Pages

Subscribe:

Labels

Thursday, 17 November 2011

Terpulang Padaku

Ya, semuanya terpulang padaku. Minggu yang sangat mencabar, sangat menekan, tapi ada waktu-waktunya sangat membahagiakan. Seharusnya tempoh 'post-chemo' ni aku dapatkan rehat yang secukupnya, juga mencari ruang untuk melebarkan harapan..berusaha untuk meneruskan hidup. Tapi satu perkara yang aku belajar minggu ni, harapan itu bukan hanya pada ikhtiar kita untuk sembuh, tapi juga pada semangat kita untuk 'hidup seperti biasa'.

Minggu-minggu yang lepas, aku akui sangat-sangat menduga akal dan rohani, iman dan hati. Sampai kadang-kadang aku rasa sudah tertutup semua pintu untuk aku merancang masa depan. Tapi minggu ni aku temukan semangat yang hilang itu. Lega dapat menjadi diri sendiri semula. Mencari damai dan bahagia dengan cara aku sendiri. Rasa takut masih ada, tapi putus asa tidak lagi. Ujian hidup takkan hilang kalau kita terus-terusan menangis. Harapan takkan datang dengan hanya melihat sahaja satu pintu yang tertutup itu, tanpa cuba menguak jendela lain yang masih boleh dibuka.

Minggu ini aku cuba hidup seperti biasa. Kesakitan tetap datang setiap malam, berbaloi dengan keletihan seharian di sekolah. Tapi sekurang-kurangnya kesibukan itu dapat menarik aku keluar dari bermain dengan emosi. Tanpa sedar, minggu ni juga aku berani semula bercakap tentang masa depan. Merancang sikit-sikit apa yang aku ingin lakukan tahun depan. Berangan nak buat sesuatu untuk sekolah kononnya. Sayang bakat yang ada pada anak-anak tu kalau tak dicungkil dan diasah dari sekarang. Sikit-sikit ilmu duniawi yang ada pada aku ni, harapnya dapatlah memberi manfaat pada mereka. Itu juga harapan, kan?

Ya Allah, syukur kerana Kau sentiasa mendengar rintihan hambaMu ini, saat aku sujud menyerah kalah, hingga aku kembali sujud untuk terus berdoa. Teguhkanlah kekuatan yang Kau kembalikan padaku ini. I know I'm not getting better, but at least give me a chance to be a better person. I know I'm getting weak, but give me a chance to become stronger..to live my life, and to leave in peace. Aku selalu teragak-agak untuk meminta sesuatu daripada manusia. Tapi aku tidak pernah malu untuk meminta-minta daripadaMu. Sesungguhnya hidup dan matiku ini ILA MARDHOTILLAH..menuju redha Allah.

Semuanya terpulang padaku, dan terserah padaMu..amin.


0 comments:

Post a Comment