Pages

Subscribe:

Labels

Friday, 30 September 2011

Nikmat Sihat


Esok, insyaAllah, bawa budak-budak camping di Hulu Langat. Dua hari satu malam. Satu tempoh yang panjang dan mencabar buat orang macam aku. Seronok, tapi bimbang juga kalau-kalau aku akan menyusahkan orang pula nanti, terutama Zila. Harap-harap semuanya berjalan lancar. Dah macam-macam halangan dan dugaan yang kawan-kawan tempuh untuk melaksanakan program ni. Sampai ada yang berbalas kata dan terasa hati. Itulah lumrahnya bila kita bekerja dalam kumpulan. Tak semua orang berfikir macam kita. Tak jadi pula nanti kalau buat sorang-sorang. Apa pun, benda yang boleh dibincang secara berunding, janganlah dibawa menjerit. Isu-isu yang boleh tamat pada masa tu, janganlah pula dipanjang-panjangkan. Bila rasa marah dan tertekan, carilah penyejuknya dalam al-Quran. InsyaAllah, luntur segala keangkuhan bila al-Quran menusuk kalbu. 

Bila fikir pasal camping esok, hati ni cuak sebenarnya. Boleh harap ke aku ni? Masa di universiti dulu bolehlah, masih sihat. Mendaki Nuang, Angsi dan Tahan. Keluar masuk kampung Orang Asli. Menyibuk jadi fasilitator untuk kem-kem motivasi. Kudrat masih ada. Tapi semua tu dah lama aku tinggalkan. Mujurlah pergi ni nanti sebagai guru pengiring je. Yang mana aku boleh buat, aku buat. Yang mana tidak, aku tak akan memaksa diri. Semoga selamatlah semuanya di sana nanti, selamat pergi dan balik.

Dengan keadaan aku sekarang, aku sangat-sangat mensyukuri nikmat sihat yang Allah berikan pada waktu-waktunya. Apa yang biasa dan mudah untuk kawan-kawan lakukan, merupakan satu kesukaran untuk aku. Nak jalan seiring pun terasa lelah. Bukan sebab diorang jalan cepat, tapi aku yang lambat. Tadi cuba-cuba minum Coke dan makan burger sebab teringin, sudahnya merana sakit perut. Masa di Pahang dulu, memandu 3 jam pergi dan 3 jam balik setiap minggu pun tak terasa. Pagi tadi memandu sendiri dari rumah ke sekolah yang tak sampai 15 minit, dah jadi 35 minit buat aku. Terhegeh-hegeh, tapi kena juga beranikan diri, sampai bila nak harap dan susahkan kawan, yang selalu lambat dapat pergi sarapan sebab terpaksa ambil aku dulu. Mudah-mudahan Allah lapangkan sedikit perjalanan hidup aku untuk hari-hari seterusnya. 

Sebab tu aku hairan kenapa orang yang sihat sesuka hati mencari jalan menamatkan riwayat hidup sendiri. Bawa motor, pandu kereta laju-laju. Hisap rokok berkotak-kotak sehari. Bunuh diri (na'uzubillah) bila hilang harapan. Kalaulah kesihatan tu boleh dijual beli..tapi masih boleh dicari. Memanglah kalau kita jaga makan, bersenam dan bersukan bagai nak rak pun, kalau dah nak sakit, sakit juga. Tapi sekurang-kurangnya kita boleh mengelak daripada sakit yang dicari sendiri kan. Mungkin itu silapnya aku. Lepas disahkan bebas kanser kali pertama dulu, lebih-lebih lagi sejak Abah tiada, aku mengabaikan semua tu. Sibuk jaga orang lain, sampai lupa jaga diri sendiri.

Malam ni kena cukup rehat. Harap-harap ubat yang doktor bagi tu berkesan untuk dua hari ni nanti. Buat kawan-kawan yang turut serta, maafkanlah kalau aku tidak membantu dalam kadar yang sepatutnya. Tapi aku akan cuba untuk tidak juga menyusahkan kalian. Berjanji pada diri, kalau yang ini pun aku tak lepas, aku tak akan ikut ke Morib. Thanks for this opportunity and for the big help. I'll try to be fair to all of you before things get worse.  Jumpa lagi, insyaAllah..

   

0 comments:

Post a Comment