Minggu lepas adalah minggu yang sangat menguji ketahanan mental dan fizikal untuk orang seperti aku. Sesuatu yang mudah dan biasa pada orang lain sebenarnya sangat sukar dan mencabar untuk dilakukan bagi seorang pesakit kanser. Tapi aku menerima itu sebagai ujian. Kerana pekerjaan itulah yang menjadi rezekiku setiap bulan, maka amanah itu wajib dilunaskan. Alhamdulillah, empat hari berkampung memerah otak, mudah-mudahan modul yang kami hasilkan itu dapat membantu anak-anak kita yang kurang bernasib baik dan agak perlahan dalam pelajaran untuk sekurang-kurangnya mampu berdiri dan hidup untuk diri mereka sendiri. Kerana dunia mereka hari ini tidak semudah dunia kita dahulu.
Pagi semalam terpaksa ke hospital semula kerana kaki yang bengkak dan perut yang kembung semakin terasa bisanya. Kata doktor itu adalah simptom sama ada masalah pada hati, buah pinggang yang terganggu fungsi atau mungkin juga jantung yang membengkak.
Salah satu atau lebih masalah pada organ-organ itu yang menyebabkan kaki menjadi bengkak dan kembung perut. Apabila organ-organ terbabit tidak dapat berfungsi dengan baik, maka air dan toksin berlebihan berkumpul di situ. Puncanya adalah rawatan chemo yang sedang aku jalani sekarang. Laporan yang keluar petang tadi mengesahkan ubat doxorubicin yang aku terima untuk cycle ini adalah puncanya. Hmm..sudahlah Jumaat lepas badan tak boleh menerima antibiotik yang diberi. Sekarang timbul masalah baru pula. Seperti yang mereka jangkakan...
Selepas bercakap dengan doktor petang tadi, maka aku akur yang aku perlu istiqomah. Cuba dulu sampai terbukti rawatan kali ni tidak akan berhasil. Maka kami akan cuba sekali lagi meneruskan rawatan minggu ini dengan kombinasi dan antibiotik baru. Kalau ok, maka bolehlah aku terus bergantung harap pada usaha ini. Tapi kalau tak ok, terpaksalah aku mencari jalan yang lain. Putus asa belum lagi...
Kata doktor jangan risau, bertenang. Harapan walaupun makin mengecil, tapi tetap ada. Mungkin mudah untuk mereka menenangkan aku supaya jangan terlalu memikirkan prognosis yang ada sekarang (satu-satunya perkara yang tak mampu aku ceritakan kepada sahabat itu). Tapi kalau mereka di tempat aku, berada dalam keadaan diberi tempoh tertentu untuk hidup dan mampu bertahan, mana mungkin ketenangan yang diharapkan akan datang dengan mudah. Tidak mudah kalau kita tidak yakin dengan janji Allah.
Apa pun keadaannya sekarang, dan apa pun yang akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang, aku akan berusaha menjadi hamba Allah yang bersyukur di atas nikmat yang ada dan redha di atas ujian yang diberi. Kita selalu mengeluh dengan apa yang kurang pada kita setiap kali melihat apa yang lebih pada orang lain. Dan kita hanya akan bersyukur dengan apa yang kita ada setelah melihat apa yang kurang dan tiada pada orang lain.
Macam semalam ketika menunggu di outpatient clinic, aku, adik aku dan beberapa pesakit lain hanya melihat dan mendengar rungutan dan rengekan seorang gadis yang sangat risaukan bisul kecil di atas hidungnya. Risau bisul itu akan merosakkan kecantikan wajahnya. Risau parut itu nanti akan menyebabkan kawan-kawan mentertawakannya.
Setelah hampir 10 minit mendengar keluhan dan kerisauannya itu, tiba-tiba seorang pakcik di tepi aku bertanya kepada ibunya.
"Sakit apa?"
"Bisul. Awak?" balas ibunya yang sabar itu.
"Oh..bisul. Saya kanser," jawab pakcik itu sambil menunjukkan telinganya.
Baru kami perasan sebelah telinganya yang berbalut dan nampak rata itu. Senasib rupanya kami. Tiba-tiba je suasana jadi sunyi sepi. Mungkin pakcik itu ikhlas bertanya. Atau mungkin juga ada sesuatu yang dia mahu gadis itu tahu. Ada orang lain yang lebih menderita daripadamu. Maka aku juga harus bersyukur. Walaupun terbatas, sekurang-kurangnya aku masih mampu menjalani hidup seperti orang lain.
Dan aku harap aku masih mampu memberi semangat buat sahabat yang jauh itu. Supaya dia tidak mudah mengalah. Aku tahu menuntut ilmu itu payah. Lebih payah bila kau perlu mengingati, memahami dan menghafal sesuatu yang baru dalam hidupmu. Tapi insyaAllah..yakinlah Allah sentiasa bersamamu. Allah sentiasa memudahkan jalan orang yang mencari ilmu sepertimu. Saat terindah di kala kau mencari ilmu ialah mengenali siapa Penciptamu..
You are not alone. Semua yang di sini sentiasa mendoakanmu. Selagi doa seorang ibu sentiasa bersama kita, insyaAllah sesukar mana pun jalan yang ada, pasti ada jalan keluarnya. Sudah berkali-kali kau membuat orang tuamu tersenyum dengan kejayaanmu. Buatlah mereka tersenyum lagi kali ini. You know what, my friend...the most beautiful thing in this world is to see your parents smiling, and knowing that you're the reason behind that smile. Seperti yang Angah lakukan minggu lepas dan yang bakal Abe lakukan nanti. Buatlah mereka tersenyum berkali-kali...ganbatte!
Sahabat itu saling menguatkan..
0 comments:
Post a Comment