Pages

Subscribe:

Labels

Thursday, 3 November 2011

Izinkan Aku Bernafas Lagi

"Mohon dekat padaMu.."

Semalam aku menangis lagi. Menangis kerana banyak perkara. Menangis kerana report dan prognosis yang mengecewakan. Menangis kerana harapan yang semakin jauh meninggalkan aku. Menangis kerana impian yang semakin jelas berkecai satu persatu. Menangis kerana terlalu letih berjuang..just so tired of being me.

"Orang kuat juga harus menangis". Teringat pesan Abah dulu. Maka damaikanlah hatiku, Ya Allah. Aku tahu Kau tidak mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Derita sakitku, retak hatiku yang kau takdirkan untukku ini, aku yakin kerana Kau tahu, hati sebeginilah lebih lunak dan mudah untuk akrab dan dekat denganMu. Maka jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan ujianMu ini.

Izinkanlah aku bernafas lagi. Izinkan aku menyediakan bekalan akhiratku yang masih seringan kapas ini. Izinkan aku meneruskan taubat untuk dosa-dosaku yang belum Kau ampunkan. Izinkan aku menyediakan keperluan untuk seorang ibu tua yang akan aku tinggalkan. Izinkan aku melangsaikan segala amanah dan kewajipanku dengan sempurna. Izinkanlah aku untuk terus merasa bahagia..

Aku redha. Tapi aku juga takut. "Bangunlah malam untuk mencari Tuhan, dan sujudlah untuk mendapatkan kekuatan". Nasihat yang selalu dititipkan untukku. InsyaAllah, semoga di situ aku temukan ketabahan yang dicari. Cuma aku berharap, dalam waktu terdekat ni, janganlah aku didesak untuk membuat apa-apa keputusan. Berilah aku ruang untuk bernafas. Pinjamkanlah bahu untuk aku melepaskan lelah..terlalu letih berjuang, sampai kadang-kadang aku mengharapkan biarlah di bahu itu aku mendapatkan rehat yang panjang.

Ya Allah, jangan kau hilangkan senyum di wajahku. Jangan kau ambil ketawa riangku. Tabahkanlah hatiku, kuatkanlah jasmaniku. Bahagiakanlah aku bila sampai waktunya untuk aku bahagia. Sembuhkanlah aku bila sampai waktunya untuk aku sihat semula. Dan ambillah aku bila sampai waktunya untuk aku bertemuMu. Kerana aku tahu redha perlu dicari, bukan dinanti. Tabah perlu diuji, bukan dibiar sepi. Aku bersyukur dengan pemberianMu ini, kerana bukan semua orang di duna ini bertuah memiliki apa yang aku perolehi.

"Ya Allah, lapangkanlah hatiku.."

0 comments:

Post a Comment