Pages

Subscribe:

Labels

Monday, 20 June 2011

Abah...

Malam ni sangat sentimental untuk aku, sebab pada waktu ni 4 tahun yang lepas, inilah kali terakhir aku mendengar suara Abah. Dan esok hari yang sangat emosional untuk aku, sebab hari yang sama 4 tahun lepas, Abah pergi meninggalkan kami buat selama-selamanya. 21 Jun 2007, Khamis, 2.26 pagi. Malam ni seperti 3 tahun yang lepas, aku lalui dengan tangisan sorang-sorang. Tak mampu nak tunjuk pada Mama dan adik-adik. Aku sangat-sangat berharap dapat bertemu Abah dalam mimpi. Aku rindu Abah. Sangat-sangat rindu sampai rasa sesak dada ni mengenangkan Abah. Masih jelas lagi wajah Abah yang putih kuning tersenyum saat kami mengkafankannya. Masih terasa dinginnya dahi Abah kali terakhir kami menciumnya. Masih terbau lagi wanginya minyak atar 1000 Bunga yang kami calitkan pada pipinya. Seperti tahun-tahun yang lepas, malam ni aku demam kerana terlalu ingatkan Abah.

Abah was a man of wisdom. Setiap kata-kata dan perbuatannya penuh nasihat dan berhikmah. Bersamanya, aku cepat terasuh menjadi manusia terlalu kukuh. Siapa aku sekarang, gerak gaya, bahasa badan, bicara dan akal budi, semuanya dicorakkan oleh Abah. Mama mewarnakan hidup aku. Tapi aku tak mampu jadi sebaik, sebijak dan sesabar Abah.

Kata Abah, hidup bertuhan kena berpandukan Allah dan Rasul. Itu yang aku cuba amalkan. Kata Abah juga, hidup berkawan, kena ikhlas dan jujur. Itu yang aku cuba jadi selama ni. Kata Abah lagi, hidup berkasih sayang kena setia dan percaya. Itu jugalah yang aku cuba pertahankan. Kalaulah Abah dapat berkata-kata lagi macam ni..

Banyak yang nak aku tulis tentang Abah, tapi bukan malam ni. Lagi banyak airmata yang keluar setiap kali aku nak taip sepatah perkataan pun tentang Abah. Bila ada masa yang sesuai nanti, aku akan tulis lagi tentang Abah. Kalaulah dapat aku katakan sesuatu pada Abah sekarang, aku nak Abah tahu segala pesan dia aku jadikan panduan hidup aku..untuk bertuhan, berkawan dan berkasih sayang.

Pesan terakhir Abah untuk menjaga Mama dan adik-adik selagi mana aku mampu, masih aku teruskan. Nota terakhir Abah belakang gambar kahwin Abah dan Mama yang kami sama-sama hantar repair di Kodak dulu untuk simpan dalam CD masih aku simpan sampai hari ni : 'Selagi Along boleh buat Mama gembira, jangan biar dia menangis, sebab kita cahaya hidup Mama'.

Abah, maafkan Along bila sampai waktunya nanti Along tak dapat lagi menunaikan semua pesanan dan harapan Abah. Along dah cuba jadi manusia bukan sekadar orang, menjadi insan sebelum dipacakkan nisan. Along selalu berdoa dapat cepat-cepat bertemu Abah, tapi biarlah Along sempurnakan dulu urusan keluarga kita dan bekalan akhirat Along. Supaya yang meninggalkan nanti tak ada kesalan dan yang ditinggalkan juga tiada sesalan. Abah makin jauh, kami yang hidup ni makin hampir. Semoga Allah temukan kita nanti di tempat yang paling sempurna..amiin.

Aku sayang Abah..       

0 comments:

Post a Comment