Pages

Subscribe:

Labels

Tuesday 30 October 2012

Menghitung Hari (4)

Life is beautiful.
Life is a struggle.
Life is a beautiful struggle..



 Biar berkali-kali jatuh, lutut berdarah..
Juga kerapkali tersembam, bibir pecah..
Tidak sesekali tersungkur rebah, mengaku kalah..



Wish you were there, my dearest friend..
When I heard the disturbing conclusion..
But I'll keep fighting for a friend like you
Who has given me every reason to smile!

Wednesday 24 October 2012

Hari Arafah

Esok 9 Zulhijjah 1433H. Esok Hari Arafah. Hari di mana ketika tetamu-tetamu Allah sedang wukuf di Padang Arafah, kita yang tidak pergi menunaikan haji ini digalakkan untuk berpuasa sunat.

Dan Rasulullah s.a.w ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah.
Maka baginda bersabda:
"Ia menebus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang."
( Hadith Riwayat Imam Muslim )


Wukuf adalah kemuncak haji. Di Padang Arafah itulah Rasulullah menyampaikan khutbah terakhir baginda. Khutbah perpisahan yang sangat berbekas di hati...

Dan Arafah itulah gambaran Padang Mahsyar yang akan kita hadapi nanti. Hari di mana terbentangnya dosa-dosa kita di padang itu. Transit kita sebelum melangkah ke syurga atau neraka.

Meskipun ibadah wukuf itu hanya beberapa jam sahaja, tapi pada saat itulah Allah berada sangat dekat dengan hamba-hambanya di sana. Mendengar doa dan rintihan mereka.  

Mudah-mudahan aku juga akan diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah. Meskipun tidak sempat untuk menunaikan haji, sekurang-kurangnya dapat buat umrah sekali lagi, sebelum pulang ke alam abadi..amin Ya Robb.

Salam Aidiladha buat semua. Moga-moga setiap pengorbanan kita di jalan Allah diterima baik di sisi Allah jua. Sampai jumpa lagi..



Sahabat di Hati

Kita kenal perangainya..
Kita tahu kelemahannya..
Kita terima kekurangannya..
Dan kita tetap bersahabat dengannya..
Berusaha menjadi sahabat terbaik untuknya
Bersama kekurangan yang ada pada diri kita..
Kenapa?
Kerana kita mahu masuk syurga dengannya..

Walaupun ada jarak yang memisahkan
Kalau memang sudah dinamakan persahabatan
Tidak semestinya perlu bersentuhan tangan
Kerana kita sudah bersentuhan hati
Juga sentiasa berbalas-balas doa
Kenapa?
Kerana di antara cinta dan sayang
Di situ kasihnya sahabat..

Terima kasih di atas ingatan..

Tuesday 16 October 2012

Melihat Dengan Mata Hati

Pejam mata dan bukalah hati..

Dulu, aku dan Abah suka berada di tempat awam. Sekadar duduk dan memerhati tingkah laku manusia. Kata Abah, bukan untuk mencari kekurangan sesiapa, tapi mengagumi kejadian Tuhan. Hari ini di lobi hospital, melihat telatah dan karenah manusia di sekeliling aku mengingatkan kembali rutin yang biasa aku jalani dengan Abah dulu.

Melihat betapa wang ringgit tidak dapat membeli kesihatan dan nyawa seorang manusia. Melihat betapa orang sakit juga punya harga diri supaya tidak terus dipandang dengan pandangan penuh simpati. Kita selalu dengar orang bermain kata, "Put yourself in their shoes." Cuba letakkan diri kita di tempat mereka. Aku kira kalau boleh ditambah sikit pepatah itu.."Put yourself in their shoes..and walk a mile in those shoes." Sekadar meletakkan diri tapi tidak cuba merasai dan memahami sebenarnya tidak membawa apa-apa erti.

Antara simpati dan empati..
Antara kasih dan kasihan..
Ada banyak bezanya..

Banyak yang kita boleh pelajari di tengah ramai itu. Apatah lagi bila kita berada di tempat yang baru. Sesuatu yang asing lama-lama akan menjadi kebiasaan pada kita. Yang baik kita jadikan panduan. Yang tak elok kita buat renungan. Teringat bait lagu M. Nasir (Mentera Beradu):

Ijazah terbaik datangnya dari jalanan
Dari pengalaman, bercakap dan bersalaman..

Lagu zaman sekolah..

Monday 15 October 2012

Orang Sabar Selalu Menang


Minggu lepas adalah minggu yang sangat menguji ketahanan mental dan fizikal untuk orang seperti aku. Sesuatu yang mudah dan biasa pada orang lain sebenarnya sangat sukar dan mencabar untuk dilakukan  bagi seorang pesakit kanser. Tapi aku menerima itu sebagai ujian. Kerana pekerjaan itulah yang menjadi rezekiku setiap bulan, maka amanah itu wajib dilunaskan. Alhamdulillah, empat hari berkampung memerah otak, mudah-mudahan modul yang kami hasilkan itu dapat membantu anak-anak kita yang kurang bernasib baik dan agak perlahan dalam pelajaran untuk sekurang-kurangnya mampu berdiri dan hidup untuk diri mereka sendiri. Kerana dunia mereka hari ini tidak semudah dunia kita dahulu.

Pagi semalam terpaksa ke hospital semula kerana kaki yang bengkak dan perut yang kembung semakin terasa bisanya. Kata doktor itu adalah simptom sama ada masalah pada hati, buah pinggang yang terganggu fungsi atau mungkin juga jantung yang membengkak.

Salah satu atau lebih masalah pada organ-organ itu yang menyebabkan kaki menjadi bengkak dan kembung perut. Apabila organ-organ terbabit tidak dapat berfungsi dengan baik, maka air dan toksin berlebihan berkumpul di situ. Puncanya adalah rawatan chemo yang sedang aku jalani sekarang. Laporan yang keluar petang tadi mengesahkan ubat doxorubicin yang aku terima untuk cycle ini adalah puncanya. Hmm..sudahlah Jumaat lepas badan tak boleh menerima antibiotik yang diberi. Sekarang timbul masalah baru pula. Seperti yang mereka jangkakan...

Selepas bercakap dengan doktor petang tadi, maka aku akur yang aku perlu istiqomah. Cuba dulu sampai terbukti rawatan kali ni tidak akan berhasil. Maka kami akan cuba sekali lagi meneruskan rawatan minggu ini dengan kombinasi dan antibiotik baru. Kalau ok, maka bolehlah aku terus bergantung harap pada usaha ini. Tapi kalau tak ok, terpaksalah aku mencari jalan yang lain. Putus asa belum lagi...


Kata doktor jangan risau, bertenang. Harapan walaupun makin mengecil, tapi tetap ada. Mungkin mudah untuk mereka menenangkan aku supaya jangan terlalu memikirkan prognosis yang ada sekarang (satu-satunya perkara yang tak mampu aku ceritakan kepada sahabat itu). Tapi kalau mereka di tempat aku, berada dalam keadaan diberi tempoh tertentu untuk hidup dan mampu bertahan, mana mungkin ketenangan yang diharapkan akan datang dengan mudah. Tidak mudah kalau kita tidak yakin dengan janji Allah.

Apa pun keadaannya sekarang, dan apa pun yang akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang, aku akan berusaha menjadi hamba Allah yang bersyukur di atas nikmat yang ada dan redha di atas ujian yang diberi. Kita selalu mengeluh dengan apa yang kurang pada kita setiap kali melihat apa yang lebih pada orang lain. Dan kita hanya akan bersyukur dengan apa yang kita ada setelah melihat apa yang kurang dan tiada pada orang lain. 

Macam semalam ketika menunggu di outpatient clinic, aku, adik aku dan beberapa pesakit lain hanya melihat dan mendengar rungutan dan rengekan seorang gadis yang sangat risaukan bisul kecil di atas hidungnya. Risau bisul itu akan merosakkan kecantikan wajahnya. Risau parut itu nanti akan menyebabkan kawan-kawan mentertawakannya.

Setelah hampir 10 minit mendengar keluhan dan kerisauannya itu, tiba-tiba seorang pakcik di tepi aku bertanya kepada ibunya.
               "Sakit apa?"
               "Bisul. Awak?" balas ibunya yang sabar itu.
               "Oh..bisul. Saya kanser," jawab pakcik itu sambil menunjukkan telinganya.
Baru kami perasan sebelah telinganya yang berbalut dan nampak rata itu. Senasib rupanya kami. Tiba-tiba je suasana jadi sunyi sepi. Mungkin pakcik itu ikhlas bertanya. Atau mungkin juga ada sesuatu yang dia mahu gadis itu tahu. Ada orang lain yang lebih menderita daripadamu. Maka aku juga harus bersyukur. Walaupun terbatas, sekurang-kurangnya aku masih mampu menjalani hidup seperti orang lain.

Dan aku harap aku masih mampu memberi semangat buat sahabat yang jauh itu. Supaya dia tidak mudah mengalah. Aku tahu menuntut ilmu itu payah. Lebih payah bila kau perlu mengingati, memahami dan menghafal sesuatu yang baru dalam hidupmu. Tapi insyaAllah..yakinlah Allah sentiasa bersamamu. Allah sentiasa memudahkan jalan orang yang mencari ilmu sepertimu.  Saat terindah di kala kau mencari ilmu ialah mengenali siapa Penciptamu..


You are not alone. Semua yang di sini sentiasa mendoakanmu. Selagi doa seorang ibu sentiasa bersama kita, insyaAllah sesukar mana pun jalan yang ada, pasti ada jalan keluarnya. Sudah berkali-kali kau membuat orang tuamu tersenyum dengan kejayaanmu. Buatlah mereka tersenyum lagi kali ini. You know what, my friend...the most beautiful thing in this world is to see your parents smiling, and knowing that you're the reason behind that smile. Seperti yang Angah lakukan minggu lepas dan yang bakal Abe lakukan nanti. Buatlah mereka tersenyum berkali-kali...ganbatte!

Sahabat itu saling menguatkan..

Thursday 11 October 2012

Kayuhlah Perlahan-lahan..

You have come this far. Don't give up now. Walaupun bukit itu tinggi, walaupun jalannya berliku,kayuhlah perlahan-lahan. Usaha,doa,tawakal..insyaAllah.


Sunday 7 October 2012

Dekat PadaMu..

Ya Allah,
Jika ajalku telah datang
dalam sakitku ini,
Maka mudahkanlah untukku.
Tapi jika masih jauh,
Sembuhkanlah penyakitku.
Dan jika ini sebagai ujian,
Maka berilah kesabaran padaku.
Amin Ya Robb..

It's so hard to feel strong when the pain is taking over my body and my life. But storms don't last forever. Sabarlah dengan ujian. Pesan yang selalu aku titipkan buat sahabat yang jauh itu. Maka harus kerap berpesan yang sama kepada diri sendiri. Kerana kita akan selalu diuji dengan apa yang kita nasihati. Mahu orang lain  menjadi sabar,kita dulu harus sabar. Mahu orang jadi kuat,kita sendiri harus kuat.

Semakin sukar sesuatu perkara itu,makin dekat sebenarnya kasih sayang Allah pada kita. I will fight back!


Thursday 4 October 2012

Menghitung Hari (3)


Aku tak mampu menjadi orang yang baik itu. Tapi sekurang-kurangnya aku tahu aku tidak berusaha menjadi orang yang jahat. Aku tak mampu menjadi orang yang menyenangkan. Sekurang-kurangnya aku sedang berusaha untuk tidak selalu menjadi orang yang menyusahkan.

Esok harus ke sana lagi. Kudrat makin kurang, tapi semangat masih ada. Mudah-mudahan Allah permudahkan rawatan esok. Selamat belajar buat sahabat itu. Mudah-mudahan Allah permudahkan perjuangan ilmumu di sana. Juga selamat beribadah buat dia yang kini sangat dekat dengan Allah dan kekasih Allah. Semoga hajimu mabrur.

Setiap kita ada sesuatu yang perlu diperjuangkan. Semoga dimudahkan Allah perjalanan untuk kita itu.. Sampai jumpa lagi. Ganbatte!

Tiba masanya kau cari teman pengganti..

Wednesday 3 October 2012

Penawar Rindu


Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu..

Dulu aku cuma mendengar. Tidak pernah merasainya. Kata mereka yang sedang berjuang seperti aku, yang setiap malam berdoa agar dapat melihat hari esok, saat kita dalam kesakitanlah satu-satu wajah yang dikasihi bermain dalam fikiran. Perasaan memerlukan kehadiran mereka menguasai diri. Dalam kesakitanlah satu-satu wajah yang dikasihi itu bersilih ganti terbayang di hadapan mata.

Pada waktu-waktu begitu, rasa cukup kalau dapat melihat wajah. Rasa puas kalau dapat mendengar suara. Tangan ini rasa ingin menggenggam sesuatu untuk menahan sakit itu. Maka baju yang tinggallah akhirnya jadi pengganti. Baju itulah yang  digenggam erat. Baju itu jugalah buat menyapu airmata.

Kata Abah, orang yang kita sayang, walau di bumi Tuhan yang mana pun dia pergi, selagi dia masih di dunia ini, kita masih mampu mengubat rindu itu dengan mendengar suara dan menatap wajahnya. Tapi andai orang yang kita sayang telah dijemput Tuhan, rasa rindu itu akan semakin pedih, terasa sama sakitnya seperti kesakitan yang sedang ditanggung ini.


Benarlah kata Abah. Akhir-akhir ini, pada setiap malam yang terisi dengan kesakitan, aku cuba cari penawarnya pada wajah-wajah mereka yang kini jauh..baik di dunia mahupun yang di alam abadi. Buat penawar rindu..moga berkurangan kesakitan ini.

Rindu - Hijjaz