Pages

Subscribe:

Labels

Monday, 19 September 2011

Hope Matters...

Entry hari ni adalah perkongsian ilmu tentang pemindahan sum-sum tulang (BMT) yang aku terima melalui e-mail hari ni. Harap-harap aku tak perlu melalui proses menyakitkan ni nanti.

Sum-sum tulang (bone marrow) tu apa?

Sum-sum tulang adalah tisu yang ada di dalam tulang. Sum-sum tulang inilah yang menghasilkan bahagian-bahagian darah termasuk:
  • Sel darah putih - untuk menentang penyakit
  • Sel darah merah - untuk mengangkut oksigen
  • Platelet - untuk pembekuan darah (menghalang pendarahan)
Pemindahan sum-sum tulang tu ada berapa jenis?
  1. Pemindahan sum-sum tulang allogeneic - pemindahan sum-sum daripada penderma kepada pesakit. Penderma biasanya adik-beradik pesakit sebab jenis tisunya sama.
  2. Pemindahan sum-sum tulang autologous - sum-sum tulang pesakit diambil terlebih dahulu dan disimpan, dan diberikan semula kepada pesakit kemudiannya.

Syarat kelayakan menerima pemindahan sum-sum tulang (hmm..macam nak mintak kerja pulak!):
  • Umur - makin meningkat umur, makin banyak risiko pemindahan kerana meningkatnya kemungkinan komplikasi. Kalau kat Malaysia, had umur tertinggi untuk menjalani pemindahan ni adalah sekitar 40 tahun.
  • Kesesuaian penyakit - BMT bukannya sesuai untuk semua jenis penyakit darah. Sangat berjaya untuk penyakit Acute Myeloid Leukemia (AML) dan Chronic Myeloid Leukemia (CML) peringkat awal. 
  • Kesesuaian penderma - BMT allogeneic memerlukan penderma yang mempunyai tisu yang serupa dengan pesakit. Tiada had umur untuk penderma.
Bagaimana tisu dijeniskan?

Melalui ujian darah, atau lebih tepat lagi 'HLA Typing'. Pilihan penderma yang bersesuaian biasanya daripada adik-beradik pesakit. Peluang untuk dapat tisu yang sesuai hanya 1 dalam 4 peluang. Peluang kesesuaian daripada ahli keluarga lain (ibu bapa dan anak-anak) pula adalah sangat rendah (lebih kurang 1 dalam 100 peluang).

Masalah/komplikasi yang mungkin timbul berkaitan pemindahan sum-sum tulang:
  1. Kemandulan - ketidakupayaan pesakit untuk mendapat anak adalah kesan sampingan daripada pemindahan sum-sum tulang.
  2. Perubahan kulit dan keguguran rambut - bersifat sementara.
  3. Mucositis - semasa proses pemindahan, semua pesakit akan mengalami sakit mulut disebabkan kesan kemoterapi dan ia juga untuk tempoh sementara. Pada masa ini pesakit tak boleh makan dan bergantung kepada saluran intravene untuk zat-zat makanan.
  4. Graft vs Host disease - komplikasi berpunca daripada tindak balas sel-sel imun penderma terhadap pesakit. Boleh menyebabkan ruam, radang hati dan usus. Boleh dirawat dengan ubat.
  5. Jangkitan (infections) - Pesakit akan mengalami risiko tinggi untuk mendapat jangkitan semasa dan selepas pemindahan. Akan diberi antibiotik dan penjagaan teliti selama lebih kurang setahun. 
Apakah yang akan dialami oleh pesakit semasa rawatan?
  • Pesakit akan dirawat di hospital selama sebulan, lepas tu kena datang 3 kali seminggu untuk rawatan rapi seterusnya selama 2 bulan. 
  • Masa kat hospital, sejenis alat khas yang dipanggil "Hickman catheter" dipasang melalui pembedahan kecil. Tujuannya untuk beri pesakit cecair, kemoterapi, transfusi darah dan juga zat-zat makanan terus ke darah.
  • Seterusnya pesakit akan menerima 'conditioning chemotherapy', iaitu persediaan bagi sum-sum tulang untuk menerima sum-sum tulang baru. Kesan sampingannya termasuk muntah, cirit-birit dan pendarahan dari pundi kencing.
  • Sum-sum yang diambil kemudian dipindahkan kepada pesakit. Blood count pesakit akan jadi rendah untuk tempoh 2-3 minggu sebelum sum-sum tulang baru berfungsi. 
  • Pesakit dikehendaki mengambil ubat tertentu selama setahun.
Apakah yang akan dialami oleh penderma?
  • Tiada kesan sampingan, cuma penderma akan rasa sakit di bahagian tulang pelvis untuk beberapa hari selepas pembedahan. 
  • Kebiasannya penderma akan tinggal di hospital untuk tempoh 3 hari sahaja.
  • Kadang-kadang penderma dan keluarga akan diminta untuk menderma platelet untuk beberapa minggu selepas pembedahan.
To all AML fighters out there, harapan untuk orang seperti kita biasanya macam yo-yo. Selalu naik dan turun. Berdoalah semoga harapan tu tak hilang terus. Hope matters. Sahabat-sahabat aku yang hebat selalu mengingatkan aku bahawa harapan sentiasa ada. Maka carilah harapan itu, walaupun ada waktu-waktunya mencari harapan untuk meneruskan hidup terasa seperti mencari sebatang jarum yang jatuh ke dalam perigi.

Cari Tuhan, di situ kita akan bertemu ketenangan...

Cari harapan, di situ mungkin kita akan bertemu bahagia...

Have faith, there is hope...

0 comments:

Post a Comment