Pages

Subscribe:

Labels

Sunday, 1 January 2012

2012: Terima Kasih, Tuhan..


Catatan pertama untuk tahun 2012..

Alhamdulillah, Tuhan masih memberi kesempatan untuk aku bernafas dan meneruskan kehidupan. Berjanji pada diri sendiri untuk melalui hari-hari mendatang ini dengan lebih sabar dan bermakna. Memberi warna indah pada setiap hari yang bakal dikurniakan Allah untuk aku. Cuma harus selalu beringat: Jangan sampai hilang rasa jujur dan syukur.

"Ya Allah..jangan Kau cuba aku melebihi batas mampu dan sanggupku.."

Azam. Rutin wajib kita setiap awal tahun. Tekad dan harapan, kadang-kadang dalam satu senarai panjang yang kita harap dapat dicapai pada tahun ini. Atau mungkin cuma sebaris ayat, namun punya makna besar dalam hidup seseorang.

Azam aku? Malam tadi aku berkesempatan menulisnya. 5 perkara yang aku harap dapat disempurnakan sementara kesihatan mengizinkan. Perkara-perkara berkaitan kerja dan peribadi yang akan aku lakukan mengikut kemampuan diri. Moga-moga Allah kabulkan..

Perjalanan hidup kita tidak sama panjangnya, tidak sama dugaannya dan tidak juga sama nikmatnya. Terima kasih, Tuhan..kerana memberi aku usia sepanjang ini. Walau sampai bila belum tentu, aku bersyukur diberi peluang mengisinya dengan urusan dunia dan akhirat.

Terima kasih kerana menguji aku dengan kesakitan. Kerana kalau Kau uji aku dengan kesihatan berpanjangan, mungkin aku akan lupa dengan izin siapa aku kekal sihat begitu. Mungkin terus jauh daripadaMu. Terima kasih, Tuhan atas segala nikmat yang Kau berikan padaku. Nikmat akal dan iman, nikmat kasih dan sayang, nikmat rezeki dan segala kemudahan. Terima kasih kerana sentiasa meletakkan aku dalam lingkungan kasih sayang keluarga dan sahabat handai.

Sebelum kita berkata tentang sesuatu yang tidak baik, bayangkanlah mereka yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.

Sebelum kita menghukum orang lain dengan sesuatu yang memalukan, fikirkanlah betapa Allah sentiasa melindungi aib kita selama ini.

Sebelum kita mengeluh betapa sakitnya kesakitan yang ditanggung ketika ini, letaklah diri di tempat mereka yang hanya mampu terbaring dan sesekali mengerdipkan mata.

Sebelum kita menarik tangan dan berpaling muka untuk tidak memaafkan sesiapa, renungkanlah betapa Allah yang paling berhak menghukum pun sentiasa memaafkan dosa hambaNya.

Sebelum kita mengaku kalah sekarang untuk meneruskan hidup, ingatlah kenapa Allah membangkitkan kita  dari tidur pagi ini dan insyaAllah membangunkan kita semula esoknya.

Cantik kerja Tuhan, percayalah..

Jangan sampai hilang rasa jujur & syukur..

0 comments:

Post a Comment