Pages

Subscribe:

Labels

Thursday, 1 March 2012

Hidup..Seperti Yang Dijangka


Hari ini, sekali lagi aku mengalah dengan keadaan diri. Konon tak mahu ke hospital lagi untuk jangka waktu terdekat ini. Pergi juga. Doktor periksa dari hujung kepala ke hujung kaki, sangat terperinci dan berhati-hati. Cuba menafikan perubahan yang berlaku pada diri sendiri, tapi laporan awal petang tadi mengesahkan segala-galanya. Harap-harap laporan penuh Sabtu ni tak akan buat aku terduduk lagi. Menangis tu mungkin, tapi janganlah sampai merentap sisa-sisa semangat yang ada pada aku sekarang.

Things are getting worse. I know. But I also need a break. Bukan mudah untuk meneruskan hidup bila doktor dah meletakkan dateline, berapa lama kita boleh bertahan. Betul, mereka bukan Tuhan. Tapi mereka meramal berdasarkan ilmu dan pengalaman. Percayalah, orang yang paling kuat dalam dunia ni pun sedikit sebanyak akan terkesan dengan kenyataan pahit begini. Jangan fikir sangat. Jangan fikir bukan-bukan. Itu yang selalu diingatkan kepada aku. Tak nak fikir pun, ada waktu-waktunya teringat juga kerana hakikat tu dah bersarang dalam kepala dan bertapak dalam hati. Maka maafkan aku kalau hakikat tu banyak mengubah sikap dan pendirian aku akhir-akhir ini. Selalu merasakan setiap apa yang aku buat dan setiap masa yang dimanfaatkan bersama keluarga dan sahabat adalah untuk yang terakhir kali. Takut untuk merancang hidup terlalu jauh..

Menolak clinical trials bukan bermakna aku menolak segala ikhtiar. Aku nak terus hidup. Tak mahu mati sia-sia. Tapi berilah ruang untuk aku atur semula perjalanan hidup yang berbaki ini. Kita cuba satu-satu. InsyaAllah, mudah-mudahan sempat bertemu penawarnya. Buat seorang sahabat yang masih marah dengan sikap dan tindakan aku akhir-akhir ini, yang pada matanya nampak seperti aku dah berhenti berharap, maafkanlah aku. Diamlah selama mana yang kau mahu. Jauhkanlah diri kalau kau rasa itu perlu. Kalaulah kau dapat lihat apa yang aku terpaksa lalui hari-hari, dapat rasa kesakitan dan kepayahan yang terpaksa aku tahan, mungkin kau boleh faham kenapa aku tak mampu untuk jadi sekuat dulu.


Hidup ini, seperti yang dijangka, tak semudah yang kita harapkan. Apa yang kita rancang mungkin tak sama dengan yang Tuhan sediakan. Semua orang nak cari bahagia. Ada waktu-waktunya akan datang juga derita. Apa yang aku dah tak mampu lakukan dan nak capai sekarang, aku dah lepaskan dengan rela untuk sementara waktu. Tapi aku akan sentiasa mendoakan sahabat-sahabat aku dapat mengejar dan mencapai apa yang mereka rancangkan. Untuk mencari ilmu setinggi yang boleh, untuk melihat dunia sejauh yang mampu, dan untuk bahagia di sisi mereka yang mampu membahagiakan. Satu-satunya perancangan aku sekarang ialah untuk bertahan selama mungkin. Kalau itu aku mampu lakukan, barulah boleh cari bahagia yang lain..dengan mereka yang aku sayang dan dengan perkara yang aku suka.

Live life to the fullest. Harapan sentiasa ada. Nasihat yang kerap aku terima daripada seorang sahabat. Manfaatkan hidup sebaik-baiknya. InsyaAllah aku akan cuba. Payah, tapi tak mustahil. Maafkan aku kerana terlalu banyak bergantung kepada kalian, insan-insan mulia yang Allah hadirkan dalam hidup aku. Daripada sekecil-kecil pertolongan hinggalah sebesar-besar bantuan. Malu kerana setiap hari menyusahkan. Sampai nak berjalan pun terpaksa berpaut pada lengan kalian. Terima kasih semuanya. Untuk orang biasa macam aku, dapat bersahabat dengan insan sebaik itu, adalah satu nikmat dari Tuhan yang sangat-sangat aku syukuri. Sarang-hae yo..lillahi ta'ala.

Sahabat yang sempurna di mataku..

0 comments:

Post a Comment