Pages

Subscribe:

Labels

Tuesday 27 December 2011

Permulaan Baru


Kembali ke sekolah hari ini. Seronok dapat jumpa kawan-kawan. Yang pipi makin tembam, yang perut makin membesar (ramai betul yang bersalin tahun depan..bertambah umat Muhammad, alhamdulillah). Lupakan kejap deretan kerja yang dah menunggu. Dah rasa cukup bahagia bertemu kawan-kawan tadi. Macam-macam cerita, macam-macam rasa..

Aku jadi guru kelas lagi tahun ni. Boleh ke aku ni? Tahun ni pun dah rasa cukup banyak menyusahkan orang. Tapi yalah kan..bila orang beri kita sesuatu amanah, bererti mereka percaya pada kita. Maka, sabarlah diri..terima ini sebagai cabaran. Cuma aku berjanji untuk tidak terlalu memaksa diri. Beri diri sendiri ruang untuk bernafas dan juga peluang untuk membalas kepercayaan yang diberikan. Andai kata dalam beberapa bulan lagi keadaan semakin teruk, aku sendiri akan berundur. Semoga Allah memberikan hambaNya ini kekuatan untuk bekerja dan beribadah sementara kudrat masih ada.


Masa mesyuarat di sekolah tadi juga sibuk dengan agenda opsyen bersara. Tengok kawan-kawan sibuk mengira berapa tahun lagi nak bersara, memilih-milih umur yang sesuai untuk berehat, tiba-tiba aku jadi sangat pesimis dalam suasana tadi. Bersungguh-sungguh aku memilih opsyen pun, dapat ke aku bertahan sampai ke usia itu? Semua orang leka mengira berapa tahun lagi yang mereka ada untuk bersara, entah-entah aku ni cuma mampu menghitung berapa bulan yang tinggal untuk terus bernafas. Sudahnya kekal dengan pilihan aku sebelum ini. Kalau ada rezeki dan umurku sepanjang itu, alhamdulillah. Kalau tidak pun, tak ada apa yang dikesalkan. Bersyukur dengan setakat mana rezeki dan hayat yang Allah dah tetapkan.


Bohonglah kalau aku kata prognosis doktor tak mempengaruhi perancangan hidup aku sekarang. Setakat mana Allah mengizinkan aku untuk terus sihat nanti, selama itulah aku akan cuba memberikan yang terbaik untuk anak-anak murid yang bakal diamanahkan Allah kepadaku nanti. Moga-moga Allah memberi aku lebih masa untuk bersama mereka dan kawan-kawan aku di sekolah tu..amin.


Mulai esok dan hari-hari seterusnya di sekolah nanti, aku mengharapkan dapat memberi yang lebih baik daripada sekarang. Menyelesaikan setiap urusan pada waktunya. Memberi makna pada setiap usaha. Memanfaatkan peluang sihat sebelum sakit, dan kesempatan hidup sebelum mati. Sambil tidak lupa memohon pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar. Gagal itu biasa, terus berusaha itu yang luar biasa. Berusaha dan bekerja hak kita. Menentukannya itulah hak Allah. Pada Tuhan aku sandarkan harapan..

Amalan doa mohon keberkatan & murah rezeki setiap pagi

Monday 26 December 2011

A Priceless Journey


Sangat lama tak menjenguk blog ni. Sibuk mengumpul kenangan. Alhamdulillah, dimudahkan Allah perjalanan aku ke Terengganu minggu lepas. Terima kasih buat Ros dan keluarga yang sudi menerima 'orang pulau' ni selama aku di sana. Aku harap aku tidak terlalu menyusahkan.

Bagi seseorang yang sedang berjuang untuk terus hidup dan sentiasa mengira detik-detik akhir hidupnya, dapat memenuhi sesuatu impian sudah cukup memberikan sedikit harapan. Lima hari di Terengganu yang sarat dengan pengalaman dan kenangan, sudah cukup melunaskan salah satu impian itu. Percutian yang memberikan banyak rasa dan meninggalkan banyak cerita.

Orang sungai macam aku ni berubah sekejap jadi orang pantai selama di sana. Kemaruk tengok ombak hari-hari, pantang jumpa pantai je mesti singgah. Rasa tenang dengan hanya melihat cantiknya kejadian Tuhan. Kalau dilanjutkan muhasabah ini, hidup kita juga seperti ombak dan pantai, dan seperti laut yang luas itu. Maka benarlah sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.
 
Percutian yang membuat aku lebih menghargai nilai persahabatan dan kekeluargaan. Do you know which is the best part of life? Simple. When your family understands you as a friend, and your friends support you as your family. Perhubungan yang erat dan kemesraan yang terjalin menjadikan laluan hidup yang sukar ini nampak mudah sedikit jalannya. Biarlah orang lain melihat kita dan sahabat kita itu bezanya seperti langit dan bumi, kerana aku melihat eratnya kami seperti langit dan bumi itu juga. Saling memerlukan dan melengkapi. Your friend is your best mirror. Seorang mukmin adalah cermin kepada mukmin yang lain. Bukankah sahabat itu saling menguatkan..

Kenangan yang terakam bersama mereka yang aku kasihi akhir-akhir ini selalu aku jadikan azimat saat kesakitan datang menyerang. Berharap sakit itu akan berkurangan dan itulah yang berlaku selalunya..alhamdulillah. Semoga yang manis itu akan terus dikenang andai kata aku mendahului mereka nanti.

Dan bila mengenang semua ini, teringat pula puisi indah Kahlil Gibran yang sangat aku minati:

Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.

Dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.

Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.
Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.

Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan..
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.

Thanks for the memories. My friends will always be my favourite hello and my hardest goodbye. I may not be able to grow old with you, but I will always be your friend for as long as I live. Sarang hae-yo!

Akrab Persahabatan - In-Team 

Thursday 15 December 2011

Life Goes On..

 "Dan demi Tuhan, bersabarlah..."

Rasa lama tak menulis sesuatu. Kesihatan tak mengizinkan 2-3 hari lepas, tak dapat nak menyusun kata. Pengaruh cuaca yang tak menentu di KL kebelakangan ni sedikit sebanyak memberi kesan kepada aku. Tapi alhamdulillah, banyak juga yang dapat dibereskan dan ditunaikan dalam seminggu ni. Antaranya:

  • Pertama kali dalam hidup, dapat buat Solat Sunat Khusuf pada Sabtu lepas. Tak dapat tengok pun  gerhana bulan tu, tapi dapat juga meraikan kebesaran Allah itu dengan penuh kesyukuran. Cantik kerja Tuhan kan..
  • Menjadi sebahagian daripada mereka yang berbaris di jalan untuk meraikan keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Isnin lepas. Itu pun sebab kena bawa budak..wakil dari sekolah aku. Susur galur Kesultanan Terengganu menjadi antara bahan bacaan utama aku minggu ini. Daulat Tuanku!
  • Alhamdulillah, dapat khatam lagi malam ni. Dua bulan kebelakangan ni aku selalu menjadikan sibuk sebagai alasan untuk mengurangkan kekerapan bacaan. Sibuk dengan urusan dunia, macam sombong dengan Tuhan pula rasanya. Mujurlah Allah masih beri kesempatan untuk menyelak dan membaca lagi helaian-helaian kalimah suci daripadaNya. Astaghfirullah..
  • Akhirnya skrip teater aku berjaya dipentaskan malam kelmarin. Persembahan kecil untuk golongan marhaen seperti kami. Sayang aku tak dapat tengok kerana kesihatan tak mengizinkan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang buat video call malam tu. Harap-harap dapat tengok rakamannya tak lama lagi. Ada juga sesuatu untuk aku kenangkan nanti.. Go Jebatians! (kita anak-anak Jebat)
  • Buat blood count lagi pagi tadi. Seperti dijangka, platelet terus merosot kerana demam minggu ni. Harap-harap follow-up seterusnya nanti akan ada perubahan. Berilah hambaMu ini sedikit harapan, ya Rahman ya Rahim..
Beginilah hidup. Betapa elok pun kita merancang, cantik lagi perancangan Allah. Perkara-perkara yang kita tak jangka dan bersedia, rupa-rupanya begitu sempurna diatur oleh Allah. Cari hikmahnya. Itu yang selalu diingatkan kepada kita. Tapi sudah namanya manusia, selalu lupa betapa sayang dan dekatnya Allah kepada kita. Semoga kesakitan ini akan berkurangan. Apa pun yang bakal terjadi dan telah terjadi, selagi bernafas, hidup mesti diteruskan..ila mardhotillah (menuju redha Allah).

Jumpa lagi..

Thursday 8 December 2011

Kalau Aku Tiada Kanser


Kalau aku tiada kanser, cuti sekolah begini pasti setiap hariku terisi dengan macam-macam aktiviti. Bawa Mama jalan-jalan, balik Singapore, cuti-cuti Malaysia dengan kawan-kawan, memenuhi permintaan adik-adik yang mahukan menu masakan pelbagai rasa, etc.

Kalau aku tiada kanser, pasti aku akan berusaha mempertahankan sebuah perhubungan. Berusaha mendapatkan restu. Berusaha mencari bahagia dengannya. Mungkin kita masih diulit bahagia..

Kalau aku tiada kanser, pasti aku akan menjadi seorang guru yang lebih baik. Mengajar dengan lebih semangat dan bertenaga, mungkin sama ligat dengan anak-anak muridku yang lasak itu.

Kalau aku tiada kanser, mungkin sekarang aku sedang sambung belajar.  Terus menjadi pencari ilmu yang tak jemu-jemu meneroka ilmu Allah. Kagum dengan seorang sahabat dan adik-adiknya yang tak jemu-jemu belajar dan tetap kuat bekerja.

Kalau aku tiada kanser, mungkin aku lebih lalai dan leka dengan keseronokan dunia. Mungkin masih menangguhkan taubat dan beribadah yang wajib-wajib sahaja. Tahu Tuhan sentiasa ada, tapi tak bersungguh-sungguh untuk lebih dekat padaNya.

Kalau aku tiada kanser, mungkin malam-malamku dapat dilalui dengan tidur yang lebih lena. Bukan terjaga di tengah malam dan bergelut menahan kesakitan. Bangun pagi dengan penuh tenaga, bukannya bangkit dalam kepayahan.

Dan kalau aku tiada kanser, maka tiadalah blog ini. Kerana wujudnya ia untuk menjadi sandaran bagi aku meluahkan perasaan dan mencatat perjalanan hidupku dalam melawan penyakit ini. Juga merakam penghargaanku kepada insan-insan yang banyak membantu.


Entry ke-100 yang penuh makna. Sudah 100 catatan suka duka diri sendiri rupanya yang tak pernah aku terfikir pun sebelum ini untuk berkongsi di ruangan sebegini. Sampai bila aku mampu meneruskan catatan ini? Bila kesihatan makin merosot nanti, mungkin blog ini akan jadi teman setia untuk aku kenangkan semula perjalanan dan perjuangan aku sejak kanser ini berulang kembali. Aku harap akan ada kesempatan untuk aku meletakkan catatan terakhir di blog ini nanti. Bermula dengan  cara yang mesra, biarlah ia berakhir dengan cara yang baik juga, bukan tergantung begitu sahaja.

Selagi terdaya, aku akan terus bercerita. Bukan untuk sesiapa. Bukan juga untuk membuktikan apa-apa. Tapi untuk diri aku sendiri..

Wednesday 7 December 2011

Jangan Surut Langkah..

Ambil darah hari ni. Blood count pertama lepas seminggu cuba ubat baru. Kiraan sel darah putih yang agak tinggi dan platelet yang merosot. Dua keadaan yang tidak menggembirakan doktor. Juga kesan sampingannya yang mula buat aku rasa tak selesa.

Nyai (nendaku dari Singapore) tiba semalam. Janganlah jadi apa-apa padaku dalam waktu terdekat ini. Melihat kedut-kedut di wajahnya serta uban memutih di kepalanya, buat aku semakin sayu. Antara kami ni nanti, siapalah yang pergi dahulu. Hati lebih berat mengatakan mungkin aku.

Maka sabarlah diri. Tabahlah hati. Tahanlah kesakitan ini, kerana ini jalan yang aku pilih. Semoga dengan izin Allah jualah akan ada kesembuhannya nanti..amin.


Emosi Seorang Pesakit


"I'm sorry, but there's nothing more we can do."

Ayat yang tiada seorang pesakit pun dalam dunia ni ingin mendengarnya. Dan tiada seorang doktor pun dengan senang hati mahu melafazkannya. Tapi itulah yang perlu dilalui oleh si pesakit dan keluarganya bilamana sakitnya sudah sampai ke tahap akhir (terminal stage). Tapi, betul ke memang tiada apa yang boleh dilakukan? Tiada harapan untuk penawar yang mujarab bukan bermakna tiada harapan langsung. That's why clinical trials continue. Cuma mati yang tiada ubatnya...kan?

"We'll help you to live with this as long as possible, as well as possible."

I don't care how long I'm expected to live now..for years or for months or just for days. I just want to live my life to the fullest. But I have to admit, hearing distressing news about your condition makes it hard to keep straight..even for the most intelligent and organised person in the world.

Bila berdepan dengan doktor, kita seharusnya bertanya sebanyak mungkin tentang status dan perkembangan penyakit kita, sampai kita betul-betul jelas dan faham. Walaupun soalan tu kedengaran bodoh atau berulang kali kita tanyakan soalan yang sama. Sebab itu hak kita, dan nyawa kita yang sedang kita risaukan.

Once you've learned about your diagnosis and prognosis, you will have to share the news with others. For me, this is the hardest part. But it's the most necessary. Percayalah..kita tak akan mampu tanggung semuanya sendiri. Some people feel better when they tell everyone. Others like to keep it as private as they can. No matter who you tell, be sure that the people you most rely on are included in the circle of those who know what's going on and what you're feeling. But again, it's not easy. Tak mustahil orang yang paling kita kasihi dalam dunia ni bakal jadi orang yang terakhir tahu tentang keadaan kita. Bukan kerana membelakangi mereka, tapi kerana hati orang yang paling dikasihi itulah yang paling ingin kita jaga.

Ada banyak cara dan pendekatan untuk kita khabarkan ujian Tuhan ni kepada keluarga dan kawan-kawan. Antaranya (berdasarkan pendekatan aku dan respon dalam forum yang aku sertai):
  • Sit together and tell the truth in a very appropriate manner.
  • Kalau tak mampu bertentang mata, telefonlah. Tapi top-up banyak-banyak dulu sebab perbualan tu pasti akan mengambil masa yang lama.
  • Kalau tak mampu juga, mintalah seorang kawan atau ahli keluarga untuk menyampaikannya. 
  • Sentiasa update perkembangan kesihatan kita dengan orang yang kita percaya dan sangat kita perlukan.
  • Create a website or blog, to share your journey and express your feelings. 
  • Post updates on Facebook, Twitter etc (Sorry, I don't have any).
"Why me?"

Soalan yang rasanya wajib berlegar dalam kepala kebanyakan pesakit kanser saat kita disahkan menghidapnya. Mungkin ada yang rasa hidup ni tak berlaku adil kepada kita. Mati. Pasti itu yang terlintas di fikiran, lebih-lebih lagi bila takdir dan kecanggihan perubatan sudah tidak berpihak pada kita. How can you make the most of your remaining time? Kita mungkin tak mampu lagi merancang masa depan yang terlalu jauh seperti masa kita sihat dulu. Tapi sekurang-kurangnya kita perlu rancang apa yang kita ingin lakukan dengan baki hayat yang ada. Bagaimana dan dengan siapa kita akan habiskan hari-hari akhir hidup kita.

Selagi bernafas, hidup mesti diteruskan. Orang Islam yang beriman tidak akan menyerah segala-galanya pada takdir. Tidak akan berserah bulat-bulat kepada Allah tanpa berusaha. Kalau sampan sudah di tengah air, takkan kita nak tengok sahaja pendayung yang ada. Kalau pun pendayungnya sudah jatuh ke dalam air, takkan kita nak mengharap sahaja pada angin untuk membawa kita ke tepi. Aku akui, ada waktu-waktunya aku juga ingin berhenti berharap. Bila dalam kesakitan yang amat sangat, kadang-kadang kita mengharap Allah ambil sahaja nyawa kita sebab sakit itu terlalu berat untuk ditanggung. Tapi, beristighfarlah sebanyak-banyaknya dan bila kesakitan itu sudah berkurang, bersyukurlah kerana Allah masih mengizinkan kita untuk terus bernafas dan bertaubat.

Fikirlah sedalam-dalamnya apa yang paling penting pada kita sekarang. How do I like to spend my time? What makes a good quality day for me? Apa yang aku nak sangat buat sekarang, tapi tak mampu aku lakukan kerana kesakitan yang menghalang? Tanyalah pada diri. Kita mungkin tak mampu capai semua yang kita rancang. Tapi seperti yang pernah aku katakan pada seorang sahabat; tak dapat buat sikit, jangan tinggal semua. Kadang-kadang orang sakit ni cuma nak buat benda-benda biasa yang selalu dibuatnya dulu ketika sihat. Tengok pokok-pokok bunga yang ditanam, keluar makan simple food dengan kawan-kawan, main chess kat taman, duduk saja-saja kat bangku sambil tengok orang lalu-lalang, pandu kereta sambil tengok lampu waktu malam. Bring back those things you've lost. People do have to give up a lot of things when they are ill, but if you fight the pain, a lot of those things you enjoy are attainable again.

Semuanya ini sekadar pendapat aku berdasarkan pengalaman. Aku bukan orang yang sangat kuat dan tabah, tapi aku juga bukan orang yang lemah dan hanya mahu berserah. Memilih untuk hidup bukan bermakna kita menolak kematian. Kalau orang lain bersyukur dikurniakan kesihatan yang baik dan umur yang panjang, kita juga harus bersyukur diberi Allah ingatan tentang baki hayat yang ada, supaya kita lebih bersedia untuk bertemuNya dan daripada terus leka menongkat dunia. Masa hidup ni bolehlah kita mendongak ke langit. Tapi di Padang Mahsyar nanti, mungkin kita tak mampu untuk mengangkat kepala sekali pun.

Ya Allah..
Ampunilah dosa juga kesalahan kami
Berilah petunjuk terhadap semua urusan kami
Ya Allah...Ya Rahman...Ya Rahim...
Engkaulah Penguasa kepada para perawat
Dan Penguasa kepada semua kesembuhan
Anugerahkanlah kepada kami, Ya Allah
Kesembuhan dan penawar daripada sakit ini
Sembuhkanlah...Ya Allah
Sembuhkanlah...Ya Rahman
Sembuhkanlah...Ya Rahim
Dengan rahmatMu  wahai Tuhan
Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun
Wahai Tuhan yang Memelihara
Dan mentadbir sekalian alam
Amin Ya Robb..

InsyaAllah ada jalannya...

Sunday 4 December 2011

Soal Hati...


Sana sini orang bercerita tentang Ombak Rindu. Filem yang diadaptasi daripada sebuah novel popular yang terjual lebih 150 000. Sayangnya aku tak termasuk dalam golongan 150 000 tu. Sebab aku bukan kaki novel. Ada bukunya di rumah, tapi medan magnet tak cukup kuat menarik aku untuk membacanya. Mujurlah Ros dah ringkaskan ceritanya pada aku semalam. Tak adalah nanti terkebil-kebil (atau tertidur lagi?) bila tengok wayang. Kena tengok ye? Kenalah kot..dah ramai yang menghasut pergi tengok. Siap jamin lagi boleh refund kalau aku tertidur kali ni hehe..

Eloklah tu..tengah-tengah 'jiwa kacau' ni, tengok pula cerita cinta. Tapi soal hati kan..macam mana kita mengelak pun untuk teringat atau terkenang tentang sesuatu, ada waktu-waktunya hati terusik juga. Kita boleh tutup mulut dari berkata sesuatu yang tak mampu kita luahkan. Tutup mata dari melihat sesuatu yang tak sanggup kita pandang. Tutup telinga dari mendengar sesuatu yang tak daya kita terima. Kalaulah hati juga boleh ditutup semudah itu..

Bila kita terlalu bergantung harap pada sesuatu, kita sangka itulah kekuatan kita. Tapi akhirnya kekuatan itu beransur-ansur menjadi beban di hati bila kita sedar bukan itu yang Allah sandarkan untuk kita. Maka sudahnya kita serahkan kembali hati ini kepada Allah agar Dia merawatnya, supaya kita kembali ke landasan hidup yang jelas.

Bagi orang seperti aku, berjuang untuk cinta bukan soal utama. Kerana apalah ertinya cinta yang diperjuangkan itu kalau akhirnya nanti tak sempat juga dirasai. Yang penting bagi aku sekarang berjuang untuk hidup. Berusaha melawan kesakitan, berikhtiar untuk sembuh.

Cinta masih ada. Rindu belum terhenti. Semuanya tersimpan kukuh dalam hati.. 

Dalam hati ada taman...


Friday 2 December 2011

A Fight to Survive

Doktor cadangkan dua clinical trials untuk aku pertimbangkan. Well, few months ago I came across a statement made by a doctor in an article, that the doctors put people in clinical trials if they don't think there is anything they can do to save them. I guess it hit me pretty hard. Tapi aku cuba berfikiran positif, seyakin dan sepositif doktor-doktor yang merawat aku.

Aku bersetuju dengan cadangan kedua, kombinasi busulfan dan cyclophosphamide. Dua jenis ubat kanser dalam bentuk tablet, makan sebiji setiap sejenis, waktu yang sama setiap hari. Kedua-dua ubat ni dikelaskan sebagai alkylating agents. Tujuannya untuk memperlahankan atau menghentikan pertumbuhan sel kanser, terutama jenis kanser berkaitan darah.

Side effects? Semua ubat kanser mesti ada kesan sampingannya. Sama ada teruk atau sederhana. Bergantung pada ketahanan badan pesakit. I had a long discussion with my fellow fighters in the forum. It truly helps me and reassures me to know there are so many others who have gone through this and are here for me, for support. Takut juga bila dengar pengalaman mereka. Tapi aku berpegang pada jaminan doktor, 6 to 7 months of 'good health' before my body starts failing. Forget about the numbers..I just want to live.


Cyclophosphamide : Common side effects
  • nausea
  • vomiting
  • loss of appetite or weight
  • abdominal pain
  • diarrhea
  • hair loss
  • sores on the mouth or tongue
  • changes in skin colour
  • changes in colour or growth of finger or toe nails

    Call doctor immediately if any of these symptoms appear:
  • sore throat, fever, chills, or other signs of infection
  • poor or slow wound healing
  • unusual bruising or bleeding
  • black, tarry stools
  • painful urination or red urine
  • rash
  • hives
  • itching
  • difficulty breathing or swallowing
  • shortness of breath
  • cough
  • swelling in the legs, ankles, or feet
  • chest pain
  • yellowing of the skin or eyes


Busulfan : Common side effects
  • nausea
  • diarrhea
  • loss of appetite or weight
  • constipation
  • sores in the mouth and throat
  • dry mouth
  • headache
  • difficulty falling asleep or staying asleep
  • feeling unusually anxious or worried
  • dizziness
  • swelling of the face, arms, hands, feet, ankles or lower legs
  • chest pain
  • joint, muscle or back pain
  • skin rash
  • itching and dry skin
  • darkened skin
  • hair loss

    Call doctor immediately if any of these symptoms appear:

  • black, tarry stools
  • red urine
  • unusual tiredness or weakness
  • difficulty breathing
  • changes in vision
  • vomiting
  • stomach pain
  • seizures
Aku sangat-sangat berharap kesannya nanti pada aku tak seteruk yang dijangkakan. Hari ini baru hari kedua, mungkin tak rasa apa sangat. Harap-harap beginilah untuk hari-hari mendatang. Semoga badan dapat bertahan. My liver is mildly enlarged in size. Harapnya juga akan ada perubahan selepas rawatan. Hanya Allah sebaik-baik pertolongan dan tempat aku bergantung harap..

Sesuatu Yang Kita Lepaskan


Semalam aku mulakan rawatan baru. Ubat baru yang masih dalam kajian. Semoga harapan subur kembali. Bila aku memilih untuk tidak meneruskan standard chemotherapy sebelum ini, beberapa insan yang rapat denganku menyingsing lengan tidak bersetuju. Kata mereka aku mengalah. Sangka mereka aku sudah berputus asa dengan Tuhan. Pada mereka aku sudah berhenti berharap dengan menolak rawatan.

Hakikatnya, aku melepaskan sesuatu yang pada penilaian akal waras aku, juga berdasarkan medical judgement doktor sudah tidak berkesan melawan sakit ini. My most recent treatment hadn't worked. Tapi aku bukan melepaskan peluang begitu sahaja. Bila semua pintu telah tertutup untuk aku, maka sekarang aku berusaha membuka jendela yang ada, supaya sinar harapan kembali semula. Demi Allah aku belum mengalah dan tak akan berserah menunggu mati. Percayalah...

Berada jauh dari KL juga dan duduk sendiri di tepi pantai, membuat aku menilai semula sebuah perhubungan. Hubungan yang berkali-kali aku cuba lepaskan, tapi bertaut kembali. Hubungan yang banyak kali mengecewakan, tapi tetap juga aku teruskan. Pertemuan terakhir dalam perjalanan ke hospital minggu lepas sudah cukup untuk aku menamatkan penantian dia dan pengharapan aku selama ini. Cukup-cukuplah kita bermain dengan harapan dan impian.


Lepaskanlah sesuatu yang kita sayang, tapi tak mampu kita pertahankan. Tuhan dah tunjukkan jalan keluar yang mudah untuk kita. Kenapa perlu kita lalui juga jalan berliku dan berduri ini? I am nothing and I have nothing to give. Pergilah ketika aku masih ikhlas melepaskan. It hurts, I know. Tapi serahkanlah hati yang terluka itu pada Allah. Hanya Dia dapat menyembuhkan luka kita ini. Memang bukan mudah melepaskan apa yang kita sayang. Tapi bukankah lebih sukar untuk mempertahankan apa yang bukan milik kita dan mungkin memang sejak dari mula tidak ditakdirkan pun untuk kita?

Dalam hidup ini juga kalau dikira-kira, ada banyak perkara yang terpaksa kita lepaskan. Semuanya kerana ada hati yang perlu dijaga, ada hubungan yang perlu diambil kira dan ada keputusan yang memerlukan timbang tara. Berkongsi warna mata, rambut dan kulit, tidak semestinya berkongsi warna hati. Semuanya tak semudah melepaskan layang-layang yang sedang terbang tinggi. Kadang-kadang kita berharap apa yang terlepas itu akan kembali semula. Jangan tangisi sesuatu yang bukan Allah takdirkan untuk kita. Mengaku redha itu mudah, tapi sangat susah untuk kita laksanakan. Maka dengan hati yang rendah, pada Tuhanlah kita sandarkan segala harapan..


One of my favourites..tak ada kena mengena dengan tajuk

Thursday 1 December 2011

Selamat Pulang...

Pantai yang aku tinggalkan..

Alhamdulillah, selamat pulang akhirnya. Percutian yang mengajar aku tentang banyak perkara. Membuka hati untuk menilai semula erti persahabatan. Hanya bila kita makan sepinggan, tidur sekatil dan menghabiskan perjalanan yang panjang dengan sahabat-sahabat, maka kita akan lebih kenal hati budi dan kebaikan mereka. Terima kasih semuanya..

Dessert moment..

Entry yang pendek untuk perjalanan yang panjang. Hmm..mungkin kerana keletihan yang belum hilang, maka kenangan yang terakam biarlah tersimpan dulu dalam ingatan. Ada masa boleh diceritakan. Ada waktu-waktunya sesetengah cerita lebih manis disimpan untuk ingatan peribadi. Jumpa lagi..

Moga ada yang mengerti...