16 bulan lepas, aku dijanjikan pelan rawatan yang dijangka dapat menghalang sel-sel kanser daripada merebak terlalu cepat. Berkesan untuk 8 bulan pertama. Lepas tu, semua gabungan ubat yang dicuba tak menjadi seperti yang diharapkan. And today I've been told that my body has started failing. Rupanya dalam 3 bulan kebelakangan ini, sel-sel kanser tu semakin agresif. Mula menyerang organ lain dan dalam diam memusnahkan sistem pertahanan badan aku.
Hati dah tak mampu menerima ubat kemo berdos tinggi. Tambahan ubat bermakna proses kerosakan hati akan semakin cepat berlaku. Tak ambil ubat bermakna kanser yang dah merebak ke bahagian lain itu akan semakin tidak dapat dikawal. Buntu. But my doctor always has a solution. Well, at least an alternative when the current treatment failed. Maka sekali lagi aku meletakkan kepercayaan pada kepakaran dan pengalamannya. Semoga ikhtiar terakhir ini, sekali pun dah tak mampu menyembuhkan, biarlah sekurang-kurangnya dapat membantu aku untuk bertahan beberapa ketika lagi. Bukan berangan untuk hidup lama. Memadai kalau aku diberi masa yang cukup untuk menyelesaikan beberapa perkara lagi.
Seperti Hilangnya Karat Daripada Besi:
Sakit itu ujian. Sakit itu penghapus dosa. Dah lama aku menerima hakikat itu untuk menenangkan hati. Moga-moga sakit berpanjangan ini akan menghapuskan seberapa banyak dosa yang ada pada diriku. Seperti hilangnya karat daripada besi. Aku dah tak mampu sebenarnya menahan kesakitan ini. Terpaksa lebih banyak berpura-pura kuat di depan orang. Perasaan pun makin cepat tersentuh. Airmata makin tak dapat ditahan. Kalau dibiarkan, bakal menjejaskan hubungan aku dengan insan-insan yang aku sayang.
Minggu ni aku banyak menghabiskan masa dengan anak-anak murid kelas aku. Rasa sayang yang semakin menebal. Keakraban yang sangat mendamaikan. Anak-anak yang manja, tapi mendengar kata. Cantik Allah mengaturkan perjalanan hidup aku. DijadikanNya aku seorang guru. Supaya dapat menampung kekurangan yang ada padaku bila terputusnya semua amalan waktu ditanya oleh Munkar dan Nakir nanti. Sedekah jariah-tak mampu aku beri sebanyak orang lain. Ilmu yang bermanfaat-insyaAllah, selama ini aku cuba sampaikan sejak aku mula mengajar. Doa anak yang soleh-juga tak mampu aku perolehi, sekalipun itu yang paling diingini. Maka aku harap akan adalah anak-anak aku di sekolah itu yang akan sudi mendoakan aku bila aku mati.
Berjalanlah Tanpa Henti:
Life must go on. Tengahari tadi, Nad, Kak Lin dan Kak Maliana banyak beri nasihat berguna dan kata-kata semangat. InsyaAllah, cadangan mereka tu akan aku pertimbangkan. Walaupun sakit ni cuma aku yang rasa, tapi aku tahu aku tak sendiri. Sangat ramai orang yang prihatin dan sentiasa cuba untuk memahami keadaan aku. Membuatkan aku tak pernah rasa berseorangan dalam melalui ujian ini. Aku bukan siapa-siapa, banyak yang kurang pada diri aku. Tapi aku selalu rasa bertuah dikurniakan Allah keluarga, sahabat, dan insan-insan mulia lain yang sentiasa membuatkan aku rasa bersyukur dapat mengenali dan dapat hidup dalam lingkungan kasih sayang kalian.
Kalau aku tak mampu hidup cukup lama untuk membalas semua kebaikan orang pada aku, aku harap masa yang Allah berikan ini cukup untuk aku mendoakan segala kebaikan untuk setiap mereka, untuk setiap hari. Doa yang lebih panjang aku pohonkan untuk kalian berbanding untuk diri aku sendiri. Semoga kalian sentiasa dalam rahmat Allah. Kalau sakit, pohon Allah sembuhkan. Kalau duka, pohon Allah gembirakan. Kalau sepi, pohon Allah bahagiakan. Dan kalau susah, pohon Allah senangkan.
Aku tak mampu bercerita kepada semua orang tentang keadaan aku sekarang. Berilah aku masa untuk berterus-terang. Kalau aku seakan menjauh, bukan kerana ada perkara yang tidak menyenangkan berlaku antara kita. Tapi kerana aku tak dapat memandang wajah-wajah bahagia itu di hadapan bayang kematian aku sendiri. Cuba untuk melepaskan wajah-wajah itu perlahan-lahan.
Tapi perjalanan hidup tetap diteruskan. Kalau pun berhenti seketika, sekadar untuk melepaskan lelah sebelum bertemu rehat yang panjang. Cerita aku cuma sebuah cerita kecil dalam dunia yang besar ini. Cerita orang biasa yang sentiasa percaya akan cantiknya kerja Allah dan setiap perkara yang diaturkan olehNya dalam hidup aku. Cerita yang makin lama akan dilupakan. Terlalu kecil untuk menjadi sejarah, tapi cukup berharga untuk menjadi kenangan.
Thanks, Nad..
askum, it just happen that saya terbaca blog awk ni. Mungin ketentuan Allah. Saya mendoakan yang terbaik untuk awk. Amin. Kuatkan semangat dan benar kata awk apa yang terjadi pasti ada hikmahnya.
ReplyDelete