Pages

Subscribe:

Labels

Monday, 14 May 2012

Tuhan..Beri Aku Lebih Masa

Banyak yang ingin diceritakan. Baru hari ini kesampaian. Kenangan makin banyak, tapi tak mampu menulis sekerap dahulu. Namun kenangan harus dicatatkan, kerana ingatan juga tak setajam dahulu. Dan sekarang tak tahu harus dimulakan dari mana..yang indah-indah dulu atau yang meruntun jiwa.

Cerita 1:

Rabu lepas (9 Mei 2012), aku dapat penuhi satu lagi hajat dalam wishlist aku..to meet one of my favourite authors/personalities. Terima kasih buat Nad, kejutan yang sangat membahagiakan. Terima kasih juga buat Ros yang membawa dan menemani kami ke majlis ilmu itu.

 Tak sabar nak baca..

Beberapa hari sebelum tu, kami ke Pesta Buku Antarabangsa. Dapat beli 7 buah buku je, tu pun dah rasa cukup berbaloi. Kejutan Nad bawa aku ke pelancaran buku terbaru Prof. Michel Chossudovsky mendekatkan aku dengan seorang negarawan yang dikagumi, Tun Dr. Mahathir. Dari The Malay Dilemma hinggalah A Doctor In The House, insan genius yang berfikir jauh ke hadapan daripada orang lain itu aku kagumi pemikiran dan kelantangannya bersuara. Kebetulan sekarang tengah baca autobiografi Presiden Korea Selatan, Lee Myung-Bak iaitu The Uncharted Path, ada cerita tentang persahabatan beliau dan Tun di dalamnya. 

Dan peluang bertemu Prof. M. Chossudovsky yang lantang bersuara tentang isu globalisasi, menambah rasa kagum terhadap pencinta ilmu yang berani mempertahankan pendirian seperti mereka berdua. Thanks for the book, my friend. Tak sabar nak habiskan semuanya masa cuti nanti, insyaAllah. Mudah-mudahan Allah memberi kesihatan untuk aku hanyut dalam setiap helaian buku-buku itu nanti. 

Cerita 2:

Sabtu lepas, sahabat yang sangat baik itu menyambut harijadinya. Semoga panjang umurmu dalam keberkatan, bahagia di dunia dan di akhirat. Kita lahir dalam bulan Islam yang sama (1 dan 15 Jamadilakhir 1399H), pada hari yang sama juga (Sabtu). Walaupun zahir kita terlalu banyak bezanya, tapi perbezaan itulah yang buat kita serasi. Because like love, friends complete each other. Semoga persahabatan ini tidak berakhir dengan terhentinya nafas kita. Sama yang aku niatkan dalam hati seperti persahabatan aku dengan yang lain-lain, bila kita mengaku kawan, kita juga mengaku bersaudara. Ukhuwwah fillah..

Sesekali, Allah akan menguji kita dengan sesuatu yang tidak kita duga. Itu tandanya Dia sayangkan kita. Supaya kita akan menjadi insan yang lebih baik dan lebih dekat padaNya. Berusaha semampu kita, kemudian serahkanlah selebihnya kepada Allah. Allahu ma'akum, ainama kuntum..Allah sentiasa bersamamu, walau di mana kau berada. Cantik kerja Tuhan, sahabat..percayalah.

Cerita 3:

Kasihnya Ibu - Datuk Sharifah Aini

Semalam Hari Ibu. Hari untuk Mama. Bermula dengan subuh yang indah, dua beranak ini mengisinya dengan tangisan di sejadah. Aku tahu hati Mama terdetik sesuatu, tapi aku tetap tidak mampu melakukannya. Berterus-terang. Maafkan Along, Ma. Banyak dosaku padamu. Mungkin jalan yang aku pilih ini salah dan tak tertanggung rasanya beban di hati ini. Tapi selagi aku mampu membuat dia bahagia, aku takkan biarkan dia menangis. 

Dan kasih anakanda
Berkorban nyawa..
Biarlah jiwa akan terseksa
Ikhlas dan rela asalkan bahagia..

Cerita 4:

   Makna sebuah persahabatan..

Baki hujung minggu yang aku habiskan dengan menonton cerita ini di AstroFirst berkali-kali. Hasegawa Tatsuo dan Kim Jun-Shik. Musuh yang menjadi sahabat. Sahabat yang menjadi musuh. Namun persahabatan itu akhirnya bersatu juga dalam jasad yang sama. Menonton sampai sakit kepala (lupa diri minggu lepas dah habis berjam-jam di Cyber Lab menghadap komputer, menjawab soalan CPT dan PSELT). Maka minggu ini harus lebih berhati-hati supaya tidak lupa diri lagi. Apa pun, berbaloi untuk ditonton. Cubalah..

Cerita 5:

Dalam leka menonton My Way, dan dalam keletihan meraikan Mother's Day dengan Mama dan adik-adik, semalam dikejutkan pula dengan kematian seorang jiran yang juga kawan Abah. Meninggal kerana kanser usus. Belum hilang ingatan pada Allahyarhamah Kak Ruby, Pakcik Hazri pula menyusul pergi. Terasa makin dekat kematian itu denganku. Terbayang-bayang bagaimana pulalah keadaan aku nanti bila tiba waktu itu. Mudah-mudahan biarlah pergi dalam keadaan sempurna juga. 'Kuburkan insan yang kau sayang dalam hatimu'..antara pepatah Korea yang aku baca dalam buku Presiden Lee Myung-Bak itu.

Kematian seharusnya menjadikan kita lebih berhati-hati dengan perjalanan hidup sendiri. Jangan sampai tersasar dari jalan Tuhan. Nasib kita di alam abadi nanti bergantung pada rupa hidup kita di dunia ini. Maka benda yang baik kita buat, lupakanlah..biar orang lain mengingatinya. Tapi benda salah dan tak patut yang kita buat, ingatlah.. Sebab kalau kita lupa, kita akan mengulanginya.

Buat mereka yang telah mendahului aku, semoga Allah meluaskan kubur mereka, lebih luas daripada rumah yang ditinggalkannya di dunia..amin. 

Dan buat orang seperti aku, hanya inilah doa dan harapan yang sering dipohon.. Tuhan, berilah aku lebih masa..amin.

Jumpa lagi, insyaAllah..

1 comment: