Pages

Subscribe:

Labels

Sunday, 12 August 2012

Kisah Yang Panjang..

Assalamualaikum..



It's been a difficult few months for me. Fighting time to say all the things I wanted to say to all the people I love. Lebih banyak airmata daripada kata-kata. Lebih banyak melihat daripada bersuara.

Ramadhan Yang Bakal Ditinggalkan

Setahun lepas, Ramadhan aku dalam kepayahan. Tiada hari pada bulan itu yang aku tidak berdoa dan berharap supaya Allah memberi ihsan kepada hambaNya ini untuk bertemu Ramadhan lagi. Syukur doa itu dimakbulkan. Maka jika inilah Ramadhan aku yang terakhir, aku sangat-sangat bersyukur dapat melaluinya bersama mereka yang aku kasihi.

Syukur dapat melihat wajah ibu tua itu menjamah rezeki yang aku sediakan semampuku. Syukur dapat meraikan sahabat handai yang berpuasa dalam keadaan aku sendiri tidak mampu melakukannya. Syukur dapat menghabiskan saat-saat indah waktu berbuka itu dengan sahabat yang bakal terbang mengisi kembara ilmunya. Sahabat yang sentiasa menjadi tongkat untuk aku melalui jalan hidup yang sukar ini.

Terima kasih, Ya Allah..di atas nikmat beberapa hari berpuasa yang Kau berikan padaku tahun ini. Dapat berbuka dan bersahur seperti orang lain meskipun tidak berselera seperti mereka. Dapat khatam seperti orang lain meskipun tidak sempurna bacaan seperti mereka. Dapat sesekali berterawih meskipun tidak mampu berjemaah seperti mereka. Tepatlah seperti yang disebutkan berulang kali di dalam Surah Ar-Rahman:

"Maka nikmat Tuhan yang manakah kamu  dustakan?"

Ramadhan kali ini penuh makna..

Untuk Mama Yang Bakal Ditinggalkan


My last follow-up wasn't good. Penjelasan dan hakikat yang menghiris hati. Benar aku sudah melepasi jangkaan yang doktor berikan setahun lepas. Tapi rupanya gerak hatiku juga benar bahawa kelegaan itu tidak akan bertahan lama.

Setiap kali diberitahu bahawa ikhtiar yang doktor berikan bertemu jalan buntu, aku sentiasa berdoa agar dibukakan jalan lain untukku. Allah Maha Mendengar. Andai ini jalan terakhir yang tinggal, maka walaupun belum bersedia sepenuhnya, tapi aku sudah dapat menerima semuannya dengan penuh rasa redha dan syukur.

Segala apa yang Mama perlukan untuk meneruskan hidupnya nanti sudah aku bereskan. Kepada adik-adiklah nanti aku tinggalkan amanah untuk menjaga ibu tua itu. Dan kepada sahabat-sahabat jugalah aku berharap bila aku tiada nanti, jenguklah ibu tua itu kalau ada masa. Bertanya khabar sekali-sekala. Kalau Mama tidak dapat memelukku lagi selepas ini, pinjamkanlah pelukan kalian untuk dia melepaskan rindunya seketika.

Aku harap dapat meninggalkan Mama dalam keadaannya yang selesa. Juga sempat untuk melihat dia pergi dan kembali dari Tanah Suci nanti, seperti mana aku berharap dapat melihat sahabat yang bakal pergi ke rantau orang itu pergi dan kembali dengan selamat juga. Dan kepada Allah jugalah aku sandarkan harapan untuk menjaga dua insan yang sangat aku kasihi ini nanti selama mereka di sana kerana Dialah sebaik-baik Penjaga..amin.

Mama, seperti yang selalu Along bisikkan kepada Mama, apa yang Along buat dan sediakan untuk Mama kebelakangan ini bukan untuk membuktikan kasih Along lebih tinggi. Bukan untuk meminta agar disayangi lebih daripada yang lain. Along cuma mahu Mama meneruskan hidup dengan selesa. Tidak rasa kekurangan selepas Along mati nanti.

Semoga Mama dapat mengisi hari-hari Mama nanti dengan kebahagiaan..

Mimpi Yang Aku Tinggalkan

Bila insan-insan yang sangat kita kasihi meninggalkan kita buat selama-lamanya, pasti salah satu doa kita ialah untuk bertemu dengan mereka. Walaupun seketika. Meskipun cuma dalam mimpi. Melihat wajah dan mendengar suara. Mengubat rindu yang menyesakkan dada.

Rindu pada Abah. Rindukan Azimah. Rindu yang sedikit terubat bila dapat bertemu dalam mimpi. Puas walaupun bangkit daripada tidur dengan linangan airmata. Nikmat yang Allah berikan padaku setiap kali Ramadhan..ditemukan aku dengan mereka di dalam tidur itu.

Tapi mimpi itu harus aku tinggalkan. Kita tak boleh terus-terusan hidup dalam kenangan. Yakin dengan janji Allah. Sampai masanya nanti pasti kita akan menyusuli mereka. Soon, insyaAllah..

   
To be continued..insyaAllah.

0 comments:

Post a Comment