Wednesday, 21 November 2012
Mencari Kesudahan Yang Baik
Bersawang. Berkarat. Berlumut. Kalau itu yang boleh terjadi pada blog ini setelah beberapa minggu aku tinggalkan. Keadaan tidak mengizinkan. Alasan paling selamat yang mampu diberi. Ditakdirkan Tuhan banyak yang berlaku beberapa minggu ini. Sayang tak mampu aku ceritakan pada waktu-waktu itu. Dan sudah terlambat untuk dikisahkan kembali. Cerita basi.
Ditakdirkan Tuhan juga aku diuji beberapa ketika akhir-akhir ini. Ujian yang menyebabkan aku lupa password blog dan PIN number bank sendiri. Dan kuasa Tuhan jugalah yang mengingatkan aku kembali kepada nombor-nombor penting ini selepas Subuh tadi. Alhamdulillah. Tepat pada harinya ketika hari ini Allah menguji aku sekali lagi untuk membuat keputusan tentang hidup dan matiku. Cantik kerja Tuhan. Mungkin ini caraNya untuk merawat duka di hati. "Luahkanlah di ruangan ini yang sering kau luahkan isi hatimu dulu..perkara-perkara yang tak mampu kau ceritakan kepada insan-insan yang sangat kau kasihi."
Hampir setahun yang lepas, aku pernah suarakan harapanku di sini, di ruangan ini. Harapan yang kadang-kadang nampak cerah, atau selalunya samar-samar. Tapi kini nampak makin pudar. "Selalu ada harapan bagi mereka yang berdoa. Selalu ada jalan bagi mereka yang berusaha." Nasihat yang pernah aku titipkan buat sahabat yang jauh itu. Kini nasihat itu perlu aku pakukan dalam hati sendiri. Selalu juga menasihati sahabat itu supaya mencari sesuatu yang baik di sebalik setiap ujian yang Allah berikan kepadanya. Maka hari ini nasihat itu harus kembali juga kepada diri sendiri. Kerana aku tahu kita akan selalu diuji dengan apa yang kita nasihati.
Hari ini tewas seketika dengan diri sendiri. Kekuatan yang selama ini cuba dipertahankan, seketika tadi terasa gugur satu persatu, seperti sedang gugurnya daun-daun cantik di bumi indah tempat sahabat itu berjuang mencari ilmu. Dan seperti gugurnya daun-daun itu kerana memberi ruang untuk musim bertukar ganti, maka aku juga harus merelakan kekuatan ini gugur seketika supaya dapat aku kumpul semula kekuatan yang baru, bagi mencari kesudahan yang baik untuk diri ini. Melengkapkan perjalanan hidup seorang manusia yang setiap nafas dan harinya di dunia dipinjamkan Allah buat sementara.
Sehari dua ini harus berusaha mendapatkan kembali kekuatan itu. Mencari semangat yang hilang. Merancang perjalanan hidup yang berbaki sebaik-baiknya. Harus yakin dengan pilihan yang dibuat. And I will continue to pray for a miracle. Juga harus terus tersenyum mendengar cerita-cerita gembira atau turut sama menangis saat mendengar kisah-kisah duka daripada mereka yang aku kasihi. Harus sentiasa ada untuk sahabat itu sekalipun dalam kejauhan. Juga harus sentiasa ada untuk mereka yang dekat di depan mataku ini. Memberi senyum untuk semua dan menyimpan tangis di bahu mereka. Moga-moga dengan melihat senyuman sentiasa terukir di wajah itu, atau melihat tangisan kembali reda di mata itu, atau melihat gelak tawa menghiasi wajah itu, dapat memberi aku semangat dan kekuatan untuk menghadapi hari-hari yang mendatang. InsyaAllah..
"A smile doesn't always mean a person is happy. Sometimes it simply means they are strong enough to face their problems."
Tuesday, 30 October 2012
Menghitung Hari (4)
Life is beautiful.
Life is a struggle.
Life is a beautiful struggle..
Biar berkali-kali jatuh, lutut berdarah..
Juga kerapkali tersembam, bibir pecah..
Tidak sesekali tersungkur rebah, mengaku kalah..
Wish you were there, my dearest friend..
When I heard the disturbing conclusion..
But I'll keep fighting for a friend like you
Who has given me every reason to smile!
Wednesday, 24 October 2012
Hari Arafah
Esok 9 Zulhijjah 1433H. Esok Hari Arafah. Hari di mana ketika tetamu-tetamu Allah sedang wukuf di Padang Arafah, kita yang tidak pergi menunaikan haji ini digalakkan untuk berpuasa sunat.
Dan Rasulullah s.a.w ditanya tentang berpuasa di Hari Arafah.
Maka baginda bersabda:
"Ia menebus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang."
( Hadith Riwayat Imam Muslim )
Wukuf adalah kemuncak haji. Di Padang Arafah itulah Rasulullah menyampaikan khutbah terakhir baginda. Khutbah perpisahan yang sangat berbekas di hati...
Dan Arafah itulah gambaran Padang Mahsyar yang akan kita hadapi nanti. Hari di mana terbentangnya dosa-dosa kita di padang itu. Transit kita sebelum melangkah ke syurga atau neraka.
Meskipun ibadah wukuf itu hanya beberapa jam sahaja, tapi pada saat itulah Allah berada sangat dekat dengan hamba-hambanya di sana. Mendengar doa dan rintihan mereka.
Mudah-mudahan aku juga akan diberi kesempatan untuk menjadi tetamu Allah. Meskipun tidak sempat untuk menunaikan haji, sekurang-kurangnya dapat buat umrah sekali lagi, sebelum pulang ke alam abadi..amin Ya Robb.
Salam Aidiladha buat semua. Moga-moga setiap pengorbanan kita di jalan Allah diterima baik di sisi Allah jua. Sampai jumpa lagi..
Sahabat di Hati
Kita kenal perangainya..
Kita tahu kelemahannya..
Kita terima kekurangannya..
Dan kita tetap bersahabat dengannya..
Berusaha menjadi sahabat terbaik untuknya
Bersama kekurangan yang ada pada diri kita..
Kenapa?
Kerana kita mahu masuk syurga dengannya..
Walaupun ada jarak yang memisahkan
Kalau memang sudah dinamakan persahabatan
Tidak semestinya perlu bersentuhan tangan
Kerana kita sudah bersentuhan hati
Juga sentiasa berbalas-balas doa
Kenapa?
Kerana di antara cinta dan sayang
Di situ kasihnya sahabat..
Kita tahu kelemahannya..
Kita terima kekurangannya..
Dan kita tetap bersahabat dengannya..
Berusaha menjadi sahabat terbaik untuknya
Bersama kekurangan yang ada pada diri kita..
Kenapa?
Kerana kita mahu masuk syurga dengannya..
Walaupun ada jarak yang memisahkan
Kalau memang sudah dinamakan persahabatan
Tidak semestinya perlu bersentuhan tangan
Kerana kita sudah bersentuhan hati
Juga sentiasa berbalas-balas doa
Kenapa?
Kerana di antara cinta dan sayang
Di situ kasihnya sahabat..
Terima kasih di atas ingatan..
Tuesday, 16 October 2012
Melihat Dengan Mata Hati
Pejam mata dan bukalah hati..
Dulu, aku dan Abah suka berada di tempat awam. Sekadar duduk dan memerhati tingkah laku manusia. Kata Abah, bukan untuk mencari kekurangan sesiapa, tapi mengagumi kejadian Tuhan. Hari ini di lobi hospital, melihat telatah dan karenah manusia di sekeliling aku mengingatkan kembali rutin yang biasa aku jalani dengan Abah dulu.
Melihat betapa wang ringgit tidak dapat membeli kesihatan dan nyawa seorang manusia. Melihat betapa orang sakit juga punya harga diri supaya tidak terus dipandang dengan pandangan penuh simpati. Kita selalu dengar orang bermain kata, "Put yourself in their shoes." Cuba letakkan diri kita di tempat mereka. Aku kira kalau boleh ditambah sikit pepatah itu.."Put yourself in their shoes..and walk a mile in those shoes." Sekadar meletakkan diri tapi tidak cuba merasai dan memahami sebenarnya tidak membawa apa-apa erti.
Antara simpati dan empati..
Antara kasih dan kasihan..
Ada banyak bezanya..
Banyak yang kita boleh pelajari di tengah ramai itu. Apatah lagi bila kita berada di tempat yang baru. Sesuatu yang asing lama-lama akan menjadi kebiasaan pada kita. Yang baik kita jadikan panduan. Yang tak elok kita buat renungan. Teringat bait lagu M. Nasir (Mentera Beradu):
Ijazah terbaik datangnya dari jalanan
Dari pengalaman, bercakap dan bersalaman..
Lagu zaman sekolah..
Subscribe to:
Posts (Atom)











