Pages

Subscribe:

Labels

Saturday, 18 February 2012

Tuhan Sedang Mendidikmu

Sebagai seorang Islam yang beriman, setiap masa kita diuji. Allah menguji kita dengan pelbagai rupa. Allah juga mendidik kita dengan pelbagai cara. Lulus ujian, insyaAllah bertambahlah iman. Gagal ujian, insyaAllah sentiasa ada ruang untuk kita memperbaiki diri. Kewajipan kita sebagai full-time Muslim.

Ada waktu-waktunya saat Tuhan menguji dari pelbagai arah, kiri dan kanan, depan dan belakang, aku rasa diri terlalu kecil. Tak mampu nak lawan semuanya. Tak daya nak tanggung bebannya. Waktu-waktu begitulah syaitan sangat suka mengetuk benteng iman kita kan..

Bisikan syaitan yang kita rasakan seperti keluhan hati sendiri. Jahat sangatkah aku ni sampai diuji dengan kesakitan begini? Teruk sangatkah aku ni untuk layak hidup bahagia dengan orang-orang yang aku sayangi? Astaghfirullah..mujur ada yang selalu menyedarkan akan besarnya nikmat Tuhan, luasnya kasih sayang Tuhan pada hambaNya ini. "Tuhan sayang kita lebih, sebab tu Dia uji kita pun lebih". Terima kasih kerana selalu mengingatkan.

Syukur, dalam kesakitan dan ketidakselesaan begini, aku masih rasa bahagia. Sentiasa dikelilingi insan-insan mulia yang yang sentiasa buat aku rasa gembira. Buat aku rasa sangat bersyukur bila bangun setiap pagi kerana dapat hidup sehari lagi. Semoga Allah menggandakan bahagia itu untuk mereka seperti mereka membahagiakan aku.

Banyak perkara yang berlaku pada aku dan mereka yang berada di sekelilingku minggu ini. Perkara-perkara yang buat aku sedar yang keakraban perhubungan itu bukan didekatkan dengan hubungan saudara semata-mata. Ada sahabat yang kita kasihi lebih daripada saudara sendiri. Ada pula saudara yang mungkin memandang kita seperti seorang musuh hanya kerana ada pertolongan yang tak mampu kita beri. Kasih sayang tak akan sampai ke hati kalau di situ ada rasa benci.

Dalam persahabatan dan apa juga ikatan perhubungan antara kita dengan manusia, rasa kasih sayang perlu ada untuk kita bertahan. Kasih yang benar-benar kasih ialah bila kita tak perlukan sebab untuk menyayangi seseorang. Sayang yang benar-benar sayang ialah bila kita tak mampu berikan alasan kenapa kita sayangkan mereka. Selesa walaupun kita berbeza, mampu menukar rasa duka menjadi gembira.

Mungkin begitu salah satu cara Tuhan mendidik kita. Untuk menghargai sebuah persahabatan. Untuk mempertahankan sebuah ikatan. Mungkin ada waktu-waktu akan ada rasa marah, kecil hati atau perselisihan. Tapi itu bukan berpanjangan. Asalkan kita dapat handle semua tu dengan penuh hikmah, sabar dan tolak ansur. Jangan biar kemarahan itu berterusan. Setiap hari berkali-kali kita mencuci muka ni kan..mungkin ini caranya Tuhan mendidik kita untuk sesekali mencuci hati kita pula.

Akhir-akhir ini aku melihat beberapa hati dilukai. Hati sendiri dan hati orang lain. Mungkin orang yang melukai itu tidak sedar, ketika mereka melontarkan sesuatu dalam kemarahan, kata-kata mereka itu meninggalkan kesan seperti lubang di hati orang lain. Kita dapat menusuk pisau pada seseorang, lalu mencabut pisau itu. Tapi kesannya sangat dalam. Walau berkali-kali kita meminta maaf, luka itu akan tetap ada. Maka jagalah adab dan budi pekerti, sekalipun dalam marah dan tidak berpuas hati terhadap sesuatu. Kerana kita dipandang manusia bukan kerana rupa, tapi kesempurnaan budi dan adab kita.

Kalaulah aku mampu merawat hati sahabat yang sedang terluka itu, aku akan bagi semua kegembiraan yang aku ada sehingga dia tidak mampu untuk berasa sedih lagi. Yang aku mampu hanya mendoakan agar Allah melapangkan hati sahabat-sahabat itu, yang melukai dan dilukai. Yang aku ada cuma kata-kata semangat dan sepasang telinga untuk mendengar segala-galanya. Mudah-mudahan Allah menyatukan kembali hati-hati yang terluka itu. Sabarlah..Tuhan sedang mendidikmu.



0 comments:

Post a Comment