Ketulusan Hati - Marshanda
Malam ni dah malam ke-13 Ramadhan. Sungguh Ramadhan tahun ni betul-betul menguji kekuatan iman dan ketabahan fizikalku. Setakat ni cuma mampu berpuasa 8 hari. Syukurlah Allah masih memberi peluang untuk aku merebut pahala bulan mulia ini, walau tak sesempurna orang lain. Makin kerap pula sakitnya sejak mula puasa ni. Kata doktor kerana ubat. Ubat-ubat yang kuat menyebabkan aku tak boleh kurang air dalam badan. Maka aku kena terima, jangan lagi memaksa diri hingga memudaratkan, malah menyusahkan orang lain pula nanti. Mudah-mudahan puasa yang aku sempurnakan, walaupun tak sebanyak orang lain ni diterima baik di sisi Allah.
Mama dah siap dengan perancangan raya tahun ni, dah macam master plan pulak aku tengok. Biarlah dia seronok nak menyambut raya, sama gembiranya dia dapat tiap-tiap malam berterawih di surau setakat ni. Sekurang-kurangnya tahun ni kesedihan dia teringatkan Abah setiap kali buka dan sahur dah berkurangan. Dah boleh terima ketentuan Allah dengan hati yang redha. Anak-anak semua dah depan mata, mungkin Mama dah tak rasa sunyi lagi. Janganlah Kau ambil aku dulu, ya Allah..Mama tak boleh kehilangan sesiapa lagi buat masa ni.
Tugas aku tiap-tiap tahun pasang lampu kelap-kelip kat rumah belum tertunai lagi. Tunggulah dah sihat sikit nanti. Nampaknya tahun ni banyak kerja yang aku selalu buat setiap kali sebelum raya terpaksa aku 'sub'kan kepada adik-adik. Harap-harap Mama tak kisah dan mudah-mudahan adik-adik bersabar dan 'bertindak mengikut arahan'.
Nak dekat 2 minggu puasa ni, belum sekali pun aku ke pasar Ramadhan. Bukan nak beli apa pun, saja nak tengok kemeriahan orang berniaga dan berbelanja. Kawan-kawan yang berniaga kat Pandan Indah dan Kampung Baru sibuk suruh datang. Teringin juga nak pergi, tapi keadaan tak mengizinkan lagi nampaknya. Tapi kalau Mama yang mengajak, terpaksa juga aku turutkan nanti.
Rindu 'lompat tikam' masa mengajar kat Pahang dulu. Teringat keli salai masak lemak cili api masa buat KPLI kat Seremban (ambil isinya je, kuah aku tinggalkan..pedas!). Seminggu ni lalu makan tepung pelita dan air kelapa je nampaknya. Jamah jugalah sikit-sikit hidangan lain. Minggu ni tak buat chemo, harap-harap sehari dua ni nanti ada la selera sikit. Kesian adik-adik, hari-hari tanya nak makan apa kat 'param' (Pasar Ramadhan hehe), sudahnya beli tepung pelita dan air kelapa juga.
Hujung minggu ni harapnya dapatlah ke kubur Abah. Minggu lepas tak sihat. Biasanya dalam bulan puasa ni, aku dapat jumpa Abah dalam mimpi. Belum ada rezeki lagi, walaupun dah dua kali rasanya aku terbangun sahur bila terdengar macam suara Abah yang memanggil. Mudah-mudahan tenang dan bahagialah Abah di sana.
Ya Allah, berikanlah aku kesihatan supaya dapat meraikan dan merasakan nikmat Ramadhan seperti orang lain. Berilah hambaMu ini kekuatan untuk melaksanakan ibadahMu. Berilah aku peluang untuk menggembirakan hati orang-orang yang sayang dan banyak berbuat baik kepadaku. Kalaupun tak dapat membalas semua kebaikan mereka, sekurang-kurangnya janganlah aku terus menyusahkan mereka. Amin, ya Rahman ya Rahim..
0 comments:
Post a Comment