Pages

Subscribe:

Labels

Wednesday 21 November 2012

Mencari Kesudahan Yang Baik


Bersawang. Berkarat. Berlumut. Kalau itu yang boleh terjadi pada blog ini setelah beberapa minggu aku tinggalkan. Keadaan tidak mengizinkan. Alasan paling selamat yang mampu diberi. Ditakdirkan Tuhan banyak yang berlaku beberapa minggu ini. Sayang tak mampu aku ceritakan pada waktu-waktu itu. Dan sudah terlambat untuk dikisahkan kembali. Cerita basi.

Ditakdirkan Tuhan juga aku diuji beberapa ketika akhir-akhir ini. Ujian yang menyebabkan aku lupa password blog dan PIN number bank sendiri. Dan kuasa Tuhan jugalah yang mengingatkan aku kembali kepada nombor-nombor penting ini selepas Subuh tadi. Alhamdulillah. Tepat pada harinya ketika hari ini Allah menguji aku sekali lagi untuk membuat keputusan tentang hidup dan matiku. Cantik kerja Tuhan. Mungkin ini caraNya untuk merawat duka di hati. "Luahkanlah di ruangan ini yang sering kau luahkan isi hatimu dulu..perkara-perkara yang tak mampu kau ceritakan kepada insan-insan yang sangat kau kasihi."

Hampir setahun yang lepas, aku pernah suarakan harapanku di sini, di ruangan ini. Harapan yang kadang-kadang nampak cerah, atau selalunya samar-samar. Tapi kini nampak makin pudar. "Selalu ada harapan bagi mereka yang berdoa. Selalu ada jalan bagi mereka yang berusaha." Nasihat yang pernah aku titipkan buat sahabat yang jauh itu. Kini nasihat itu perlu aku pakukan dalam hati sendiri. Selalu juga menasihati sahabat itu supaya mencari sesuatu yang baik di sebalik setiap ujian yang Allah berikan kepadanya. Maka hari ini nasihat itu harus kembali juga kepada diri sendiri. Kerana aku tahu kita akan selalu diuji dengan apa yang kita nasihati.

Hari ini tewas seketika dengan diri sendiri. Kekuatan yang selama ini cuba dipertahankan, seketika tadi terasa gugur satu persatu, seperti sedang gugurnya daun-daun cantik di bumi indah tempat sahabat itu berjuang mencari ilmu. Dan seperti gugurnya daun-daun itu kerana memberi ruang untuk musim bertukar ganti, maka aku juga harus merelakan kekuatan ini gugur seketika supaya dapat aku kumpul semula kekuatan yang baru, bagi mencari kesudahan yang baik untuk diri ini. Melengkapkan perjalanan hidup seorang manusia yang setiap nafas dan harinya di dunia dipinjamkan Allah buat  sementara.

Sehari dua ini harus berusaha mendapatkan kembali kekuatan itu. Mencari semangat yang hilang. Merancang perjalanan hidup yang berbaki sebaik-baiknya. Harus yakin dengan pilihan yang dibuat. And I will continue to pray for a miracle. Juga harus terus tersenyum mendengar cerita-cerita gembira atau turut sama menangis saat mendengar kisah-kisah duka daripada mereka yang aku kasihi. Harus sentiasa ada untuk sahabat itu sekalipun dalam kejauhan. Juga harus sentiasa ada untuk mereka yang dekat di depan mataku ini. Memberi senyum untuk semua dan menyimpan tangis di bahu mereka. Moga-moga dengan melihat senyuman sentiasa terukir di wajah itu, atau melihat tangisan kembali reda di mata itu, atau melihat gelak tawa menghiasi wajah itu, dapat memberi aku semangat dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. InsyaAllah..

"A smile doesn't always mean a person is happy. Sometimes it simply means they are strong enough to face their problems."