Alhamdulillah, bertenaga sikit sehari dua ni, dapat puasa penuh. Allah sentiasa mendengar doa hambaNya. Dapat tunaikan hajat Mama nak gantung lampu ketupat (siap check satu-satu bulb mana yang tak menyala). Dapat selesaikan urusan zakat fitrah dan pendapatan dengan adik. Dapat juga buat terawih walaupun sendirian. Syukurlah, mudah-mudahan Allah sampaikan hajatku supaya dapat terus berpuasa dan menyempurnakan ibadah lain dalam keadaan sihat dan gembira.
Pagi tadi juga dapat lama sikit di kubur Abah, bicara tanpa suara dan kata-kata. Dah namanya rezeki, dapat jumpa keluarga Allahyarham sahabat baikku di sana. Lama tak jumpa Mak, setakat selalu bertanya khabar kat telefon. Adik-adik arwah pun semuanya balik minggu ni. Sayu hati bila Mak cakap kat aku, "Peluk Along rasa macam dapat peluk Imah". Peluklah, Mak..kalau itu boleh membahagiakan dan menghilangkan rindu. Siapalah yang tahu derita hati seorang ibu yang kehilangan anak yang paling dikasihi, kan..
Pagi raya nanti penuhlah tanah perkuburan dengan waris-waris yang datang berziarah. Memang kita disunnahkan untuk menziarahi kubur bagi mengingatkan kita kepada kematian. Tapi Rasulullah s.a.w tak pernah mengkhususkan pagi raya sebagai hari untuk menziarah kubur. Orang kita je yang dah jadikan benda tu macam satu kemestian. Lepas ni, tempat tu akan kembali sunyi. Mudah-mudahan doa dan ingatan kita kepada si mati bukan seperti tu juga, muncul setahun sekali. Biarlah yang pergi tu sentiasa hidup dalam doa kita, agar aman dan bercahaya pemakaman mereka.
Remembering Nor Azimah, 1979-1995
Hari ni juga kawan baik Abah dan keluarganya datang berbuka. Alhamdulillah, Mama dah boleh tersenyum dan ketawa untuk mendengar dan bercerita kisah-kisah lama tentang Abah. Tak ada lagi airmata. Syukurlah kalau cerita-cerita tu dapat mengubat rindunya pada Abah. Terima kasih, pakcik kerana tak jemu-jemu membuka cerita cinta Mama dan Abah pada kami. Kalaulah pakcik juga mahu bercerita kepada aku tentang rahsia yang satu itu, insyaAllah aku tetap akan berusaha mencari mereka, walau apapun keadaannya nanti.
Malam ni dah pertengahan Ramadhan. Kalaulah amal ibadahku ini boleh diukur guna mana-mana weighing scale, entah baru sampai mana la jarum meternya. Mungkin tak seberat dan sebanyak orang lain. Sepatutnya orang macam aku ni perlu lebih lagi taubat dan ibadahnya daripada orang lain yang sihat walafiat. Kalau Allah beri petanda bila nak diambil nyawa, syukurlah. Tapi kalau tiba-tiba tidur malam ni akan jadi tidur aku yang panjang buat selama-lamanya, aku tak nak termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi..na'uzubillahi min zalik.
Cantik langit malam ni, tak nampak pulak bulan kat mana (terlindung dek lampu ketupat Mama agaknya). Ya Allah, doaku malam ni sama seperti malam-malam sebelumnya. Berilah aku kesihatan dan kekuatan, istiqamah dalam beribadah. Jangan Kau susahkan hati orang-orang yang sayang dan sangat mengambil berat terhadapku. Mudahkan perjalanan hidup mereka, lapangkan hati mereka. Berilah aku kesempatan yang panjang untuk membalas kebaikan dan pertolongan mereka. Amin, ya Allah..
PadaMu Ku Bersujud - Afghan
I really love that song. *Insaf mode*
ReplyDelete