Thursday, 8 December 2011
Kalau Aku Tiada Kanser
Kalau aku tiada kanser, cuti sekolah begini pasti setiap hariku terisi dengan macam-macam aktiviti. Bawa Mama jalan-jalan, balik Singapore, cuti-cuti Malaysia dengan kawan-kawan, memenuhi permintaan adik-adik yang mahukan menu masakan pelbagai rasa, etc.
Kalau aku tiada kanser, pasti aku akan berusaha mempertahankan sebuah perhubungan. Berusaha mendapatkan restu. Berusaha mencari bahagia dengannya. Mungkin kita masih diulit bahagia..
Kalau aku tiada kanser, pasti aku akan menjadi seorang guru yang lebih baik. Mengajar dengan lebih semangat dan bertenaga, mungkin sama ligat dengan anak-anak muridku yang lasak itu.
Kalau aku tiada kanser, mungkin sekarang aku sedang sambung belajar. Terus menjadi pencari ilmu yang tak jemu-jemu meneroka ilmu Allah. Kagum dengan seorang sahabat dan adik-adiknya yang tak jemu-jemu belajar dan tetap kuat bekerja.
Kalau aku tiada kanser, mungkin aku lebih lalai dan leka dengan keseronokan dunia. Mungkin masih menangguhkan taubat dan beribadah yang wajib-wajib sahaja. Tahu Tuhan sentiasa ada, tapi tak bersungguh-sungguh untuk lebih dekat padaNya.
Kalau aku tiada kanser, mungkin malam-malamku dapat dilalui dengan tidur yang lebih lena. Bukan terjaga di tengah malam dan bergelut menahan kesakitan. Bangun pagi dengan penuh tenaga, bukannya bangkit dalam kepayahan.
Dan kalau aku tiada kanser, maka tiadalah blog ini. Kerana wujudnya ia untuk menjadi sandaran bagi aku meluahkan perasaan dan mencatat perjalanan hidupku dalam melawan penyakit ini. Juga merakam penghargaanku kepada insan-insan yang banyak membantu.
Entry ke-100 yang penuh makna. Sudah 100 catatan suka duka diri sendiri rupanya yang tak pernah aku terfikir pun sebelum ini untuk berkongsi di ruangan sebegini. Sampai bila aku mampu meneruskan catatan ini? Bila kesihatan makin merosot nanti, mungkin blog ini akan jadi teman setia untuk aku kenangkan semula perjalanan dan perjuangan aku sejak kanser ini berulang kembali. Aku harap akan ada kesempatan untuk aku meletakkan catatan terakhir di blog ini nanti. Bermula dengan cara yang mesra, biarlah ia berakhir dengan cara yang baik juga, bukan tergantung begitu sahaja.
Selagi terdaya, aku akan terus bercerita. Bukan untuk sesiapa. Bukan juga untuk membuktikan apa-apa. Tapi untuk diri aku sendiri..
Labels:
Kenangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment