Pages

Subscribe:

Labels

Monday, 4 June 2012

Senyumanmu Satu Azimat..


Minggu yang sangat sibuk di rumah. Cadangan asal dengan adik-adik, cuti sekolah ni nak mengecat ruang tamu je. Sudahnya mengecat sampai ke dapur. Dan akhirnya buat keputusan renovate terus dapur tu. Mujurlah rumah kami tak besar mana. Itu pun dah cukup menguji kudrat aku yang tak sekuat mana ni.

Untuk Mama. Asal dia bahagia. Seperti janji aku pada Abah, selagi aku mampu buat dia senyum, aku tak akan biar dia menangis. Kalau ini bakti terakhirku untuk Mama, biarlah suasana baru dalam rumah ni nanti jadi kenangan buatnya. Kalau memang ditakdirkan Allah aku yang akan pergi dulu sebelum Mama, biarlah aku tinggalkan Mama dalam keadaan yang selesa. Mudah untuk adik-adik menguruskannya.

Buat Mak Long yang selalu marah kerana merasakan aku terlalu manjakan Mama, aku harap Mak Long akan mengerti, itulah satu-satunya ibu yang aku ada. Selagi dia hidup, biarlah dia tahu dan nampak kasih sayang anak-anaknya. Tak ada gunanya lagi kasih sayang itu kita tunjuk dengan memeluk sepasang nisan yang tinggal, atau menghias seliang kubur tempat mereka bersemadi nanti dengan batu yang mahal dan tulisan yang indah. Itu semua tak akan menjadikan mereka lebih bahagia.

Buat Mama, andai suatu hari nanti Mama dapat baca blog Along ni, apa yang Along buat bukan untuk membuktikan kasih Along lebih tinggi, atau supaya Mama sayang Along melebihi yang lain-lain. Along tak mampu membalas kepayahan Mama mengandungkan Along. Tak mampu membayar pengorbanan Mama bertarung nyawa melahirkan Along.

Setiap anak pasti berharap dapat menjaga orang tua sehingga akhir hayat mereka. Dan dapat meneruskan kasih sayang itu sekalipun setelah mereka tiada dengan doa yang tidak putus-putusnya. Andai kata Along tak mampu berbakti untuk Mama dan Abah seperti itu, Along akan berusaha mengisi kasih sayang itu selagi ada hayat Along, insyaAllah.

Kalau aku hanya boleh memilih satu di antara hidupmu atau kematianku, pasti aku akan meminta supaya Allah mengambil sahaja nyawaku dan memanjangkan usiamu. Kerana kalau aku tiada, Mama masih punya tiga anak lagi. Tapi kalau Mama yang tiada, pada siapa lagi adik-adik akan mendapatkan keberkatan hidup mereka.

Bagi seorang anak yang sedang berjuang untuk terus hidup seperti aku, senyum seorang ibu sudah cukup untuk dijadikan semangat. Doa tulus dan kudus mereka dijadikan azimat. Memang senyum dan doa sahaja tidak dapat menyembuhkan, tapi sudah cukup mengurangkan beban derita dan kesakitan yang datang tiba-tiba. Dengan baki hayat yang aku ada, aku cuma mahu dia gembira dan bahagia. Ya Allah, makbulkanlah.

Mama... Senyummu semangatku.

0 comments:

Post a Comment