Sudahnya dua hari dihabiskan untuk recharge tenaga dan berehat secukupnya. Harap tak tumbang lagi minggu ni. Syukurlah, hari ni dapat bereskan lebih separuh kerja pentaksiran yang dah tertangguh lama. Esok ada sehari lagi rehat. Harap-harap semakin pulih badan ni bila mula sekolah Rabu nanti.
Beginilah hidup. Betapa elok pun kita merancang, cantik lagi perancangan Allah. Kadang-kadang kita rasa jalan yang kita pilih dah cukup selamat dan betul. Mana tahu tiba-tiba batu besar jatuh bergolek dan menghalang perjalanan kita. Memaksa kita untuk membuat pilihan: ikut jalan lain atau alihkan saja batu itu dari jalan.
Kalau batunya besar ni, mesti payah kan?
Perjalanan hidup aku hari ini pun sebenarnya dah lari jauh dari apa yang aku rancang. Silapnya daripada aku juga. Terlalu yakin penyakit yang pernah singgah di tubuh aku 13 tahun dulu akan selamanya pergi. Berpegang pada jaminan doktor waktu itu, cancer free selepas 5 tahun sihat. Juga dengan mengabaikan rutin full body check-up yang aku buat setiap tahun masa Abah ada. "I wish we could detect this earlier". Aku benci ayat tu.
Kita sebenarnya boleh berhati-hati dengan melihat tanda-tanda yang ada di sekeliling kita sebelum memutuskan untuk meneruskan perjalanan. Kalau dah nampak batu-batu kecil kerap jatuh, sepatutnya kita berhenti sekejap untuk melihat perubahan pada bukit yang ada di sepanjang jalan. Dan aku terlepas pandang semua itu. Bukan menyesal, cuma aku sangat berharap kalian tak buat kesilapan yang sama. Janganlah diabaikan sebarang tanda..
Rasa macam buat kempen alam sekitar pulak. Macam kempen cegah kanser pun boleh kot. Menjadi harapan aku supaya insan-insan yang aku sayang (family and friends) tak merasai kesakitan yang sama aku lalui sekarang. Semoga dijauhkan Allah, dan semoga kalian sentiasa dalam keadaan sihat untuk bekerja dan beribadah. Aku tak ada pilihan lain selain cuba mengalihkan atau memecahkan batu besar yang ada di depan aku, dengan apa cara sekali pun. Tapi kalian masih ada kesempatan untuk mengelaknya daripada berlaku.
Apa pun, aku tak mampu melakukan semua ni sendiri. Sebab aku bukan Superman. Maka bantulah aku dengan doa dan harapan. It's not just to fight, but to defeat. Walaupun perjalanan ini dah hampir sampai ke penghujung, itu bukan alasan untuk aku mengalah dan berharap Tuhan akan menggerakkan batu itu ke tepi. Kalau aku rasa semua ni dah cukup sukar, ada orang lain lebih payah lagi kehidupannya. Bukan kerja mudah, tapi juga tak mustahil kalau dengan izin Allah. Seperti kata Kak Ruby, bukan semua orang mampu senyum dalam kesakitan. Dan bukan semua orang mampu ketawa dalam tangisan.Wajah lukisan hati..wallahu a'lam.
"Senyumlah jika kau ingin orang lain tersenyum padamu"
0 comments:
Post a Comment