Tuesday, 2 August 2011
Cerita Ramadhan (1)
Alhamdulillah, Allah temukan aku dengan Ramadhan. Dah hari ke-2 pun. Sangat hebat dugaannya untuk orang seperti aku. Semalam, hari pertama puasa, syukur dapat bertahan sampai Maghrib. Tapi hari ni aku terpaksa korbankan puasa untuk ambil ubat cepat, kerana takut keadaan akan jadi lebih mudarat kalau aku teruskan. Semalam lepas buka, check BP, rendah. Balik sekolah tadi pun rendah lagi, 90/60. Sedih, rasa sayang sangat tergadai puasa hari ni. InsyaAllah esok cuba lagi. Mudah-mudahan Allah permudahkan.
Malam ni tarawih sendiri kat rumah je. Semalam pun tak ke surau dan tak buat tarawih, gara-gara paksa diri habiskan puasa. Sempat ke surau malam pertama Ramadhan je. Awal-awal macam ni biasalah, sesak surau-surau dan masjid dengan jemaah. Mudah-mudahan begitulah sampai akhir Ramadhan. Tengok keadaan sesak begitu, tak memungkinkan aku untuk selalu ke surau lepas ni (pesakit yang sedang dalam rawatan chemo perlu elakkan tempat yang sesak dan jauhi orang sakit untuk elakkan jangkitan). Tak apalah, di mana-mana pun Allah terima ibadah kita, sekali pun di kaki lima. Asalkan tempat tu bersih kan..
Cerita pasal puasa, mesti nak cerita pasal menu berbuka. Bulan puasa beginilah kita dapat jumpa makanan yang susah kita nak cari masa hari biasa. Blog-blog dan website resepi pun mesti dapat carian tertinggi. Orang yang jarang ke dapur kerana tuntutan kerja pun dah mula berasap dapur mereka. Meriah. Rumah kami puasa pertama macam Hari Raya, mesti masak lontong, lodeh, rendang dan sambal. Tradisi Abah yang kami teruskan, selain bergilir selang sehari ajak sorang dua anak yatim berbuka sekali. Moga-moga Allah murahkan lagi rezeki kami.
Tapi yang lalu masuk ke tekak aku dua hari ni cuma puding dan sup. Kurma pun pilih jenis yang lembut sekali untuk ditelan. Syukur, masih ada rezeki untuk aku, dibandingkan dengan cancer warriors lain yang mungkin sebutir rezeki pun tak mampu untuk dijamah. Semoga kita dikurniakan kesabaran dan kekuatan dalam perjuangan ini. Aku harap esok kesihatan makin baik, dapat bertahan puasa hingga waktu berbuka. Walaupun dah mula rasa kesan sampingan ubat baru tu, insyaAllah aku nak cuba juga setakat yang mampu.
Wahai diri, setiap kali solat, anggaplah ini solatmu yang terakhir. Begitu juga dengan puasa, anggaplah ini Ramadhanmu yang terakhir. Terakhir bukan nadanya seperti orang berputus asa. Tapi menganggap yang terakhir itu supaya aku dapat melakukan yang terbaik, dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Rabbil Alamin.
Labels:
Cerita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment