang telah diberitahu kepada aku sebagai seorang pesakit. Apa yang diterangkan oleh doktor, aku permudahkan dalam bahasa yang aku faham. Correct me if I'm wrong.Pemindahan platelet sama je macam pemindahan darah yang kita biasa tengok. Bezanya yang ni guna platelet je, bukan keseluruhan darah. Warnanya pun bukan merah, tapi kuning. Diasingkan mengikut kumpulan darah - A, B, O (penderma universal) dan AB (penerima universal). Satu beg platelet (1 unit) macam gambar kat atas tu diperolehi sama ada daripada seorang penderma atau beberapa orang penderma (3-5 orang).
Komponen darah mempunyai jangka hayat terhad dan setiap satu digunakan untuk merawat penyakit yang berasingan:
- Sel darah merah tahan selama 42 hari
- Platelet hanya tahan selama 5 hari
- Plasma boleh disimpan selama setahun
Siapa yang perlukan pemindahan platelet?
Platelet berfungsi untuk pembekuan darah. Kalau bilangan platelet dalam darah kita rendah, maka darah tidak dapat membeku. Bila darah tidak dapat membeku, maka akan berlaku pendarahan. Dalam keadaan ini, luka yang kecil pun boleh menyebabkan pendarahan tidak dapat berhenti. Juga akan berlaku pendarahan dalaman atau daripada hidung dan gusi yang secara tiba-tiba.
Itu yang berlaku kepada aku minggu lepas. Bilangan platelet normal kita sepatutnya antara 100-400K/uL. Tapi platelet aku lepas buat chemo hari tu tiba-tiba drop dan tinggal 5. Kata doktor, itu situasi yang akan selalu berlaku kepada pesakit leukemia dan juga jenis kanser yang lain, terutama bila kita sedang menjalani rawatan chemo. Situasi lain yang menyebabkan kekurangan platelet:
- Pesakit yang menerima pemindahan sum-sum tulang
- Demam denggi dan jangkitan virus/bakteria lain
- Kegagalan hati
- Kurang Vitamin B12 atau asid folik
- Lain-lain penyakit berkaitan darah
Tanda-tanda kekurangan platelet:
- Lebam-lebam pada badan
- Bintik-bintik merah pada kulit
- Pendarahan hidung dan gusi
- Pendarahan berterusan pada luka
- Pendarahan dalaman
Macam mana platelet diperolehi daripada penderma?
Mula-mula tu sama macam prosedur pendermaan darah yang biasa. Keseluruhan darah akan diambil daripada lengan. Bezanya, darah tu akan masuk dulu ke dalam mesin pengasing sel (cell separator). Darah akan dicairkan untuk mengubah platelet. Platelet akan diambil dan komponen yang tinggal atau darah selebihnya tu akan dikembalikan semula kepada penderma menerusi lengan. Prosedur ni dinamakan aferesis. Platelet yang dapat dikumpulkan tu akan segera diberikan kepada pesakit sebab platelet yang didermakan tu cuma bertahan selama 5 hari.
Alhamdulillah, begitulah sikit-sikit ilmu yang aku dapat sejak sakit ni. Cuba melihat penyakit ni dari sudut positif konon-kononnya. Sekadar berkongsi apa yang didengar, dilihat, diberitahu dan dialami sendiri. Kita tak tahu bila masanya diri kita memerlukan atau diperlukan untuk sesuatu kan. Mudah-mudahan ilmu yang kita dapat dan kita kongsi pula dengan orang lain, akan menjadi salah satu perkara yang boleh kita bawa bersama apabila mati nanti, iaitu ilmu yang bermanfaat. Wallahu a'lam..
"One platelet donation can be worth from 12 to 18 whole blood donations".
Thanks to our life savers! |
0 comments:
Post a Comment