Pages

Subscribe:

Labels

Friday, 17 August 2012

Tulus Dari Hati...


"Tidaklah bertemu dua orang Islam, lalu berjabat tangan, melainkan diampunkan dosa bagi keduanya sebelum keduanya itu berpisah". (Riwayat Abu Dawood)

Demi Allah Yang Maha Pengampun, Maha Mendengar dan Maha Mengasihani:

Sungguh hambaMu ini sujud padaMu dengan penuh kesyukuran kerana masih diberikan nikmat untuk bernafas di penghujung Ramadhan ini, meskipun dalam kepayahan. Syukur masih mampu untuk menanti Syawal, sekalipun dalam kesakitan. Panjangkan ihsanMu buatku, Ya Allah..supaya aku dapat sujud, mengucup tangan dan memeluk ibu tua yang akan aku tinggalkan itu sepuas-puasnya di pagi Syawal nanti. Jangan Kau uji aku, Ya Allah..melebihi batas mampu dan sanggupku.

Buat Mama yang dikasihi:

Maafkanlah segala dosa-dosa Along, sejak mula Along melihat dunia sampai masanya nanti Along menutup mata. Maafkan Along kerana tidak mampu menjadi sebaik-baik anak seperti orang lain dan sebagaimana yang diharapkan oleh setiap ibu di dunia ini. Maafkan Along kerana setiap hari merahsiakan kesakitan ini, sekalipun ada waktu-waktunya tidak tertanggung, tapi masih mampu Along selindungkan dari penglihatanmu. Semoga Allah sentiasa mengukirkan senyuman di wajahmu seperti sekarang, bukan lagi tangisan berterusan seperti yang pernah dirimu lalui 5 tahun lepas.

Juga moga-moga Allah memberikan Mama nikmat sihat yang berpanjangan. Maafkan Along kerana tidak mampu menjaga Mama seperti sempurnanya Abah menjaga Mama dulu. Apa yang Along tinggalkan untuk Mama nanti, mudah-mudahan dapatlah memudahkan urusan Mama di dunia ini. Sesungguhnya Allah sebaik-baik Pelindung. Pada Tuhanlah Along sandarkan harapan untuk menjagamu andainya Along yang pergi dulu.

Buat adik-adik yang dikasihi:

Tertibnya, saudara yang tualah yang seharusnya menjaga urusan dunia dan akhirat adik-adiknya. Tapi Along kalian tidak seperti kakak atau abang lain di dunia ini. Maafkan Along kerana terlalu banyak menyusahkan dan tidak dapat memberi seperti yang diharapkan. Sakit ini benar-benar menguji kasih sayang dan persaudaraan kita. Terima kasih kerana memahami. Terima kasih kerana mengasihi. Bahagiakanlah Mama kita supaya dia tidak rasa kekurangan dan kehilangan. Biarlah kasih ibu yang membawa kita ke syurga nanti, bukannya murka ibu yang akan mengheret kita ke neraka.

Buat sahabat-sahabat yang dikasihi:

Kalau kita berubah untuk jadi baik kerana Allah, Allah akan hantar orang-orang yang baik untuk bersama-sama kita. Aku bersyukur kerana sepanjang perjalanan hidup ini, Allah kirimkan insan-insan mulia seperti kalian. Lebih-lebih lagi ketika perjalanan hidup aku terasa seperti sudah hampir ke penghujungnya ini, Allah temukan aku dengan sahabat-sahabat yang sudah aku anggap seperti saudara sendiri. Yang banyak meringankan derita, yang selalu mendamaikan jiwa. Aku tidak mampu membalas semua kebaikan itu. Yang aku ada cuma doa moga-moga kalian sentiasa dalam rahmat Allah, bahagia di dunia dan akhirat. Maafkan segala khilaf dan dosaku. Halalkan semua pemberian dan bantuan kalian. Terima kasih kerana sudi menjadi pohon rendang untuk aku tumpang berteduh.

Sesungguhnya setiap kita ini seperti sebutir pasir dan setitik air. Kalau hanya sebutir pasir, tidak akan jadi sebuah pantai. Dan kalau hanya setitik air, tak akan jadi seluas lautan. Sahabat itu saling menguatkan..

Salam Aidilfitri buat semua yang sudi membaca dan memberi sokongan di ruangan ini. Maafkan andai bahasa dan kata-kataku di sini tidak manis dan menghiris hati. Segala yang tertulis datang dari hati. Ukhuwwah fillah..lillahi ta'ala.


0 comments:

Post a Comment