Akhir-akhir ini semakin jarang bercerita dan semakin kurang menulis. Ada hari-harinya, terasa ingin sangat meluahkan sesuatu di sini, tapi keadaan dan waktu pula tidak mengizinkan. Malam ini, atas permintaan seseorang yang sangat jauh, aku catatkan juga sesuatu. Perkara-perkara kecil untuk dikenang. Yang mungkin biasa pada orang, tapi sangat bermakna bagi aku.
Sekolah
Kalau orang kata Bursa Saham Kuala Lumpur (KLSE) tu sibuk, sibuk lagi sekolah aku kebelakangan ni agaknya. Tuntutan kerja yang mendesak, beban kerja yang bertambah. Bunyi macam satu keluhan, tapi itulah realitinya buat mereka yang masih bertanggapan jadi cikgu ni kerja senang. But I love my job and I love what I'm doing. It's just that my body literally can't handle the stress. Mujurlah ada sahabat-sahabat yang banyak membantu. Mudah-mudahan rezeki yang aku terima dengan jalan ilmu ini adalah rezeki yang halal dan diberkati.
Hospital
Satu-satunya tempat yang aku cuba jauhi beberapa minggu kebelakangan ini. Sebab aku selesa dengan keadaan sekarang, bila aku tak perlu menanggung kesan sampingan rawatan dan aku tak perlu bergantung kepada ubat tahan sakit sepanjang masa. Tapi nampaknya tak lama lagi terpaksa juga sambung sesi rawatan yang tertangguh itu kerana rasa badan dah mula menunjukkan tanda-tanda tidak mampu berlagak biasa dan sihat macam orang lain lagi. Nak langsaikan dulu benda-benda yang diamanahkan pada aku, supaya tak menyusahkan terlalu ramai orang pula bila sampai masa aku nanti.
Sahabat
Persahabatan mampu memberi kita dua rasa yang jauh berbeza. Rasa gembira dan bahagia yang cukup dengan hanya melakukan benda-benda biasa setiap hari dan perkara-perkara kecil bersama-sama. Juga rasa kekurangan dan kesedihan yang nyata bila mengingati semua itu selepas kita kehilangan mereka. Sabtu lepas (14 April), genap 17 tahun sahabat seperti itu meninggalkan aku. Ingatan padanya makin kurang, tapi tetap diingati. Kunjungan ke pusaranya makin jarang, tapi sesekali tetap dikunjungi.
Bila seorang kawan itu akhirnya menjadi sahabat kita, dan kerana persahabatan dengannya itulah perlahan-lahan menjadikan kita seorang insan yang lebih baik, kehilangannya sedikit sebanyak akan mencorakkan kehidupan kita seterusnya. Semuanya tak bermakna bila sepasang nisan dah menjadi tugu. Bagaimana pula aku mahu dikenang selepas aku mati nanti? Aku bukan sahabat yang baik, yang selalu menggembirakan. Maka memadailah kalau sesekali aku diingati dengan cara yang mendamaikan, bukan dengan kenangan-kenangan yang bisa menerbitkan rasa marah dan benci di hati kalian.
Kalau kita tak mampu menjadi seperti sebatang pensel untuk menulis kebahagiaan sahabat-sahabat kita, maka sekurang-kurangnya kita harus cuba menjadi seperti sebiji pemadam yang bisa memadam kedukaan mereka.
Berilah.. tapi jangan sampai dirimu dipergunakan.
Sayangilah.. tapi jangan sampai hatimu dilukai.
Percayalah.. tapi jangan sampai dirimu dikhianati.
Dengarlah.. tapi jangan sampai hilang suara hatimu sendiri.
0 comments:
Post a Comment