Pages

Subscribe:

Labels

Saturday, 22 December 2012

Welcome Home...


Hampir sebulan blog ini terpaksa aku tinggalkan. Dengan demam dan kesakitan yang sedikit berbaki, malam ini aku gagahkan juga menulis sesuatu. Kerana malam ini akan bermula kembali catatan kenangan bersama sahabat yang sangat aku rindui itu.

Malam ini, mudah-mudahan dipermudahkan Allah, sahabat yang jauh itu akan melalui perjalanan yang jauh dan panjang untuk kembali seketika ke Malaysia..bertemu keluarga yang paling dirinduinya. Semoga sahabat itu selamat dan sihat sepanjang perjalanannya sehingga tiba di tanahair esok. Hati ini melonjak ingin bertemu dan menjemputmu. Tapi aku harus akur pada kudrat sendiri.

Sejak aku tahu sahabat itu akan pulang seketika untuk bercuti minggu ini, aku sentiasa berdoa dan bermohon agar Allah memanjangkan umurku untuk dapat bertemu sahabat itu. Sentiasa meminta kepada Allah agar kami dipertemukan, walaupun untuk seketika, ketika aku dalam keadaan masih mampu untuk menyambutnya, sepertimana aku mengiringinya pergi dahulu. Berdiri dengan kudrat sendiri. Memeluknya seerat mungkin.

Rindu yang tersorok dalam hati selama tiga bulan ini aku pohonkan pada Allah semoga ia berakhir dalam pelukan erat sahabat itu esok. Semoga Allah memberi aku kesempatan untuk menatap wajah itu kembali di alam nyata. Bukan lagi wajah di dalam Skype yang kadang-kadang kabur, dengan suaranya yang ada waktu-waktunya antara aku dengar dengan tidak. Juga semoga dapat aku lupakan seketika sakit ini saat bertemunya nanti.

Buat sahabat itu, aku berharap akan ada sedikit waktu yang dapat kau peruntukkan buat sahabatmu ini. Aku sangat memahami dan mengerti cutimu itu sangat pendek. Pastinya akan padat terisi bersama semua ahli keluarga sahabat-sahabat yang ingin bertemumu. Seperti yang selalu aku katakan padamu, I can always be on your last list. So don't worry. Dahulukanlah mereka semua. Dan kalau waktu yang berbaki nanti hanya cukup untuk waktu rehatmu, maka berehatlah sepenuhnya. Andai ada rezeki kita untuk bercerita, alhamdulillah. Kalau tidak pun, tak mengapa. Kerana kau harus terima, adakalanya apa yang kita rancang akan jadi cerita lain juga bila tiba masanya kan..

Pasti banyak cerita yang akan kau kongsi dengan semua. Cerita yang pastinya akan membuat semua gembira, tersenyum dan ketawa. Ceritakanlah kepada mereka kerana perkara-perkara yang sering kau ceritakan padaku itu ibarat pain killer buat sahabatmu ini. Maka pasti semua itu juga akan mewarnai hidup mereka nanti seperti kau mewarnai hari-hari aku.

Jangan risau, sahabat. Aku hanya ingin mendengar dan melihat kau bercerita. Tiada kisah duka daripadaku yang akan mengganggu ceritamu nanti. Semoga kita dipertemukan nanti, insyaAllah.

Welcome home, sahabat..

Sarang hae ketat-ketat..


Wednesday, 21 November 2012

Mencari Kesudahan Yang Baik


Bersawang. Berkarat. Berlumut. Kalau itu yang boleh terjadi pada blog ini setelah beberapa minggu aku tinggalkan. Keadaan tidak mengizinkan. Alasan paling selamat yang mampu diberi. Ditakdirkan Tuhan banyak yang berlaku beberapa minggu ini. Sayang tak mampu aku ceritakan pada waktu-waktu itu. Dan sudah terlambat untuk dikisahkan kembali. Cerita basi.

Ditakdirkan Tuhan juga aku diuji beberapa ketika akhir-akhir ini. Ujian yang menyebabkan aku lupa password blog dan PIN number bank sendiri. Dan kuasa Tuhan jugalah yang mengingatkan aku kembali kepada nombor-nombor penting ini selepas Subuh tadi. Alhamdulillah. Tepat pada harinya ketika hari ini Allah menguji aku sekali lagi untuk membuat keputusan tentang hidup dan matiku. Cantik kerja Tuhan. Mungkin ini caraNya untuk merawat duka di hati. "Luahkanlah di ruangan ini yang sering kau luahkan isi hatimu dulu..perkara-perkara yang tak mampu kau ceritakan kepada insan-insan yang sangat kau kasihi."

Hampir setahun yang lepas, aku pernah suarakan harapanku di sini, di ruangan ini. Harapan yang kadang-kadang nampak cerah, atau selalunya samar-samar. Tapi kini nampak makin pudar. "Selalu ada harapan bagi mereka yang berdoa. Selalu ada jalan bagi mereka yang berusaha." Nasihat yang pernah aku titipkan buat sahabat yang jauh itu. Kini nasihat itu perlu aku pakukan dalam hati sendiri. Selalu juga menasihati sahabat itu supaya mencari sesuatu yang baik di sebalik setiap ujian yang Allah berikan kepadanya. Maka hari ini nasihat itu harus kembali juga kepada diri sendiri. Kerana aku tahu kita akan selalu diuji dengan apa yang kita nasihati.

Hari ini tewas seketika dengan diri sendiri. Kekuatan yang selama ini cuba dipertahankan, seketika tadi terasa gugur satu persatu, seperti sedang gugurnya daun-daun cantik di bumi indah tempat sahabat itu berjuang mencari ilmu. Dan seperti gugurnya daun-daun itu kerana memberi ruang untuk musim bertukar ganti, maka aku juga harus merelakan kekuatan ini gugur seketika supaya dapat aku kumpul semula kekuatan yang baru, bagi mencari kesudahan yang baik untuk diri ini. Melengkapkan perjalanan hidup seorang manusia yang setiap nafas dan harinya di dunia dipinjamkan Allah buat  sementara.

Sehari dua ini harus berusaha mendapatkan kembali kekuatan itu. Mencari semangat yang hilang. Merancang perjalanan hidup yang berbaki sebaik-baiknya. Harus yakin dengan pilihan yang dibuat. And I will continue to pray for a miracle. Juga harus terus tersenyum mendengar cerita-cerita gembira atau turut sama menangis saat mendengar kisah-kisah duka daripada mereka yang aku kasihi. Harus sentiasa ada untuk sahabat itu sekalipun dalam kejauhan. Juga harus sentiasa ada untuk mereka yang dekat di depan mataku ini. Memberi senyum untuk semua dan menyimpan tangis di bahu mereka. Moga-moga dengan melihat senyuman sentiasa terukir di wajah itu, atau melihat tangisan kembali reda di mata itu, atau melihat gelak tawa menghiasi wajah itu, dapat memberi aku semangat dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. InsyaAllah..

"A smile doesn't always mean a person is happy. Sometimes it simply means they are strong enough to face their problems."


Tuesday, 30 October 2012

Menghitung Hari (4)

Life is beautiful.
Life is a struggle.
Life is a beautiful struggle..



 Biar berkali-kali jatuh, lutut berdarah..
Juga kerapkali tersembam, bibir pecah..
Tidak sesekali tersungkur rebah, mengaku kalah..



Wish you were there, my dearest friend..
When I heard the disturbing conclusion..
But I'll keep fighting for a friend like you
Who has given me every reason to smile!

Wednesday, 24 October 2012

Hari Arafah

Esok 9 Zulhijjah 1433H. Esok Hari Arafah. Hari di mana ketika tetamu-tetamu Allah sedang wukuf di Padang Arafah, kita yang tidak pergi menunaikan haji ini digalakkan untuk berpuasa sunat.

Dan Rasulullah s.a.w ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah.
Maka baginda bersabda:
"Ia menebus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang."
( Hadith Riwayat Imam Muslim )


Wukuf adalah kemuncak haji. Di Padang Arafah itulah Rasulullah menyampaikan khutbah terakhir baginda. Khutbah perpisahan yang sangat berbekas di hati...

Dan Arafah itulah gambaran Padang Mahsyar yang akan kita hadapi nanti. Hari di mana terbentangnya dosa-dosa kita di padang itu. Transit kita sebelum melangkah ke syurga atau neraka.

Meskipun ibadah wukuf itu hanya beberapa jam sahaja, tapi pada saat itulah Allah berada sangat dekat dengan hamba-hambanya di sana. Mendengar doa dan rintihan mereka.  

Mudah-mudahan aku juga akan diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah. Meskipun tidak sempat untuk menunaikan haji, sekurang-kurangnya dapat buat umrah sekali lagi, sebelum pulang ke alam abadi..amin Ya Robb.

Salam Aidiladha buat semua. Moga-moga setiap pengorbanan kita di jalan Allah diterima baik di sisi Allah jua. Sampai jumpa lagi..



Sahabat di Hati

Kita kenal perangainya..
Kita tahu kelemahannya..
Kita terima kekurangannya..
Dan kita tetap bersahabat dengannya..
Berusaha menjadi sahabat terbaik untuknya
Bersama kekurangan yang ada pada diri kita..
Kenapa?
Kerana kita mahu masuk syurga dengannya..

Walaupun ada jarak yang memisahkan
Kalau memang sudah dinamakan persahabatan
Tidak semestinya perlu bersentuhan tangan
Kerana kita sudah bersentuhan hati
Juga sentiasa berbalas-balas doa
Kenapa?
Kerana di antara cinta dan sayang
Di situ kasihnya sahabat..

Terima kasih di atas ingatan..

Tuesday, 16 October 2012

Melihat Dengan Mata Hati

Pejam mata dan bukalah hati..

Dulu, aku dan Abah suka berada di tempat awam. Sekadar duduk dan memerhati tingkah laku manusia. Kata Abah, bukan untuk mencari kekurangan sesiapa, tapi mengagumi kejadian Tuhan. Hari ini di lobi hospital, melihat telatah dan karenah manusia di sekeliling aku mengingatkan kembali rutin yang biasa aku jalani dengan Abah dulu.

Melihat betapa wang ringgit tidak dapat membeli kesihatan dan nyawa seorang manusia. Melihat betapa orang sakit juga punya harga diri supaya tidak terus dipandang dengan pandangan penuh simpati. Kita selalu dengar orang bermain kata, "Put yourself in their shoes." Cuba letakkan diri kita di tempat mereka. Aku kira kalau boleh ditambah sikit pepatah itu.."Put yourself in their shoes..and walk a mile in those shoes." Sekadar meletakkan diri tapi tidak cuba merasai dan memahami sebenarnya tidak membawa apa-apa erti.

Antara simpati dan empati..
Antara kasih dan kasihan..
Ada banyak bezanya..

Banyak yang kita boleh pelajari di tengah ramai itu. Apatah lagi bila kita berada di tempat yang baru. Sesuatu yang asing lama-lama akan menjadi kebiasaan pada kita. Yang baik kita jadikan panduan. Yang tak elok kita buat renungan. Teringat bait lagu M. Nasir (Mentera Beradu):

Ijazah terbaik datangnya dari jalanan
Dari pengalaman, bercakap dan bersalaman..

Lagu zaman sekolah..

Monday, 15 October 2012

Orang Sabar Selalu Menang


Minggu lepas adalah minggu yang sangat menguji ketahanan mental dan fizikal untuk orang seperti aku. Sesuatu yang mudah dan biasa pada orang lain sebenarnya sangat sukar dan mencabar untuk dilakukan  bagi seorang pesakit kanser. Tapi aku menerima itu sebagai ujian. Kerana pekerjaan itulah yang menjadi rezekiku setiap bulan, maka amanah itu wajib dilunaskan. Alhamdulillah, empat hari berkampung memerah otak, mudah-mudahan modul yang kami hasilkan itu dapat membantu anak-anak kita yang kurang bernasib baik dan agak perlahan dalam pelajaran untuk sekurang-kurangnya mampu berdiri dan hidup untuk diri mereka sendiri. Kerana dunia mereka hari ini tidak semudah dunia kita dahulu.

Pagi semalam terpaksa ke hospital semula kerana kaki yang bengkak dan perut yang kembung semakin terasa bisanya. Kata doktor itu adalah simptom sama ada masalah pada hati, buah pinggang yang terganggu fungsi atau mungkin juga jantung yang membengkak.

Salah satu atau lebih masalah pada organ-organ itu yang menyebabkan kaki menjadi bengkak dan kembung perut. Apabila organ-organ terbabit tidak dapat berfungsi dengan baik, maka air dan toksin berlebihan berkumpul di situ. Puncanya adalah rawatan chemo yang sedang aku jalani sekarang. Laporan yang keluar petang tadi mengesahkan ubat doxorubicin yang aku terima untuk cycle ini adalah puncanya. Hmm..sudahlah Jumaat lepas badan tak boleh menerima antibiotik yang diberi. Sekarang timbul masalah baru pula. Seperti yang mereka jangkakan...

Selepas bercakap dengan doktor petang tadi, maka aku akur yang aku perlu istiqomah. Cuba dulu sampai terbukti rawatan kali ni tidak akan berhasil. Maka kami akan cuba sekali lagi meneruskan rawatan minggu ini dengan kombinasi dan antibiotik baru. Kalau ok, maka bolehlah aku terus bergantung harap pada usaha ini. Tapi kalau tak ok, terpaksalah aku mencari jalan yang lain. Putus asa belum lagi...


Kata doktor jangan risau, bertenang. Harapan walaupun makin mengecil, tapi tetap ada. Mungkin mudah untuk mereka menenangkan aku supaya jangan terlalu memikirkan prognosis yang ada sekarang (satu-satunya perkara yang tak mampu aku ceritakan kepada sahabat itu). Tapi kalau mereka di tempat aku, berada dalam keadaan diberi tempoh tertentu untuk hidup dan mampu bertahan, mana mungkin ketenangan yang diharapkan akan datang dengan mudah. Tidak mudah kalau kita tidak yakin dengan janji Allah.

Apa pun keadaannya sekarang, dan apa pun yang akan berlaku dalam beberapa bulan akan datang, aku akan berusaha menjadi hamba Allah yang bersyukur di atas nikmat yang ada dan redha di atas ujian yang diberi. Kita selalu mengeluh dengan apa yang kurang pada kita setiap kali melihat apa yang lebih pada orang lain. Dan kita hanya akan bersyukur dengan apa yang kita ada setelah melihat apa yang kurang dan tiada pada orang lain. 

Macam semalam ketika menunggu di outpatient clinic, aku, adik aku dan beberapa pesakit lain hanya melihat dan mendengar rungutan dan rengekan seorang gadis yang sangat risaukan bisul kecil di atas hidungnya. Risau bisul itu akan merosakkan kecantikan wajahnya. Risau parut itu nanti akan menyebabkan kawan-kawan mentertawakannya.

Setelah hampir 10 minit mendengar keluhan dan kerisauannya itu, tiba-tiba seorang pakcik di tepi aku bertanya kepada ibunya.
               "Sakit apa?"
               "Bisul. Awak?" balas ibunya yang sabar itu.
               "Oh..bisul. Saya kanser," jawab pakcik itu sambil menunjukkan telinganya.
Baru kami perasan sebelah telinganya yang berbalut dan nampak rata itu. Senasib rupanya kami. Tiba-tiba je suasana jadi sunyi sepi. Mungkin pakcik itu ikhlas bertanya. Atau mungkin juga ada sesuatu yang dia mahu gadis itu tahu. Ada orang lain yang lebih menderita daripadamu. Maka aku juga harus bersyukur. Walaupun terbatas, sekurang-kurangnya aku masih mampu menjalani hidup seperti orang lain.

Dan aku harap aku masih mampu memberi semangat buat sahabat yang jauh itu. Supaya dia tidak mudah mengalah. Aku tahu menuntut ilmu itu payah. Lebih payah bila kau perlu mengingati, memahami dan menghafal sesuatu yang baru dalam hidupmu. Tapi insyaAllah..yakinlah Allah sentiasa bersamamu. Allah sentiasa memudahkan jalan orang yang mencari ilmu sepertimu.  Saat terindah di kala kau mencari ilmu ialah mengenali siapa Penciptamu..


You are not alone. Semua yang di sini sentiasa mendoakanmu. Selagi doa seorang ibu sentiasa bersama kita, insyaAllah sesukar mana pun jalan yang ada, pasti ada jalan keluarnya. Sudah berkali-kali kau membuat orang tuamu tersenyum dengan kejayaanmu. Buatlah mereka tersenyum lagi kali ini. You know what, my friend...the most beautiful thing in this world is to see your parents smiling, and knowing that you're the reason behind that smile. Seperti yang Angah lakukan minggu lepas dan yang bakal Abe lakukan nanti. Buatlah mereka tersenyum berkali-kali...ganbatte!

Sahabat itu saling menguatkan..

Thursday, 11 October 2012

Kayuhlah Perlahan-lahan..

You have come this far. Don't give up now. Walaupun bukit itu tinggi, walaupun jalannya berliku,kayuhlah perlahan-lahan. Usaha,doa,tawakal..insyaAllah.


Sunday, 7 October 2012

Dekat PadaMu..

Ya Allah,
Jika ajalku telah datang
dalam sakitku ini,
Maka mudahkanlah untukku.
Tapi jika masih jauh,
Sembuhkanlah penyakitku.
Dan jika ini sebagai ujian,
Maka berilah kesabaran padaku.
Amin Ya Robb..

It's so hard to feel strong when the pain is taking over my body and my life. But storms don't last forever. Sabarlah dengan ujian. Pesan yang selalu aku titipkan buat sahabat yang jauh itu. Maka harus kerap berpesan yang sama kepada diri sendiri. Kerana kita akan selalu diuji dengan apa yang kita nasihati. Mahu orang lain  menjadi sabar,kita dulu harus sabar. Mahu orang jadi kuat,kita sendiri harus kuat.

Semakin sukar sesuatu perkara itu,makin dekat sebenarnya kasih sayang Allah pada kita. I will fight back!


Thursday, 4 October 2012

Menghitung Hari (3)


Aku tak mampu menjadi orang yang baik itu. Tapi sekurang-kurangnya aku tahu aku tidak berusaha menjadi orang yang jahat. Aku tak mampu menjadi orang yang menyenangkan. Sekurang-kurangnya aku sedang berusaha untuk tidak selalu menjadi orang yang menyusahkan.

Esok harus ke sana lagi. Kudrat makin kurang, tapi semangat masih ada. Mudah-mudahan Allah permudahkan rawatan esok. Selamat belajar buat sahabat itu. Mudah-mudahan Allah permudahkan perjuangan ilmumu di sana. Juga selamat beribadah buat dia yang kini sangat dekat dengan Allah dan kekasih Allah. Semoga hajimu mabrur.

Setiap kita ada sesuatu yang perlu diperjuangkan. Semoga dimudahkan Allah perjalanan untuk kita itu.. Sampai jumpa lagi. Ganbatte!

Tiba masanya kau cari teman pengganti..

Wednesday, 3 October 2012

Penawar Rindu


Rindu itu adalah
Anugerah dari Allah
Insan yang berhati nurani
Punyai rasa rindu..

Dulu aku cuma mendengar. Tidak pernah merasainya. Kata mereka yang sedang berjuang seperti aku, yang setiap malam berdoa agar dapat melihat hari esok, saat kita dalam kesakitanlah satu-satu wajah yang dikasihi bermain dalam fikiran. Perasaan memerlukan kehadiran mereka menguasai diri. Dalam kesakitanlah satu-satu wajah yang dikasihi itu bersilih ganti terbayang di hadapan mata.

Pada waktu-waktu begitu, rasa cukup kalau dapat melihat wajah. Rasa puas kalau dapat mendengar suara. Tangan ini rasa ingin menggenggam sesuatu untuk menahan sakit itu. Maka baju yang tinggallah akhirnya jadi pengganti. Baju itulah yang  digenggam erat. Baju itu jugalah buat menyapu airmata.

Kata Abah, orang yang kita sayang, walau di bumi Tuhan yang mana pun dia pergi, selagi dia masih di dunia ini, kita masih mampu mengubat rindu itu dengan mendengar suara dan menatap wajahnya. Tapi andai orang yang kita sayang telah dijemput Tuhan, rasa rindu itu akan semakin pedih, terasa sama sakitnya seperti kesakitan yang sedang ditanggung ini.


Benarlah kata Abah. Akhir-akhir ini, pada setiap malam yang terisi dengan kesakitan, aku cuba cari penawarnya pada wajah-wajah mereka yang kini jauh..baik di dunia mahupun yang di alam abadi. Buat penawar rindu..moga berkurangan kesakitan ini.

Rindu - Hijjaz


Sunday, 30 September 2012

Hope For The Best, Expect The Worst



Bercerita tentang diri. Sesuatu yang semakin sukar untuk dilakukan. Berkongsi rahsia hati. Terasa amat payah untuk diluahkan akhir-akhir ini. Hingga doktor sendiri perasan akan perubahan itu. Aku semakin kurang bertanya "Kenapa?" dan jarang-jarang lagi mempertikaikan dengan bertanya "Kenapa tidak?". Seperti merelakan sahaja semua yang berlaku. Membenarkan sahaja semua yang dicadangkan.

Bukan berputus asa. Tapi cuba mengikut pula apa yang telah diaturkan untuk aku. Sudah banyak risiko yang aku ambil. Berlengah dan bertangguh cuba aku hapuskan dari kamus hidupku.

Kelmarin bermula Fasa 2b untuk ujian klinikal yang aku ambil. Two doses orally in 28-day cycles. Bergabung dengan ubat-ubat sedia ada yang aku ambil sejak 3 bulan lalu. Lewat 6 minggu dari yang dijadualkan. Tapi insyaAllah, harap tidaklah terlalu lewat untuk aku sandarkan harapan seterusnya.

"AML is amongst the most challenging hematological malignancies to treat, and very few treatment advances have been made in several decades".

Pengenalan 'menarik' daripada journal  yang aku baca, yang diberikan doktor sementara menunggu temujanji kelmarin. Cuma tiga soalan yang terkeluar dari mulut ini. Tidak seperti selalunya, hingga memaksa doktor yang sangat sabar itu membuka semua journal dan report yang ada untuk menjawab soalan-soalan aku. Cuba memudahkan kerjanya sekarang. Supaya dapat fokus merawat aku daripada berusaha mencari jawapan terbaik untuk memuaskan hati aku. Trying to be a good patient now, doc.

Soalan Pertama:
Regarding my current condition. As for the liver problem, they have confirmed the 10% liver damage. It's not that bad. I still have that 90% of liver function to live my normal life. They are trying to stop the progression of the liver failure through medication. InsyaAllah, things will be okay. About that 'thing' in my brain, there are symptoms and side effects that need to be observed closely:
  • Total or partial blindness, usually a sudden 'black-out'.
  • Misunderstanding of visual information.
  • Comprehension problems with written words.
  • Seizures.
Soalan Kedua:
A simple question regarding my current treatment. For how long?
"Until either disease progression occurs or an unacceptable toxicity occurs".
Dalam bahasa mudahnya, sehingga nampak perkembangan atau sehingga terdapat tanda-tanda yang badan aku tidak dapat menerima dan menolak ubat itu.

Jawapan yang tidak langsung menenangkan hati. Tapi sudah namanya clinical trials kan, mestilah belum ada jawapan yang benar-benar pasti. Hmm..sabarlah diri.

Soalan Ketiga:
Soalan yang sudah boleh aku jangka jawapannya. Tentang kesan sampingan rawatan sekarang. Loya, muntah, keletihan, ulcer, cirit-birit, hilang selera makan, febrile neutropenia (yang ini aku tak faham dan minta diterangkan dalam bahasa mudah).

Febrile neutropenia-demam akibat jangkitan atau bakteria dalam darah. Berlaku kerana sel darah putih yang jatuh tiba-tiba semasa rawatan chemo. Tapi insyaAllah boleh dirawat dengan antibiotik.

Well, apa lagi yang boleh aku harapkan sekarang? Hanya berharap ubat-ubat dan rawatan yang ada dapat memberi harapan dan menunjukkan kesan seperti yang dijangkakan. Juga harus bersedia kerana jika rawatan ini gagal, harapan itu sudah boleh dimasukkan dalam kotak angan-angan dan bersedia untuk perjalanan yang telah ditentukan Tuhan.

Takut? Bohonglah kalau aku tak rasa takut melalui semua ini. Tapi seperti janji aku kepada sahabat itu, putus asa tidak akan meracuni fikiran aku, walaupun ketakutan menguasai diri. Takut tidak dapat melihat wajah-wajah yang aku kasihi dengan lebih lama. Takut tertutup mata sebelum sempat aku ceritakan semua rahsia.

Namun, berpegang kepada pesan Abah yang selalu dititipkan kepada aku, rendahkan pandangan mata kalau di situ terlihat kedukaan kita. Lebarkan senyuman kalau di wajah itu terpancar kegelisahan kita. Supaya orang lain tak rasa susah dengan kehadiran kita. Kerana wajah rahsia hati. Terima kasih, Abah..

Hmm..mudahnya kalau dapat aku lakukan seperti yang Abah selalu ingatkan. Kita boleh menutup mata daripada melihat benda yang kita tak nak lihat. Tapi kita tak boleh tutup hati daripada merasa benda yang kita tak nak rasa, kan?

Terlalu banyak bercerita rasanya. What else do I have to say? Or how else can I say?

Hope and pray for the best, and let Allah do the rest..

Cantik kerja Tuhan..aku semakin percaya.

Wednesday, 26 September 2012

Ganbatte!


Alhamdulillah, syukur sahabat itu telah selamat tiba di sana. Malam yang penuh emosi berakhir dengan kelegaan hari ini bila dapat berbual dan melihat wajahmu. Bersabarlah dengan ujian-ujian kecil buatmu. Rasa hatimu hanya dirimu dan Allah sahaja yang tahu. InsyaAllah semuanya akan bertambah mudah bila kau dapat menyesuaikan diri dengan baik di sana. There is always first time for everything, dear.. Allah sentiasa bersamamu.

Maka hari ini bermulalah perjalanan baru hidupmu. Juga perjalanan baru dalam hidupku. Cuba mengisi hari-hari yang berbaki tanpa seorang sahabat yang sentiasa ada dalam susah dan tangisku. Dalam sedih dan sakitku. Susah, tapi insyaAllah..aku juga yakin Allah sentiasa bersamaku.

Benar ramai lagi sahabat yang mengambil berat dan sangat prihatin dengan keadaanku. Tapi aku sudah terbiasa denganmu. Terasa kekok untuk menjadi beban kepada orang lain. Terasa bersalah untuk mengheret orang lain memperlahankan rentak hidup mereka keranaku. Rasa sangat malu mengharapkan orang lain untuk menjagaku seperti kau melayanku. Tidak semua yang patah itu akan tumbuh kukuh seperti yang asal. Tidak semua yang hilang itu akan terganti dengan yang lebih baik.

Tapi jangan kau risau tentang aku. Tak akan mengalah sebelum sampai waktu. Fokus pada hidupmu di sana. Carilah ilmu dan pengalaman sebanyak-banyaknya. Supaya dapat kau bahagikan ilmu dan pengalamanmu itu nanti  kepada semua yang ada di sini. Dan aku juga akan berusaha menunaikan janji untuk terus bertahan sehingga sahabat itu kembali. Namun kita perlu bersedia dengan takdir Tuhan. Carilah sahabatmu ini bila kau kembali, walau apa pun keadaanku nanti.

Berceritalah kepadaku setiap hari, kerana mendengar ceritamu akan dapat  mengurangkan sakitku, menghilangkan lelahku, membuang jauh kesedihan dan ketakutanku. Mudah-mudahan kau sentiasa dalam jagaan, kasih sayang dan perlindungan Allah. Aku bangga punya sahabat sepertimu.

Sampai jumpa lagi. Ganbatte!!   

Saturday, 22 September 2012

Sayonara Sahabat...

Akhirnya Selasa ini (25 September 2012) sahabat itu akan pergi meninggalkan aku. Perjalanan yang baik, niat yang baik sebagai musafir ilmu. InsyaAllah, aku sentiasa mendoakan moga yang baik-baik jugalah menunggunya di sana.

Semoga sahabat itu tidak terlalu bersedih seperti aku. Senyumlah. Bahagiakan dirimu. Kerana kau akan merasai suasana yang baru, bertemu kembali sahabatmu yang lebih dulu mengenalimu, dan bakal berkenalan dengan teman-teman yang baru. Bukan di sini lagi, tapi di sana.

Jujurnya, masih belum puas menghabiskan masa bersama sahabat sebaikmu. Masih belum cukup kenangan yang telah kita tanam. Namun, mudah-mudahan kenangan yang ada ini akan terus tumbuh subur, menyemaikan benih-benih kasih di antara kita. Terimalah bahawa kita tidak seharusnya kekal di sini. Juga tidak mungkin dapat sentiasa bersama.


 Kuatkan langkahmu ke tempat yang baru itu. Bumi bertuah yang menjanjikan 1001 pengalaman indah buatmu. Untuk melangkah jauh dan bertapak dalam lembaran baru hidupmu, kau tak boleh membawa sahabat yang sepertiku ini bersama. Sahabat yang hanya akan membataskan dan memperlahankan aturan hidupmu. Itu harga sebuah kejayaan, sahabat. Hakikat yang aku telah lama terima. Keadaan diri yang semakin memperlahankan rentak hidup orang lain.

Nikmat Allah di mana-mana. Percaya janji Tuhan. Cantik kerja Tuhan. Di sana juga akan ada keberkatan rezekimu. Siapa tahu, mungkin di sana juga ada keindahan cinta menantimu. Kerana sahabatmu ini sentiasa percaya, anak yang baik, kakak yang baik dan sahabat yang baik sepertimu akan ditemukan Allah dengan seseorang yang baik juga, yang akan membahagiakan dirimu.

Rindu akan menjadi penghubung kita. Doa akan menjadi bahasa kita. Aku akan sentiasa teruja mendengar cerita-ceritamu, dan akan sentiasa tersenyum melihat wajah bahagiamu di sana. Seperti bicaranya Kahlil Gibran:
Ketika tiba saat perpisahan,
Janganlah kau berduka,
Kerana apa yang paling kau kasihi darinya,
Mungkin akan nampak lebih nyata dari kejauhan,
Seperti gunung yang nampak lebih agung,
Andai dilihat dari padang dan dataran.

Semoga Allah memberi aku kekuatan untuk menghantar sahabat itu dengan senyuman. Dan aku juga berdoa moga-moga suatu hari nanti dapat aku sambut pula kepulangannya dengan senyuman yang lebih indah.

Namun, andai inilah terakhir kalinya dapat kau lihat wajah sahabatmu ini, izinkanlah aku mengakhirinya dengan senyuman. Kerana aku mahu saat akhir kita ini dapat kau kenang suatu hari nanti sambil tersenyum juga. Ceritakanlah kepada anak cucumu nanti betapa suatu ketika dulu kau pernah punya sahabat yang 'sengal' seperti aku. 

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim..
Jagalah sahabatku itu sebaik-baiknya. Permudahkanlah hidupnya di sana. Penuhilah hari-harinya dengan senyuman. Sihat sejahterakanlah jasad dan rohaninya. Dan berikanlah hambaMu yang lemah berdosa dan serba kekurangan ini peluang untuk dapat bertahan dan terus bernafas sehingga bertemunya semula. Sungguh Kau Maha Mendengar. Amin Ya Robb..

Sarang hae, my friend..
My favourite hello and my hardest goodbye.
Selagi rohku masih belum berpisah dengan jasad,carilah aku dalam susah dan sedihmu.
Dalam sunyi dan tangismu.
I can't promise to fix all your problems.
But I can promise you won't have to face them alone.
Kerana di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya sahabat..kasihnya aku.
Pada Tuhan kita sandarkan harapan..

Sayonara sahabat yang dikasihi..

Bertemu berpisah kerana Allah..


Sunday, 26 August 2012

Menghitung Hari (2)

Time spent with friends is time well spent. To the dearest friend whom I spent time with today, if I have one person I can pinpoint as a strength that helped me get where I am, it is you. Thank you so much. I know that the harder things get, the closer the help of Allah is.

Dan salah satu pertolongan Allah itu ialah apabila dikirimkanNya sahabat-sahabat baik dan insan-insan mulia dalam hidup kita. Thanks again..sarang hae.



Friday, 17 August 2012

Tulus Dari Hati...


"Tidaklah bertemu dua orang Islam, lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi keduanya sebelum keduanya itu berpisah". (Riwayat Abu Dawood)

Demi Allah Yang Maha Pengampun, Maha Mendengar dan Maha Mengasihani:

Sungguh hambaMu ini sujud padaMu dengan penuh kesyukuran kerana masih diberikan nikmat untuk bernafas di penghujung Ramadhan ini, meskipun dalam kepayahan. Syukur masih mampu untuk menanti Syawal, sekalipun dalam kesakitan. Panjangkan ihsanMu buatku, Ya Allah..supaya aku dapat sujud, mengucup tangan dan memeluk ibu tua yang akan aku tinggalkan itu sepuas-puasnya di pagi Syawal nanti. Jangan Kau uji aku, Ya Allah..melebihi batas mampu dan sanggupku.

Buat Mama yang dikasihi:

Maafkanlah segala dosa-dosa Along, sejak mula Along melihat dunia sampai masanya nanti Along menutup mata. Maafkan Along kerana tidak mampu menjadi sebaik-baik anak seperti orang lain dan sebagaimana yang diharapkan oleh setiap ibu di dunia ini. Maafkan Along kerana setiap hari merahsiakan kesakitan ini, sekalipun ada waktu-waktunya tidak tertanggung, tapi masih mampu Along selindungkan dari penglihatanmu. Semoga Allah sentiasa mengukirkan senyuman di wajahmu seperti sekarang, bukan lagi tangisan berterusan seperti yang pernah dirimu lalui 5 tahun lepas.

Juga moga-moga Allah memberikan Mama nikmat sihat yang berpanjangan. Maafkan Along kerana tidak mampu menjaga Mama seperti sempurnanya Abah menjaga Mama dulu. Apa yang Along tinggalkan untuk Mama nanti, mudah-mudahan dapatlah memudahkan urusan Mama di dunia ini. Sesungguhnya Allah sebaik-baik Pelindung. Pada Tuhanlah Along sandarkan harapan untuk menjagamu andainya Along yang pergi dulu.

Buat adik-adik yang dikasihi:

Tertibnya, saudara yang tualah yang seharusnya menjaga urusan dunia dan akhirat adik-adiknya. Tapi Along kalian tidak seperti kakak atau abang lain di dunia ini. Maafkan Along kerana terlalu banyak menyusahkan dan tidak dapat memberi seperti yang diharapkan. Sakit ini benar-benar menguji kasih sayang dan persaudaraan kita. Terima kasih kerana memahami. Terima kasih kerana mengasihi. Bahagiakanlah Mama kita supaya dia tidak rasa kekurangan dan kehilangan. Biarlah kasih ibu yang membawa kita ke syurga nanti, bukannya murka ibu yang akan mengheret kita ke neraka.

Buat sahabat-sahabat yang dikasihi:

Kalau kita berubah untuk jadi baik kerana Allah, Allah akan hantar orang-orang yang baik untuk bersama-sama kita. Aku bersyukur kerana sepanjang perjalanan hidup ini, Allah kirimkan insan-insan mulia seperti kalian. Lebih-lebih lagi ketika perjalanan hidup aku terasa seperti sudah hampir ke penghujungnya ini, Allah temukan aku dengan sahabat-sahabat yang sudah aku anggap seperti saudara sendiri. Yang banyak meringankan derita, yang selalu mendamaikan jiwa. Aku tidak mampu membalas semua kebaikan itu. Yang aku ada cuma doa moga-moga kalian sentiasa dalam rahmat Allah, bahagia di dunia dan akhirat. Maafkan segala khilaf dan dosaku. Halalkan semua pemberian dan bantuan kalian. Terima kasih kerana sudi menjadi pohon rendang untuk aku tumpang berteduh.

Sesungguhnya setiap kita ini seperti sebutir pasir dan setitik air. Kalau hanya sebutir pasir, tidak akan jadi sebuah pantai. Dan kalau hanya setitik air, tak akan jadi seluas lautan. Sahabat itu saling menguatkan..

Salam Aidilfitri buat semua yang sudi membaca dan memberi sokongan di ruangan ini. Maafkan andai bahasa dan kata-kataku di sini tidak manis dan menghiris hati. Segala yang tertulis datang dari hati. Ukhuwwah fillah..lillahi ta'ala.


Sunday, 12 August 2012

Menghitung Hari (1)

Bersahabat tidak hanya ketika bersama. Sekali jauh terpisah,tetap dalam doa dan ingatan..

Kokoro No Tomo - Mayumi Itsuwa

Teman di Hati - Zivilia Band

Kisah Yang Panjang..

Assalamualaikum..



It's been a difficult few months for me. Fighting time to say all the things I wanted to say to all the people I love. Lebih banyak airmata daripada kata-kata. Lebih banyak melihat daripada bersuara.

Ramadhan Yang Bakal Ditinggalkan

Setahun lepas, Ramadhan aku dalam kepayahan. Tiada hari pada bulan itu yang aku tidak berdoa dan berharap supaya Allah memberi ihsan kepada hambaNya ini untuk bertemu Ramadhan lagi. Syukur doa itu dimakbulkan. Maka jika inilah Ramadhan aku yang terakhir, aku sangat-sangat bersyukur dapat melaluinya bersama mereka yang aku kasihi.

Syukur dapat melihat wajah ibu tua itu menjamah rezeki yang aku sediakan semampuku. Syukur dapat meraikan sahabat handai yang berpuasa dalam keadaan aku sendiri tidak mampu melakukannya. Syukur dapat menghabiskan saat-saat indah waktu berbuka itu dengan sahabat yang bakal terbang mengisi kembara ilmunya. Sahabat yang sentiasa menjadi tongkat untuk aku melalui jalan hidup yang sukar ini.

Terima kasih, Ya Allah..di atas nikmat beberapa hari berpuasa yang Kau berikan padaku tahun ini. Dapat berbuka dan bersahur seperti orang lain meskipun tidak berselera seperti mereka. Dapat khatam seperti orang lain meskipun tidak sempurna bacaan seperti mereka. Dapat sesekali berterawih meskipun tidak mampu berjemaah seperti mereka. Tepatlah seperti yang disebutkan berulang kali di dalam Surah Ar-Rahman:

"Maka nikmat Tuhan yang manakah kamu  dustakan?"

Ramadhan kali ini penuh makna..

Untuk Mama Yang Bakal Ditinggalkan


My last follow-up wasn't good. Penjelasan dan hakikat yang menghiris hati. Benar aku sudah melepasi jangkaan yang doktor berikan setahun lepas. Tapi rupanya gerak hatiku juga benar bahawa kelegaan itu tidak akan bertahan lama.

Setiap kali diberitahu bahawa ikhtiar yang doktor berikan bertemu jalan buntu, aku sentiasa berdoa agar dibukakan jalan lain untukku. Allah Maha Mendengar. Andai ini jalan terakhir yang tinggal, maka walaupun belum bersedia sepenuhnya, tapi aku sudah dapat menerima semuannya dengan penuh rasa redha dan syukur.

Segala apa yang Mama perlukan untuk meneruskan hidupnya nanti sudah aku bereskan. Kepada adik-adiklah nanti aku tinggalkan amanah untuk menjaga ibu tua itu. Dan kepada sahabat-sahabat jugalah aku berharap bila aku tiada nanti, jenguklah ibu tua itu kalau ada masa. Bertanya khabar sekali-sekala. Kalau Mama tidak dapat memelukku lagi selepas ini, pinjamkanlah pelukan kalian untuk dia melepaskan rindunya seketika.

Aku harap dapat meninggalkan Mama dalam keadaannya yang selesa. Juga sempat untuk melihat dia pergi dan kembali dari Tanah Suci nanti, seperti mana aku berharap dapat melihat sahabat yang bakal pergi ke rantau orang itu pergi dan kembali dengan selamat juga. Dan kepada Allah jugalah aku sandarkan harapan untuk menjaga dua insan yang sangat aku kasihi ini nanti selama mereka di sana kerana Dialah sebaik-baik Penjaga..amin.

Mama, seperti yang selalu Along bisikkan kepada Mama, apa yang Along buat dan sediakan untuk Mama kebelakangan ini bukan untuk membuktikan kasih Along lebih tinggi. Bukan untuk meminta agar disayangi lebih daripada yang lain. Along cuma mahu Mama meneruskan hidup dengan selesa. Tidak rasa kekurangan selepas Along mati nanti.

Semoga Mama dapat mengisi hari-hari Mama nanti dengan kebahagiaan..

Mimpi Yang Aku Tinggalkan

Bila insan-insan yang sangat kita kasihi meninggalkan kita buat selama-lamanya, pasti salah satu doa kita ialah untuk bertemu dengan mereka. Walaupun seketika. Meskipun cuma dalam mimpi. Melihat wajah dan mendengar suara. Mengubat rindu yang menyesakkan dada.

Rindu pada Abah. Rindukan Azimah. Rindu yang sedikit terubat bila dapat bertemu dalam mimpi. Puas walaupun bangkit daripada tidur dengan linangan airmata. Nikmat yang Allah berikan padaku setiap kali Ramadhan..ditemukan aku dengan mereka di dalam tidur itu.

Tapi mimpi itu harus aku tinggalkan. Kita tak boleh terus-terusan hidup dalam kenangan. Yakin dengan janji Allah. Sampai masanya nanti pasti kita akan menyusuli mereka. Soon, insyaAllah..

   
To be continued..insyaAllah.

Thursday, 7 June 2012

Monolog


Kelmarin, dalam kesibukan dan keletihan mengemas rumah, berkesempatan menonton teater monolog Fauziah Nawi, Maraton di MATIC Jalan Ampang. Monolog ialah tutur kata atau pengucapan oleh seseorang watak, sama ada ditujukan kepada dirinya sendiri ataupun kepada pendengar atau pembacanya.

Pementasan Maraton adalah gabungan tiga monolog pendek. Fauziah Nawi mempersembahkan Maraton. Ekspresi perasaan seorang wanita terhadap hidupnya. Hidup ini adalah seperti sebuah larian yang panjang. Walaupun usia semakin menghalang kudrat, larian hidup harus diteruskan. Hmm..Fauziah Nawi dan teater, tiada siapa boleh mempertikaikan kehebatannya.

Geliton oleh Raja Emy dan Talkaton oleh Oreo pun menarik. Anak didik Fauziah Nawi rupanya. Geliton tentang perjuangan perasaan seorang lelaki lembut dan Talkaton tentang seorang jurujual yang berfikir tentang banyak perkara. Banyak benda yang berlaku dalam hidupnya dan dia menyalahkan diri sendiri atas apa yang berlaku di sekelilingnya.

Terima kasih buat Mas yang membawa aku ke sana. Aku tahu teater monolog bukan kesukaan kau berbanding teater muzikal. Aku faham menonton teater tu cuma alasan untuk dua orang sahabat bertemu dan berkongsi rasa. Mencipta kenangan. Cuma aku mahu kau tahu, apa yang berlaku selepas itu bukannya salah kau. Tapi kudrat aku yang tak sekuat dulu. Setiap saat yang aku dapat habiskan dengan keluarga dan sahabat-sahabat aku sekarang adalah perkara-perkara terindah yang ingin aku bawa bersama aku nanti. Jangan salahkan diri kau lagi. I enjoyed the night we spent together. 

An update of my condition, the latest blood test result showed an abnormally high White Blood Count (WBC). Dalam bahasa mudahnya, itu tanda-tanda sel-sel kanser dalam darah tu semakin mengganas. No matter what, the treatment must go on. They'll keep an eye on my platelet count and liver enzyme as well.

Hmm...seperti kata Nadhirah, "Have faith. There's hope  in it".

Larian hidup harus diteruskan...

Monday, 4 June 2012

Senyumanmu Satu Azimat..


Minggu yang sangat sibuk di rumah. Cadangan asal dengan adik-adik, cuti sekolah ni nak mengecat ruang tamu je. Sudahnya mengecat sampai ke dapur. Dan akhirnya buat keputusan renovate terus dapur tu. Mujurlah rumah kami tak besar mana. Itu pun dah cukup menguji kudrat aku yang tak sekuat mana ni.

Untuk Mama. Asal dia bahagia. Seperti janji aku pada Abah, selagi aku mampu buat dia senyum, aku tak akan biar dia menangis. Kalau ini bakti terakhirku untuk Mama, biarlah suasana baru dalam rumah ni nanti jadi kenangan buatnya. Kalau memang ditakdirkan Allah aku yang akan pergi dulu sebelum Mama, biarlah aku tinggalkan Mama dalam keadaan yang selesa. Mudah untuk adik-adik menguruskannya.

Buat Mak Long yang selalu marah kerana merasakan aku terlalu manjakan Mama, aku harap Mak Long akan mengerti, itulah satu-satunya ibu yang aku ada. Selagi dia hidup, biarlah dia tahu dan nampak kasih sayang anak-anaknya. Tak ada gunanya lagi kasih sayang itu kita tunjuk dengan memeluk sepasang nisan yang tinggal, atau menghias seliang kubur tempat mereka bersemadi nanti dengan batu yang mahal dan tulisan yang indah. Itu semua tak akan menjadikan mereka lebih bahagia.

Buat Mama, andai suatu hari nanti Mama dapat baca blog Along ni, apa yang Along buat bukan untuk membuktikan kasih Along lebih tinggi, atau supaya Mama sayang Along melebihi yang lain-lain. Along tak mampu membalas kepayahan Mama mengandungkan Along. Tak mampu membayar pengorbanan Mama bertarung nyawa melahirkan Along.

Setiap anak pasti berharap dapat menjaga orang tua sehingga akhir hayat mereka. Dan dapat meneruskan kasih sayang itu sekalipun setelah mereka tiada dengan doa yang tidak putus-putusnya. Andai kata Along tak mampu berbakti untuk Mama dan Abah seperti itu, Along akan berusaha mengisi kasih sayang itu selagi ada hayat Along, insyaAllah.

Kalau aku hanya boleh memilih satu di antara hidupmu atau kematianku, pasti aku akan meminta supaya Allah mengambil sahaja nyawaku dan memanjangkan usiamu. Kerana kalau aku tiada, Mama masih punya tiga anak lagi. Tapi kalau Mama yang tiada, pada siapa lagi adik-adik akan mendapatkan keberkatan hidup mereka.

Bagi seorang anak yang sedang berjuang untuk terus hidup seperti aku, senyum seorang ibu sudah cukup untuk dijadikan semangat. Doa tulus dan kudus mereka dijadikan azimat. Memang senyum dan doa sahaja tidak dapat menyembuhkan, tapi sudah cukup mengurangkan beban derita dan kesakitan yang datang tiba-tiba. Dengan baki hayat yang aku ada, aku cuma mahu dia gembira dan bahagia. Ya Allah, makbulkanlah.

Mama... Senyummu semangatku.