Pages

Subscribe:

Labels

Saturday, 3 September 2011

Cerita Raya Aku

Kesesakan di Tambak Johor

Salam Aidilfitri..

Alhamdulillah, berlalu sudah Ramadhan yang mulia, yang pasti dirindui. Alhamdulillah, dapat juga aku sama-sama bertakbir dan bertahlil bersama keluarga di malam  raya. Tahun ni banyak perubahan tradisi raya bagi keluarga aku. Gara-gara adik bekerja raya pertama, raya kami banyak habis di jalan raya, berkejar-kejaran mengejar masa. Tahlil yang biasanya dibuat lepas solat sunat raya, diawalkan ke malam raya. Bersalam-salaman bersama keluarga pun dibuat sekali lepas tu. Saat orang bergaya sakan ke masjid untuk solat sunat raya, kami sekeluarga memulakan perjalanan balik ke KL kerana adik kerja shift petang hari tu.

Sampai je KL, dah ada yang menelefon nak datang ke rumah. Tak putus-putus pula yang datang sampai ke tengah malam. Mujur kuih dah sempat susun dalam bekas dan bawa balik juadah raya dari Singapura. Ada jugalah benda yang nak dihidangkan. Tapi sempat juga buat soto malam tu. Raya kedua aku surrender, terasa sakit seluruh badan. Nasib baik Fiza nak ambik order catering last minute dari aku. Abah dan Mama antara  saudara tua dalam keluarga. Maka ramai la yang datang berziarah.

Raya ketiga giliran kami pula mencari saudara-saudara tua dan ke rumah adik-beradik Abah. Tahan je la telinga ni dengar Mak Long membebel sebab raya ketiga baru cari dia. Perjalanan seharian KL-Melaka-Seremban-Klang-PJ-KL akhirnya membawa padah juga buat aku malam semalam. Elok nak keluar dari kereta, terasa gelap pandangan, lemah kaki. Pengsan juga aku sudahnya. Kena tahan di Wad Kecemasan, masuk air 2 botol. Pukul 5 pagi baru doktor bagi pulang. Mama dah menangis semahu-mahunya. Mujur la adik sempat 'kawtim' dengan doktor, maka Mama cuma diberitahu aku jadi begitu kerana terlampau penat dan kurang tidur (bukan bohong dia, cuma tak beritahu semua). Syukurlah, benda tak jadi lebih teruk. Nampak gayanya kena juga cari masa yang sesuai nanti untuk berterus-terang. 

Petua daripada Ustaz Hassan, mengikut amalan ulama silam terutama ulama hikmah, pegang ubun-ubun orang yang pengsan dengan kedua-dua tangan kita. Bacakan Bismillahirrahmanirrohim 41 kali, tidak terlampau laju atau lambat dan tidak terlalu nyaring atau perlahan. Tapi sebelum tu kena buat juga la first aid yang sepatutnya : Letakkan orang yang pengsan tu dalam keadaan selesa (jangan kerumun dia), tinggikan bahagian kaki (alas dengan apa-apa), longgarkan sikit bajunya, check pernafasan (rasa kat dada, kalau tak ada kena buat CPR), pastu check pulak nadi (normal ke tak, kurang 70/minit maknanya jantung lemah, lebih 90 maknanya pitam biasa sebab penat dan sebagainya) dan sapukan air kat muka supaya sedar sambil dibacakan kalimah basmallah tadi. Agak-agak tak yakin, call jelah ambulance. Kita tak tau bila kita akan berdepan keadaan macam ni kan..

Esok keluarga sebelah Abah pula bertandang ke rumah (kecuali Mak Long yang masih marah kat kami). Sempat juga lari sekejap petang tadi menjenguk ayah kawan aku yang koma di Hospital Selayang. Nampaknya raya tahun ni paling memenatkan. Atau kerana badan aku yang tak sekuat dulu. Tapi aku tetap bersyukur kerana entah kenapa, kali ni aku dapat jumpa semua saudara-mara  dan kawan-kawan rapat Abah walaupun ada yang sekadar terserempak di masjid dan R&R. Mudah sungguh Allah temukan kami dengan mereka semua.Oleh kerana kali ni adik yang jadi driver, dapatlah aku tunjukkan jalan ke rumah-rumah mereka padanya. Lepas ni 'tetap dan berpencen' dia menjadi supir keluarga, kerana doktor tak bagi aku memandu lagi.

Alhamdulillah, walaupun Ramadhan dan Syawal kali ni penuh dengan airmata, aku juga sebenarnya sangat-sangat gembira kerana masih diberi waktu dan ruang untuk meraikannya bersama orang-orang yang aku sayang. Dapat mimpi Abah malam raya juga satu hasrat yang Allah sentiasa kabulkan untuk hamba-Nya yang sentiasa mengharap ni. Mungkin pada orang lain itu cuma mainan tidur. Tapi bagi aku, itulah nikmat Syawal dan rindu yang tak sudah dari seorang anak. Kalau sekali mungkin kebetulan. Tapi kalau dah setiap kali malam raya Abah datang dalam mimpi walaupun sekejap, itulah cantik kerja Tuhan namanya..

Isnin dah mula sekolah. Rindu kat kawan-kawan. Semoga semuanya dapat balik semula ke KL dengan selamat. Penuh dah hujung-hujung minggu akan datang ni dengan jemputan rumah terbuka. Rasanya tak dapat pergi semua dan berlama-lama di tempat yang ramai orang atas nasihat doktor. Maafkan aku kalau banyak jemputan yang tak dapat dipenuhi nanti.

Rasanya semua checklist Ramadhan dan Syawal dah aku tunaikan, kecuali satu perkara. Kena cari masa yang sesuai untuk ke Gemas mencari seseorang. Semoga Allah permudahkan urusanku yang satu ini dan semoga aku diberi kesihatan yang baik untuk mencari mereka dan juga kekuatan hati untuk bertemu mereka.

Begitulah cerita raya aku. Terima kasih kepada semua yang membuatkan Ramadhan dan Syawal tahun ini sangat indah buat aku..

0 comments:

Post a Comment