Kembali ke sekolah hari ini. Seronok dapat jumpa kawan-kawan. Yang pipi makin tembam, yang perut makin membesar (ramai betul yang bersalin tahun depan..bertambah umat Muhammad, alhamdulillah). Lupakan kejap deretan kerja yang dah menunggu. Dah rasa cukup bahagia bertemu kawan-kawan tadi. Macam-macam cerita, macam-macam rasa..
Aku jadi guru kelas lagi tahun ni. Boleh ke aku ni? Tahun ni pun dah rasa cukup banyak menyusahkan orang. Tapi yalah kan..bila orang beri kita sesuatu amanah, bererti mereka percaya pada kita. Maka, sabarlah diri..terima ini sebagai cabaran. Cuma aku berjanji untuk tidak terlalu memaksa diri. Beri diri sendiri ruang untuk bernafas dan juga peluang untuk membalas kepercayaan yang diberikan. Andai kata dalam beberapa bulan lagi keadaan semakin teruk, aku sendiri akan berundur. Semoga Allah memberikan hambaNya ini kekuatan untuk bekerja dan beribadah sementara kudrat masih ada.
Masa mesyuarat di sekolah tadi juga sibuk dengan agenda opsyen bersara. Tengok kawan-kawan sibuk mengira berapa tahun lagi nak bersara, memilih-milih umur yang sesuai untuk berehat, tiba-tiba aku jadi sangat pesimis dalam suasana tadi. Bersungguh-sungguh aku memilih opsyen pun, dapat ke aku bertahan sampai ke usia itu? Semua orang leka mengira berapa tahun lagi yang mereka ada untuk bersara, entah-entah aku ni cuma mampu menghitung berapa bulan yang tinggal untuk terus bernafas. Sudahnya kekal dengan pilihan aku sebelum ini. Kalau ada rezeki dan umurku sepanjang itu, alhamdulillah. Kalau tidak pun, tak ada apa yang dikesalkan. Bersyukur dengan setakat mana rezeki dan hayat yang Allah dah tetapkan.
Bohonglah kalau aku kata prognosis doktor tak mempengaruhi perancangan hidup aku sekarang. Setakat mana Allah mengizinkan aku untuk terus sihat nanti, selama itulah aku akan cuba memberikan yang terbaik untuk anak-anak murid yang bakal diamanahkan Allah kepadaku nanti. Moga-moga Allah memberi aku lebih masa untuk bersama mereka dan kawan-kawan aku di sekolah tu..amin.
Mulai esok dan hari-hari seterusnya di sekolah nanti, aku mengharapkan dapat memberi yang lebih baik daripada sekarang. Menyelesaikan setiap urusan pada waktunya. Memberi makna pada setiap usaha. Memanfaatkan peluang sihat sebelum sakit, dan kesempatan hidup sebelum mati. Sambil tidak lupa memohon pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar. Gagal itu biasa, terus berusaha itu yang luar biasa. Berusaha dan bekerja hak kita. Menentukannya itulah hak Allah. Pada Tuhan aku sandarkan harapan..
Amalan doa mohon keberkatan & murah rezeki setiap pagi
0 comments:
Post a Comment