Pages

Subscribe:

Labels

Saturday, 26 November 2011

Bon Voyage

'Bon Voyage' - Have A Good Trip

InsyaAllah esok pagi, aku dan sahabat-sahabatku akan mulakan misi 'Cuti-cuti Malaysia' kami. Dah seminggu cuti sekolah, baru terasa nikmat cuti. Pulun kerja minggu lepas, harap-harap semuanya beres. Berilah kami peluang merasa cuti macam orang lain (baca dengan nada sedih)..

Ikut perancangan awal, ke Cameron  Highlands dulu, kemudian ke Kelantan, lalu ke Terengganu, masuk ke Pahang, akhirnya turun ke Negeri Sembilan. Pergh! Jauh perjalanannya tu. Tapi kalau tengokkan keadaan cuaca sekarang, tambah-tambah musim banjir ni, silap-silap kena pula tukar ke Plan B nanti. Tak kisahlah ke mana pun, yang penting selamat pergi dan kembali, serta dimudahkan Allah sepanjang percutian kami. 

Alhamdulillah, sebelum  bercuti esok, aku dah selesaikan beberapa perkara, terutamanya tentang pilihan rawatan aku. Penerangan doktor semalam seakan memberi sedikit harapan. Mudah-mudahan pilihan yang aku ambil bermula Disember ni dapat membawa sedikit perubahan pada perkembangan penyakit aku. Mana-mana rawatan pun pasti ada risikonya. Setiap rawatan kanser pasti ada kesan sampingannya. Aku bersedia dan aku redha apa saja yang Allah sediakan untuk aku selepas ni.

Maka kesempatan waktu yang ada ni aku harap dapat memenuhi beberapa impian dan keinginan. Sementara badan rasa ok dan selera makan dah mula ada, I think I need a little time away. Lupakan sekejap segala kemungkinan. Letak tepi segala kerisauan dan buang jauh segala kesedihan. Semoga Allah memberi aku kesihatan yang baik sepanjang perjalanan dan tidak menjadi beban kepada kawan-kawan. 

Nampak gayanya juga, akan berhabuk dan bersawanglah blog ni sepanjang minggu. Bila kembali nanti, aku harap banyak yang manis akan aku catatkan. Target nak capai entry ke-100 sebelum berakhir tahun 2011 ni. InsyaAllah, moga-moga aku dapat terus berkongsi ilmu dan cerita, pengalaman dan rasa. Di sini aku menangis kesedihan, di sini jugalah aku temukan kekuatan. Cantik kerja Tuhan, kan?
"Sahabat tulus mengasah hati budi.."

Thursday, 24 November 2011

Permulaan Untuk Kesudahan Yang Baik

InsyaAllah, Sabtu ni pada akhir waktu Asar, mudah-mudahan Allah memberi kita kesempatan untuk membaca doa akhir tahun dan seterusnya doa awal tahun sesudah kita menunaikan fardhu Maghrib. Mudah-mudahan juga kita diberi peluang oleh Allah untuk berusaha menjadi hamba yang lebih dekat kepada Tuhannya, anak yang lebih soleh kepada orang tuanya, suami/isteri yang lebih baik kepada pasangannya, ibu/bapa yang lebih kasih kepada anak-anaknya, sahabat yang lebih akrab kepada teman-temannya, pekerja yang lebih amanah kepada tugasnya dan insan yang lebih berbudi kepada makhluk Allah seluruhnya.

Orang macam aku, tentulah lebih lagi mengharapkan sesuatu yang lebih baik, mudah dan indah sempena tahun baru 1433 Hijriyyah ini. Menepati janji kepada diri sendiri, rasanya aku sudah nekad memutuskan apa yang aku rasa terbaik untuk hidupku selepas ini. Keputusan yang aku harap dapat memberi manfaat kepada baki hidup aku seterusnya. Terus berjuang untuk sebuah kesudahan yang baik (husnul khotimah). Aku yakin dengan pilihanku selama mana aku terus berpegang pada tali Allah. This is worth fighting for, insyaAllah.

Hari ini mencipta kenangan lagi. Kenangan dengan teman-teman. Tempat yang sama, wajah yang sama, cerita yang berbeza. Terima kasih semuanya. Buat Ros dan Zila, hasrat yang aku suarakan siang tadi bukan permintaan berat yang mesti ditunaikan. Sekadar harapan. Sesiapa pun pada akhir hidupnya, pasti ingin dekat dengan insan-insan yang dikasihinya. Kalau Allah mengizinkan, sampaikanlah kepada adik-adikku. Kalau tidak pun tak menjadi sesalan. Biarlah semua tu terus menjadi rahsia Allah.

Esok, apa daya pun kena ke hospital juga. Lagi lama aku bertangguh memberi keputusan, makin kecil peluang yang tinggal. Ambil bekalan ubat secukupnya untuk 'Ops Jalan-jalan' hujung minggu ni. Mudah-mudahan cuaca dan keadaan menyebelahi kita. Kalau tak jadi pun tak mengapa. Pasti ada cerita lebih indah yang Allah dah sediakan untuk kita.

Hmm..dah hampir seminggu cuti sekolah rupanya. Belum terasa nikmat bercuti tu selagi ada yang belum dibereskan. Teruk sangat rasanya prestasi kerja aku tahun ni. Mujurlah ada sahabat-sahabat yang banyak membantu aku dalam menjalankan tugas. Tahun depan aku harap aku tak perlu banyak melalui proses rawatan yang menyakitkan macam tahun ni sehingga banyak menjejaskan kerja aku. Sakit tu ujian. Tugas tu amanah. Kedua-duanya menuntut komitmen dan pengorbanan yang besar. Semoga ada ihsan Allah untuk hambaNya yang terhegeh-hegeh buat kerja ni.

"Anugerah Allah kepada hambaNya ialah nikmat. Kemudian dicabut nikmat dan digantikan dengan sabar. Apa yang diganti itu lebih baik daripada apa yang dicabutNya" - Khalifah Umar bin Abdul Aziz  


"Cukuplah Allah bagiku.."

Tuesday, 22 November 2011

Izinkan Diri..

  1. Izinkan diri untuk gembira. Sekeras mana pun dugaan hidup menerjah kita, masih ada ruang untuk kita bergembira dengan nikmat Allah. Gembira pada kadarnya. Senyumlah kalau kita mahu orang lain senyum pada kita. Ketawalah, cuma jangan sampai orang lain terus-terusan mentertawakan kita.
  2. Izinkan diri untuk menangis. Awan yang kandung air pun lama-lama jadi berat. Akhirnya turun menjadi hujan. Untuk langit kembali cerah dan untuk tanah kembali subur, kita perlu mengharapkan hujan. Untuk hati kembali tenang dan untuk fikiran kembali lapang, maka sekali-sekala kita perlu juga menangis kan..
  3. Izinkan diri untuk menang. Choose your battles wisely. Sesekali perlu menang untuk dapat keyakinan diri. Sentiasa menang pun tak bagus juga. Bimbang kalau-kalau menang itu menukar diri menjadi takabbur. 
  4. Izinkan diri untuk kalah. Sudah hukumnya, yang menang akan sentiasa rasa selesa. Ada waktu-waktunya Allah letakkan kita di pihak yang kalah. Supaya kita akur, kudrat dan iradat itu datangnya daripada Allah juga. Menang bukan kerana kita paling hebat. Kalah bukan kerana kita paling lemah. Sudah dikira kuat kalau kita berani menerima kekalahan. 
  5. Izinkan diri untuk sesekali merasa bosan. Do nothing. Be bored for a while. It's good for you. Hidup ni penuh dengan tekanan kan. Otak sentiasa berfikir. Badan ligat bekerja. Cubalah cari mana-mana sudut..allow yourself to be bored, for a few minutes, an hour at most. And don't fight it. Rasa bosan itu perlahan-lahan akan diganti dengan rasa aman. Perlahan-lahan juga kita akan belajar menjadi tenang. The beauty of doing nothing is that it teaches you to clear your mind and relax - nasihat percuma daripada seorang sahabat bergelar kaunselor.
  6. Izinkan diri untuk menjadi diri sendiri. Stop wishing you were someone else. Because YOU are YOU. Pengajaran berguna buatku dalam beberapa minggu ni. Life is about being yourself. Someone only YOU can be. Someone only YOU can understand. Someone that doesn't copy others to look the same. Well, an original is always worth more than a copy, right? Dalam dunia yang kita boleh pilih untuk jadi apa sahaja ni..pilihlah untuk menjadi diri sendiri. Berbaloi.
Treasure yourself. Treasure each other. Life's a journey. Treasure the journey. Akhir-akhir ni aku semakin menerima kekurangan diri. Juga menerima kekurangan orang lain. Berbual dengan Nad tadi, tak ada salahnya pertanyaan dia pada seseorang dan dalam maknanya jawapan yang dia terima:

"Kenapa awak suka saya?"
"Sebab awak banyak kekurangan.."

Susah untuk kita mengubah arus sungai. Lebih mudah untuk kita berjalan menyusurinya. Susah untuk kita mengubah seseorang. Lebih mudah kalau kita belajar hidup bersama kekurangannya. Cantiknya kerja Tuhan..

"Dare to be happy.."

Thursday, 17 November 2011

Terpulang Padaku

Ya, semuanya terpulang padaku. Minggu yang sangat mencabar, sangat menekan, tapi ada waktu-waktunya sangat membahagiakan. Seharusnya tempoh 'post-chemo' ni aku dapatkan rehat yang secukupnya, juga mencari ruang untuk melebarkan harapan..berusaha untuk meneruskan hidup. Tapi satu perkara yang aku belajar minggu ni, harapan itu bukan hanya pada ikhtiar kita untuk sembuh, tapi juga pada semangat kita untuk 'hidup seperti biasa'.

Minggu-minggu yang lepas, aku akui sangat-sangat menduga akal dan rohani, iman dan hati. Sampai kadang-kadang aku rasa sudah tertutup semua pintu untuk aku merancang masa depan. Tapi minggu ni aku temukan semangat yang hilang itu. Lega dapat menjadi diri sendiri semula. Mencari damai dan bahagia dengan cara aku sendiri. Rasa takut masih ada, tapi putus asa tidak lagi. Ujian hidup takkan hilang kalau kita terus-terusan menangis. Harapan takkan datang dengan hanya melihat sahaja satu pintu yang tertutup itu, tanpa cuba menguak jendela lain yang masih boleh dibuka.

Minggu ini aku cuba hidup seperti biasa. Kesakitan tetap datang setiap malam, berbaloi dengan keletihan seharian di sekolah. Tapi sekurang-kurangnya kesibukan itu dapat menarik aku keluar dari bermain dengan emosi. Tanpa sedar, minggu ni juga aku berani semula bercakap tentang masa depan. Merancang sikit-sikit apa yang aku ingin lakukan tahun depan. Berangan nak buat sesuatu untuk sekolah kononnya. Sayang bakat yang ada pada anak-anak tu kalau tak dicungkil dan diasah dari sekarang. Sikit-sikit ilmu duniawi yang ada pada aku ni, harapnya dapatlah memberi manfaat pada mereka. Itu juga harapan, kan?

Ya Allah, syukur kerana Kau sentiasa mendengar rintihan hambaMu ini, saat aku sujud menyerah kalah, hingga aku kembali sujud untuk terus berdoa. Teguhkanlah kekuatan yang Kau kembalikan padaku ini. I know I'm not getting better, but at least give me a chance to be a better person. I know I'm getting weak, but give me a chance to become stronger..to live my life, and to leave in peace. Aku selalu teragak-agak untuk meminta sesuatu daripada manusia. Tapi aku tidak pernah malu untuk meminta-minta daripadaMu. Sesungguhnya hidup dan matiku ini ILA MARDHOTILLAH..menuju redha Allah.

Semuanya terpulang padaku, dan terserah padaMu..amin.


Saturday, 12 November 2011

Kerana Kita Berbeza..

Kesibukan di sekolah minggu ni buat aku lupa sekejap pada bebanan di hati. Bukan nak lari dari masalah atau mengabaikan diri sendiri, tapi mungkin tu sajalah caranya supaya aku tak terus rasa macam orang yang dah berputus asa. Nasihat seorang sahabat malam tadi mungkin ada benarnya. "Memang susah jadi diri sendiri, tapi orang lain belum tentu mampu jadi seperti diri kita".

My friends are wonderful. Kadang-kadang rasa tak adil pada kawan-kawan. Memberi dan membantu aku lebih daripada sepatutnya. I want myself back. When I was ok. Seperti yang aku pernah cakap dulu, sakit ni banyak mempengaruhi hubungan aku dengan orang lain. Niat baik yang kadang-kadang aku tersalah tafsir. Keikhlasan yang kadang-kadang aku lihat sebagai sesuatu yang menyedihkan. Kasih yang aku anggap macam kasihan.

Tanyalah pada sesiapa yang dalam kesedihan atau kesakitan, pasti kebanyakannya merasakan perlu untuk melepaskan kesedihan dan kesakitan tu. But different people handle things differently. Some people need to talk about it with everyone and anyone who will listen. They like to be surrounded by people at all times. Accept all manner of help. They love it when people ask, "How are you?" and they are happy to tell them. Ada pula jenis manusia yang sentiasa mahu semua orang tahu dan ambil tahu tentang kesedihan dan kesakitan mereka. Seolah-olah merekalah yang paling malang dan kasihan dalam dunia ini.

I'm not so comfortable with it. I prefer to deal with my situation privately. Cukuplah kalau 'geng cicah asam' dan kawan-kawan 'the other Malaysian' je yang tahu perkembangan kesihatan aku. Kalau mahu, dah lama aku kongsi semua ni dengan semua sahabat yang sentiasa bertanyakan tentang aku. Kalau mahu juga, aku boleh jadikan semua ni alasan untuk mengambil kesempatan mengelakkan diri daripada tanggungjawab. Tapi itu bukan aku.

Treat people the way they want to be treated, not the way you would want to be treated. Why? Because they are different from you. How? The answer is simple. We have to ask and we have to tell. Orang macam aku bukan manusia angkuh yang tak mahu dibantu. Cuma tak selesa bila semua orang tahu dan memandang kita dengan pandangan yang bukan kebiasaannya. Melayan kita dengan layanan yang tidak seperti selalunya. I know they care. Tapi janganlah sampai aku rasa seperti menjadi beban kepada semua.

Tiba-tiba je emosi hari ni. Semalam waktu diasak dengan macam-macam pertanyaan, tak mampu nak buka mulut dan pertahankan diri sendiri. Mas kalau dah membebel, bagi ubat tidur pun belum tentu dia akan berhenti. Sudahnya aku jadi pendengar yang setia. Maafkan aku. Sekian lama berkawan dengan aku, kau tentu faham dan boleh terima kenapa aku pilih jalan ni kan. Help me live..to make every moment count.

  "Kita ini yang terhebat.."

Tuesday, 8 November 2011

Susahnya Menjadi Diri Sendiri..


Akhir-akhir ni banyak sekali mengeluh. Banyak sungguh berfikir. Kurang bersyukur. Rasa semakin susah untuk menjadi diri sendiri. Selalu berharap untuk menjadi orang lain. Nak jadi Gaban la, nak jadi pakcik jaga kat sekolah la, nak jadi Uvan la (anak murid aku kat sekolah). Itu tanda-tanda orang yang tak bersyukur dengan pemberian Allah kan..

Makin lama juga, rasa makin susah nak buat keputusan untuk diri sendiri. Masa makin mendesak, peluang makin kecil. Perlu ruang untuk bernafas. Rasa macam nak lari kejap pergi mana-mana. Mencari diri. Tapi kata Ros, pulau pun dah banyak tutup sekarang, musim tengkujuh. Ini tanda-tanda orang yang tertekan kan..

Ikut hati, mati. Ikut rasa, binasa. Pesan orang tua-tua. Tepuk dada, tanya iman. Pesan ustaz. Maka tunjukkanlah aku jalan keluarnya, ya Allah. Kurangkanlah beban di hati hambaMu ini. Bantulah aku dalam membuat keputusan. Tentang hidup matiku, dan masa depanku. Lembutkanlah hatiku untuk berlaku adil kepada diri sendiri dan mereka yang menyayangiku. Amin ya Robb..

"Doa adalah lagu hati kita.."

Friday, 4 November 2011

Erti Sebuah Pengorbanan

Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha buat semua. Semoga kita mengambil ibrah (pengajaran) daripada pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim a.s. Tentang keikhlasan baginda dan anaknya, Nabi Ismail a.s saat hampir terbenamnya pisau ke leher anaknya itu, lalu digantikan Allah dengan seekor kibas. Juga akan ketabahan Siti Hajar, seorang wanita luar biasa saat diuji Allah dari segenap sudut. Saat emosinya diuji ketika hidup bermadu, juga ketika ditinggalkan di padang pasir bersama anaknya yang masih kecil itu.

Aku juga mendoakan semoga semua tetamu Allah yang sedang berada di tanah suci Makkah akan mendapat haji yang mabrur dan dapat pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan sihat serta bersih dari dosa, amin. Moga-moga aku juga akan dijemput Allah sebagai tetamuNya dan dapat sujud sekali lagi di hadapan Kaabah, serta dapat berdoa panjang di Raudhah, satu bahagian daripada Taman Syurga.

Semoga suara takbir yang akan berkumandang mulai malam esok akan memberi keinsafan buat kita semua. Lebih-lebih lagi buat insan-insan sepertiku, yang bakal dijemput Allah pada bila-bila masa. Sesungguhnya ujian sakit yang Allah berikan ini mendekatkan kita kepada kematian. Setinggi-tinggi syukur kepada Allah kalau esok kita masih bernafas lagi. Apa yang ada di sisi kita kan lenyap. Di sisi Allah jualah yang akan kekal.

"Labbaik Allahumma Labbaik.."

Thursday, 3 November 2011

Izinkan Aku Bernafas Lagi

"Mohon dekat padaMu.."

Semalam aku menangis lagi. Menangis kerana banyak perkara. Menangis kerana report dan prognosis yang mengecewakan. Menangis kerana harapan yang semakin jauh meninggalkan aku. Menangis kerana impian yang semakin jelas berkecai satu persatu. Menangis kerana terlalu letih berjuang..just so tired of being me.

"Orang kuat juga harus menangis". Teringat pesan Abah dulu. Maka damaikanlah hatiku, Ya Allah. Aku tahu Kau tidak mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Derita sakitku, retak hatiku yang kau takdirkan untukku ini, aku yakin kerana Kau tahu, hati sebeginilah lebih lunak dan mudah untuk akrab dan dekat denganMu. Maka jadikanlah aku penyabar dan bersabar dengan ujianMu ini.

Izinkanlah aku bernafas lagi. Izinkan aku menyediakan bekalan akhiratku yang masih seringan kapas ini. Izinkan aku meneruskan taubat untuk dosa-dosaku yang belum Kau ampunkan. Izinkan aku menyediakan keperluan untuk seorang ibu tua yang akan aku tinggalkan. Izinkan aku melangsaikan segala amanah dan kewajipanku dengan sempurna. Izinkanlah aku untuk terus merasa bahagia..

Aku redha. Tapi aku juga takut. "Bangunlah malam untuk mencari Tuhan, dan sujudlah untuk mendapatkan kekuatan". Nasihat yang selalu dititipkan untukku. InsyaAllah, semoga di situ aku temukan ketabahan yang dicari. Cuma aku berharap, dalam waktu terdekat ni, janganlah aku didesak untuk membuat apa-apa keputusan. Berilah aku ruang untuk bernafas. Pinjamkanlah bahu untuk aku melepaskan lelah..terlalu letih berjuang, sampai kadang-kadang aku mengharapkan biarlah di bahu itu aku mendapatkan rehat yang panjang.

Ya Allah, jangan kau hilangkan senyum di wajahku. Jangan kau ambil ketawa riangku. Tabahkanlah hatiku, kuatkanlah jasmaniku. Bahagiakanlah aku bila sampai waktunya untuk aku bahagia. Sembuhkanlah aku bila sampai waktunya untuk aku sihat semula. Dan ambillah aku bila sampai waktunya untuk aku bertemuMu. Kerana aku tahu redha perlu dicari, bukan dinanti. Tabah perlu diuji, bukan dibiar sepi. Aku bersyukur dengan pemberianMu ini, kerana bukan semua orang di duna ini bertuah memiliki apa yang aku perolehi.

"Ya Allah, lapangkanlah hatiku.."

Wednesday, 2 November 2011

Things I Want You To Know


Tadi terima satu lagi 'barang baek' daripada support group aku. Dalam e-mail tu, kami diminta membuat senarai tentang apa yang seorang pesakit kanser mahu orang-orang yang dekat dengan mereka tahu. Betul juga kan..bila orang tahu kita sakit, biasanya orang akan tanya atau takut-takut untuk bertanya, apa yang mereka boleh bantu. Cancer treatments can make even the smallest thing a big struggle. Tapi biasanya aku tak ada jawapan untuk soalan tu. Bukan tak mahu dibantu, tapi tak tahu nak cakap macam mana. So, here we go..apa yang aku mahu dan aku harapkan daripada mereka yang sentiasa cuba membantu.

List of things people with cancer want you to know:

  • I am scared.
  • I need to feel hope.
  • I need to feel useful.
  • I need to forget and laugh.
  • I need to know that you are here for me.
  • Sometimes all I need is a listening ear. Simply listening and you don't have to say anything. That helps the most.
  • I like to be held in your prayers.
  • It's ok to say or do the wrong or stupid thing to me.
  • I am more than my cancer. So treat me kindly, not differently.
  • I want compassion, not pity. I want comfort, not advice.
  • I want you to trust my judgement and my treatment decisions.
  • My mood changes from day to day. Forgive me if I snap at you.
  • Bear with me on my worst days.
  • Telling me to think positively can make me feel worse.
  • Don't look at me like I am dying. I can read your body language and eyes, and it scares me.
  • I feel bad (and sad) when people decide things for me without asking me in the first place, especially at school.
  • Most importantly, I want you to take good care of yourself. Stay healthy!
"Hope matters.."

Tuesday, 1 November 2011

Belasungkawa (3)

Pergi jua akhirnya...

Malam tadi, Wan kepada sahabatku, Zila , telah dijemput untuk bertemu Penciptanya. Tak sangka pertemuan pertama kami Sabtu lepas adalah yang terakhir juga. Pertemuan tanpa suara. Aku berharap sahabatku itu diberi kekuatan dan ketabahan dalam menerima kehilangan ini. Redhakanlah dia pergi bertemu Allah Yang Lebih Menyayanginya. Akak faham sakitnya rasa kehilangan itu. Tapi ingatlah yang awak tak sendiri. Masih ramai yang mengasihi..

Kerut-kerut di dahimu
pasti ada ceritanya
kedut-kedut di wajahmu
pasti ada deritanya
ceritakanlah derita itu
biar kita tahu
betapa dulu wajah tua itu
lebih sukar hidupnya
dari kita semua..

Imam di surau kejiranan aku selalu mengingatkan, jangan bimbang tentang mati, bimbanglah tentang survival kita selepas mati. Dan jangan berpanjangan diratapi kematian orang yang kita sayang, kerana mereka telah selamat dari fitnah dunia, sedangkan kita ini belum tentu bagaimana dan di mana akhir nafas kita. Di mana jua kita berada, maut akan mendapatkan kita bila tiba waktunya, sekalipun kita di sebalik benteng yang tinggi lagi kukuh. 

Bekunya airmata dari kerasnya hati.
Kerasnya hati dari banyaknya dosa.
Banyaknya dosa dari lupanya mati.
Lupannya mati kerana terlalu cintakan dunia.
Renung-renungkanlah..

Di sinilah nanti kita juga akan bersemadi..