Ada beberapa hari lagi sebelum kita mengucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan 1432H. Aku awalkan post kemaafan ni supaya tak terlewat. Raya nanti pastinya kesibukan membataskan kita untuk bertemu di ruangan ni. Kalau ada kawan-kawan yang jumpa dan terbaca blog ni, syukurlah. Kalau tidak pun tak menjadi aral, kerana sebolehnya aku akan bertemu sendiri untuk berjabat tangan, mungkin juga memeluk erat mereka untuk memohon keampunan.
Buat semua sahabat dan kawan-kawan,
Tahun ni, aku rasa aku terlalu banyak berbuat salah dan menyusahkan kalian. Bukan menyalahkan takdir yang telah ditetapkan Allah ke atasku sekarang ni, tapi secara langsungnya keadaan aku sekarang sedikit sebanyak membataskan persahabatan dan kemesraan kita. Terlalu banyak berahsia, terlalu kerap menjarakkan diri, dan terlalu biasa berpura-pura semuanya masih seperti dulu, membuatkan aku rasa keikhlasan aku berkawan dengan orang semakin kurang.
Kepada sahabat yang jauh di mata,
Kurangnya SMS bukan bermakna kurang juga ingatan aku pada kalian. Terima kasih kerana tak jemu-jemu bertanya khabar aku dan keluarga. Maafkan aku kalau kalian ada berjauh hati. Maafkan aku kalau 'sixth sense' aku yang dapat merasa bila kalian dalam duka dan masalah tidak setajam dulu. Maafkan aku kerana tak dapat jujur dan berterus-terang tentang kesihatan aku. Apa yang kalian bimbangkan tahun lepas nampaknya benar-benar menguji aku sekarang. Maafkan aku kalau ada rezeki kita berjumpa Aidilfitri nanti, kudrat aku tak secergas dulu, boleh bertepuk tampar macam selalu (selalunya aku je yang ditepuk dan ditampar kan..)
Buat sahabat yang dekat di mata,
Maafkan aku tak dapat kerap berjumpa dan lepak dengan kalian macam selalu. Maafkan ketinggalan zaman aku yang berkeras tak nak buka akaun FB, walaupun teruk kalian paksa dan ugut aku. Mungkin ada baiknya. Maafkan aku sebab aku merasakan bukan itu saja caranya untuk kita berhubung. Terima kasih Linda sebab selalu update pasal aku pada kawan-kawan. Maafkan aku tak dapat berbual lama dalam telefon macam dulu, kerana 'waktu afdhal' yang kita tetapkan untuk tanya khabar masing-masing tu biasanya adalah waktu aku sedang bergelut menahan sakit sekarang. Terima kasih selalu bawa dan kirim benda-benda manis kegemaran Mama. Kalau boleh, kurangkanlah, sebab kalian tahu Mama pantang semua tu kan..PANTANG JUMPA. Kalau aku tak ada nanti, teruskanlah sekali-sekali bertanya khabar Mama ye, sebagai ganti diri aku.
Buat sahabat yang hari-hari aku jumpa,
Aku tak sangka kita boleh jadi semesra sekarang. Orang yang dulu aku takut nak tegur sebab nampak macam garang je, sekarang dah jadi sahabat yang sangat banyak berbudi pada aku. 'Geng Cicah Asam' yang tahun lepas bermula sebagai jiran meja sebelah-menyebelah kat bilik guru tu, sekarang dah jadi sahabat-sahabat yang sangat prihatin dan sangat memahami keadaan aku. Maafkan aku sebab terlalu banyak menyusahkan kalian tahun ni. Bersusah-payah hantar aku pergi dan balik sekolah, tolong meringankan bebanan aku di sekolah, sudi mendengar keluhan dan rungutan aku yang tak sudah. Sungguh, aku sangat-sangat rasa bersalah dengan kalian. Kesian dapat kawan macam aku ni kan.. Maafkan aku kalau aku tak dapat balas semua kebaikan tu sekarang. Aku cuma ada doa. Itu sajalah kekuatan aku. Dan aku tak pernah putus mendoakan agar Allah sentiasa memudahkan perjalanan hidup kalian. Itu sajalah juga yang aku mampu buat dalam waktu terdekat ni untuk balas budi kalian.
Akhirnya,
Maafkan semua khilaf dan dosa aku. Maafkan kalau ada kata-kata, perbuatan mahupun gerak-geri aku yang melukakan hati. Maafkan semua kesalahan aku yang tidak aku sedari. Maafkan sikap dan akhlak aku yang tidak membawa kebaikan pada kalian. Maafkanlah semua kekurangan aku zahir dan batin. Mudah-mudahan kita termasuk di antara 7 golongan yang akan dinaungi Allah di akhirat kelak, iaitu dua orang sahabat yang bersahabat kerana Allah, bertemu dan berpisah juga kerana Allah.
Semoga kegembiraan dan kebahagiaan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kalian. Semoga Syawal kali ni menjadi Hari Kemenangan terindah buat kalian dan keluarga. Di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya sahabat..kasihnya aku.
0 comments:
Post a Comment