Tuesday, 1 May 2012
Hari-Hari Indah Yang Ditinggalkan..
Sekejap dah masuk bulan Mei. Putaran masa sangat cepat berlalu. Bertambah usia, bertambah dekat kita dengan perjanjian Tuhan. Hidup ini belum tentu, mati itu yang pasti. Hari-hari terakhir April tahun ini aku habiskan dengan kenangan yang indah. Hari-hari yang membuat kaki semakin berat untuk perlahan-lahan meninggalkan hidup ini, kerana terlalu sayangkan kenangan-kenangan yang ada.
Terima kasih buat sahabat itu, yang selalu menggembirakan. Terima kasih kerana mengisi hujung minggu itu buat sahabatmu ini yang selalu menyusahkan. Ketika kau boleh memilih untuk berehat di rumah, atau boleh sahaja memilih untuk berada di tempat yang lebih menyeronokkan bersama mereka yang lebih membahagiakan, kau memilih untuk melayan karenah aku.
Terima kasih kerana menjadi sahabat yang selalu menguatkan. Dua sahabat yang berbaik-baik bukannya kerana kedua-duanya sahabat yang terbaik, tetapi kerana saling memberi peluang belajar menjadi sahabat yang baik. Kita juga seperti itu.
Hari-hari indah yang ditinggalkan itu buat aku bersemangat untuk meneruskan hidup. Keyakinan untuk bertahan lebih lama daripada yang dijangka. Meratapi kesakitan tidak akan memberi matahari kepada kita. Ia menjadi kubur kepada sang pendengar, maka bunga kemboja menjadi iringan. Maka aku harus berikan matahari kepada orang di sekeliling, supaya mereka membawa sejambak bunga kenangan ketika aku dalam kehidupan mereka.
Terima kasih kerana melemparkan tali kebahagiaan di saat sahabatmu ini hampir saja memutuskan tali harapannya sendiri. Aku sentiasa berdoa semoga kau bertemu kebahagiaan yang dicari. Setiap budi yang memenuhi, setiap bekalan yang diisi, semuanya terpateri kukuh dalam memori.
Sarang hae yo..
Labels:
Kenangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Sarang hae too
ReplyDelete