Alhamdulillah..tiga hari pertama persekolahan, Allah permudahkan segala urusanku di sekolah. Dah mula kena jalan cepat-cepat, tulis baca cepat-cepat, fikir cepat-cepat. Dah terasa bahang kerja tahun ni sama hebatnya macam tahun lepas. Tapi insyaAllah, mudah-mudahan akan selalu bertemu jalan keluarnya dan dipermudahkan olehNya.
Permulaan tahun yang cukup menduga. Selama dua bulan lebih ni, aku rasa selesa dengan keadaan aku. Ada waktu-waktunya kesakitan datang juga. Tapi sekurang-kurangnya ubat chemo tak menjalar dalam badan setiap minggu. Aku dapat buat perkara yang aku mahu. Aku dapat rasa makanan yang aku suka. Aku dapat pergi tempat yang aku nak tuju.
Tapi nampak gayanya tak dapat terus-terusan merasai nikmat begini. Laporan perubatan minggu ini bakal memaksa aku kembali ke bilik rawatan itu. Rutin yang terpaksa aku jalani semula setiap minggu. Duduk berjam-jam di reclining chair itu. Trial drugs sekarang tak cukup kuat melawan sel-sel kanser tahap Gaban yang dah mula merebak ke organ lain dalam badan. Seperti yang mereka jangkakan.
Aku mengharapkan tempoh sihat yang lebih lama. Tapi dengan perkembangan terkini minggu ni, aku kena rancang semula 'pelan strategik, taktikal dan operasi' hidup aku (macam ayat Guru Besar aku je..). 5 azam yang aku harap dapat dicapai tahun ni, 2 daripadanya sedang aku usahakan, mungkin terpaksa aku susun semula. Buat yang mana mampu, capai apa yang terdaya.
Masih ada cahaya. Itu pesan Kak Ruby petang tadi, cancer fighter seperti aku. Keadaannya yang semakin teruk dan hanya menerima rawatan untuk mengurangkan kesakitan, bukan lagi untuk menyembuhkan, masih lagi berusaha memberi harapan kepada orang lain. Maka aku juga harus percaya, cahaya itu masih ada. I never take my life for granted. Mungkin kadang-kadang kata hati dan tindakan aku nampak seperti aku tak sayangkan diri sendiri. Tapi bukan itu niat aku. Kalaulah kalian di tempat aku sekarang, mungkin kalian akan mengerti, betapa susahnya menjadi aku.
Doa dan harapan aku, Allah akan tetap membantu aku melepasi dugaan ini seperti mana Dia sentiasa menunjukkan jalan keluarnya pada aku selama ini. Semakin kita diuji, semakin kita yakin betapa Allah sayang pada kita. Cantik kerja Tuhan kan..
Pada Tuhan ada semuanya..
0 comments:
Post a Comment