Pages

Subscribe:

Labels

Wednesday, 29 February 2012

Segalanya Mungkin

Lama sungguh rasanya tak menulis. Bila terlalu banyak perkara berlaku dalam satu-satu masa, kadang-kadang aku tak tahu nak mula bercerita dari mana. Dua minggu yang penuh suka dan duka..

20 Februari 2012:
Akhirnya Kak Ruby dijemput pulang ke rahmatullah. Allah melepaskannya daripada derita yang panjang. Insan yang selalu menarik aku kembali ke landasan hidup setiap kali rasa mengalah menguasai diri. Jujurnya, aku sangat terkesan dengan pemergian Kak Ruby. Selalu tertanya-tanya entah bila pula sampai giliran aku. Cuma mampu berdoa, semoga aku dapat menjadi seperti Kak Ruby, yang tetap tabah sekali pun doktor dah tak beri apa-apa harapan lagi. Semoga Allah menempatkannya bersama orang-orang beriman, mengganti deritanya di dunia dengan sebaik-baik balasan syurga.

25-26 Februari 2012:
Hujung minggu yang membantu mengurangkan kesedihan dan sakit hati aku minggu lepas. Naik Cameron buat kali keempat dalam tempoh 3 bulan. Perasaan dan suasana yang berbeza bila kita pergi dengan orang yang berbeza. Tapi semuanya tetap buat aku rasa bahagia. Kenangan yang akan selalu aku replay setiap kali dalam kesakitan, moga-moga berkurang rasa sakit itu. Thanks for the memories..

Akhir-akhir ini badan rasa makin tak selesa. Hati pula makin berat untuk ke hospital semula. Tak mampu untuk terima sekali lagi kegagalan rawatan yang telah aku cuba. Tak daya untuk mendengar sekali lagi perkembangan buruk penyakit kejam yang semakin hilang harapan untuk sembuh ini. Tapi aku dah berjanji untuk tidak berputus asa. Maka, sekalipun siang tadi aku menolak clinical trials yang dicadangkan, bukan bermakna aku akan menyerah dan menunggu mati begitu sahaja. Kecewa, takut dan susah hati. Tiga rasa yang aku harap dapat aku hadapi dalam waktu terdekat ini. Rabbi yassir wala tu'assir..

Kita selalu merancang untuk bahagia, mana tahu datang derita. Selalu merancang untuk gembira, mana tahu datangnya duka. Segalanya mungkin dalam hidup ini..yakinlah dengan janji Allah.

Sunday, 19 February 2012

Kenangan Atas Pokok

Destinasi: FRIM, Kepong
Misi: Naik Canopy Walkway

Terima kasih, Zila..temankan akak naik ke puncak sana. Teringat masa kita buat night walk tahun lepas.

Terima kasih Ros, Fa'izah dan Angah..sekali lagi terpaksa mengorbankan rehat hujung minggu dan terpaksa bangun awal untuk aku. Last. No more. InsyaAllah.

Mungkin dah terlalu banyak permintaan, aku tak nak sampai semua orang rasa terbeban.

 Melihat alam dari sudut berbeza..

Rabbi Yassir Wala Tu'assir

Khas buat Kak Ruby..

Balik dari FRIM tadi, tidur dalam keletihan. Ditambah dengan ubat yang kuat kerana badan yang mula kesakitan. Sedar-sedar ada tiga missed call dan beberapa SMS yang masuk. Sungguh-sungguh aku tidur rupanya, bunyi telefon pun tak dengar.

Semuanya untuk menyampaikan satu berita. Kak Ruby, cancer fighter yang selalu bagi semangat pada aku, dah dibawa pulang ke Ipoh dan semakin tenat. Doktor minta keluarga berada di sisinya sepanjang masa. Waktu aku leka dengan urusan dunia, Kak Ruby pula bersabung nyawa.

Mudah-mudahan Allah meringankan derita sakit yang ditanggung Kak Ruby dan bebanan sedih keluarganya. Semoga Allah memberi mereka ketabahan dan kesabaran.

Rabbi yassir wala tu'assir..Wahai Tuhanku, permudahkanlah dan jangan Kau susahkan.

Entah bila pula akan sampai masaku..

Saturday, 18 February 2012

Tuhan Sedang Mendidikmu

Sebagai seorang Islam yang beriman, setiap masa kita diuji. Allah menguji kita dengan pelbagai rupa. Allah juga mendidik kita dengan pelbagai cara. Lulus ujian, insyaAllah bertambahlah iman. Gagal ujian, insyaAllah sentiasa ada ruang untuk kita memperbaiki diri. Kewajipan kita sebagai full-time Muslim.

Ada waktu-waktunya saat Tuhan menguji dari pelbagai arah, kiri dan kanan, depan dan belakang, aku rasa diri terlalu kecil. Tak mampu nak lawan semuanya. Tak daya nak tanggung bebannya. Waktu-waktu begitulah syaitan sangat suka mengetuk benteng iman kita kan..

Bisikan syaitan yang kita rasakan seperti keluhan hati sendiri. Jahat sangatkah aku ni sampai diuji dengan kesakitan begini? Teruk sangatkah aku ni untuk layak hidup bahagia dengan orang-orang yang aku sayangi? Astaghfirullah..mujur ada yang selalu menyedarkan akan besarnya nikmat Tuhan, luasnya kasih sayang Tuhan pada hambaNya ini. "Tuhan sayang kita lebih, sebab tu Dia uji kita pun lebih". Terima kasih kerana selalu mengingatkan.

Syukur, dalam kesakitan dan ketidakselesaan begini, aku masih rasa bahagia. Sentiasa dikelilingi insan-insan mulia yang yang sentiasa buat aku rasa gembira. Buat aku rasa sangat bersyukur bila bangun setiap pagi kerana dapat hidup sehari lagi. Semoga Allah menggandakan bahagia itu untuk mereka seperti mereka membahagiakan aku.

Banyak perkara yang berlaku pada aku dan mereka yang berada di sekelilingku minggu ini. Perkara-perkara yang buat aku sedar yang keakraban perhubungan itu bukan didekatkan dengan hubungan saudara semata-mata. Ada sahabat yang kita kasihi lebih daripada saudara sendiri. Ada pula saudara yang mungkin memandang kita seperti seorang musuh hanya kerana ada pertolongan yang tak mampu kita beri. Kasih sayang tak akan sampai ke hati kalau di situ ada rasa benci.

Dalam persahabatan dan apa juga ikatan perhubungan antara kita dengan manusia, rasa kasih sayang perlu ada untuk kita bertahan. Kasih yang benar-benar kasih ialah bila kita tak perlukan sebab untuk menyayangi seseorang. Sayang yang benar-benar sayang ialah bila kita tak mampu berikan alasan kenapa kita sayangkan mereka. Selesa walaupun kita berbeza, mampu menukar rasa duka menjadi gembira.

Mungkin begitu salah satu cara Tuhan mendidik kita. Untuk menghargai sebuah persahabatan. Untuk mempertahankan sebuah ikatan. Mungkin ada waktu-waktu akan ada rasa marah, kecil hati atau perselisihan. Tapi itu bukan berpanjangan. Asalkan kita dapat handle semua tu dengan penuh hikmah, sabar dan tolak ansur. Jangan biar kemarahan itu berterusan. Setiap hari berkali-kali kita mencuci muka ni kan..mungkin ini caranya Tuhan mendidik kita untuk sesekali mencuci hati kita pula.

Akhir-akhir ini aku melihat beberapa hati dilukai. Hati sendiri dan hati orang lain. Mungkin orang yang melukai itu tidak sedar, ketika mereka melontarkan sesuatu dalam kemarahan, kata-kata mereka itu meninggalkan kesan seperti lubang di hati orang lain. Kita dapat menusuk pisau pada seseorang, lalu mencabut pisau itu. Tapi kesannya sangat dalam. Walau berkali-kali kita meminta maaf, luka itu akan tetap ada. Maka jagalah adab dan budi pekerti, sekalipun dalam marah dan tidak berpuas hati terhadap sesuatu. Kerana kita dipandang manusia bukan kerana rupa, tapi kesempurnaan budi dan adab kita.

Kalaulah aku mampu merawat hati sahabat yang sedang terluka itu, aku akan bagi semua kegembiraan yang aku ada sehingga dia tidak mampu untuk berasa sedih lagi. Yang aku mampu hanya mendoakan agar Allah melapangkan hati sahabat-sahabat itu, yang melukai dan dilukai. Yang aku ada cuma kata-kata semangat dan sepasang telinga untuk mendengar segala-galanya. Mudah-mudahan Allah menyatukan kembali hati-hati yang terluka itu. Sabarlah..Tuhan sedang mendidikmu.



Saturday, 11 February 2012

Berhenti Berharap?


My recent chemo failed. Trial drugs didn't work. My doctor informed me that the treatment had not helped me at all. I left his office yesterday devastated and was very depressed. Rasa macam sia-sia je perjuangan aku selama setahun ni. Untuk seketika semalam, aku rasa sangat berputus asa. Melihat wajah Mama bila sampai di rumah, hati ni macam ditusuk duri. Berusaha menahan tangisan dan melawan kesakitan. Mahu saja rasanya aku peluk Mama yang menunggu di muka pintu. Ringan sungguh rasanya mulut ni untuk meluahkan yang tersimpan. Tapi, rasa bagai terkunci rapat mulut ni setiap kali aku mencuba..

What's the next option? Soalan pertama aku selepas terdiam kelu di saat doktor menerangkan dengan jelas keadaan aku sekarang. Buat kali pertama aku tak argue apa-apa dengannya. Tak bertanya pun soalan-soalan susah padanya  seperti kebiasaan.

If one doesn't work, we'll try another. Jawapan yang langsung tidak meredakan ribut yang melanda hati aku waktu itu. Hmm..hope there'll be something out there for me. Wahai diri, please don't give up. Even if the doctors tell you things are not good..they are not God and do not know what the future holds for you.

Tapi aku orang biasa. Bukan orang yang sangat kental jiwanya. Ada waktu-waktunya hati  menjadi terlalu rapuh. Aku perlu menangis, perlu meluahkan dan perlu diyakinkan masih bersisanya harapan. Sampai saat ini, masih belum aku temukan harapan itu. Tapi hari ini lebih lega dan lebih tenang dari semalam. Dapat meluahkan kepada seseorang sudah cukup meringankan sedikit beban di hati. Harap-harap dapat tidur malam ini. Buat sahabat itu, terima kasih kerana sudi mendengar dan berada di sisi, sedangkan pada waktu itu awak boleh memilih sebenarnya untuk berada di tempat yang lebih menyeronokkan. Berhenti berharap? Belum lagi..

Thursday, 9 February 2012

Ada Apa Dengan Hati..

Sikap orang pada kita bergantung pada sikap kita terhadap orang. Abah selalu pesan begitu. Ikhlaskan hati, bersangka baik dengan Allah dan sesama manusia. Itu juga yang selalu ditarbiyahkan kepada aku. Tapi, sejauh mana kita mampu mendidik hati kita ini supaya semakin hari tidak bertambah titik-titik hitam di dalamnya?

Kemarahan tidak boleh berumur panjang di dada seorang yang berhati baik. Dan kebaikan tidak boleh berakar di hati seseorang yang berdasar buruk. Tahun lepas aku terbabas melepaskan marah kepada orang yang tak sepatutnya, untuk perkara yang tak patut juga. Dan aku kesali kebodohan aku itu sampai hari ni. Maka hari ini bila hati ini diuji lagi, aku cuba tahankan kemarahan itu, walaupun kali ini aku rasa aku berhak untuk melepaskannya.

Susah nak puaskan hati semua orang. Aku akui. Lebih susah untuk menjaga hati sendiri sebenarnya. Kadang-kadang kita dihukum tanpa kesalahan yang nyata. Ada waktu-waktunya mungkin kita pula yang  menghukum seseorang tanpa memberi ruang kepadanya untuk mempertahankan diri. Kerana kita turutkan sangat rasa marah. Maka bertepuk tanganlah syaitan bila melihat hamba-hamba Allah yang bersaudara ini akhirnya bermasam muka dan berkecil hati. Hanya kerana ada hajat yang tak dapat dipenuhi, atau ada permintaan yang tak mampu diberi.


Kita tidak akan dapat melihat bayangan diri kita di dalam air yang mengalir, tetapi dapat melihatnya di dalam air yang tenang. Maka bila berdepan dengan kemarahan orang, tenangkanlah dulu diri kita. Kalau lawan api dengan api juga, maka akhirnya kita akan jadi abu.

Jangan mudah menghakimi keikhlasan orang. Sebab keikhlasan itu macam seekor semut hitam, di atas batu yang hitam, di waktu malam yang amat gelap. Ada, tapi amat sukar dilihat. Memang kita tak sempurna. Tapi Allah sentiasa memberi ruang untuk kita membersihkan hati.

Maafkan aku kalau aku tak mampu untuk sentiasa berhasil menjaga hati orang. Dengan keadaan aku sekarang, aku tak mampu mencipta permusuhan dengan sesiapa. Tak mahu mati dalam keadaan terlalu banyak berdosa pada Allah dan manusia. Cukup-cukuplah dengan perjuangan hidup dan mati  yang sangat menguji hati aku sekarang. I couldn't face another battle..

  "Yakinlah dengan janji Allah.."

Monday, 6 February 2012

Ada Batu di Tengah Jalan

Cuti hujung minggu yang panjang. Banyak sambutan dan perayaan minggu ni. Sabtu lepas (4 Februari) ialah Hari Kanser Sedunia. Bercadang nak tulis sesuatu sempena hari itu. Tapi penangan ubat chemo tak habis lagi malam tu, maka lupakan saja. Ahad pula sambutan Maulidur Rasul. Berangan pula nak ikut berarak dan berselawat di kawasan rumah aku ni. Tapi terpaksa dilupakan juga kerana keadaan tak mengizinkan.

Sudahnya dua hari dihabiskan untuk recharge tenaga dan berehat secukupnya. Harap tak tumbang lagi minggu ni. Syukurlah, hari ni dapat bereskan lebih separuh kerja pentaksiran yang dah tertangguh lama. Esok ada sehari lagi rehat. Harap-harap semakin pulih badan ni bila mula sekolah Rabu nanti.

Beginilah hidup. Betapa elok pun kita merancang, cantik lagi perancangan Allah. Kadang-kadang kita rasa jalan yang kita pilih dah cukup selamat dan betul. Mana tahu tiba-tiba batu besar jatuh bergolek dan menghalang perjalanan kita. Memaksa kita untuk membuat pilihan: ikut jalan lain atau alihkan saja batu itu dari jalan.

 Kalau batunya besar ni, mesti payah kan?

Perjalanan hidup aku hari ini pun sebenarnya dah lari jauh dari apa yang aku rancang. Silapnya daripada aku juga. Terlalu yakin penyakit yang pernah singgah di tubuh aku 13 tahun dulu akan selamanya pergi. Berpegang pada jaminan doktor waktu itu, cancer free selepas 5 tahun sihat. Juga dengan mengabaikan rutin full body check-up yang aku buat setiap tahun masa Abah ada. "I wish we could detect this earlier". Aku benci ayat tu. 

Kita sebenarnya boleh berhati-hati dengan melihat tanda-tanda yang ada di sekeliling kita sebelum memutuskan untuk meneruskan perjalanan. Kalau dah nampak batu-batu kecil kerap jatuh, sepatutnya kita berhenti sekejap untuk melihat perubahan pada bukit yang ada di sepanjang jalan. Dan aku terlepas pandang semua itu. Bukan menyesal, cuma aku sangat berharap kalian tak buat kesilapan yang sama. Janganlah diabaikan sebarang tanda..

 
Rasa macam buat kempen alam sekitar pulak. Macam kempen cegah kanser pun boleh kot. Menjadi harapan aku supaya insan-insan yang aku sayang (family and friends) tak merasai kesakitan yang sama aku lalui sekarang. Semoga dijauhkan Allah, dan semoga kalian sentiasa dalam keadaan sihat untuk bekerja dan beribadah. Aku tak ada pilihan lain selain cuba mengalihkan atau memecahkan batu besar yang ada di depan aku, dengan apa cara sekali pun. Tapi kalian masih ada kesempatan untuk mengelaknya daripada berlaku.

Apa pun, aku tak mampu melakukan semua ni sendiri. Sebab aku bukan Superman. Maka bantulah aku dengan doa dan harapan. It's not just to fight, but to defeat. Walaupun perjalanan ini dah hampir sampai ke penghujung, itu bukan alasan untuk aku mengalah dan berharap Tuhan akan menggerakkan batu itu ke tepi. Kalau aku rasa semua ni dah cukup sukar, ada orang lain lebih payah lagi kehidupannya. Bukan kerja mudah, tapi juga tak mustahil kalau dengan izin Allah. Seperti kata Kak Ruby, bukan semua orang mampu senyum dalam kesakitan. Dan bukan semua orang mampu ketawa dalam tangisan.Wajah lukisan hati..wallahu a'lam.

"Senyumlah jika kau ingin orang lain tersenyum padamu"

Wednesday, 1 February 2012

Pemindahan Platelet (Platelet Transfusion)

NOTA:
Post ini sekadar apa yang telah diberitahu kepada aku sebagai seorang pesakit. Apa yang diterangkan oleh doktor, aku permudahkan dalam bahasa yang aku faham. Correct me if I'm wrong.

Pemindahan platelet sama je macam pemindahan darah yang kita biasa tengok. Bezanya yang ni guna platelet je, bukan keseluruhan darah. Warnanya pun bukan merah, tapi kuning. Diasingkan mengikut kumpulan darah - A, B, O (penderma universal) dan AB (penerima universal). Satu beg platelet (1 unit) macam gambar kat atas tu diperolehi sama ada daripada seorang penderma atau beberapa orang penderma (3-5 orang).

Komponen darah mempunyai jangka hayat terhad dan setiap satu digunakan untuk merawat penyakit yang berasingan:
  • Sel darah merah tahan selama 42 hari
  • Platelet hanya tahan selama 5 hari
  • Plasma boleh disimpan selama setahun

Siapa yang perlukan pemindahan platelet?

Platelet berfungsi untuk pembekuan darah. Kalau bilangan platelet dalam darah kita rendah, maka darah tidak dapat membeku. Bila darah tidak dapat membeku, maka akan berlaku pendarahan. Dalam keadaan ini, luka yang kecil pun boleh menyebabkan pendarahan tidak dapat berhenti. Juga akan berlaku pendarahan dalaman atau daripada hidung dan gusi yang secara tiba-tiba.

Itu yang berlaku kepada aku minggu lepas. Bilangan platelet normal kita sepatutnya antara 100-400K/uL. Tapi platelet aku lepas buat chemo hari tu tiba-tiba drop dan tinggal 5. Kata doktor, itu situasi yang akan selalu berlaku kepada pesakit leukemia dan juga jenis kanser yang lain, terutama bila kita sedang menjalani rawatan chemo. Situasi lain yang menyebabkan kekurangan platelet:
  • Pesakit yang menerima pemindahan sum-sum tulang
  • Demam denggi dan jangkitan virus/bakteria lain
  • Kegagalan hati
  • Kurang Vitamin B12 atau asid folik
  • Lain-lain penyakit berkaitan darah

Tanda-tanda kekurangan platelet:
  • Lebam-lebam pada badan
  • Bintik-bintik merah pada kulit
  • Pendarahan hidung dan gusi
  • Pendarahan berterusan pada luka
  • Pendarahan dalaman

Macam mana platelet diperolehi daripada penderma?

Mula-mula tu sama macam prosedur pendermaan darah yang biasa. Keseluruhan darah akan diambil daripada lengan. Bezanya, darah tu akan masuk dulu ke dalam mesin pengasing sel (cell separator). Darah akan dicairkan untuk mengubah platelet. Platelet akan diambil dan komponen yang tinggal atau darah selebihnya tu akan dikembalikan semula kepada penderma menerusi lengan. Prosedur ni dinamakan aferesis. Platelet yang dapat dikumpulkan tu akan segera diberikan kepada pesakit sebab platelet yang didermakan tu cuma bertahan selama 5 hari.

Alhamdulillah, begitulah sikit-sikit ilmu yang aku dapat sejak sakit ni. Cuba melihat penyakit ni dari sudut positif konon-kononnya. Sekadar berkongsi apa yang didengar, dilihat, diberitahu dan dialami sendiri. Kita tak tahu bila masanya diri kita memerlukan atau diperlukan untuk sesuatu kan. Mudah-mudahan ilmu yang kita dapat dan kita kongsi pula dengan orang lain, akan menjadi salah satu perkara yang boleh kita bawa bersama apabila mati nanti, iaitu ilmu yang bermanfaat. Wallahu a'lam.. 

"One platelet donation can be worth from 12 to 18 whole blood donations".

Thanks to our life savers!