Tiga hari yang sarat kenangan. Benarlah kata orang, siapa kita banyak dipengaruhi oleh siapa sahabat-sahabat kita. Cari sahabatmu, dan kau akan tahu siapa dirimu. Hari-hari yang membahagiakan. Hari-hari yang buat aku lupa sekejap pada kesakitan. Lupa sekejap daripada memikirkan segala bebanan di kepala. Maafkan aku kalau semua tu perlu dibayar dengan kepenatan kalian menemani aku.
Terima kasih kerana menghantar aku menjalani rawatan. Berulang-alik dan bersusah payah dalam hujan. Terima kasih kerana dapat berjemaah dan berdoa bersama di tempat yang tak pernah terduga, dalam keadaan tenang dan selesa. Dalam kita gembira mencari kenangan, dapat juga kita mengumpul pahala.
Melihat sahabat bergambar dengan jubah konvonya, sekilas terasa sayu membayangkan, kalaulah mungkin ada kesempatan juga untukku mencipta kenangan yang sama sekali lagi. Impian yang kadang-kadang nampak semakin kabur. Mendengar sahabat-sahabat bercerita tentang perancangan masa depan, tentang berkeluarga dan memajukan kerjaya, mencapai sesuatu dalam hidup, aku sangat gembira. Sayang aku tak mampu berkongsi keterujaan yang sama, kerana satu-satunya impian yang aku ada sekarang ialah untuk sembuh dan hidup sedikit lama. Impian lain bukan aku buang jauh, cuma aku pendamkan dulu sehingga harapan kembali jelas.
Hari ini, kita mencari kenangan lagi. Seperti kata Zila tadi, "Memenuhi impian semua". Atau aku terasa sebenarnya yang banyak menunaikan kehendak aku sahaja..kan? Janganlah begitu. Aku rasa bersalah. Rasa nak kunci je mulut dari menyebut dan menginginkan yang bukan-bukan. Seolah-olah macam kita tak punya banyak masa lagi untuk bersama. Biarlah rasa itu millik aku sahaja. Apa pun, terima kasih banyak-banyak kepada kalian, kerana mengorbankan hujung minggu yang sepatutnya untuk berehat dan ke gym, tapi dihabiskan pula di jalanan. Moga-moga suatu hari nanti, hari-hari begini akan buat kalian tersenyum bila mengenangkannya.
Akhirnya aku berharap, janganlah sahabat-sahabatku rasa terbeban berkawan denganku. Maafkan aku kerana banyak mengorbankan masa, tenaga dan segala-galanya kerana aku. Aku harap akan sembuh, supaya dapat aku bayar semula hutang budi kalian padaku. Tapi kalau tidak, aku sentiasa berdoa agar Allah memberi sebaik-baik balasan di atas segala kebaikan kalian. Menunaikan segala impian dan hajat kalian, serta dipermudahkan untuk kalian segala urusan dunia dan akhirat.
Di antara cinta dan sayang, di situ kasihnya sahabat..
"For in those memories, we live on.."
0 comments:
Post a Comment