Pages

Subscribe:

Labels

Thursday, 25 August 2011

Sebelum Balik Kampung..


Makin sampai ke penghujung Ramadhan, makin banyak pula airmata yang tak dapat ku tahan. Oleh itu, malam ni elok la kalau aku buat sesuatu yang 'lebih berguna' untuk orang lain. Esok kawan-kawan akan mula bergerak balik ke kampung atau balik ke bandar (macam aku yang tiap-tiap tahun balik bandar ni, tak pernah rasa beraya di desa).

Sebelum balik tu, mestilah ada banyak perkara yang kita kena buat dan sediakan. Kemas beg dan servis kereta. Selain tu, janganlah lupa keselamatan rumah yang akan kita tinggalkan. So, aku share di sini checklist perkara-perkara yang perlu kita buat sebelum meninggalkan rumah. Kita berusaha, lepas tu tawakal la kepada Allah kan..

Aku doakan semoga selamat perjalanan pergi dan balik kawan-kawan semua. Mudah-mudahan Ramadhan dan Syawal kali ni membawa lebih pengertian dan keinsafan buat kita semua.


Wednesday, 24 August 2011

Kemaafan di Aidilfitri


Ada beberapa hari lagi sebelum kita mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan 1432H. Aku awalkan post kemaafan ni supaya tak terlewat. Raya nanti pastinya kesibukan membataskan kita untuk bertemu di ruangan ni. Kalau ada kawan-kawan yang jumpa dan terbaca blog ni, syukurlah. Kalau tidak pun tak menjadi aral, kerana sebolehnya aku akan bertemu sendiri untuk berjabat tangan, mungkin juga memeluk erat mereka untuk memohon keampunan.


Buat semua sahabat dan kawan-kawan,

Tahun ni, aku rasa aku terlalu banyak berbuat salah dan menyusahkan kalian. Bukan menyalahkan takdir yang telah ditetapkan Allah ke atasku sekarang ni, tapi secara langsungnya keadaan aku sekarang sedikit sebanyak membataskan persahabatan dan kemesraan kita. Terlalu banyak berahsia, terlalu kerap menjarakkan diri, dan terlalu biasa berpura-pura semuanya masih seperti dulu, membuatkan aku rasa keikhlasan aku berkawan dengan orang semakin kurang.

Kepada sahabat yang jauh di mata,
Kurangnya SMS bukan bermakna kurang juga ingatan aku pada kalian. Terima kasih kerana tak jemu-jemu bertanya khabar aku dan keluarga. Maafkan aku kalau kalian ada berjauh hati. Maafkan aku kalau 'sixth sense' aku yang dapat merasa bila kalian dalam duka dan masalah tidak setajam dulu. Maafkan aku kerana tak dapat jujur dan berterus-terang tentang kesihatan aku. Apa yang kalian bimbangkan tahun lepas nampaknya benar-benar menguji aku sekarang. Maafkan aku kalau ada rezeki kita berjumpa Aidilfitri nanti, kudrat aku tak secergas dulu, boleh bertepuk tampar macam selalu (selalunya aku je yang ditepuk dan ditampar kan..)

Buat sahabat yang dekat di mata,
Maafkan aku tak dapat kerap berjumpa dan lepak dengan kalian macam selalu. Maafkan ketinggalan zaman aku yang berkeras tak nak buka akaun FB, walaupun teruk kalian paksa dan ugut aku. Mungkin ada baiknya. Maafkan aku sebab aku merasakan bukan itu saja caranya untuk kita berhubung. Terima kasih Linda sebab selalu update pasal aku pada kawan-kawan. Maafkan aku tak dapat berbual lama dalam telefon macam dulu, kerana 'waktu afdhal' yang kita tetapkan untuk tanya khabar masing-masing tu biasanya adalah waktu aku sedang bergelut menahan sakit sekarang. Terima kasih selalu bawa dan kirim benda-benda manis kegemaran Mama. Kalau boleh, kurangkanlah, sebab kalian tahu Mama pantang semua tu kan..PANTANG JUMPA. Kalau aku tak ada nanti, teruskanlah sekali-sekali bertanya khabar Mama ye, sebagai ganti diri aku. 

Buat sahabat yang hari-hari aku jumpa,
Aku tak sangka kita boleh jadi semesra sekarang. Orang yang dulu aku takut nak tegur sebab nampak macam garang je, sekarang dah jadi sahabat yang sangat banyak berbudi pada aku. 'Geng Cicah Asam' yang tahun lepas bermula sebagai jiran meja sebelah-menyebelah kat bilik guru tu, sekarang dah jadi sahabat-sahabat yang sangat prihatin dan sangat memahami keadaan aku. Maafkan aku sebab terlalu banyak menyusahkan kalian tahun ni. Bersusah-payah hantar aku pergi dan balik sekolah, tolong meringankan bebanan aku di sekolah, sudi mendengar keluhan dan rungutan aku yang tak sudah. Sungguh, aku sangat-sangat rasa bersalah dengan kalian. Kesian dapat kawan macam aku ni kan.. Maafkan aku kalau aku tak dapat balas semua kebaikan tu sekarang. Aku cuma ada doa. Itu sajalah kekuatan aku. Dan aku tak pernah putus mendoakan agar Allah sentiasa memudahkan perjalanan hidup kalian. Itu sajalah juga yang aku mampu buat dalam waktu terdekat ni untuk balas budi kalian.

Akhirnya,
Maafkan semua khilaf dan dosa aku. Maafkan kalau ada kata-kata, perbuatan mahupun gerak-geri aku yang melukakan hati. Maafkan semua kesalahan aku yang tidak aku sedari. Maafkan sikap dan akhlak aku yang tidak membawa kebaikan pada kalian. Maafkanlah semua kekurangan aku zahir dan batin. Mudah-mudahan kita termasuk di antara 7 golongan yang akan dinaungi Allah di akhirat kelak, iaitu dua orang sahabat yang bersahabat kerana Allah, bertemu dan berpisah juga kerana Allah. 

Semoga kegembiraan dan kebahagiaan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kalian. Semoga Syawal kali ni menjadi Hari Kemenangan terindah buat kalian dan keluarga. Di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya sahabat..kasihnya aku.

 

Seandainya Rasulullah Bersama Kita..


What About You?

Klip di atas adalah suntingan daripada rancangan tv Arab yang ditayang kat saluran Al-Hijrah (Astro 114), tajuknya Lau Kana Bainana (Andainya Rasulullah Masih Bersama Kita). Sangat-sangat dianjurkan untuk korang tengok rancangan ni. Sebabnya, lepas mula-mula tertengok rancangan ni (kebetulan teralih channel..cantik kerja Tuhan kan), aku sedar aku sangat jauh dari jalan hidup yang dianjurkan Nabi junjungan kita s.a.w.

Pastu apa lagi, cari kat Youtube la episod-episod yang aku terlepas. So, aku cuma ingin berkongsi dengan kawan-kawan yang belum tengok rancangan ni. Don't worry, santai je rancangan ni. Bila kita dengar jawapan-jawapan daripada orang-orang yang ditemuramah di jalanan tu, kita mungkin senyum sinis atau rasa nak ketawa. Tapi kalau soalan-soalan tu yang ditanya pada aku, mungkin aku pun akan beri jawapan yang sama, menunjukkan betapa jahilnya aku, hamba Allah yang sangat kerdil ni.


Satu lagi yang best ialah lagu temanya yang menjentik hati. Aku share kat bawah ni dengan translation, supaya sama-sama kita dapat hayati. Mudah-mudahan Allah merahmati orang yang upload 'barang baik' ni untuk kebaikan bersama..amin.

Full version lagu tema Lau Kana Bainana

Kalau aku ditanyakan soalan yang sama, tentang apa yang akan aku katakan seandainya Rasulullah ada di hadapan aku sekarang ni, aku hanya ingin menatap wajahnya lama-lama..dan aku takkan meminta lebih daripada tu, sebab mungkin juga masa tu aku dah pun kehilangan kata-kata..

P/S: Makin nak habis puasa, makin kerap pula sakit ni datang. Ya Allah, permudahkanlah..

Monday, 22 August 2011

Doa Buat Sahabat



Abah selalu pesan, jangan kerana kita susah, kita menutup mata daripada melihat kesusahan orang lain. Hari ni seorang sahabat jatuh sakit tiba-tiba. Syukurlah dia tak apa-apa, mudah-mudahan semakin pulih. Aku melihat peristiwa hari ni sebagai peringatan untuk aku juga. Dan kerana tu, aku dah mula berpesan-pesan kepada sahabat-sahabat yang tahu, tentang apa yang perlu dilakukan andai perkara yang sama terjadi padaku. Maafkanlah kalau itu bakal menyusahkan, kerana niat aku sebenarnya hanya untuk memudahkan. 

Buat sahabat yang diuji Allah hari ini, aku titipkan serangkai doa yang sering aku titipkan buat sahabat-sahabatku yang pernah dilanda musibah. Doa indah nukilan Seruling Senja di Tanjung Kuala pada 2004. Semoga Allah melindungi sahabatku itu. Cantik kerja Tuhan, Nat..setiap satu ujian yang diberi Allah itu kerana Dia sayang pada kita.

Segala puja dan puji itu hanya milikmu wahai Tuhan penentu segala takdir. Selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabatnya yang umpama bintang-bintang bergemerlapan.

Ya Allah…
Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman. Sedangkan ia adalah di luar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini. Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Ya Allah…
Walau apa pun takdirMu ke atasku, maka di saat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya, kerana dia adalah sahabatku.

Ya Allah…
Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah…
Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah…
Lindungilah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.

Ya Allah…
Sungguhnya aku bermohon kepadaMu tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

Ya Allah…
Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.

Ya Allah…
Sesungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sebaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, beratkanlah timbangan kebaikannya. Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. 

Ya Allah... 
Aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah perkenankanlah permohonanku.


Ya Allah…
Sungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku perlihatkan, maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya. Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya. 

Ya Allah...
Aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingi  hatinya, dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan baginya dan bahawasanya apa sahaja yang telah menimpa dirinya bukanlah semata-mata yang meluputkannya. Dan apa sahaja yang telah meluputkannya bukanlah yang semata-mata menimpa dirinya.


Ya Allah…
Aku bermohon baginya kepadaMu iman buat dia mencari kebenaran. Cahaya yang dia jadikan ikutan dan rezeki yang dirinya cukupkan.

Ya Allah…
Jadikanlah dia cinta kepadaMu dengan hatinya seluruhnya dan rela kepadaMu dengan segala kemampuan dirinya seluruhnya. 

Ya Allah… 
Jadikanlah cintanya seluruhnya hanya kepadaMu dan amal perbuatannya seluruhnya hanyalah untuk mencari keredhaanMu.


Ya Allah…
Apa sahaja yang Engkau jauhkan darinya dari hal-hal yang dia cintai, jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintai.


Ya Allah…
Cukuplah diriMu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau. Hanya kepadaMu aku bertawakkal. Dan Engkaulah Tuhan yang memiliki Arasy yang agung. Amin, ya Rabbal 'Alamin..

Saturday, 20 August 2011

Mencari Lailatul Qadar..


Alhamdulillah, malam ni sampai juga aku di permulaan 10 malam terakhir Ramadhan. Walaupun dalam kepayahan, walau tak sebanyak orang lain amalanku, sekadar yang aku mampu, semoga diterima baik semuanya di sisi Allah, dapat aku jadikan bekal bila mati nanti. Alangkah manisnya Ramadhan kali ni kalau aku dapat mengisi malam al-Qadar yang dicari-cari manusia dalam keadaan aku terjaga dan berdoa, bukan dalam lena dan mimpi indah. 

Aku bukan orangnya yang layak dan di sini bukan ruangnya yang berhak untuk bertazkirah tentang Lailatul Qadar. Aku hanya berdoa semoga pada malam tu nanti, saat turunnya semua malaikat yang tak terkira banyaknya, akan adalah yang bertamu dalam hatiku, hamba Allah yang banyak dosa ni, sebagaimana turunnya mereka untuk bertamu dalam hati orang-orang Islam lain yang bersih hatinya.   

Tak perlulah kita terlalu mencari tanda-tanda Lailatul Qadar tu pada alam, atau meramal dan mengira-ngira malam ke berapa munculnya ia kerana waktu sebenar berlakunya malam al-Qadar menjadi rahsia daripada rahsia Allah. Dan seperti kata Ustaz Pahrol (Genta Rasa), tanda untuk mendapat al-Qadar itu ada pada diri sendiri. Janganlah kita sungguh-sungguh beribadah dan bertaubah pada malam tu je, kerana seperti kata Ustaz Pahrol juga, bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah Lailatul Qadar.

Awal Ramadhan hari tu, aku tak yakin mampu menempuh bulan mulia ni dengan kudratku yang tak sekuat dulu. Syukurlah, perlahan-lahan dengan keadaan kesihatan yang turun naik ni, Allah sentiasa bukakan jalan untuk hambaNya yang sangat kerdil ni menunaikan kewajipan macam orang lain. Aku makin yakin dengan perjalanan takdir yang Allah tetapkan untuk kita semua. Sungguh, memang cantik kerja Tuhan..


P/S: Hari ni dapat berbuka puasa dengan kawan-kawan. Alhamdulillah, dapat berjemaah Maghrib bersama. Ramadhan kali ni, banyak kenangan berbuka dengan orang-orang yang aku sayang, dan mereka yang dekat denganku. Salah satunya hari ni. Terima kasih, kawan-kawan. Kalau ini Ramadhanku yang terakhir, aku bersyukur dan sangat gembira dapat melalui hari ni dengan kalian. Sahabat tulus mengasah hati budi..

Thursday, 18 August 2011

Iklan Raya Yang Aku Suka

Memandangkan Abah terlibat secara langsung dalam bidang pengiklanan, iklan-iklan kat tv suatu masa dulu sangat dekat di hatiku. Dulu macam satu tradisi, setiap kali nak raya, kita mesti tunggu iklan raya Petronas yang sangat-sangat best. Di tangan Allahyarham Yasmin Ahmad, iklan bukan setakat mempromosi barang, tapi juga bisa mendidik jiwa. Eh, macam pesanan khidmat masyarakat pulak. Selain Petronas, aku suka juga iklan raya TM, TNB (mamat pakai helmet yang rupa-rupanya tengah parut kelapa tu), Perodua dan TV3 (yang ada Adibah Noor dan mamat Cina tu). So, sit back and relax.. enjoy the commercials!

Iklan Raya Petronas 2007- "Burung apa?" "Burung murai.."

Iklan Raya Petronas 2003- Comel..kisah 7 beradik yang bawak balik lembu tu..

Iklan Raya Petronas 2006- "Abah jangan lupa pakai lampin tau!!"

Iklan Raya TNB- Hahaha..

Iklan Raya TM 2008- "Telefon pun tak ke?"... 

Iklan Raya Petronas 1999- 'No Charge'

Sejak beberapa hari ni aku rasa aku banyak merungut tentang beberapa perkara. Tak baik kan, macam tak ikhlas je buat benda. InsyaAllah, cuba bersihkan hati, ikhlas dan redha, lebih-lebih lagi bila kita melakukannya untuk orang yang kita sayang. Tengok balik iklan-iklan ni, mudah-mudahan hadir syukur dalam diriku.

Tuesday, 16 August 2011

5 Benda Yang Aku Cari Masa Raya

Aku tak suka makan kuih raya, kecuali sejenis. Lauk-pauk raya yang macam-macam aku kena masak setiap kali raya tu pun aku tak berapa suka makan sebenarnya. Tapi ada 5 benda yang aku akan cari atas meja dan dalam bekas kuih rumah aku dan nenek aku masa raya (kat rumah orang aku berkelakuan baik, tak minta yang bukan-bukan). So, these are my favourites in no particular order:

  • Kerepek Bayam (kalau bagi sebotol kat aku ni, sorang-sorang pun boleh habis).

  • Rempeyek/Tempeyek (dulu pernah tanya nenek aku, boleh tak kita order kat orang rempeyek kosong, tak nak kacang dan bilisnya..tak suka. Tapi aku tak pernah tanya sape-sape lagi dah soalan tu lepas nenek berkerut muka, cekak pinggang tengok aku).

  • Cornflakes Madu (yang mak sedara aku kat Singapore buatkan. Simple je dia buat, tak payah tambah aksesori lain yang colourful atas cornflakes macam yang orang buat jual, tapi tu la yang paling sedap bagi aku).

  • Sate Goreng Nyai @ Nenek Aku (versi ayam untuk aku, orang lain semua suka daging. Secret recipe nenek, makan gitu je dah sedap, tak payah kuah kacang dan ketupat pun).

  • Lontong Goreng (sukanya..letak udang dan sotong banyak-banyak, tabur pulak daun sup).

Selalunya mesti ada special portion untuk aku yang Mama dan Nyai sorokkan bagi setiap kesukaan aku ni.  Mengada-ngada kan. Tak apalah, tahun ni tak payah susah-susah lagi simpankan untuk aku, belum tentu aku dapat menjamahnya dengan penuh selera. 

Ada satu lagi yang aku suka, tapi tak masuk list sebab ni special delivery dari Kota Bharu, ingatan sorang sahabat selama kami di Pahang dulu. Setiap kali dia balik raya, mak dia mesti buatkan aku ketupat palas yang ada inti serunding. Sedapnya..terima kasih, Mek!



P/S: Saje je malam ni nak cerita pasal makan, badan rasa tak selesa pulak nak tidur, tapi kena cuba tidur juga ni, kejap lagi dah nak bangun. Satu hari nanti, harap-harap Mama dan Nyai boleh tersenyum mengenangkan kerenah makan anak cucu mereka yang sorang ni..

Sunday, 14 August 2011

Cerita Ramadhan (3)


Alhamdulillah, bertenaga sikit sehari dua ni, dapat puasa penuh. Allah sentiasa mendengar doa hambaNya. Dapat tunaikan hajat Mama nak gantung lampu ketupat (siap check satu-satu bulb mana yang tak menyala). Dapat selesaikan urusan zakat fitrah dan pendapatan dengan adik. Dapat juga buat terawih walaupun sendirian. Syukurlah, mudah-mudahan Allah sampaikan hajatku supaya dapat terus berpuasa dan menyempurnakan ibadah lain dalam keadaan sihat dan gembira.

Pagi tadi juga dapat lama sikit di kubur Abah, bicara tanpa suara dan kata-kata. Dah namanya rezeki, dapat jumpa keluarga Allahyarham sahabat baikku di sana. Lama tak jumpa Mak, setakat selalu bertanya khabar kat telefon. Adik-adik arwah pun semuanya balik minggu ni. Sayu hati bila Mak cakap kat aku, "Peluk Along rasa macam dapat peluk Imah". Peluklah, Mak..kalau itu boleh membahagiakan dan menghilangkan rindu. Siapalah yang tahu derita hati seorang ibu yang kehilangan anak yang paling dikasihi, kan..

Pagi raya nanti penuhlah tanah perkuburan dengan waris-waris yang datang berziarah. Memang kita disunnahkan untuk menziarahi kubur bagi mengingatkan kita kepada kematian. Tapi Rasulullah s.a.w tak pernah mengkhususkan pagi raya sebagai hari untuk menziarah kubur. Orang kita je yang dah jadikan benda tu macam satu kemestian. Lepas ni, tempat tu akan kembali sunyi. Mudah-mudahan doa dan ingatan kita kepada si mati bukan seperti tu juga, muncul setahun sekali. Biarlah yang pergi tu sentiasa hidup dalam doa kita, agar aman dan bercahaya pemakaman mereka.

Remembering Nor Azimah, 1979-1995

Hari ni juga kawan baik Abah dan keluarganya datang berbuka. Alhamdulillah, Mama dah boleh tersenyum dan ketawa untuk mendengar dan bercerita kisah-kisah lama tentang Abah. Tak ada lagi airmata. Syukurlah kalau cerita-cerita tu dapat mengubat rindunya pada Abah. Terima kasih, pakcik kerana tak jemu-jemu membuka cerita cinta Mama dan Abah pada kami. Kalaulah pakcik juga mahu bercerita kepada aku tentang rahsia yang satu itu, insyaAllah aku tetap akan berusaha mencari mereka, walau apapun keadaannya nanti.

Malam ni dah pertengahan Ramadhan. Kalaulah amal ibadahku ini boleh diukur guna mana-mana weighing scale, entah baru sampai mana la jarum meternya. Mungkin tak seberat dan sebanyak orang lain. Sepatutnya orang macam aku ni perlu lebih lagi taubat dan ibadahnya daripada orang lain yang sihat walafiat. Kalau Allah beri petanda bila nak diambil nyawa, syukurlah. Tapi kalau tiba-tiba tidur malam ni akan jadi tidur aku yang panjang buat selama-lamanya, aku tak nak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi..na'uzubillahi min zalik.


Cantik langit malam ni, tak nampak pulak bulan kat mana (terlindung dek lampu ketupat Mama agaknya). Ya Allah, doaku malam ni sama seperti malam-malam sebelumnya. Berilah aku kesihatan dan kekuatan, istiqamah dalam beribadah. Jangan Kau susahkan hati orang-orang yang sayang dan sangat mengambil berat terhadapku. Mudahkan perjalanan hidup mereka, lapangkan hati mereka. Berilah aku kesempatan yang panjang untuk membalas kebaikan dan pertolongan mereka. Amin, ya Allah..

PadaMu Ku Bersujud - Afghan
 

Friday, 12 August 2011

Cerita Ramadhan (2)

Ketulusan Hati - Marshanda

Malam ni dah malam ke-13 Ramadhan. Sungguh Ramadhan tahun ni betul-betul menguji kekuatan iman dan ketabahan fizikalku. Setakat ni cuma mampu berpuasa 8 hari. Syukurlah Allah masih memberi peluang untuk aku merebut pahala bulan mulia ini, walau tak sesempurna orang lain. Makin kerap pula sakitnya sejak mula puasa ni. Kata doktor kerana ubat. Ubat-ubat yang kuat menyebabkan aku tak boleh kurang air dalam badan. Maka aku kena terima, jangan lagi memaksa diri hingga memudaratkan, malah menyusahkan orang lain pula nanti. Mudah-mudahan puasa yang aku sempurnakan, walaupun tak sebanyak orang lain ni diterima baik di sisi Allah.

Mama dah siap dengan perancangan raya tahun ni, dah macam master plan pulak aku tengok. Biarlah dia seronok nak menyambut raya, sama gembiranya dia dapat tiap-tiap malam berterawih di surau setakat ni. Sekurang-kurangnya tahun ni kesedihan dia teringatkan Abah setiap kali buka dan sahur dah berkurangan. Dah boleh terima ketentuan Allah dengan hati yang redha. Anak-anak semua dah depan mata, mungkin Mama dah tak rasa sunyi lagi. Janganlah Kau ambil aku dulu, ya Allah..Mama tak boleh kehilangan sesiapa lagi buat masa ni.     

Tugas aku tiap-tiap tahun pasang lampu kelap-kelip kat rumah  belum tertunai lagi. Tunggulah dah sihat sikit nanti. Nampaknya tahun ni banyak kerja yang aku selalu buat setiap kali sebelum raya terpaksa aku 'sub'kan kepada adik-adik. Harap-harap Mama tak kisah dan mudah-mudahan adik-adik bersabar dan 'bertindak mengikut arahan'.

Nak dekat 2 minggu puasa ni, belum sekali pun aku ke pasar Ramadhan. Bukan nak beli apa pun, saja nak tengok kemeriahan orang berniaga dan berbelanja. Kawan-kawan yang berniaga kat Pandan Indah dan Kampung Baru sibuk suruh datang. Teringin juga nak pergi, tapi keadaan tak mengizinkan lagi nampaknya. Tapi kalau Mama yang mengajak, terpaksa juga aku turutkan nanti.

Rindu 'lompat tikam' masa mengajar kat Pahang dulu. Teringat keli salai masak lemak cili api masa buat KPLI kat Seremban (ambil isinya je, kuah aku tinggalkan..pedas!). Seminggu ni lalu makan tepung pelita dan air kelapa je nampaknya. Jamah jugalah sikit-sikit hidangan lain. Minggu ni tak buat chemo, harap-harap sehari dua ni nanti ada la selera sikit. Kesian adik-adik, hari-hari tanya nak makan apa kat 'param' (Pasar  Ramadhan hehe), sudahnya beli tepung pelita dan air kelapa juga.

Hujung minggu ni harapnya dapatlah ke kubur Abah. Minggu lepas tak sihat. Biasanya dalam bulan puasa ni, aku dapat jumpa Abah dalam mimpi. Belum ada rezeki lagi, walaupun dah dua kali rasanya aku terbangun sahur bila terdengar macam suara Abah yang memanggil. Mudah-mudahan tenang dan bahagialah Abah di sana.

Ya Allah, berikanlah aku kesihatan supaya dapat meraikan dan merasakan nikmat Ramadhan seperti orang lain. Berilah hambaMu ini kekuatan untuk melaksanakan ibadahMu. Berilah aku peluang untuk menggembirakan hati orang-orang yang sayang dan banyak berbuat baik kepadaku. Kalaupun tak dapat membalas semua kebaikan mereka, sekurang-kurangnya janganlah aku terus menyusahkan mereka. Amin, ya Rahman ya Rahim..

Tuesday, 9 August 2011

Saat Kita Diuji

"Sesuatu yang bermula dengan rasa marah biasanya akan berakhir dengan rasa malu".
-Benjamin Franklin

Hari ini aku menyaksikan satu lagi kebodohan manusia yang bertindak di luar batas seorang yang selayaknya dipanggil manusia. Menjadi saksi betapa bila lidah bertindak lebih pantas dari akal fikiran, maka akhirnya kita akan mendedahkan aib dan kekurangan diri sendiri. Seperti kata Saidina Ali r.a, tutur kata orang berakal itu berada di sebalik hatinya, sedangkan hati orang yang bodoh itu terletak pada tutur katanya.

Sakit rasa hati bila melihat sahabat sendiri diperlakukan seperti orang bersalah untuk kesalahan yang bukan datang dari dirinya. Bila sahabat sendiri dizalimi, ringan sungguh rasa tangan dan mulut ni nak menjawab dan berbuat sesuatu. Tapi syukurlah keadaan tak berakhir dengan sesuatu yang buruk. Mudah-mudahan Allah melindungi sahabatku itu.

“..dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, dan (ingatlah), Allah mengasihi mereka yang berbuat perkara-perkara yang baik” 
(Surah Ali ‘Imran ayat 134).

 Mungkin ada baiknya kita melihat apa yang berlaku dari sudut positif. Bila Allah menguji kita dengan sesuatu, tandanya Dia sedang berbicara dengan kita kan? Moga-moga bertambah keimanan kita seandainya kita bersabar dengan ujian tersebut. Semoga juga berkat kesabaran itu akan menghapuskan dosa-dosa dan kekurangan kita yang lalu. 

Buat sahabat yang berjaya menghadapi ujian itu dengan tenang dan profesional tadi, terimalah semua tu sebagai cabaran kita dalam mendidik hati manusia. Jangan mengalah dan berundur dari amanah yang sedang kau pikul, sebab insyaAllah kau tidak memikulnya sendirian. As the day turns into night, keep your worries out of sight. No matter how tough the world may seem, you still deserve the sweetest dreams. Cantik kerja Tuhan, percayalah..


I'll Stand By You-Carrie Underwood

Wednesday, 3 August 2011

Kadar Zakat Fitrah 2011




Negeri
Kadar Zakat Fitrah 2011 (RM)
Perlis
6.00
Kedah
7.00
Pulau Pinang
7.30
Perak
7.00
Selangor
7.00
Negeri Sembilan
6.50
Melaka
6.30
Johor
6.50
Pahang
7.30
Terengganu
6.00 / 7.00 / 8.00*
Kelantan
7.60
Sarawak
7.50
Sabah
7.70
Wilayah Persekutuan
7.00
 *Kadar berbeza di Terengganu mengikut gred beras yang dimakan di rumah hari-hari.

Waktu mengeluarkan zakat fitrah pada bulan Ramadhan terbahagi kepada 5:
  • Wajib : Mulai terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.
  • Paling Afdhal : Sebelum sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri
  • Sunat : Sepanjang bulan Ramadhan
  • Makruh : Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal
  • Haram : Selepas terbenam matahari pada satu Syawal; hukumnya berdosa tetapi wajib ditunaikan segera zakat fitrah dan pada waktu itu ia dikira qada. Sekiranya masih dilengahkan, maka akan bertambahlah dosanya. 
Lafaz niat:
1. NIAT ZAKAT FITRAH SEORANG DIRI

Lafaz Ijab bagi pembayar zakat :

“INI ZAKAT FITRAH SAYA YANG WAJIB BAGI DIRI SAYA PADA TAHUN INI SEBANYAK RM …………KERANA ALLAH TA’ALA”

Lafaz Qabul bagi penerima zakat/Amil

“SAYA TERIMA ZAKAT YANG WAJIB BAGI DIRI TUAN PADA TAHUN INI SEBANYAK RM..................... KERANA ALLAH TA’ALA”.

2. NIAT ZAKAT FITRAH BERKELUARGA

Lafaz Ijab bagi pembayar zakat :

“INI ZAKAT FITRAH SAYA DAN TANGGUNGAN SAYA SERAMAI ….. ORANG YANG WAJIB BAGI DIRI SAYA PADA TAHUN INI
SEBANYAK RM.................... KERANA ALLAH TA’ALA.

Lafaz Qabul bagi penerima zakat/Amil :

“SAYA TERIMA ZAKAT TUAN DAN TANGGUNGAN TUAN SERAMAI ….. ORANG YANG WAJIB BAGI DIRI TUAN PADA TAHUN INI
SEBANYAK RM.................... KERANA ALLAH TA’ALA.

3. NIAT ZAKAT FITRAH BERWAKIL

Lafaz Ijab bagi pembayar zakat/wakil :

“INI ZAKAT FITRAH …........ (SEBUT NAMA ORANG YANG BERWAKIL) DAN TANGGUNGANNYA SERAMAI ….........…. ORANG YANG WAJIB BAGI DIRINYA PADA TAHUN INI SEBANYAK RM.............................. YANG BERWAKIL KEPADA SAYA KERANA ALLAH TA’ALA”.

Lafaz Qabul bagi penerima zakat/Amil :

“SAYA TERIMA ZAKAT ….. (SEBUT NAMA ORANG YANG BERWAKIL) YANG TELAH BERWAKIL KEPADA TUAN DAN TANGGUNGANNYA SERAMAI …. ORANG YANG WAJIB BAGI DIRINYA PADA TAHUN INI SEBANYAK RM............................ KERANA ALLAH TA’ALA”.

Tuesday, 2 August 2011

Cerita Ramadhan (1)


Alhamdulillah, Allah temukan aku dengan Ramadhan. Dah hari ke-2 pun. Sangat hebat dugaannya untuk orang seperti aku. Semalam, hari pertama puasa, syukur dapat bertahan sampai Maghrib. Tapi hari ni aku terpaksa korbankan puasa  untuk ambil ubat cepat, kerana takut keadaan akan jadi lebih mudarat kalau aku teruskan. Semalam lepas buka, check BP, rendah. Balik sekolah tadi pun rendah lagi, 90/60. Sedih, rasa sayang sangat tergadai puasa hari ni. InsyaAllah esok cuba lagi. Mudah-mudahan Allah permudahkan.

Malam ni tarawih sendiri kat rumah je. Semalam pun tak ke surau dan tak buat tarawih, gara-gara paksa diri habiskan puasa. Sempat ke surau malam pertama Ramadhan je. Awal-awal macam ni  biasalah, sesak surau-surau dan masjid dengan jemaah. Mudah-mudahan begitulah sampai akhir Ramadhan. Tengok keadaan sesak begitu, tak memungkinkan aku untuk selalu ke surau lepas ni (pesakit yang sedang dalam rawatan chemo perlu elakkan tempat yang sesak dan jauhi orang sakit untuk elakkan jangkitan). Tak apalah, di mana-mana pun Allah terima ibadah kita, sekali pun di kaki lima. Asalkan tempat tu bersih kan..

Cerita pasal puasa, mesti nak cerita pasal menu berbuka. Bulan puasa beginilah kita dapat jumpa makanan yang susah kita nak cari masa hari biasa. Blog-blog dan website resepi pun mesti dapat carian tertinggi. Orang yang jarang ke dapur kerana tuntutan kerja pun dah mula berasap dapur mereka. Meriah. Rumah kami puasa pertama macam Hari Raya, mesti masak lontong, lodeh, rendang dan sambal. Tradisi Abah yang kami teruskan, selain bergilir selang sehari ajak sorang dua anak yatim berbuka sekali. Moga-moga Allah murahkan lagi rezeki kami.

Tapi yang lalu masuk ke tekak aku dua hari ni cuma puding dan sup. Kurma pun pilih jenis yang lembut sekali untuk ditelan. Syukur, masih ada rezeki untuk aku, dibandingkan dengan cancer warriors lain yang mungkin sebutir rezeki pun tak mampu untuk dijamah. Semoga kita dikurniakan kesabaran dan kekuatan dalam perjuangan ini. Aku harap esok kesihatan makin baik, dapat bertahan puasa hingga waktu berbuka. Walaupun dah mula rasa kesan sampingan ubat baru tu, insyaAllah aku nak cuba juga setakat yang mampu.

Wahai diri, setiap kali solat, anggaplah ini solatmu yang terakhir. Begitu juga dengan puasa, anggaplah ini Ramadhanmu yang terakhir. Terakhir bukan nadanya seperti orang berputus asa. Tapi menganggap yang terakhir itu supaya aku dapat melakukan yang terbaik, dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Rabbil Alamin.