Teh Abah
Bila insan yang kita kasihi mendahului kita bertemu Ilahi, akan ada beberapa benda atau perkara yang akan mengingatkan kita kepada mereka setiap kali kita melihat atau merasainya. Hari tu minum teh jasmin yang sangat sedap dengan Ros. Teh yang Abah suka. Minuman yang suatu masa dulu selalu menemani Abah saat dia leka dengan buku-bukunya. Hari ini kami minum teh Abah lagi, di tempat yang sama, di meja yang sama. Bukan setakat menghilangkan dahaga, tapi untuk menghilangkan rindu pada Abah. Terima kasih, sahabat. Dua kali di situ, kita berkongsi cerita dan jenaka. Lepas ni nanti, teh ini juga akan mengingatkan aku pada cerita-cerita kita di meja yang sama itu, meja nombor 26. Sarang hae..
Buku-Buku Itu Dunia Aku
Bahagia. Rasa sangat bahagia bila dibawa memborong buku hujung minggu lepas, walaupun dalam kesakitan. Buku-buku yang dibeli masa Pesta Buku bulan lepas pun tak habis lagi. Tiba-tiba rasa macam tamaknya membeli. Entah mampu habiskan baca semuanya atau tidak. Maka sebagai motivasi, kena masukkan tugasan ni dalam wishlist aku. Cuba amalkan petua yang selalu dititipkan pada aku bila nak baca al-Quran: Tak dapat baca semua, jangan tinggal langsung.
Pelangi Petang
Seorang sahabat dulu pernah berkata, kalau nak jadi kawan, jadilah macam pokok atau pelangi. Sebab pokok tak pernah berubah, tetap di situ dan setia berdiri sampailah masanya ia mati atau ditebang orang. Dan juga kerana pelangi itu walaupun tak muncul selalu, tapi ia selalu ada bila kita di dalam gerimis, saat terik mentari menerpa. Minggu lepas bila terdengar semula lagu Pelangi Petang, aku kembali bertanya kepada diri. Kawan macam mana aku ni agaknya selama ini? Bersyukur sepanjang perjalanan hidup ini, aku selalu ditemukan dengan kawan-kawan yang sangat baik, yang seperti pokok dan pelangi. Aku juga berharap untuk menjadi kawan seperti itu, dapat jadi pohon tempat kalian bersandar dan menjadi pelangi indah yang menghilangkan duka. Dan aku juga berharap setiap pokok dan pelangi itu akan kekal bersama aku hingga ke hujung nyawa. InsyaAllah..
Bertahanlah
Tiga minggu kebelakangan ni kesihatan tak berapa mengizinkan. Dah diingatkan dari awal sebenarnya, demam, selesema dan kesakitan berlarutan adalah satu lagi petanda yang akan mengecilkan harapan. Cuba untuk menidakkan kenyataan dengan menganggap semuanya cuma kebetulan. Tapi sampai bila nak lari dari hakikat,kan? Lambat laun kena juga berdepan dengan kebenaran yang menyakitkan. Betapa aku bersedia pun, bila tiba masanya, badan tak akan mampu lagi menanggung kesakitan ini. Semangat yang kuat je tak cukup kalau badan tak berdaya melawan sakit yang datang. Tapi buat masa ni aku masih boleh bertahan, walaupun beberapa kali tak mampu sembunyikan kesakitan ini daripada sahabat itu yang dah terlalu banyak membantu. Wahai diri, bertahanlah..insyaAllah. Tapi bila dah tak tertanggung rasa sakit itu, janganlah lagi memaksa diri. Serahkan semuanya kepada Allah kerana Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik untukmu.
Masa yang datang akhir-akhir ini semakin cepat berlalu. Bimbang tak berkesempatan. Takut tak kesampaian. Tapi Allah Maha Bijaksana dalam mengatur perjalanan hidup hambaNya. Allah jualah sebabnya dalam sakit aku mampu tersenyum dan dalam ketakutan aku akan terus melawan. Ganbatte!
0 comments:
Post a Comment