Lama sungguh rasanya tak menulis. Bila terlalu banyak perkara berlaku dalam satu-satu masa, kadang-kadang aku tak tahu nak mula bercerita dari mana. Dua minggu yang penuh suka dan duka..
20 Februari 2012:
Akhirnya Kak Ruby dijemput pulang ke rahmatullah. Allah melepaskannya daripada derita yang panjang. Insan yang selalu menarik aku kembali ke landasan hidup setiap kali rasa mengalah menguasai diri. Jujurnya, aku sangat terkesan dengan pemergian Kak Ruby. Selalu tertanya-tanya entah bila pula sampai giliran aku. Cuma mampu berdoa, semoga aku dapat menjadi seperti Kak Ruby, yang tetap tabah sekali pun doktor dah tak beri apa-apa harapan lagi. Semoga Allah menempatkannya bersama orang-orang beriman, mengganti deritanya di dunia dengan sebaik-baik balasan syurga.
25-26 Februari 2012:
Hujung minggu yang membantu mengurangkan kesedihan dan sakit hati aku minggu lepas. Naik Cameron buat kali keempat dalam tempoh 3 bulan. Perasaan dan suasana yang berbeza bila kita pergi dengan orang yang berbeza. Tapi semuanya tetap buat aku rasa bahagia. Kenangan yang akan selalu aku replay setiap kali dalam kesakitan, moga-moga berkurang rasa sakit itu. Thanks for the memories..
Akhir-akhir ini badan rasa makin tak selesa. Hati pula makin berat untuk ke hospital semula. Tak mampu untuk terima sekali lagi kegagalan rawatan yang telah aku cuba. Tak daya untuk mendengar sekali lagi perkembangan buruk penyakit kejam yang semakin hilang harapan untuk sembuh ini. Tapi aku dah berjanji untuk tidak berputus asa. Maka, sekalipun siang tadi aku menolak clinical trials yang dicadangkan, bukan bermakna aku akan menyerah dan menunggu mati begitu sahaja. Kecewa, takut dan susah hati. Tiga rasa yang aku harap dapat aku hadapi dalam waktu terdekat ini. Rabbi yassir wala tu'assir..
Kita selalu merancang untuk bahagia, mana tahu datang derita. Selalu merancang untuk gembira, mana tahu datangnya duka. Segalanya mungkin dalam hidup ini..yakinlah dengan janji Allah.
Wednesday, 29 February 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment