Hmm..seminggu lebih tak buka blog, bersawang dah tempat ni. Minggu akhir cuti sekolah sibuk layan tetamu kat rumah, family dari Singapore je sebenarnya. Rasa macam budget hotel pulak rumah tu hehe. Tak apalah, tetamu datang bawa rezeki kan, wajib dilayan sebaik-baiknya. Penat sangat minggu tu, tapi puas hati tengok mama seronok layan adik-adik dan anak-anak buahnya, bercerita sampai 2-3 pagi macam 10 tahun tak jumpa.
Keluar lagi cerita-cerita lama masa aku kecik-kecik dulu. Betapa rupanya aku ni ditatang bagai minyak penuh konon-kononnya, maklumlah cucu sulung. Cerita aku conteng dinding rumah atuk yang baru lepas cat, elok kering je catnya aku dah buat mural kat situ. Kisah aku sambut birthday yang ke-3 pakai baju melayu,duduk elok tengah-tengah atuk dan abah masa baca doa selamat,jantan abis la kot hehe. Perangai aku suka ikut semut dengan jari sampai semut tu jumpa kawan-kawan dia. Yang paling malu nak dengar cerita aku dapat title 'Gelek Seround'. Sebabnya kecik-kecik dulu, kalau ada kerja kawin sebelah family mama, mesti ada joget lambak (atuk dan nyai asal orang Melaka). Kat tengah-tengah tu mesti ada sorang budak kecik start gelek dan gerudi twist..AKU LA TU!! Rupa-rupanya bakat menari tu dah terserlah sejak kecik lagi. Adik-adik ambik peluang la gelakkan aku sampai keluar air mata, ingatkan Alongnya ni sopan sangat la dulu-dulu tu.
Kalaulah kenangan tu dapat diulang..mesti aku perasan comel. Nasib baik ada gambar nak buat kenangan. Kecik-kecik dulu aku suka bergambar, dah besar ni rasa berat je bila orang suruh pandang kamera, dah tak cute kot hahaha.. tapi betul kan, seseorang yang mati tanpa meninggalkan walaupun sekeping gambarnya, kehidupannya mati bersamanya. Tapi kalau dia meninggalkan walaupun sekeping gambarnya, kehidupannya akan dikenang selagi ada yang mahu bercerita mengenai gambar tu.
Itu cerita yang macam best. Ada juga yang tak best berlaku, aku tak cerita kat adik-adik dan sesiapa pun,cuma bagitau Ros je. Hari Jumaat, 10 Jun, petang tu aku pergi hantar sepupu ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), nak balik Singapore. Balik dari situ drive sorang la. Nak dijadikan cerita, kat MRR2 sebelum sampai Pandan Perdana, tiba-tiba sendi-sendi rasa bisa sangat, kepala,dada,perut dan kaki rasa sakit mencucuk-cucuk dalam masa yang sama. Nak tekan pedal pun tak rasa kaki ni. Nasib baik tak bawak laju, sempat la stop kat exit Pandan Perdana. Nasib baik juga bawa ubat. Dah rasa lega sikit, aku sambung drive ke Tesco Ampang, rasanya orang bawak basikal lagi laju dari aku yang bawak kereta masa tu. Park kat Tesco, lelapkan mata dalam sejam lebih. Dah betul-betul ok baru aku balik rumah. Sempat sms Ros, just in case aku tak sedar langsung.
Ya Allah, itulah kali pertama sakit tu datang masa tengah drive, syukur tak accident. Belum masanya aku dijemput Tuhan. Sebelum cuti sekolah lagi aku dah mula rasa tak best tengah drive. Kadang-kadang macam black out jap, mata pun dah makin rabun ni. Tu yang terpaksa susahkan adik dan Ros hantar aku pergi dan balik sekolah. Tapi dah berazam lepas cuti ni nak kurangkan menyusahkan orang. Moga-moga Allah beri kekuatan.
Esoknya tu pergi hospital, consult dengan doktor. Katanya sama ada kesan sampingan rawatan yang aku terima, atau kemungkinan besar sakit tu sendiri yang menyerang. Tapi aku perasan, lepas kena serangan tu, 5 hari aku sakit kepala yang hanya kurang kalau ambil ubat. Masa sujudlah yang paling sakit, rasa berdenyut-denyut sampai ke bahu. 2 hari lepas paha dan lengan dah lebam-lebam semula. Bangun pagi tadi hidung berdarah. Makin teruk ke aku ni? Takut nak tanya doktor. Tak sedia nak dengar berita-berita kurang enak buat masa ni. Agaknya aku penat sangat. Sejak mula sekolah, dah mula sibuk untuk Temasya Sukan hari Sabtu ni. Kesibukan tu buat aku lupa kejap pada kesakitan. Dah janji juga pada diri, kalau boleh tak nak jadikan semua tu alasan untuk aku 'excuse'kan diri dari kerja-kerja aku. Tapi bukanlah sampai tak sayang nyawa sendiri. Buat habis baik..
Minggu lepas pun macam-macam berlaku kat sekolah. Masih cuba menyesuaikan diri dengan perubahan besar-besaran yang dibuat. Inilah kelemahannya bila kita terlalu selesa dengan sesuatu keadaan, kadang-kadang kita susah nak berhijrah. Aku cuba tanam dalam fikiran dan mendidik hati, everything will coming up roses. Jarang aku lepaskan marah tak tentu pasal dengan orang, tapi hari tu memang tak mampu nak tahan. Bila sesuatu perkara tu dibuat tergesa-gesa, dan tak meminta pandangan semua, itulah jadinya.. mesti ada yang tak puas hati. Memang la dalam sesuatu organisasi, kita takkan mampu puaskan hati semua orang. Tapi sekurang-kurangnya untuk berlaku adil dan bertindak profesional, seharusnya pendapat semua orang dinilai dulu, baru buat keputusan. Tapi tak apalah, benda dah jadi pun. Aku kena cari hikmahnya, ambik yang baik-baik je. Tak ada gunanya lawan perkara yang kita tak boleh menang. Lawan api dengan api, akhirnya kita pun akan jadi abu.
Minggu ni satu lagi minggu yang memenatkan, lebih terasa penatnya bagi orang macam aku. Ya Allah, beri aku kekuatan untuk menyempurnakan amanah-amanahku,supaya orang lain sentiasa senang bekerja denganku. Bantulah aku memudahkan hidup orang lain, mudah-mudahan Kau mudahkan juga jalan hidupku. Berikan aku ketabahan dan kesabaran melawan kesakitan, moga-moga Kau hapuskan sedikit demi sedikit dosa-dosaku dan Kau tambahkan keimananku padaMu. Amin..
Monday, 20 June 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment