Aku ada abang. Aku bukan lagi Along dalam keluarga. Takdir yang aku terima dengan hati terbuka. Pencarian berbulan-bulan akhirnya berakhir hari ini. Berdepan lelaki itu, yang tiga tahun lebih tua dari aku, mengingatkan aku kepada seorang lelaki yang sangat aku kasihi..Abah. Pertemuan yang janggal dan kekok. Tak tahu nak dimulakan dari mana dan bagaimana nak mengakhirinya.
Hari ini aku temukan jawapan, kenapa rahsia ini terlalu dirahsiakan dan begitu rapi disimpan. Kebenaran yang melukakan, dan terlalu peribadi untuk aku share di ruangan ini. Mengertilah aku kenapa mereka memilih untuk menjarakkan diri daripada kami. Memilih untuk menafikan hak sendiri. Tapi hubungan darah tak boleh diputuskan begitu sahaja. Kerana dia juga adalah wali yang berhak ke atasku selepas adik-adik lelakiku.
Dan sekarang kepala aku berat memikirkan tentang perkara ini pula. Bagaimana harus aku jelaskan kepada Mama. Kuatkah dia untuk terima dua berita ini nanti? Tentang kesihatan aku dan tentang pertemuan ini. Aku sendiri pun rasa sesak dada mendengar cerita tadi, inikan pula Mama. Aku boleh memilih untuk tamatkan cerita di sini, bertindak seperti Abah, menyimpan rahsia ke hujung nyawa. Membiarkan mereka semakin jauh. Tapi masalah takkan selesai dengan cara itu. Kejam sangat rasanya aku ni kalaulah tadi aku menolak bila mereka 'meminta izin' untuk menziarahi pusara Abah dan bila anak-anak saudara yang baru aku kenal tu memanggil aku 'Mak Long'. Bukankah mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah itu lebih berat hukumnya..
Nampaknya aku perlu beristikharah lagi. Memohon jalan keluar dari Allah, sebab aku sangat buntu sekarang. Susah hati memikirkan segala kemungkinan. Mungkin ada benarnya kata Pakcik, hal ni akan memudaratkan kesihatan aku. Aku harap adik-adik dapat menerima takdir ni dengan tenang. Dapat melihat hikmah yang Allah sembunyikan di sebalik ujianNya.
Dan hari ini aku dapat sempurnakan satu perkara dalam wishlist aku (Before I Die) - find the family I didn't know. Mudah-mudahan kasih yang jauh itu akan bertaut kembali. Terima kasih kerana menerima kedatangan aku hari ni. Tidak dihalau, malah dilayan baik sebagai tetamu tadi pun dah cukup bagus buat aku. Kerana aku juga tidak mengharapkan pertemuan pertama ini berlangsung dalam keadaan penuh mesra.
To make every moment count..that's all I want.
Saturday, 8 October 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment